Saturday, June 30, 2012

Kembara Deoband 47: Material Sakit

Dalam tahun 1994 saya ditakdirkan jatuh sakit. Sakit dalam perut. Kata doktor-doktor "Hyperacidity". Kemungkinan kerana kerap makan makanan tempatan yang pedas. Semakin hari kesihatan saya semakin merosot. Saya berubat ke sana ke mari tetapi tidak ada tanda-tanda untuk sembuh. Mulanya saya berubat dengan cara allopathy. Ia memakan masa bertahun-tahun. Sampai pada satu tahap ubat "drug" tidak boleh lagi ditanggung oleh tubuh saya. Pelajaran harus diteruskan kerana saya baru sahaja tinggal 5 tahun di Deoand. Janji untuk tinggal 10 tahun harus dikotakan. Saya berjinak-jinak mencari cara perubatan yang lain. Banyak buku-buku dan artikel saya baca tentang masalah perut. Saya mula membaca buku-buku perubatan unani, homoepathy dan naturopathy. Akhirnya saya berterusan dengan perubataan homeopathy sehinggalah saya pulang pada tahun 2004. Alhamdulillah, antara hikmah sakit saya itu ialah saya didedahkan dengan pelbagai disiplin perubatan. Deoband bukan saja kaya dengan ilmu agama tetapi juga ilmu perubatan. Malah ada dikalangan Maulana yang membuka klinik perubatan unani di rumah mereka yang dibuka setiap lepas asar. Antaranya Maulana Ahmad, guru saya dalam pengajian kitab hadith Mishkat Al Masabih. Beliau merawat pesakit di sebuah bilik kecil di Africa Manzil, bangunan asrama pelajar di luar Darul Uloom dan merupakan kuaters guru juga.

 Buku Homoepathy yg selalu saya baca dan rujuk 
terutama setelah Dr menulis nama ubat


 Buku perubatan secara "nature" 
yg saya gunakan ketika itu

 Preskripsi homoepathy yg diberikan 
kpd saya oleh dr pd waktu itu

 
Preskripsi allopathy (MBBS) yg diberikan 
oleh Dr D.K Jain kpd saya  suatu waktu.

Friday, June 22, 2012

Nasihat ttg Mengundi

Ulama Deoband sangat prihatin terhadap senario politik semasa. Dari semenjak sebelum merdeka lagi mereka turun mengundi untuk menentukan  pemerintah yang memberi faedah kepada Islam dan muslimin. Dalam buku Fiqhi Maqalatnya Maulana Mufti Taqi Usmani menulis tentang "Kedudukan Vote Pilihanraya dalam Islam". Antara yang disebut oleh beliau ialah:
1-Salah jika berfikir begini: Politik hari ini kotor. Oleh itu orang yang mulia tidak seharusnya mengambil bahagian dalam sebarang bentuk yang melibatkan pilihanraya yang sudah tentunya sebahagian daripada politik.
2-Walaupun politik penuh dengan kekotoran tetapi menjadi suatu tangugjawab kepada rakyat membersihkan negara daripada terus berganda dengan politikus yang kotor.
3-Hadis menyebut: Jika manusia melihat orang zalim dan tidak menyekatnya maka tidak mustahil  Allah akan menimpakan azab kepada semua "إِنَّ النَّاسَ إِذَا رَأَوُا الظَّالِمَ فَلَمْ يَأْخُذُوا عَلَى يَدَيْهِ أَوْشَكَ أَنْ يَعُمَّهُمُ اللَّهُ بِعِقَابٍ مِنْهُ " (Tirmizi, Abu Daud). Berdasarkan hadis ini pilihanraya paling tidak satu kudrat yang mampu dilakukan oleh semua orang untuk menyekat parti yang zalim dan kotor.
4-Ramai orang baik-baik mengatakan "Kalau saya tidak mengundi tiada apa yang rugi" sedang mereka lupa kepada sabda Nabi saw:  "Barangsiapa yang melihat seorang mukmin dihina dan tidak menolongnya sedangkan ia mampu maka Allah akan menghinanya di hadapan orang ramai di hari akhirat".
".مَنْ أُذِلَّ عِنْدَهُ مُؤْمِنٌ فَلَمْ يَنْصُرْهُ وَهُوَ يَقْدِرُ عَلَى أَنْ يَنْصُرَهُ أَذَلَّهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَلَى رُءُوسِ الْخَلاَئِقِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ (Hadith dhaif, riwayat Ahmad). [Orang Islam adalah saudara kepada orang Islam yang lain. Dia tidak akan menzaliminya, menghinanya, dan merendahkannya. Riwayat Muslim الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لاَ يَظْلِمُهُ وَلاَ يَخْذُلُهُ وَلاَ يَحْقِرُهُ  -penterjemah] 

[Dipetik dgn pindaan drp buku berbahasa Urdu Fiqhi Maqalat oleh Maulana Taqi, p287, jilid 2]

Wednesday, June 20, 2012

Buku: Talkhis Miftah

Setelah sekian lama berhempas pulas dengan masa akhirnya alhamdulillah kami berjaya menghabiskan pengajian kitab balaghah Talkhis Miftah. Tiga orang pelajar UIA selalu datang bertandang ke rumah saya untuk menadah kitab-kitab turath yang pernah saya belajar di Deoband.  Walaupun Lutfi, Mohd Fitri dan Anwar mengambil jurusan undang-undang dan engineering tetapi mereka ingin juga menambahkan pengetahuan ilmu agama sebagaimana jalan yang dilalui oleh para asatizah jurusan agama. Ketika kami bersetuju membuka kitab Talkhis kesemua mereka sudah di ambang menjadi graduan UIA. Pertama, Fitri dahulu yang menamatkan pengajian dan pulang bertugas di firma guaman ayahnya di Ipoh. Oleh itu dia tidak dapat meneruskan pengajian kitab Talkhis. Kemudian Anwar pula keluar untuk bekerja sebagai guru tuisyen di Kajang walaupun jurusan sebenarnya ialah engineering. Lutfi sama seperti Fitri dalam jurusan undang-undang. Dia menambahkan semester untuk mengambil Law Syariah. Setelah itu mengambil Master. Oleh itu tinggallah Lutfi meneruskan pengajian Talkhis dengan saya. Kadang kelas kami di ofis isteri saya di UIA. Kadang di Masjid UIA. Kadang di rumah saya. Kemudian Lutfi mendapat tawaran untuk menjadi pensyarah undang-undang di Universiti Darul Iman Terengganu. Saya dan Lutfi memikirkan bagaimana hendak menamatkan kitab Talkhis yang masih berbaki lagi itu. Kebetulan rumah saya mendapat sambungan UNIFI maka saya cadangkan agar pengajian diteruskan secara online.

Kami menggunakan kemudahan laman sesawang SKYPE kemudian YAHOO MESSENGER. Kelas kami tidak tentu masanya. Kekerapannya bergantung kepada kekosongan masa saya dan masa Lutfi. Kadang-kadang dua tiga kali seminggu. Kadang-kadang hanya sekali seminggu. Kadang tak ada satupun kelas dalam seminggu itu. Tetapi  kami mempunyai niat yang sama iaitu  menamatkan kitab Talkhis. Akhirnya pada pagi 12hb Jun 2012 Allah memakbulkan doa dan harapan kami. Kitab Talkhis berjaya ditamatkan Alhamdulillah. Menurut catatan Lutfi kami memulakan pengajian kitab Talkhis pada tanggal 7/1/2009.

Saya amat bersyukur kerana dapat mengajar kitab Talkhis sampai selesai. Saya rasa sayalah yang lebih memerlukan ilmu itu daripada Lutfi. Ia menyediakan peluang untuk saya membelek kitab-kitab syarah Talkhis. Kitab Syuruh Talkhis sebanyak empat jilid banyak membantu saya memahami teks Talkhis. Selain itu kitab Tashil Fatah syarah urdu kitab Talkhis juga turut membantu saya. Mulanya kami menggunakan teks Darul Uloom Deoband. Tulisan tangan yang rapat-rapat dan susunan yang yang tiada sebarang petunjuk menyukarkan guru apatah lagi anak murid untuk menggunakannya. Setelah itu kami menemui cetakan baru yang ditahkikan oleh Dr. Yasin Ayyubi dan menggunakannya sehinggalah ke garisan penamat. 

                                                              Kitab Talkis Cetakan Deoband

  Mukaddimah Kitab

 Sambungan


Cetakan baru tahkik Yasin Ayyubi

Mukaddimah

 Kitab Syuruh Talkhis terkandung 
dalamnya 5 buah kitab

Syarah Urdu Talkhis

Kitab Talkis Miftah ialah sebuah kitab balaghah yang terkenal di kalangan turathiyyun. Ia biasanya dijadikan silibus pengajian kerana kandungannya yang menyeluruh serta perbincangannya yang tidak terlalu rendah dan tidak pula terlalu tinggi. Boleh dikatakan sederhana dan menarik. Kitab ini dikarang oleh Jalaludin Muhammad b. Abd Rahman yang dikenali sebagai Khatib Qazwini. Talkhis sebenarnya ringkasan kepada kitab Miftah Ulum oleh  Abu Yakub Yusuf yang lebih dikenali sebagai Sakkaki. Sebab itulah ia dinamakan Talkhis Al Miftah iaitu Ringkasan Kitab Al Miftah. Kitab Balaghah paling tinggi diajar di Darul Uloom Deoband waktu saya ialah Mukhtasar Ma`ani oleh Allamah Taftazani. Mukhtasar Ma`ani diajar selepas kitab Talkhis. Mukhtasar Ma`ani sendiri adalah syarah kepada Talkhis dan juga dimuatkan dalam kitab Syuruh Talkhis spt yang telah disebutkan. Suatu ketika dahulu Darul Uoom menetapkan kitab Mutawwal sebagai kitab terakhir untuk dipelajari. Ia juga karangan Taftazani. 

Bahagian dlm Syuruh Talkhis

Friday, June 15, 2012

Kembara Deoband 46: Mimpi Anai-Anai

Satu masalah besar tinggal di Deoband ialah tentang kehadiran anai-anai. Kebanyakan rumah dan bangunan masih dalam binaan asal. Plaster untuk menampal bata hanyalah daripada tanah. Kayu yang digunakan tidak berkualiti. Oleh itu ia mudah dijadikan sarang dan tempat persembunyian anai-anai. Amat sukar untuk menyimpan buku. Almari yang disediakan oleh tuan rumah nampak sahaja elok. Jika tidak kerap dilakukan pemeriksaan maka barang simpanan akan dimakan oleh anai-anai. Toko-toko buku kerap kali dilihat membersihkan rak-rak buku mereka kerana telah diserang oleh anai-anai. Banyak buku mereka dijadikan saluran lebuh raya. Banyak juga kerugian yang mereka tanggung dek kealpaan mereka terhadap serangan senyap-senyap anai-anai.

Saya memiliki kitab yang agak banyak jika dibandingkan dengan pelajar-pelajar lain. Oleh itu saya menghadapi masalah untuk menjaga kitab-kitab tersebut. Hampir setiap hari saya akan memastikan bahan bacaan saya itu tidak dimakan oleh anai-anai. Saya sangat berharap agar mendapat sebuah bilik yang bebas anai-anai. Bilik No 7 Ihata Bagh dalam Darul Uloom agak selesa jika dibandingkan dengan bilik-bilik lain. Ia memilki rak buku yang dibina dengan kayu yang agak mahal. Ia di paku di dinding dengan kemas. Bilik ini dibina oleh orang India warga negara British yang pernah belajar di situ. Dari turun temurun mereka mewarisi bilik itu. Apabila populasi mereka sudah tiada saya mewarisinya daripada orang yang terakhir di kalangan mereka iaitu Abdullah Patel (kini menjadi Mufti di sebuah madrasah di England), pelajar keturunan Gujerat ynag menetap di England, yang juga kawan baik saya. Abdullah  seorang pelajar yang sangat humble. Dia berada di Deoband lebih kurang dua tahun. Setahun Daurah dan setahun lagi pengajian takhasus Fekah. Pelajar-pelajar kelas ini biasanya digelarMufti walaupun bukan mufti yang hakiki.

Kini saya selamat. Selamat daripada memikirkan tentang keselamatan kitab. Saya gembira kerana dapat menempatkan kitab-kitab saya di tempat yang sepatutnya. Yang selebihnya saya masukkan ke dalam kotak besi yang besar. Kotak besi amat penting  khususnya di Deoband dan di India amnya untuk menyimpan barang-barang yang berharga. Ia selamat daripada serangan anai-anai. Banyak kotak-kotak besi dijual dengan berbagai-bagai saiz. Malah almari tidaklah sepenting kotak besi.

Di belakang bilik saya ada ruangan kosong untuk diletakkan peti-peti itu.  Ruangan itu ruangan stor. Ada rak lebihan juga di situ. Saya meletakkan beberapa buah kitab di situ walaupun agak membimbangkan. Ruangan itu gelap jka tidak dipasang lampu. Suara hati membisik-bisik mengatakan keadaan semacam ini sesuai untuk anai-anai beroperasi dari dalam.

Saya tidur di atas katil yang sememangya telah diwakafkan oleh pelajar-pelajar dahulu. Sebelum ini bilik saya tidak berkatil. Katil saya rapat dengan dinding yang diletakkan rak buku. Oleh itu saya hanya belajar di atas katil supaya mudah mengambil dan meletakkan kitab. Bila tidur mata saya akan memandang kitab-kitab saya yang tersusun rapi dalam rak. Saya sudah hafal kitab mana duduk di mana. Hari berganti hari. Bulan berganti bulan. Tahun berganti tahun. Suatu hari, seperti biasa saya tidur dalam dakapan buku. Kali ini tidur saya didatangi oleh suatu mimpi ngeri. Anai-anai menyerang dan memakan kitab-kitab saya yang tersusun dalam rak!!!. Saya menjadi panik lalu tersedar dari tidur. Degupan jantung masih kencang. Nafas tercungap-cungap. Mata terpinga-pinga. Ya Allah! apakah benar mimpi ini?. Saya menoleh kepada kitab, kepada rak. Saya ketakutan. Takut untuk memegang kitab-kitab itu. Takut menghadapi realiti kalau-kalu ianya benar. Namun akhirnya saya memberanikan diri. Saya menyelak tempat anai-anai itu meratah buku saya dalam mimpi. Ya Allah, rupa-rupanya mimpi saya itu benar. Saya bergegas mengeluarkan semua kitab yang berada di atas rak. Beberapa kitab telah dimakan oleh anai-anai. Ada yang tidak boleh digunakan lagi dan ada yang masih boleh digunakan.

Kitab Hashiah  Tafsir Baidhawi oleh Sheikh Zadeh ditebuk oleh anai-anai dari kulit ke kulit 
tetapi di bahagian tepi sahaja. Oleh itu  kitab ini masih dalam simpanan saya.

Alhamdulillah, tak banyak buku yang dirosakkan. Hanya sebiji dua. Kalaulah tidak kerana petunjuk Allah melalui mimpi sudah tentu saya akan berasa aman dengan faktor keselamatan zahir. Bilik yang selesa. Rak yang segak di bawah jagaan pelajar dari western countries. Suda tentu tiada anai-anai. Tafsir Ma`ariful Quran sebanyak enam jilid kini tinggal 5 jilid. Tiada pengantinya. Itulah satu-satunya kitab yang hancur di bahagian dalam kerana dijadikan lingkaran lebuhraya oleh sang anai-anai.

Friday, June 1, 2012

Fathul Mughith, Terima Kasih Puan Syarifah

Di akhir-akhir tahun 90an saya diberi kesempatan oleh Allah mempelajari kitab usul Hadith karangan Ibnu Hajar Asqalani dan muqaddimah Abdul Haq Dehlawi di Darul Uloom. Dengan sebab itu saya mula mengetahui kitab-kitab usul hadith yang lain. Banyak sumbernya. Ada yang melalui pengajaran guru. Ada yang melalui bacaan sendiri. Ada yang melalui pemberitahuan kawan-kawan. Ada yang melalui sumber percetakan. Antara sumber informasi yang saya perolehi tentang cetakan kitab terbaru di India ialah melalui majalah mereka berbahasa Arab Ba`th Islami dan Sautul Ummah. Majalah Sautul Ummah tahun 1997  yang sampai kepada saya telah mengiklankan ttg penerbitan sebuah kitab Usul Hadith yang besar karangan anak murid Ibnu Hajar Asqalani iaitu Allamah Sakhawi. Namanya Fathul Mughith. Ia dicetak oleh percetakan Ahli Hadith (Salafiyah) di Varanasi. Varanasi terletak jauh dari Deoband. Satu-satu cara untuk mendapatkan kitab itu ialah melalui pos. Saya sangat berkeinginan untuk memilki kitab tersebut. Ia tiada di Deoband. Disebabkan masalah yg tidak dapat dielakkan saya tidak dapat membeli kitab itu sehinggalah saya pulang ke tanahair tanpanya.

Namun hati saya sentiasa mengingati kitab Fathul Mughith. Suatu hari saya akan memilkinya. Itulah bisikan hati kecil saya. Setelah hampir 9 tahun meninggalkan India tiba-tiba saya didekati oleh seorang pencita ilmu yang hanya dikenali sebagai  Puan Syarifah. Kata beliau, "Saya nak ke Kuwait, Ustaz. Ustaz nak kirim apa-apa kitab tak?". Saya keberatan untuk mengirim maklumlah nanti menyusahkan beliau pula. Lagipun Kuwait bukan tempat kitab, tentu sukar mencarinya. Tetapi melihatkan beliau begitu bersungguh hendak mencari kitab, saya katakan "Fathul Mughith oleh Sakhawi".

Selang beberapa minggu beliau pergi, saya menerima talipon mengatakan bahawa beliau sudah pulang dan membawa kitab tersebut. Kata beliau kitab itu 4 jilid. Amat sukar menemuinya di Kuwait. Kami berjanji bertemu di UM untuk menyerahkan kitab tersebut. Saya bertanyakan harganya tetapi Puan Syarifah mengatakan ianya hadiah utk Ustaz. Dua kegembiraan saya perolehi. Pertama kerana dapat memegang kitab tersebut setelah 16 tahun mengimpikannya. Kedua kerana ia sebagai hadiah yang tidak disangka-sangkakan.

 Fathul Mugith hadiah drp Puan Syarifah

Iklan Fathul Mughith dlm majalah Sautul Ummah 1997
Setelah membelek heliannya saya mendapati bahawa naskah tersebut adalah naskah tahkik ulama Varanasi India yang sama seperti yang saya impikan dahulu. Subhanallah, Alhamdulillah!!!!. Ia termasuk dua naskah yang paling bagus daripada 7 naskah yang dikenalpasti. Naskah Varanasi dikatakan naskah pertama yang ditahkikan secara cermat. Mereka memulakannya lebih awal daripada ulama Arab. Pada tahun 80an naskah Varanasi sudah berada dalam pasaran India. Idea ini dicetuskan oleh bekas-bekas penuntut Madrasah Salafiyah Varanasi yang melanjutkan pelajaran mereka di Saudi. Merekalah yang mendapatkan manuskrip lama untuk dihantar ke India. Manakala manuskrip India waktu itu telahpun ditahkik oleh Maulana Habiburahman `Azami tetapi tidak lengkap. Itulah uniknya India. Mereka bergelut dengan ilmu. Mereka tidak sekadar belajar dan mengajar tetapi juga melakukan penyelidikan walaupun dengan kemudahan yang terhad.Bagaimana pula dengan ulama kita?