Friday, February 12, 2010

Anekdot Ulama 21: Mengingati Mufti Mahmud Hasan Gangohi

Mufti Mahmud Hasan sudahpun menjadikan masjid Chatta sebagai tempat tinggalnya ketika saya mula sampai di Deoband tahun 1989. Kebetulan rumah sewa kami berdekatan dengan masjid Chatta. Setiap hari kami perlu melalui masjid Chatta untuk ke kelas. Bukan setakat ke kelas tetapi jika hendak pergi makan di kedai makanpun kami akan melintas masjid Chatta. Di situlah saya melihat kelibat seorang tua berbaju putih dikelilingi oleh barangkali pengikut-pengikut yang juga majoritinya berpakaian serba putih. Beliau rupanya grand Mufti of Darul Uloom Deoband.

Mufti Mahmud tidak lagi mengajar kerana sudah tua. Namun beliau sentiasa dikunjungi oleh asatizah (guru-guru), pelajar-pelajar dan orang awam. Sesekali selepas solat asar saya juga turut menyertai majlis pertemuan dengan Mufti Mahmud. Dengan adanya Mufti Mahmud masjid Chatta menjadi makmur dengan berbagai program. Terutamanya program ibadah dan tazkiyah An Nafs. Pada bulan Ramadhan masjid Chatta akan menjadi bertambah sibuk. Orang dari dalam dan luar negara akan datang beriktikaf sepanjang Ramadhan kerana ingin berpuasa dan berprogram di bawah bimbingan Mufti Mahmud.

Mufti Mahmud mempunyai ramai anak murid yang berbaiah kepadanya terutama dari South Afrika. Malah khadim khasnya yang berkhidmat kepada Mufti sehingga beliau menghembuskan nafas terakhirnya juga dari South Afrika iaitu Mufti Ibrahim. Mufti Ibrahim sekeluarga telah mewakafkan diri mereka tinggal di masjid Chatta untuk berkhidmat kepada Mufti dan menjadikan Mufti Mahmud seperti bapa mereka sendiri.

Kadang-kadang Mufti Mahmud akan dibawa ke South Afrika untuk menemui murid-muridnya. Bila beliau tiada di Deoband akan terasa ada sesuatu yang tidak sedap di hati. Bila beliau pulang terasa sesuatu yang lemah kembali kuat. Itu mungkin hasil keberkatan ilmu dan amalan Mufti Mahmud.

Wajahnya putih bersih dan berseri-seri. Walaupun umurnya sudah banyak tetapi raut wajahnya masih kelihatan segar. Tiada kedut-kedut kelihatan. Beliau sentiasa memakai baju berwarna putih. Disebabkan sudah terlalu tua apabila berjalan beliau perlu dipimpin. Di akhir-akhir hayatnya Mufti Mahmud bersolat di atas kerusi roda. Mufti Ibrahimlah yang menguruskan semuanya.

Seorang pelajar Arab Darul Uloom dari Lebnon menceritakan kepada saya satu kejadian aneh telah berlaku kepada kawannya dari Lebnon, juga kawan saya, ketika beliau menziarahi Mufti Mahmud. Beliau berseorangan menemui Mufti Mahmud. Ketika hendak pulang beliau menghadiahkan minyak wangi kepada Mufti. Mufti mengambilnya dan berkata aku tidak memiliki apa-apa yang boleh diberikan kepada kamu. Namun Mufti cuba juga mengambil sesuatu daripada poketnya. Mula-mula satu botol minyak wangi dikeluarkan daripada poketnya. Ia diberikan kepada Ali Sayyaf, kawan saya itu. Kemudian beliau menyeluk lagi poketnya untuk memberikan minyak wangi yang lain pula. Beberapa kali dilakukan oleh Mufti sehingga Ali Sayyap mengatakan cukup! cukup! cukup!. Kerana kehairan beliau bertanyakan pembantunya, Mufti Ibrahim. Beliau mengatakan tidak ada dalam poket Sheikh apa-apa minyak wangi pun sebelum ini. Mufti Ibrahim sememangnya mengetahuinya kerana dialah yang bertangungjawab ke atas makan, minum dan pakaian Sheikhnya, Mufti Mahmud.

Mungkinkah itu keramat Mufti Mahmud Allah sahaja yang mengetahuinya. Keramat atau tidak bukanlah sesuatu yang penting untuk kita memastikannya. Yang lebih penting daripada itu ialah saksiah Mufti Mahmud Hasan Gangohi yang boleh dijadikan contoh tauladan. Di antara personaltinya yang istimewa ialah beliau seorang alim. Kealimannya boleh dilihat daripada kitab Fatwa Mahmudiahnya yang berjilid-jilid. Kerana keilmuannya beliau juga diberikan mandat mengajar kitab Bukhari di Darul Uloom Deoband. Subjek yang hanya akan diberikan kepada orang yang betul-betul mantap ilmunya di Darul Uloom. Biasanya orang sibuk dengan ilmu akan diuji dengan kelesuan untuk beramal beribadat. Tetapi Mufti Mahmud tidak begitu. Ibadahnya kuat. Waraknya terserlah. Akhlaknya mengambarkan ilmunya. Keseluruhan masa digunakan sepenuhnya untuk agama. Kata-katanya penuh dengan ilmu dan hikmah. Maka tidak heranlah semasa Mufti Mahmud bercakap akan ada di kalangan yang hadir mencatatkannya. Kata-kata beliau itu kemudiannya dibukukan dengan diberi jodol sebagai Malfuzaat sebagaimana asaatizah Darul Uloom yang lain sebelum beliau.

Buku Malfuzaat Mufti Mahmud Hasan Gangohi

Pada tahun 1996 saya pulang ke Malaysia buat julung kalinya selama tiga bulan. Sekembalinya saya ke Deoband pada tahun itu juga Maulana Mufti Mahmud Hasan meninggal dunia di South Afrika pada tanggal 2 Sept 1996 dan dikebumikan di sana. Kehilangan Mufti Mahmud sesungguhnya satu kehilangan yang besar kepada Darul Uloom, masyarakat Deoband, masyarakat India dan murid-muridnya di serata dunia. Semenjak beliau tiada masjid Chatta menjadi semakin lesu. Malah Deoband keseluruhannya menjadi lesu. Dunia semakin membadai Deoband dan tiada lagi nakhoda yang tahu menjaga kapalnya agar penumpang di dalamnya tenang dan terselamat daripada bencana kerosakan akhlak.






Tuesday, February 9, 2010

Anekdot Ulama 20: Walau Sebiji Kurma Allamah Bihari

Saya terperanjat kerana pihak madrasah memutuskan kami yang akan mengambil subjek fekah kitab Khuduri (fekah Hanafi) akan mempelajarinya daripada Maulana Husain Bihari yang lebih dikenali di Darul Uloom sebagai Allamah Bihari. Terperanjat itu kerana dua perkara. Pertama, Allamah Bihari biasanya mengajar kitab tinggi-tinggi. Namanya Allamah tentulah orang yang mempunyai ilmu yang banyak. Tapi kali ini kitab yang diberikan kepadanya hanya matan asas fekah untuk pelajar-pelajar tingkatan rendah. Kedua, umur Allamah terlalu lanjut. Kemungkinan hampir atau sudah mencecah seratus tahun. Bagaimana mungkin kami dapat memahami pengajian yang akan diajar oleh Allamah. Namun itu keputusan pihak atasan Madrasah. Kami akur sahaja.

Pelajaran kami bermula. Seperti yang dijangkakan kami tidak dapat memahami apa yang disebut oleh Allamah kerana suaranya yang sudah semakin tidak jelas. Kami tidak complain apa-apa malah berasa bertuah kerana dapat berkhidmat kepada Allamah. Paling tidak dapat memimpinnya datang ke kelas. Disebabkan faktor kesihatan Allamah, akhirnya Darul Uloom mengamanahkan subjek itu kepada Maulana Shamim. Apakah hikmah di sebalik dapat belajar sehari dengan Allamah Bihari? Barangkali sehari belajar dengan Allamah itu membawa seribu keberkatan kepada kami. Ilmu dan penghayatan kami selepas belajar adalah hasil doa daripada guru-guru.

Di antara ciri-ciri ulamak Deoband ialah mereka tidak meninggalkan sembahyang secara berjemaah di Masjid. Oleh sebab itu Allamah Bihari tidak pernah meninggalkan solat waktu di masjid walaupun usianya mengizinkan dia solat di bilik sahaja. Masih segar dalam ingatan saya, Allamah akan melalui bahagian atas bilik saya dengan bertongkat menuju ke masjid Darul Uloom apabila azan telah dikumandangkan. Begitu juga apabila selesai solat Allamah akan mengetuk-ngetuk lantai dengan tongkatnya melalui bahagian atas bilik saya. Ia seolah-olah mengetuk kepala saya supaya beringat di masa hadapan agar jangan meninggalka solat secara berjemaah.

Tongkat ingatkan solat berjemaah

Pada suatu petang saya menziarahi Allamah Bihari di biliknya. Dia tinggal di dalam Darul Uloom. Biliknya bersebelahan dengan bilik-bilik pelajar. Allamah pada waktu itu tidak berapa sihat. Maklumlah sudah terlalu tua. Pelajar yang membantu Allamah berbisik di telinganya "Pelajar Malaysia datang". Allamah bingkas bangun dan duduk. Dia mempelawa saya masuk dan mendekatinya. Allamah mengambil sebuah tin yang berdekatan dengannya. Dia membuka tin keci itu lalu mengeluarkan sebiji kurma daripadanya. Dengan terketar-ketar dia menghulurkan kepada saya buah kurma itu. Katanya "Le lo...Le lo" (ambil lah ambil lah). "mere pas kuch nahin, kiya dung gaa" (Aku tak ada apa-apa. Apa yang boleh aku berikan?).

Lihatlah Allamah walaupun dalam keadaan uzur sebegitu masih sempat melayan tetamu. Dia menyimpan kurma untuk diberikan kepada tetamu sebagai sunnah memuliakan tetamu. Tidak perlu banyak dan tidak perlu beraneka. Tetapi yang penting cukup ikhlas dan cukup memenuhi tuntutan sunnah. Walaupun sebiji kurma dan seteguk air. Bagaimana dengan kita? Adakah kita ikhlas melayan tetamu. Atau malu kerana tidak melayan seumpama begini dan begitu.


walaupun sebiji kurma




Anekdot Ulama 19: Maulana Maseehullah Khan

Di antara perkara yang tidak dapat dilupakan waktu belajar di Darul Uloom Deoband ialah kenangan ketika menziarahi Maulana Maseehullah Khan (1911/12-1992). Sebelum itu nama Maulana sudahpun saya dengari sebagai seorang Sheikh yang hebat dari segi kerohanian. Maklumlah dia dikatakan salah seorang murid Hakimul Ummah Maulan Ashraf Ali Thanawi yang masih hidup di India pada waktu itu. Selain beliau, yang masih hidup lagi ketika itu ialah Maulana Abrarul Haq. Kemasyurannya menyebabkan terasa benar di hati ingin menziarahi beliau. Kalau dapat menatapi wajahnya pun sudah cukup. Pada suatu hari, saya berkesempatan menziarahi Maulana di madrasahnya Miftahul Uloom, di Jalalabad, yang jauhnya kira-kira satu jam perjalanan menaiki bus daripada Deoband.

Waktu saya menziarahi beliau, Maulana berada di sebuah bilik, tempat beliau menerima kunjungan tetamu. Kebetulan waktu itu waktu Maulana menerima kunjungan tetamu dan tidak ada tetamu lain melainkan saya dan teman yang mengiringi. Saya mengambil peluang untuk bersalam dengan Maulana. Beliau bertanya saya dari mana. Saya katakan saya pelajar Darul Uloom. Maulana dengan nada yang tawaduk mencelah yang kira-kira katanya begini: "Kamu tu pelajar wahai anakku...kamu sepatutnya menggunakan waktu untuk belajar bukannya datang jauh-jauh menziarahi aku. Apalah ada pada aku". Saya mengangguk-ngangguk dan hanya mampu mengukirkan senyuman. Kata-kata Maulana persis kata-kata guru kepada gurunya iaitu Maulana Rashid Ahmad Gangohi. Ketika Maulana Ashraf Ali Thanawi belajar di Deoband dia berhasrat untuk berbaiah dengan Maulana Rashid Ahmad di Gangoh yang juga terletak jauh daripada Deoband. Tetapi Maulana Rashid Ahmad menasihati Maulana Ashraf Ali Thanawi agar menumpukan pelajaran di Deoband. Usah berpindah-pindah menyebabkan masa terbuang. Masa belajar perlu digunakan sepenuhnya untuk belajar.

Lebih kurang setahun selepas itu, pada tanggal 12 November 1992, Darul Uloom melalui corong pembesar suaranya telah menyampaikan kepada seluruh penduduk Deoband suatu berita sedih tentang kembalinya Maulana Maseehullah Khan menemui Illahi. Dalam sekelip mata sahaja kampung Deoband yang hiruk pikuk dengan suara manusia telah menjadi senyap sunyi. Deoband yang selalunya penuh dengan lautan manusia tiba-tiba menjadi kosong. Khabarnya semua orang telah meninggalkan Deoband untuk pergi ke Jalalabad. Kerana itu saya turut serta di dalam kafilah mereka.

Di dalam perjalanan, saya amat terkejut kerana melihat bus-bus dipenuhi manusia hingga sampai ke bumbung. Mereka datang dari segenap pelusuk kawasan. Berita sampai begitu pantas. Apabila mendengar berita mereka terus sahaja meninggalkan pekerjaan masing-masing. Darul Uloom terus sahaja memberhentikan pengajian. Kesemua asatizah (guru-guru) menyertai mereka yang bergerak ke sana. Sesampainya di Madrasah Miftahul Uloom saya melihat manusia sudahpun membanjiri segenap jalan ke Madrasah. Tidak pernah dalam sejarah hidup saya melihat manusia seramai itu. Hampir kesemuanya berpakaian putih melambangkan bersihnya hati masing-masing.

Itulah kehebatan orang yang ikhlas kepada Tuhannya. Di dunia ini sahaja Allah sudahpun menunjukkan tanda-tanda bahawa ia dikasihi orang. Apatah lagi oleh Allah yang sifatnya Maha Pengasih dan lagi Maha Penyayang.

Saturday, February 6, 2010

Anekdot Ulama 18: Perginya Seorang Muhaddith Deoband

Hari khamis yang lalu saya menerima sms dari seorang kawan di Deoband memberitahu bahawa Maulana Naseer Ahmad Khan telah meninggal dunia. Inna lillaah wa innaa ilaihi raaji`uun. Maulana ialah Sheikhul Hadith Darul Uloom Deoband. Kebelakangan ini Maulana sudahpun tidak mengajar. Malah ketika saya mengunjungi beliau awal tahun lepas beliau sudahpun tidak mengajar kerana sakit tua. Umurnya ketika meninggal dunia mencecah 92 tahun. Ketika saya di tahun akhir (1999), Maulana mengajar saya kitab hadis Bukhari jilid pertama kerana Darul Uloom membahagikan kitab Bukhari kepada dua juzuk. Juzuk pertama Maulana yang mengajar. Juzuk yang kedua Maulana Abdul Haq Azami. Saya mengenali Maulana agak rapat kerana biasa bersembahyang waktu di Masjidnya yang dinamakan Lal Masjid (Masjid Merah kerana dindingnya merah).

Hampir 70 tahun lamanya Maulana mengajar di Darul Uloom. Semenjak menjadi Sheikul Hadith puluhan ribu pelajar telahpun menamatkan pengajian Bukhari di bawah didikan Maulana. Itu belum lagi dicampur dengan bilangan pelajar yang tamat mempelajari kitab hadis selain Bukhari sebelum Maulana memegang jawatan sebagai Sheikhul Hadith. Dikatakan Maulana sangat menghormati hadis Nabi saw. Setiap kali hendak mengajar Maulana akan mandi terlebih dahulu, sebagai persediaan menyucikan diri lahir dan batin. Biasanya Maulana akan berjalan kaki dari rumah ke madrasah. Pada hari jumaat saya masih ingat selalu melihat Maulana berjalan laju ke masjid Darul Uloom pada awal waktu untuk mendirikan solat Jumaat. Ijazah hadith Bukhari saya perolehi daripada Maulana sebanyak dua kali. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas Maulana Naseer Ahmad Khan dan mengumpulkan beliau bersama-sama dengan golongan salihin. Ameen

Sanad Peribadi
Maulana Naseer Ahmad Khan Ijazah Sanad Hadith Drp
Maulana Naseer Ahmad Khan
Ijazah Sanad Hadith
Drp Maulana Abdul Haq Azami