Showing posts with label Anekdot Umrah Mac 2015. Show all posts
Showing posts with label Anekdot Umrah Mac 2015. Show all posts

Monday, May 18, 2015

Anekdot Umrah 03: Pengawas Sekolah di Mekah


Saya turun dari hotel kerana ada program ziarah bersama, dengan kopiah yang tergumpal-ngumpal kerana baru sahaja bertahallul. Saya lewat turun.Seorang yang berpakaian kemas dengan logo TH Travel sedang menunggu di ruang menunggu jika ada yang terlewat. Melihat saya dia terus menegur supaya membetulkan kopiah saya yang senget itu. Dia cuba menolong kerana saya kepayahan dek kepala sudah botak, sukar untuk kopiah lembik. Dia menyarankan saya agar membeli kopiah yang keras sedikit. Dalam masa yang singkat itu kami sempat bertanya khabar. Rupa-rupanya kami satu sekolah. Satu batch. Waktu itu dia menjadi pengawas sekolah. Hari ini dia menjadi pengawas lagi tetapi pengawas yang lebih mulia. Rupa-rupanya dialah ketua rombangan umrah kami. Tidak sangka bertemu di Mekah setelah hampir 34-35 tahun tidak bertemu. Katanya Mekah dan Madinah sudah menjadi rumah keduanya kerana saban waktu datang mengiringi tetamu Allah baik umrah maupun Haji. Bila pulang dia menghadiahkan kepada saya seat business classnya dengan tambahan air zam zam. Alangkah indahnya jika bertemu di syurga nanti sahabat. 09 MAC 2015



Bersama Zul Zamri kawan sekolah yang bertugas
 sebagai wakil TH Travel

Anekdot Umrah 02: Lelaki Cacat Bertawaf

Sedaya yang mungkin saya cuba untuk memasuki ruang utama mataf supaya dapat tawaf berdekatan dengan Kaabah. Untuk itu saya terpaksa masuk ke masjid sekurang-kurangnya sejam lebih awal sebelum masuk waktu. Walaupun masih ada peluang untuk ke tingkat tawaf yang lain saya tidak mahu menjauhi Kaabah. Saya kira ramai yang begitu. Sebab itu mataf selalu penuh.Tidak kira daripada mana seseorang itu datang. Tidak kira macam mana bentuk fizikal tubuhnya. Tidak kira usianya.
Mata saya terpandang seorang lelaki kurang upaya. Ia berkerusi roda. Mungkin beliau daripada Afghanistan melihatkan wajah dan pakaiannya. Mengapa beliau tidak memilih ruang atas sahaja yang lebih selesa untuk orang seperti beliau. Dalam kesesakan manusia tawaf beliau begitu tenang dan yakin. Saya cuba mendekati beliau untuk melihat dari dekat adakah beliau tidak sihat atau sememang cacat anggota. Ramai mereka yang di luar dugaan kita sedang tawaf di Kaabah. Ada yang hanya kaki sebatang mengelilingi Kaabah dalam lautan manusia yang bertolak-tolak seperti ombak. Ada yang sudah bongkok tiga. Ada yang menjunjung anak. Bukan anak kecil tetapi anak yang sudahpun berumur belasan atau puluhan tetapi tidak bermaya. Mungkin untuk berdoa kepada Allah agar memulihkan kesihatannya yang tidak boleh berjalan. Tentunya mereka datang dari jauh. Imanlah yang memampukan mereka mengharungi semua itu. Ramai yang sihat dan berharta tetapi jauh hatinya daripada Kaabah. Ramai yang tinggal berdekatan dengan Kaabah tetapi hati mereka jauh darinya.
Sesungguhnya tawaf itu banyak pengajaran yang boleh mendidik diri kita yang sombong, tidak bersyukur, dan tidak berterima kasih kepada Allah SWT. Semoga Allah SWT mengekalkan kecintaan kita kepada Baitullah. Semoga kecintaan itu berpaut di mana-mana walaupun tidak lagi berada di sampingnya.





Anekdot Umrah 01: Bertemu dengam Maulana Badarudin Ajmal

Selepas Asar saya pulang sekejap ke bilik. Kemudian saya turun semula untuk pergi tawaf sebelum tibanya waktu maghrib. Di ruang tamu hotel ramai yang menjamu selera buah tamar sukkari dan qawah arabi yang diberikan percuma oleh pihak hotel setiap lepas Asar. Saya terpandang seorang lelaki tua India sedang duduk di atas kerusi. Saya memperlahan langkah. Saya tidak mendekatinya sebaliknya bertanya seorang India lain yang baru sahaja melayaninya dengan minuman qahwah dan kurma tersebut. Saya rasa macam kenal sangat beliau. Saya bertanya siapa lelaki itu. Jawabnya dia orang besar di India. Saya terus menyapa adakah dia Maulana Badarudin Ajmal. Dia terkejut lalu bertanya daripada kamu tahu. Saya memberitahunya saya pernah belajar di Deoband. Mendengar sahaja nama Deoband dia terus menarik saya untuk bertemu dengan Maulana Badarudin Ajmal. Maulana sangat gembira bila bertemu saya. Dia mengarahkan khadimnya memberikan kepada saya minyak wangi Oudh syarikat Ajmalnya.
Kami berbual sebentar tentang kisah lama dan kisah baru di India. Maulana sekarang terlibat dalam politik India. Begitu juga dengan dua anakanya yang waktu saya di Deoband masih kecil, baru belajar tahfiz. Maulana berasal daripada negeri Asam, India. Ketika saya di sana beliau sudahpun menjadi ahli syura Darul Uloom. Beliau seorang yang kaya kerana mewarisi perniagaan ayahnya. Keluarganya memilki gedung minyak wangi Oudh di merata-rata tempat di India dan Timur Tengah. Di Mekah juga ada dan Madinah juga ada. Beliau memberitahu saya dia ada 35 buah kedai di Saudi. Salah sebuah kedainya ada di bangunan tempat saya menginap. Beliau seorang yang pemurah. Banyak bangunan Darul Uloom dibina oleh beliau dan juga markaz dakwah dan bahasa untuk lepasan Darul Uloom Deoband. Kami bersama-sama berangkat ke mataf kerana Maulana hendak tawaf sebelum pulang ke India. Maulana hanya datang untuk 2 hari sahaj kerana kebetulan India cuti perayaan. Saya melihat Maulana tawaf kemudian beransur-ansur meninggalkan masjid. Maulana sempat memberikan kadnya kepada saya. Semoga Allah memberkati usaha Maulana Badarudin Ajmal memperjuangkan hak orang Islam minoriti di India. 10 MAC 2015.

 
Maulana Badarudin Ajmal

 Kad Maulana

  Kad Maulana

 Minyak Wangi Hadiah drp Maulana