
Tuesday, October 26, 2010
Al Hasani

Sunday, October 24, 2010
Kembara Deoband 31: Keramat Abang Tar
Semuanya bermula di jalan Halimah, rumah terakhir kami tinggal di Kuala Krai. Rumahtu kuarters kerajaan kerana ayah bekerja dengan kerajaan di Jabatan Penerangan Malaysia sebagai operator wayang gambar. Sebelumtu sekian lama kami menyewa di Jalan Gale berdekatan dengan masjid daerah Kuala Krai. Rumah di jalan Halimah terletak di atas bukit. Rumah teres berkembar. Rumah kami terletak di corner lot menghala ke jalan utama ke bandar Kuala Krai. Petang-petang kami sekeluarga duduk di tepi bukit melihat lalu lintas di jalan raya dan pemandangan bukit bukau di depan rumah kami. Sekolah darjah enam sudah tamat. Cuti akhir tahun tak ke mana. Saya menunggu untuk naik ke tingkatan satu. Seperti biasa setiap petang kami memandang ke bawah, ke batang jalan raya dan padang rumput yang terbentang luas di sebelahnya. Dua tiga ekor kambing yang emak bela sedang merumput di situ.

Suatu hari saya melihat seorang lelaki berbasikal turun daripada bukit perumahan kami menuju ke bandar. Jarak ke bandar lebih kurang 5 atau 6 kilometer. Dia berkain sarong dan bersongkok. Saya bertanyakan emak Abang Tar (for Mokhtar) tu nak kemana. Mak kata dia nak ke masjid Kuala Krai di bandar sana. Masjid tulah tempat saya mengaji Quran ketika tinggal di Jalan Gale dulu. Abang Tar tinggal di taman kami juga. Dia bekerja dengan Jabatan Tanah kalau tak salah. Waktutu dia ada seorang sahaja anak, anak perempuan, Wani , yang masih kecil. Isterinya kami panggil Kak Jah (not sure). Mereka berdua masih muda. Setiap hari Abang Tar akan berbasikal ke Masjid Kuala Krai untuk solat maghrib dan Isyak. Entah macam mana terkeluar perkataan daripada mulut saya "nak ikut Abang Tar boleh tak". Mak kata esok readylah ikut abang Tar. Kebetulan waktutu saya ada sebuah basikal chopper hadiah dari emak kerana dapat no satu dalam kelas semasa tinggal di Jalan Gale. Sayapun dah tak ingat no satu di tahun berapa. Keesokan harinya saya menunggu-nunggu Abang Tar. Tapi nasib tak baik dia dah pergi dulu. Saya mengekori dari belakang. Bila sampai di masjid solat dahpun bermula. Saya pulang sahaja kerana tak tahu nak ikut macam mana. Belum reti hukum masbuk muwafik. Untuk mengelakkan daripada tertinggal jemaah, keesokan harinya saya berwaspada agar Abang Tar tidak terlepas dari padangan saya. Akhirnya saya sampai ke masjid dan berjaya solat bersama takbir Tok Imam dan Abang Tar.
Mulai daripada saat itu saya tidak lagi meninggalkan masjid dan solat berjemaah. Di mana-mana pun saya pergi hati sentiasa tertambat dengan masjid. Bola dan permainan lain mula saya lupakan. Saya tidak mempunyai rangsangan untuk bermain lagi. Itulah bibit-bibit awal yang menjadi punca akhirnya saya berkelana dan berkembara di bumi India selama berbelas-belas tahun. Itulah keramat Abang Tar seorang lelaki biasa yang dengan sebab amalannya yang istiqamah itu memancarkan suatu nur yang dapat mengubah seorang budak biasa mengenal Kalam Allah, Sabda Rasul dan Qaul ulama kemudian hari.
Wednesday, October 20, 2010
Tetamu Saya Dr Deitrich Reetz
Ketika saya memandu kereta tengahari kelmarin saya menerima satu panggilan daripada nombor yang tidak dikenali. Entah kenapa hati saya ingin menjawabnya. Biasanya saya tidak menjawab panggilan yang tidak dikenali. Bila saya memicit butang answer terdengar suara seorang orang putih memperkenalkan dirinya sebagai Dr Deitrich dalam bahasa Inggeris. Sebelum ini saya belum pernah bercakap dengannya. Dia menyatakan hasratnya ingin berjumpa dengan saya. Saya mempelawanya datang ke rumah kerana saya free pada waktu pagi hingga tengahari. Dalam kesusahan perjalanan mencari rumah saya akhirnya DR sampai juga. Dia datang dengan seorang pelajar Melayu yang kebetulan sedang cuti semesta di Universiti di German. Sebelum Dr sampai saya cuba melihat sedikit maklumat tentang Dr Deitrich di internet. Memang dia menulis banyak artikel tentang muslim di South Asia. Kebetulan artikel yang saya sedang baca itu memperlihatkan sikap tidak prejudis Dr terhadap masyarakat Islam dan madrasah. Saya amat terperanjat juga kerana Dr boleh bertutur dalam bahasa Urdu dengan baik. Katanya dia belajar Urdu di Universiti sebelun percantuman German Timur dan German Barat. Antara maklumat yang ingin diketahui oleh beliau ialah tentang medan-medan penglibatan yang diceburi oleh ex-Deoband setelah pulang ke Malaysia. Ini berikutan bidang pengkhususan beliau ialah tentang political science.
Apa yang menarik tentang Dr Reetz ialah sikapnya yang humble. Kesungguhannya dan ketidak putusasaannya sehingga sanggup menghubungi saya berkali-kali dan datang sendiri menemui saya. Malah dia pernah ke India dan Pakistan. Pernah ke Deoband ketika saya masih berada di sana tetapi kami tidak ditakdirkan bertemu. Kesungguhannya mempelajari bahasa Urdu sesuai dengan kajiannya yang meyentuh muslim di India dan Pakistan.
Selepas menemui saya kata Dr dia ada temu janji pula dengan Prof Abu Lais di UIA. Saya memberitahu beliau bahawa Prof adalah bekas supervisor saya dan isteri ketika Master dahulu. Kemudian dia akan terus ke airport untuk ke Singapura kerana ingin menziarahi madrasah tabligh di sana. Dr juga memberitahu saya bahawa dia sememangnya ada anak isteri dan kata dia I`m not Muslim. Saya mendoakan semoga suatu hari nanti Dr akan diberi hidayah oleh Allah SWT. Kedatangan Dr Reetz ke rumah saya juga telah menambahkan lagi semangat isteri saya untuk mempelajari bahasa Urdu kerana kajiannya berkenaan dengan Maulana Muhammad Taqi Usmani, tokoh ulama Pakistan yang mana sebahagian besar tulisannya adalah dalam bahasa ibundanya Urdu.
Friday, October 15, 2010
Kembara Deoband 30: Suara Quran Di Naudarah
Thursday, October 14, 2010
Wahyu Dalam Bukhari
Wahyu Dan Niat
Oleh kerana wahyu bersumber daripada Allah swt dan Allah swt tidak memandang manusia berdasarkan rupa paras tetapi kepada hati seseorang maka wahyu hanya akan memberi faedah kepada orang yang mempunyai niat yang suci di dalam pencariannya tentang kehidupan. Untuk Nabi, baginda akan dianugerakan wahyu secara langsung daripada Allah swt. Manakala mereka dikalangan umatnya yang mempunyai keikhlasan yang tinggi terhadap agama Allah akan dipermudahkan mereka menerima hidayah dan pengajaran dari sumber wahyu.
Bentuk wahyu yang diturunkan kepada Nabi saw
1- Salsalatul-Jaras – Bunyi seperti bunyi loceng. Bagaimana hakikatnya tidak dijelaskan oleh mana-mana riwayat hadis. Namun di kalangan ulama ada yang mentafsirkannya sebagai bunyi malaikat atau bunyi sayap malaikat. Bentuk ini dikatakan bentuk yang paling sukar ditanggung oleh Rasulullah saw.
2- Tamathul-Malak – Malaikat menyerupai manusia. Kebanyakan malaikat yang membawa wahyu ialah Jibrail yang menyerupai seorang sahabat bernama Dahyah Al-Kalbi. Ada kalanya menyerupai lelaki yang tidak dikenali. Ia dianggap sebagai bentuk wahyu yang paling ringan.
3- Malaikat Jibrail – Malaikat Jibrail datang dengan bentuknya yang asal. Diriwayatkan ianya berlaku sebanyak 3 kali walaupun salah satu daripada riwayat tersebut agak lemah periwayatannya.
4- Ru'yah Sadiqah – Mimpi benar. Rasulullah saw melihat cahaya putih seumpama cahaya di waktu subuh. Peristiwa ini berlaku sebelum turunnya Al-Quran. Wahyu ini menyebabkan Rasulullah saw mula menyendiri, bertafakkur dan beribadat di tempat yang sunyi, jauh daripada kesibukan manusia, di sebuah gua yang dinamakan gua Hiraq.
5- Kalam Ilahi – Allah swt bercakap terus dengan Rasulullah saw dalam peristiwa mi`raj seumpama Allah swt bercakap dengan Nabi Musa as. (Al-Itqan)
6- Nafas Fi r-Rau`– Malaikat Jibrail (Ruhul Qudus) meniupkan sesuatu ke dalam hati Nabi saw berupa wahyu sebagaimana hadis menyebut bahawa
إنَّ رُوح القُدسِ نَفَثَ في رُوعي أنه لن تَمُوتَ نفس حتى تستكمل رِزْقها وأجَلَها (جامع الأصول)
أَنَّ جِبْرِيلَ عَلَيهِ السَّلاَمُ أَلْقَى فِي رَوْعِي أَنَّ أَحَدًا مِنْكُمْ لَنْ يَخْرُجَ مِنَ الدُّنْيَا حَتىَّ يَسْتَكْمِلَ َرِزْقَهُ (الحاكم)
(Al-Itqan)
Keenam-enam bentuk itu boleh dibahagikan hanya kepada dua bahagian.
- Wahyu Ilahi – samada Allah mencampakkan terus ke dalam hati Rasullah saw tentang sesuatu perkara yang dinamakan Wahyu Qalbi atau bercakap secara langsung dengan baginda Rasulullah saw yang dinamakan Kalam Ilahi.
- Wahyu Malaki – wahyu melalui perantaraan malaikat. Lazimnya malaikat Jibrail. Namun ada riwayat mengatakan malaikat Israfil menurunkan wahyu ketika zaman fatarat iaitu zaman wahyu dihentikan daripada turun buat sementara waktu. Namun riwayat ini diperselisihkan oleh ulama hadis tentang keautoritiannya walaupun Ibn Hajar cenderung menerimanya.
Hikmah Bentuk Wahyu Yang Berbagai-bagai
- Menunjukkan wahyu bukan datang dari Muhammad saw tetapi dari sumber ghaib yang hanya boleh dilihat oleh orang biasa melalui penjelmaannya sahaja.
- Menyakinkan umat bahawa agama yang dibawa oleh Nabi saw adalah dari sumber yang benar.
- Menunjukkan Allah mengatur sesuatu mengikut fitrah manusia. Manusia perlu difokuskan untuk sesuatu perkara yang penting dengan memalingkannya daripada tertumpu kepada perkara yang lain. Keadaan wahyu yang seumpama itu menumpukan Rasul saw kepada apa yang dialaminya dan menumpukan umah kepada apa yang dialami oleh Rasulnya.
Beberapa Situasi Penerimaan Wahyu
- Keadaan Nabi saw
- Nabi berpeluh walupun di musim sejuk.
- Nabi lebih bersifat pemurah terutama di bulan Ramadhan.
- Nabi berkumat- kamit membaca Al-Quran bimbang ianya terlupa
- Keadaan Ahli Kitab
- Waraqah bin Naufal yang mengetahui sifat Nabi akhir zaman beriman dengan Nabi saw.
- Mereka mengetahui Nabi akhir zaman akan bangkit seperti hal Heraclius dan Dhughatir, teman Heraclius.
- Heraclius yang mengetahui sifat Nabi akhir zaman dan menunggu-nunggu kedatangannya namun akhirnya tidak beriman dengan Nabi saw.
- Dhughatir yang mengetahui sifat Nabi akhir zaman dan menunggu-nunggu kedatangannya akhirnya beriman dengan Nabi saw dan mati dibunuh oleh rakyat yang fanatik kepada agama Kristian mereka.
- Keadaan Musyrikin
- Menolak apa yang di bawa oleh Muhammad saw tetapi mengakui sifat-sifat terpuji yang dimiliki oleh Nabi.
- Mengetahui masa depan cerah terhadap agama ini.
- Ada yang menolak, kemudian beriman seperti Abu Sufiyan dalam peristiwa pertemuan dengan Heraclius.
Sunday, October 10, 2010
Anekdot Ulama 37: Maulana Salman An Nadawi
Dua tiga hari yang lepas saya diberitahu tentang kunjungan Maulana Salman ke Malaysia. Di Radio IKIM juga diiklankan program penyampaian sanad hadis oleh Maulana di rumah Ba`lawi di belakang zoo negara yang akan diadakan selepas maghrib pada 9/10/2010 hari sabtu. Saya dan isteri ke sana. Ketika saya melihat Maulana Salman tahun 90an dahulu dia berjanggut hitam tetapi malam itu saya melihat janggut Maulana sudahpun bertukar menjadi putih. Itu menandakan umur Maulana sudahpun meningkat dan ilmunya menjadi semakin matang. Sebelum menyampaikan sanad Maulana memberi satu tazkirah tentang pentingnya berpegang kepada Quran dan Sunnah. Maulana juga berpesan kepada yang hadir agar memandang sanad yang diberikan olehnya itu sebagai satu amanah dan bukannya taqlid atau adat semata-mata. Maulana diiringi oleh Ustaz Fahmi ZamZam yang merupakan anak muridnya ketika di Nadwah. Ustaz memberitahu dia belajar kitab Tirmizi dengan MAulana Salaman pada tahun 1980.
Rumah Ba`lawi terletak di kawasan perumahan mewah. Rumah itu juga termasuk rumah orang kaya-kaya. Saya difahamkan rumah itu juga dijadikan tempat mengendalikan program ilmu Ustaz Fahmin Zamzam. Di dinding-dindingnya banyak gambar. Ada foto ulama. Ada frame hiasan ayat-ayat dan kalimah Allah. Ada gambar-gambar peninggalan nabi saw seperti serban, pedang dsb. Di dinding menaiki tangga terdapat satu gambar besar Sheikh Alawi Maliki. Secara peribadi saya amat gelisah dengan gambar-gambar manusia yang diletakkan sebegitu. Teringat saya kepada satu peristiwa ketika saya belum lagi ke India. Saya diajak oleh kawan mengunjungi rumah Raja Azman yang merupakan orang penting dalam tariqat yang dibawa oleh Sheikh dari Cyprus, Sheikh Nizamuddin Kabbani. Bila saya masuk saya lihat satu potret Sheikh Nizamuddin yang sangat besar digantung di dinding rumahnya. Waktu itu lagi saya tak berapa senang dengan tabiat mengantung-gantungkan gambar Sheikh sebegitu. Bila belajar di India saya dapati ulama-ulama India Deobandi sangat keras dengan gambar. Mereka mengizinkannya sekadar keperluan sahaja spt utk passport, kad pengenalan, lesen, isi borang dsb. Mereka juga bertasawwuf tetapi anak murid tidak dibenarkan mengambil gambar sheikh apa lagi menggantungkannya. Pada saya biarlah kita mencintai ulama di hati, bukan dengan menggantungkan gambarnya dengan gambar2 yang besar di rumah. Kalau mahu cukuplah simpan dalam album. Atau dalam bentuk yang tidak menampakan ta`zim. Gejala seperti ini boleh membawa kepada tashyabbuh dengan orang kafir dan syiah. Raya baru ini saya balik ke Kelantan. Saya bersolat di dua buah surau di Pasir Hor berdekatan dengan rumah adik saya. Saya dapati kedua-dua surau itu menggantungkan dua potret besar Tok Guru di pintu masuk dewan utama solat!!!! Hati saya berkata: "rumah ibadat dah jadi seperti kedai gambar!!!
Monday, October 4, 2010
Kembara Deoband 29: Raya Di Deoband-3
Raya di Deoband hanya satu hari sahaja. Sehari dua selepas itu Darul Uloom akan mula dibuka untuk pelajar-pelajar baru menduduki peperiksaan bagi pengambilan baru. Pelajar lama akan datang di pertengahan Syawal. Saya juga tidak melihat masyarakat Deoband ke kubur pada musim raya. Ini mungkin kesan pengaruh Darul Uloom yang amat ketat sikapnya terhadap kubur. Kalaupun ada yang menziarahi mereka hanya berdiri sekejap sahaja di perkarangan perkuburan membaca Al Fatihah dan apa yang patut. Selepas itu mereka pergi dengan pantas.
Kembara Deoband 28: Raya Di Deoband-2
Selesai khutbah semua bersurai. Mereka bermuanaqah sesama kenalan. Ketika pulang ada yang membeli mithai untuk dibawa ke rumah sanak-saudara atau kenalan. Kuih-kuih hari raya semuanya jenis mithai. Kuihnya tidak seperti di Malaysia. Tiada kuih khusus untuk hari raya. Hanya mithai yang dijual. Mithai bukan hanya didapati pada musim hari raya malah sepanjang tahun dijual. Cuma pada hari raya ramai juga pekedai-pekedai Islam mengambil inisiatif menjual mithai walaupun kualitinya tidak berapa bagus. Tidak kira Islam atau Hindu semuanya meminati mithai. Di India orang Hindu menguasai perniagaan mithai. Orang Islam pun membeli mithai daripada kedai orang Hindu. Maulana yang besar-besar pun makan mithai daripada kedai Hindu. Di Deoband kedai mithai yang terkenal ialah kedai Rastogi. Pelajar Darul Uloom kadang-kadang kelihatan memasuki kedai Rastogi. Tak ramai memasukinya kerana harga mithainya mahal-mahal bagi student madrasah. Kedai Rastogi terkenal kerana susu yang digunakkan agak asli menjadikan mithainya lebih enak dirasa. Antara nama-nama mithai itu ialah rasgula, jelebi, samosa manis, gajar halwa, bermacam laddu, bermacam burfi, rabri dan bermacam lagi nama yang kesemuanya milk based kecuali jelebi.
Sunday, October 3, 2010
Kembara Deoband 27: Raya Di Deoband-1
Pada hari terakhir Ramadhan, selepas sahaja menunaikan solat maghrib penduduk Deoband akan naik ke bumbung rumah masing-masing untuk melihat anak bulan Syawal. Saya pula biasanya akan naik ke bumbung Masjid Choti tempat yang selalu saya berjemaah. Kebiasaannya kami semua nampak anak bulan. Sebaik sahaja anak bulan kelihatan pihak Darul Uloom akan memukul gendang tembaganya. Suaran pukulan itu akan didengari oleh hampir kesemua penduduk Deoband. Anak-anak kecil akan bersorak riang tanda mereka sudah boleh beraya.
Malam itu penduduk Deoband khasnya kaum wanita akan sibuk memasak syeer. Syer ialah sejenis masakan yang akan dihidangkan khususnya pada hari raya puasa. Boleh dikatakan semua rumah menghidangkan syer. Walaupun begitu kualiti masakan syer berbeza-beza daripada rumah ke rumah. Bagi mereka yang agak kaya masakan syer mereka lebih enak kerana mempunyai campuran daripada bahan-bahan yang agak mahak. Syer dibuat daripada susu lembu asli. Ia direbus lama bersama-sama dengan bahan-bahan seperti badam, kishmis, biji gajus, sawayya, za`faran, kurma, chuara, kacang dsb. Itulah makanan tradisional mereka. Tidak ada makanan moden seperti kek atau biskut yang beraneka ragam dihidangkan.