Sunday, May 29, 2011

Kembara Deoband 37: Shaukat Chaubis Parghana

Maulana Shaukat ialah kawan satu kelas dengan saya di Darul Uloom. Dia berasal dari daerah Chaubis Parghana yang terletak di negeri West Bengal India, iaitu negeri yang terletak bersempadan dengan negara Bangladesh. Shaukat seorang budak yang pintar. Dulu dia pernah bersekolah kerajaan sebab itulah dia tahu juga berbahasa Inggeris dan lebih-lebih lagi bahasa Banglanya. Dia datang daripada keluarga yang senang kerana ayahnya seorang peniaga. Saya hanya rapat dengannya di dalam kelas sahaja. Di luar kelas kami jarang-jarang berjumpa. Shaukat kadang-kadang datang juga menjenguk saya di bilik. Dia ambik peluang nak cakap Arab ataupun Inggeris. Saya pernah juga bersuara untuk menjenguknya tetapi dia tersipu-sipu seakan-akan keberatan. Shaukat sangat kemas orangnya dari semua segi. Pakaianya sentiasa bersih dan dipastiakannya sentiasa berkeadaan disterikakan. Kadang-kadang dia pakai kain sarong sahaja bersama baju kurta. Kadang-kadang berpakaian lengkap kurta pajama. Darul Uloom membenarkan pelajar memakai kain sarong tetapi tidak membenarkan memakai seluar pant. Shaukat juga seorang yang beradab. Dia menghormati kawan yang cintakan ilmu. Layanan yang ditunjukkan olehnya seolah-olah kawan yang berilmu itu ustaznya. Shaukat juga seorang yang suka membaca. Selain daripada buku teks Darul Uloom dia juga turut membaca buku-buku lain. Apabila guru lambat datang dia akan membaca buku yang dibawanya. Ada sahaja buku-buku yang dia ingin habiskan membacanya. Kata dia aku cemburu melihat kamu selalu membaca buku.

Suatu hari tergerak hati saya untuk menziarahi Shaukat. Dia beritahu biliknya berdekatan dengan matbakh (tempat memasak Darul Uloom). Saya mencari-cari no biliknya. Allahu Akbar! Biliknya sebiji macam kubur. Sempit. Luasnya hanya muat untuk seorang tidur sahaja. Tiada ruangan lain. Bila melihat saya datang Shaukat amat gembira. Dia menjemput saya masuk. Masuk dalam kubur. Mulanya saya rasa kehadiran saya menyusahkan Shaukat. Tetapi Shaukat seorang yang rapi. Bilik yang sekecil itu kelihatan tersusun rapi. Saya berasa pelik sungguh dengan kebolehannya menyusun barang-barangnya sebegitu rupa. Layanan yang ditunjukkan oleh Shaukat menyebabkan saya tidak merasakan menyusahkannya. Saya bertanya Shaukat kalau elektrik tiada bagaimana kamu duduk dalam bilik ini. Tidakkah ia akan mengukus kamu sehingga masak!! Dia tersipu-sipu katanya dah biasa. Di situlah dia membaca buku kerana dia tidak suka bercampur dengan pelajar2 lain bimbang akan membuang masa bersembang.

Apabila masuk tahun akhir Shaukat memperolehi bilik yang lebih besar. Di kala itulah saya melihat keen beliau kepada pelajaran sampai ke kemuncaknya. Dia membeli banyak buku-buku syarah hadis yang harganya sungguh mahal. Walaupun mahal dia tetap membelinya. Ayahnya pula amat menyokongnya. Waktu itu tidak banyak buku syarah hadith di Deoband. Kalau adapun kitab cetakan Beirut yang kadang-kadang datang dari Pakistan. Saya sendiri tidak mampu membeli kitab-kitab cetakan Beirut yang harganya 3 kali ganda harga sebenar. Tetapi Shaukat tidak berkira tentang harganya. Yang penting dia dapat membacanya. Shaukat mengenali banyak nama-nama kitab. Dia membeli kitab siyar a`lam nubala, syarah Bukhari Umadatul Qari, Fathul Bari etc. Kebanyakan pelajar India hanya berpada dengan syarahan guru sahaja. Tetapi Shaukat sangat pelik. Akhlak dan sikap Shaukat itu sangat mempengaruhi diri saya. Sampai hari ini saya sentiasa mengingati Shaukat. Saya cuba mencari namanya di dalam internet tetapi tidak menemuinya. Kali akhir sebelum saya berangkat pulang ke Malaysia saya mendengar khabar dari penuntut West Bengal di Darul Uloom bahawa Shaukat mengajar di sebuah madarasah di West Bengal. Iaitu mengajar Kitab Tirmizi. Semoga Allah memelihara Shaukat dan memberkati ilmu dan kesungguhannya.

Tuesday, May 24, 2011

Kembara Deoband 36: Abdul Samad Lassi Wala

Bila musim panas tiba pelajar Malaysia akan ketagih lassi. Lassi ialah minuman yang dibuat daripada yogurt. Yogurt ini akan dimasukkan dalam satu belanga kemudian dikacau-kacau dengan kayu khas sampai hancur dan menjadi seperti air susu yang amat pekat . Kayu ini akan diputar-putarkan ke kiri dan ke kanan oleh pembuat lassi. Seni memutarkan kayu itu menjadikan satu keasyikan kepada pelanggan. Malah ia menentukan kelazatan lassi.

Belanga Untuk Mengacau Dahi Untuk Dijadikan Lassi

Di Deoband kedai Abdul Samad berdekatan dengan Masjid Jamek ialah kedai yang menjadi tarikan pelajar-pelajar Darul Uloom mengunjunginya termasuklah pelajar Malaysia. Pada mulanya saya tidak tahan dengan lassi kerana rasanya yang agak masam. Bila lama-lama minum akhirnya ia sukar ditinggalkan. Pendek kata mesti kena satu gelas lassi setiap hari. Kedai Abdul Samad kecil sahaja. Amat merimaskan apabila elektrik terputus dan pelajar sesak di dalamnya. Macam sedang dikukus rasanya. Tapi bila minum sahaja lassi badan akan terasa sejuk. Dahi atau yogurt itu Abdul Samad yang sediakan sendiri. Cara membuat yogurt akan menentukan kelazatan lassi. Yang sedapnya apabila lassi dimasukkan titisan air roh afza yang berwarna merah. Bertambah lazat kalau Abdul Samad bersimpati meletakkan krim dahi dalam gelas kami. Abdul Samad seorang yang baik. Bukan sahaja kerana lassinya yang sedap itu mendorong pelanggan berkunjung ke kedainya malah akhlaknya yang mulia sebenarnya menjadi penyeri kepada lassi beliau. Abdul Samad sentiasa tersenyum walaupun panas mana sekalipun cuaca di luar dan penat mana sekalipun dia. Dia seorang yang bekerja kuat. Setiap kali berkunjung Abdul Samad pasti ada bertinggung di atas stage tempat dia menyediakan lassi. Walaupun ada pembantu tetapi Abdul Samad tidak membiarkan pembantunya menyediakan lassi itu untuk pelanggan. Entah berapa ratus gelas sehari Abdul Samad perlu sediakan untuk pelaggan. Entah berapa ribu pusingan tangan yang Abdul Samad telah lakukan untuk kepuasan pelajar-pelajar Darul Uloom. Tapi sekarang kesenian Abdul Samad lassi wala sudah tiada. Cara tradisional telah ditinggalkan. Semua orang telah menggunakan mesin untuk menyediakan lassi. (glossary: Wala = صَاحِب pemilik, penjual, pembuat etc)

Dahi Yang Dah Siap Utk Dijadikan Lassi


Menuangkan Lassi Yang Telah Siap (Ini bukan A. Samad)

Thursday, May 19, 2011

Anekdot Ulama 39: Maulana Marghuburrahman

Hampir setahun saya mustami`. Tahun berikutnya saya di bawa oleh guru saya Maulana Saidurahman untuk bertemu dengan Guru Besar Darul Uloom, Maulana Marghuburrahman, di pejabatnya untuk mendapat keizinannya menjadi pelajar Darul Uloom yang berdaftar. Ketika saya di bawa masuk Maulana sedang membuat kerjanya. Di sisinya ada Maulana Riyasat Ali (yang akhirnya menjadi guru kitab Nukhbatul Fikr, Mishykat dan Ibn Majah saya) dan Maulana Mi`rajul Haq (satu-satunya anak murid muhadith Anwar Shah Kashmiri yang masih hidup ketika itu). Mereka semua sudah tua-tua terutama Maulana Mi`rajul Haq. Dia bertanya betul ke saya nak belajar atau sekadar nak duduk setahun dua untuk dapatkan sijil untuk pergi ke Azhar Mesir. Maulana yang membawa saya memberi kepastian bahawa saya selama ini datang ke kelas walaupun tidak berdaftar. Ditambahi pula saya masuk kelas peringkat paling bawah. Ia menjadi dalil yang kukuh bahawa saya bukan datang untuk melompat ke Azhar. Akhirnya Maulana menulis sesuatu di atas surat permohonan saya. Kata Maulana Saiudurahman kamu dibenarkan masuk Darul Uloom Deoband.

Selama saya di Darul Uloom jawatan Guru Besar atau Mohtamin tidak jatuh ke tangan orang lain. Maulana sudah lama menjadi anggota syura Madrasah Darul Uloom, sebelum menjadi Mohtamin lagi. Sejak dari awal lagi saya lihat Maulana tinggal bersendirian di sebuah bilik berdekatan dengan Darul Ifta di dalam Darul Uloom. Itulah bilik rehat dan tempat tidurnya. Kampung Maulana jauh terletak di daerah Bijnor, UP. Maulana menghabiskan masa berkhidmat memajukan Darul Uloom. Jarang-jarang sekali Maulana balik kampung. Saya kerap juga datang berjumpa dengannya di bilik penginapannya itu. Maulana seorang yang kaya. Keluarganya memiliki tanah dan kebun yang banyak di Bijnor. Oleh kerana itu Maulana tidak mengambil sebarang gaji dari Darul Uloom sebaliknya dia yang banyak membantu Darul Uloom dari segi keewangan. Jika musim buah mangga guru-guru dan staff Darul Uloom akan dijemput ke kebunnya untuk berpesta makan buah mangga yang memang terkenal sedap rasanya di India. Kerap kali semasa saya berjumpa dengan Maulana di biliknya dia duduk berseorangan. Adakalanya ada pelajar yang datang membantu melihat kalau-kalau ada keperluan Maulana yang perlu ditunaikan. Selalunya Pakcik Ajiji yang selalu datang menjeguk Maulana. Maulana Marghuburrahman tidak petah bercakap tetapi pandai buat kerja. Dia tak banyak cakap dan selalu duduk diam. Dalam majlis mana-manapun Maulana kelihatan tunduk dan diam sahaja. Ketawadu`an Maulana itu selalu dalam bayangan saya walaupun saya telah meninggalkan Maulana dan Maulana telah meninggalkan dunia ini.