Monday, January 27, 2014

Mukhtarat Arabiyyah

Kalau tidaklah kerana buku Mukhtarat Arabiyyah nescaya saya tidak mampu untuk memasuki universiti seperti UIA di peringkat MA walaupun memiliki ilmu agama yang boelh dikatakan cukup untuk mengikuti pengajian di peringkat ini. Pada zaman saya belajar di Darul Uloom Deoband bahasa Arab yang diajar hanya untuk memahami kitab turath yg menyentuh ttg ilmu-ilmu agama. Penekanan lebih kpd nahu, saraf dan mengingati mufradat melalui bahan bacaan yg lebih kpd syair. Bahan-bahan bacaan moden dan kalam nathar kurang diberi perhatian malah hampir tenggelam.

Oleh kerana waktu itu saya sudahpun matang berbanding dengan pelajar-pelajar India yang rata-rata umur mereka spt budak sekolah menengah maka saya sempat berfikir untuk mengatasi masalah tersebut. Kitab Mukhtarat Arabiyyah yg menjadi silibus di peringkat takhassus Adabul Arabi di Darul Uloom menjdi pilihan saya untuk mendampinginya. Saya mengusahakan utk membaca dan mempelajarinya 5 tahun lebih awal drp pelajar India yg sekelas dgn saya. Malah tak sampai satu percent pun di kalangan mereka yang ada rezeki untuk mempelajarinya kerana kitab itu diajar selepas graduate.

Selepas mempelajari kitab ini barulah saya yakin sedikit dgn bahasa, yakni bahasa Arab sebagai alat perhubungan. Jika mahu berhubung dgn universiti ada bahasa yg perlu diketahui yg digunakan oleh mereka. Jika mahu berhubung dgn madrasah atau pondok ada bahasa yg perlu diketahui yang digunakan oleh mereka. Pokoknya kitalah yg bertanggungjawab mempelbagaikan kebolehan kita.

Hari ini saya seperti budak yang bekerja di kedai photostat kerana berkhidmat kepada kitab Mukhtarat yang saya pernah gunakanya dahulu. Dulu kitab ini berkhidmat kpd saya. Sekarang tibalah masanya saya berkhidmat untuknya. Dari pagi saya cuba scan kitab tersebut yang mengandungi 200 lebih mukasurat dengan menggunakan CanoScanLide 100 yang manual itu. Pukul 11 malam baru habis, nonstop. Kitab yang sudah tercerai kulitnya menyukarkan utk scan dgn selesa. Terasa kebas tangan. Bagaimanalah orang kerja photostat buku yg bertimbun-timbun itu.

Oleh kerana ramai pelajar Basooir memberi respon untuk membuat latihan daripada kitab ini maka saya amatlah gembira. Saya gembira kerana mereka mendahului perancangan saya kerana buku ini sememangnya akan menjadi silibus video Basooir. Yang nyata saya gembira kerana saya dapat berkhidmat kepada kitab ini . Ertinya berkhidmat kepada bahasa Arab. Berkhidmat kepada bahasa Al-Quran. Moga-moga ia akan memberi manfaat kepada semua orang dan menjadi saham untuk penulisnya dan orang yang berbuat sesuatu untuk menyebarkan kebaikannya di Hari Akhirat..

Sunday, January 26, 2014

Ibnu Aun

Dalam pengajian Hadith Bukhari Sabtu sudah (25 Jan 2014) kami hanya sempat mempelajari satu bab sahaja dalam masa satu jam iaitu bab ke-87 tentang hukum Solat di Masjid Pasar (Bab Al-Solat fi masjid Al Suuq).



Dalam bab tersebut Imam Bukhari mendatangkan athar Ibnu Aun sebagai mukadimah kepada hadith utamanya. Bila diteliti tentang siapakah Ibnu Aun maka akan terasa betapa kerdilnya kita penuntut ilmu dari dua aspek utama. Ilmu dan amal ibadat. Antara sifat Ibnu Aun yang seharusnya menjadi panduan untuk kita ialah:


1-Beliau berpuasa selang sehari.
2-Beliau banyak melakukan solat sunat.
3-Beliau banyak berguru di merata-rata tempat. Antara gurunya Hasan Basri, Ibrahim Nakhaie, Ibnu Sirin, Sha`bi, Mujahid, Nafi` dan sebagainya.
4-Beliau disifatkan dgn gelaran Imam dalam ilmu dan amal.
5-Beliau menjaga kata-katanya drp perkataan yang tidak memberi faedah malah drp meninggikan suara tidak di tempatnya. Beliau pernah memerdekakan hamba sebagai denda kerana merasakan beliau meninggikan suara di hadapan ibunya.
6-Beliau adalah imam Qurra pada zamannya.
7-Beliau memiliki murid-murid yang hebat seperi Ibu Mubarak.
8-Beliau sangat dihormati dan dimuliakan oleh guru-gurunya termasuklah Hasan Basri.

Maka tidak hairanlah Imam Bukhari mengambilnya sebagai perawi hadith dalam kitab beliau dan kadang-kadang menjadikan beliau sebagai sandaran dalam perkara yang hendak disabitkan olehnya.


Thursday, January 23, 2014

Sistem Lunar dan Solar


Masyarakat dunia semenjak dahulukala menggunakan tarikh tertentu dalam menetapkan perayaan, upacara, musim, dan berbagai-bagai perkara yang signifikan dalam kehidupan mereka. Oleh itu lahirlah berbagai-bagai sistem takwim dalam sejarah tamadun bangsa. Di antara yang terpenting ialah kalendar yang menggunakan sistem lunar dan sistem solar.
 
Kebanyakan tamadun dunia dahulukala menggunakan sistem lunar atau qamariyah dalam menetapkan kalendar mereka. Kalendar Lunar tertua yang masih digunakan hingga sekarang ialah di Cina iaitu semenjak kira-kira 2,698 Masihi yang lalu. Hitungan satu bulan lunar atau qamariyah ialah sebanyak 29 hari, 12 jam, 4 minit dan 2.98 saat.Ia dikira daripada jarak antara dua penglihatan anak bulan. Kalendar Hijrah Islam adalah antara yang menggunakan sistem kalendar lunar. Setiap bulan dalam kalendar Islam mengandungi 29 atau 30 hari.
 
Manakala kalendar berasaskan sistem solar digunakan dengan meluas hari ini oleh masyarakat antarabangsa. Sistem ini menggunakan asas kalendar Gregoria yang pada asalnya adalah hasil pengubahsuaian kalendar Julian yang diasaskan oleh pemimpin Rom; Julius Caesar. Mengikut hitungan kalendar ini satu tahun dibahagikan kepada 12 bulan. Purata bilangan hari dalam satu tahun ialah 365 hari, 5 jam, 49 minit and 12 saat.
 
Dengan menggunakan alat gergasi astronomi moden, ahli sains mendapati bahawa perbezaan antara tahun Solar dan tahun Lunar adalah tepat sebanyak 10.875137 hari. Dalam erti kata yang lain, setiap 33 tahun terdapat perbezaan sebanyak 358 hari antara tahun Solar dan tahun Lunar iaitu lebih kurang jangka masa satu tahun. Ini bermakna setiap 100 tahun Solar akan bersamaan dengan 103 tahun Lunar. Manakala 300 tahun Solar pula akan bersamaan dengan 309 tahun Lunar.
 
Ketepatan pengiraan yang dilakukan oleh ahli sains ini bukanlah suatu perkara yang baru kerana Al-Quran sudah pun dari awal menyatakannya. Di dalam surah Al Kahfi, ayat 25 ketika mengisahkan tempoh masa pemuda-pemuda yang mendiami gua itu tertidur, Allah berfirman:
 

Dan mereka tinggal di dalam gua mereka tiga ratus tahun dan ditambah sembilan tahun lagi.”

 
Ulama tafsir dalam memberi komentar terhadap ayat ini, menyatakan bahawa 300 tahun mengikut perkiraan Solar adalah bersamaan 309 tahun mengikut perkiraan Lunar. Justeru, kenyataan santifik dan mufassir menambahkan kenyakinan terhadap keluarbiasaan Al-Quran dalam menyatakan sesuatu peristiwa.
 
Rujukan:
Mukjizat Ilmiyah Dlm Al Quran- Muhammad Kamil Abdul Samad
http://www.nabulsi.com/english-nab/scien topics/Allah%27s%20Signs%20in%20The%20Universe/solarluneryear.php
http://www.riverocean.org.uk/lunarcalendar/calendar.htm
http://en.wikipedia.org/wiki/Gregorian_calendar

 
Oleh : Zaharudin Nawi

Tuesday, January 21, 2014

Kitab Al Abwab Al Muntakhabat Min Mishkat Al Masabih

Saya agak bertuah kerana dihadiahkan sebuah kitab hadith bertajuk `Al Abwab Al Muntakhabat min Mishkat Al Masabih` oleh seorang sahabat. Ia mengandungi banyak bab daripada kitab-kitab pilihan daripada kitab hadith Mishkat Al Masabih. Ia mencangkupi 8 kitab iaitu Kitab Iman, Ilmu, Fadhilat Quran, Doa, Jihad, Adab, Raqaq dan Fitan. Kitab ini diberi kata-kata aluan oleh Maulana Abul Hasan Ali An Nadwi, pendakwah, pemikir, dan saterawan Arab yang tidak asing di kalangan kita rakyat Malaysia.


Bab-bab ini adalah kumpulan hadith-hadith yang dipilih oleh Maulana Ilyas Kandahlawi, pengasas Jemaah Tabligh untuk tujuan dakwah. Ia dibaca kepada para pendakwah yang mengetahui teks Arab dalam jemaahnya. Tujuannya supaya pendakwah tidak lekang dengan sunnah. Selalu muhasabah diri ttg setakat mana mereka telah mengikuti pesanan-pesanan Nabi saw.

Kitab-kitab pilihan daripada Mishkat ini akhirnya dibukukan secara berasingan oleh Maulana Inamul Hasan, murid Maulana Ilyas yang merangkap Amir dalam jemaah tabligh juga suatu ketika dahulu. Beliau mula mentahkik hadith-hadithnya bersama dengan nota kakinya. Oleh kerana kesibukannya dalam program jemaah, tugas itu akhirnya diserahkan kepada Maulana Ilyas Barahbakwi yang pernah mentahkik kitab Hayatusahabah oleh Maulana Yusuf Kandahlawi (anak kepada Maulana Ilyas pengasas Jemaah tabligh sendiri).

Kitab ini sebenarnya boleh dikatakan silibus manhaj ta`lim Jemaah Tabligh di samping kitab Hayatusahabat, Adabul Mufrad dan Riyadhusalihin untuk mereka yang mengetahui bahasa Arab.

Saya bersyukur kerana saya sempat dengan Maulana Inamulhasan ketika di India dahulu. Walaupun saya tidak pernah mengikuti dakwah tabligh tetapi markaz Nizamudin merupakan tempat saya berlabuh jika saya ke Delhi. Saya akan mendengar bayan yang disampaikan oleh Maulana Inamulhasan dan Maulana Umar Palanpuri. Mereka adalah orang yang telah mewakaf seluruh kehidupan mereka untuk agama.

Berhati-hatilah daripada mengkritik Jemaah Tabligh kerana mereka dinaungi oleh para alim ulama yang tidak memisahkan diri daripada ilmu. Jika ada khilaf dalam manhaj dakwah cuma khilaf taqdim dan ta`khir. Matlamat sama. Ingin membawa manusia kepada `sa`adah daraini` yakni kebahagian dunia akhirat.


Saturday, January 18, 2014

Anekdot Ulama 56: Pesanan Sheikul Hadith Maulana Yunus Jaunpuri


Dalam satu kuliah hadith Bukhari Sheikhul Hadith Mazahir Uloom Maulana Yunus Jaunpuri mengadu tentang kelemahannya. iaitu lupa dengan catatan peribadinya. Kerana itu beliau berpesan kpd pelajar agar mengambil berat ttg catatan. 


Beliau seterusnya bercerita sebelum ini beliau telah diziarahii oleh tetamu dari Malaysia. Datang untuk meminta nasihat tentang perkara-perkara yang perlu diberi perahatian oleh guru untuk pengajian Daurah Hadith yang akan dibuka di Malaysia. Kalau tak silap orang Malaysia itu adalah Maulana Hamid Seri Petaling yang pernah bertandang ke bilik saya waktu saya masih di Deoband. Antara nasihat Sheikh ialah:

1-Menjadikan Fathul Bari sebagai rujukan utama.
2-Tidak bergantung kepada sebuah syarah sahaja. Malah perbanyakan rujukan.
3-Membuat catatan hasil daripada pembacaan yang luas. 
Yang ketiga inilah yang dimaksudkan oleh Maulana ttg kelemahannya itu.

Alhamdulillah, sehingga kini saya sudahpun membuat catatan sebanyak 4 buah buku nota hasil daripada bacaan syuruh Bukhari sehingga hadith yang ke-476 Kitab Solat.

Wednesday, January 8, 2014

Bukan Bulan yang Bercahaya

Matahari adalah sebuah bintang daripada berjuta-juta bintang yang membentuk galaksi alam semesta. Dalam sistem solar  mataharilah menjadi paksi kepada kisaran semua komet, asteroid, dan planet.

 
Kedudukan matahari dalam sistem solar amat penting terutama kepada manusia. Ia seperti nadi kehidupan kerana hampir kesemua jenis hidupan di bumi memerlukannya. Semua manusia semenjak zaman dahulu kala mengetahui bahawa matahari membekalkan cahaya dan tenaga kepada bumi. Matahari diibaratkan seperti sebuah lampu yang paling terang menyuluhi dan menerangi bumi. Maka tidak hairanlah manusia dahulu kala ada yang menjadikannya sebagai Tuhan untuk disembah.
 
Mengikut ilmu sains moden, matahari adalah sebuah bola gas yang sangat besar. Ia dibina hasil daripada gumpalan gas-gas yang amat panas. Tenaga yang muncul dari perut matahari hasil daripada proses tindakbalas bahan-bahan nuklear akan mencari jalan menuju permukaan matahari melalui jalan yang berliku-liku dan kemudian memancarkannya ke ruang angkasa. Jika tidak suhu matahari akan meningkat tinggi yang akan mengakibatkan matahari akan pecah.
 
Mengikut perkiraan ahli astronomi kuasa sinaran tenaga cahaya yang dikeluarkan oleh matahari menyamai 4 trilion trilion lampu yang mempunyai kuasa 100 watt!.
 
Ini membuktikan bahwa matahari tidak ubah seperti sebuah lampu yang membakar mengeluarkan cahaya dengan sendiri hasil daripada tindakbalas kimia pada sumbunya.
 
Sebaliknya bulan, walaupun kelihatan nampak bercahaya, tetapi sebetulnya cahaya itu bukanlah daripada dirinya sendiri.
 
Hakikatnya, bulan menerima cahaya daripada matahari, kemudian memantulkannya kembali ke bumi, sehingga mata melihatnya seperti bercahaya sendiri.
 
Ini adalah kerana bulan bukan terbina daripada gas-gas. Malah strukturnya terdiri daripada jasad pejal.
 
Ahli astronomi dan angkasawan yang menjejak kaki ke bulan mendapati bahawa permukaan bulan terdiri daripada batu batan dan debu-debu yang mengandungi berbagai jenis galian yang dinamakan sebagai regolith.
 
Material-material yang memenuhi permukaan bulan ini berupaya memantulkan cahaya matahari. Namun tidak semua cahaya matahari yang sampai ke bulan akan dipantulkan ke bumi. Jika ini berlaku sudah tentu bumi akan berada dalam keadaan terlalu panas. Oleh kerana keadaan bulan penuh dengan debu-debu maka ia boleh menyerap sebahagian daripada cahaya matahari.
 
Pakar-pakar astronomi mengatakan bahawa bulan hanya memantulkan sebanyak 7 % sahaja cahaya matahari yang menyuluhinya.
 
Berkenaan dengan dua fenomena yang berbeza ini, Al-Quran dalam surah Nuh, ayat ke-16, ketika menerangkan tentang penciptaan langit yang tujuh, menyifatkan matahari di langit sebagai sebuah siraaj (lampu atau pelita), manakala bulan sebagai nuur (cahaya).
 

وَجَعَلَ الْقَمَرَ فِيهِنَّ نُوراً وَجَعَلَ الشَّمْسَ سِرَاجاً

Dan Allah menciptakan padanya (langit yang tujuh)

bulan sebagai cahaya ( نُوراً ) dan menjadikan matahari
sebagai pelita (سِرَاجًا).

 

Penjelasan Al-Quran ini kelihatan membenarkan penemuan saintifik tentang hakikat cahaya yang ada pada matahari dan bulan.
 
Jika hakikat matahari sebagai pelita atau lampu  (سِرَاجًا) kurang jelas pengertiannya maka di dalam ayat yang lain Al-Quran menjelaskan apakah yang dimaksudkan dengan pelita atau lampu  (سِرَاجًا) itu. Penjelasannya terdapat di dalam surah  An Naba`, ayat ke-13:
 

وَجَعَلْنَا سِرَاجاً وَهَّاجاً

Dan kami jadikan matahari yang bersifat wahhaaja (membakar).

Ayat ini memberitahu kita bahawa lampu yang dimaksudkan ialah lampu yang sifatnya membakar dan mengeluarkan cahaya berkedip-kedip (سِرَاجاً وَهَّاجاً). Kenyataan ini adalah satu gambaran bahawa matahari membakar dan sudah tentu mengeluarkan cahayanya dengan sendiri. Cahaya yang keluar daripada sesuatu yang sedang membakar sudah tentu pula akan menyilaukan mata.
 
Sebaliknya berkenaan dengan bulan tidak ada penjelasan pada ayat yang lain menunjukkan bahawa ia boleh membakar dan mengeluarkan cahaya dengan sendiri.
 
Sifat bulan diterangkan di dalam ayat yang lain hanya sebagai bulan yang menerangi dengan nurnya sebagaimana di dalam Surah Al-Furqan ayat 61:                                                                                 

تَبَارَكَ الَّذِي جَعَلَ فِي السَّمَاء بُرُوجاً وَجَعَلَ فِيهَا سِرَاجاً وَقَمَراً مُّنِيراً

Maha suci Allah yang menjadikan di langit gugusan bintang (buruj) dan menjadikan padanya siraaj (سِرَاجاً) dan bulan yang bersifat muniir (مُنِيراً). 

Sifat muniir dari segi bahasa lebih menunjukkan kepada “menzahirkan kecantikan” atau “kelihatan cantik” seperti pokok-pokok apabila mengeluarkan bunga dan manusia apabila wajahnya kelihatan berseri-seri. Dengan sebab itu wajah yang cantik akan diumpamakan seperti bulan yang menerangi. Sifat menerangi yang ada pada bulan tidak bermaksud menunjukkan proses penerbitan tenaga cahaya. Malah lebih kepada fungsi menerangi sesuatu menerusi keindahan cahayanya (nur).
 
Fakta ini jelas menunjukkan bahawa bulan tidak menghasilkan tenaga cahaya dengan sendiri malah kemungkinan sahaja cahayanya datang daripada sumber yang lain. Oleh itu penemuan sains moden tidaklah bercanggah dengan nas Al-Quran. Malah kelebihan Al-Quran ialah ia relevan di setiap zaman; relevan kepada setiap latarbelakang pendidikan manusia; relevan  untuk menjadi petunjuk bagi mereka yang mencari kebenaran.


(Oleh: Zaharudin Nawi)

Tiada Haman di Zaman Musa?

Rosetta adalah sebuah bandar pelabuhan di Mesir, terletak kira-kira 65 km daripada Alexandria. Ia dikenali sebagai Rosetta oleh dunia Barat, sebaliknya di Mesir ia terkenal dengan nama Rashid. Bandar ini telah melakarkan sejarah yang amat penting dalam memahami sejarah Mesir dahulu kala.

Dalam tahun 1798 Napoleon Bonaparte telah melancarkan serangan ke atas Mesir.  Setahun selepas itu, pada tahun 1799, satu kejadian dramatik telah berlaku di mana tentera Perancis Napoleon telah menemui sebuah batu bersurat ketika mereka sedang menggali tanah untuk membina kubu. Batu itu kemudiannya terkenal dengan nama Rosetta Stone di kalangan ahli-ahli pengkaji Mesir Purba.
 
Penemuan batu bersurat Rosetta telah membuka satu dimensi baru kepada pakar-pakar Egyptologi dalam memahami simbol tulisan hieroglif Mesir purba. Tulisan Mesir purba dilakarkan dalam bentuk simbol atau lukisan yang sukar difahami yang dinamakan hieroglif. Semenjak penaklukan kerajaan Rom ke atas Mesir pada tahun 391 Masihi, tulisan-tulisan mereka mulai pupus kerana monumen-monumen bertulis telah banyak diruntuhkan oleh kerajaan Rom pada waktu itu. Oleh itu hampir 1,500 tahun simbol hieroglif tinggal sebagai misteri kerana tiada siapa lagi yang tahu menterjemahkannya ke dalam bahasa yang boleh difahami.

Pada tahun 1814 Thomas Young seorang saintis British telah berjaya memecahkan sebahagian besar kod hieroglif pada batu Rosetta. Kemudian pada tahun 1822 Jean-Francois Champollion seorang pakar bahasa berasal daripada Perancis telah berjaya memecahkan kod hieroglif itu sepenuhnya. Champollion bukan setakat dapat  memecahkan kod hieroglif batu Rosetta malah mencatatkan asas-asas penting dalam memahami konsep penulisan hieroglif Mesir purba.

Kaedah yang dikemukakan oleh Champollion telah menjadi petunjuk kepada ahli sejarah untuk membolehkan mereka membaca peninggalan bertulis hieroglif Mesir yang lain. Dengan itu kajian tentang tamadun, keagamaan serta kehidupan sosial masyarakat kuno Mesir dapat dilakukan secara lebih ilmiyah dan terperinci.

Penemuan batu Rosetta oleh tentera Napoleon dan pemecahan kod hieroglifnya oleh Champollion bukan setakat dapat merungkai misteri sejarah Mesir purba kala malah ia dapat memecahkan misteri perkataan Haman yang dipertikaikan  penggunaannya di dalam Al-Quran oleh sejarawan semantik.

Menurut mereka tidak ada Haman yang hidup sezaman dengan Nabi Musa. Sejarah yang tercatat mengenai Haman ialah selaku perdana menteri kepada seorang raja Parsi bernama Ahasuerus kira-kira 1,100 tahun selepas Nabi Musa. Apakah Haman yang terdapat di dalam Al-Quran hanya semata-mata lagenda?

Persoalan ini terjawab melalui hasil pemeriksaan yang dilakukan oleh pakar-pakar Egyptologi ke atas sebuah monumen Mesir yang terdapat di museum Hof di Vienna. Hasil penelitian ke atas kajian oleh pengkaji sejarah Mesir Walter Wreszinski dan Hermann Ranke, pakar-pakar Egyptologi mendapati bahawa ejaan Haman sememangnya ada di dalam teks tulisan hieroglif monumen tersebut dan dia dikatakan sebagai orang yang mempunyai kedudukan yang rapat dengan Firaun.

Kenyataan ini diperkuatkan oleh kamus Ranke yang menulis bahawa Haman merujuk kepada “ketua kepada pekerja-pekerja kuari”. Ranke juga memasukkan Haman ke dalam kalangan tokoh-tokoh orang yang hidup di Era Baru Kerajaan Mesir Kuno.

Penemuan ini menolak dakwaan Haman sebagai tokoh lagenda dan menyokong apa yang disebutkan oleh Al-Quran dalam Surah Al-Qasas,ayat 38:

“Dan berkata Fir`aun: Wahai pembesar kaumku, aku tidak mengetahui tuhan bagimu selain aku. Maka bakarlah wahai Haman untukku tanah liat, kemudian buatlah untukku bangunan yang tinggi supaya aku dapat naik melihat Tuhan Musa, dan sesungguhnya aku benar-benar yakin bahawa dia termasuk orang-orang pendusta”.


Al-Quran dengan terangnya menyebut bahawa Haman adalah orang yang bertanggugjawab dalam pembinaan bangunan. Manakala ahli sejarah semantik secara umumnya lebih cenderung menerima teori bahawa zaman Nabi Musa hidup ialah zaman Era Baru Kerajaan Mesir Kuno.

Bukti tentang kewujudan Haman melalui pembacaan tulisan hieroglif ini adalah suatu kebenaran tentang kemukjizatan Al-Quran kerana kenyataan Al-Quran mendahului maklumat manusia yang diperolehi melalui penemuan sejarah mereka.
 

(Oleh: Zaharudin Nawi)

Tuesday, January 7, 2014

Pengutip Botol Bersedekah


Selepas solat Zohor di surau saya keluar untuk pulang ke rumah. Ada makcik berpangkat nenek dengan motorsikalnya di belakang kereta saya. Dia menunggu-nggu ingin memberi laluan kepada saya mengundurkan kereta terlebih dahulu. Berdekatan dengan surau ada gerai menjual goreng pisang milik Man Soya, ajk surau,. Saya singgah untuk membeli roti di situ. Bukan roti kilang, tetapi roti yang dibuat di rumah oleh salah seorang ahli surau kami. 

Sedang saya bertanya pembantu gerai tentang roti tiba-tiba nenek itu datang dan parking motosikalnya berdekatan dengan gerai. Dia menghala ke gerai. Dia menghulurkan satu plastik berisi syiling kepada pembantu kedai itu. Kata dia "berikan kepada surau'. Saya tercengang dan bertanya: 'Masukkan ke dalam tabung surau ke? Sedekah ke?". Dia mengangguk menyatakan 'ya'. Dia terus menaiki motosikalnya dan pergi. Di belakang motosikalnya ada raga. 

Setelah dia pergi saya bertanya pembantu gerai itu yang juga seorang wanita. Siapa dia nenek itu. Kata dia: "nenektu tinggal di pangsapuri apartment Julia berdekatan dengan rumah saya. Dia orang Sabah". Saya bertanya apakah kerjayanya. Beliau menjawab; "Kutip botol dan barang-barang yang orang buang". Saya kata tak boleh jadini orang kutip botol guna duit untuk bersedekah saya pulak beli roti. Saya terus menghulurkan duit kepada pembantu gerai itu untuk dicampur bersama dengan duit-duit syiling nenek tadi. 

Saya merasakan Allah ingin menegur saya dengan cara ini. Kamupun kena bersedekah walaupun duit tak banyak.

Betapa dalam dunia ini ramai orang miskin yang hatinya kaya. Oleh kerana itu mereka tidak kisah dengan kemiskinan mereka. Betapa dalam dunia ini ramai yang kononnya berjuang membela hak orang miskin tetapi hatinya miskin dan bersikap prejudis dengan Tuhan.