Hari ini saya masih mengemas kitab di rak buku
kerana semasa buat studio Basooir hari itu banyak kitab dipindahkan dan
diletakkan dimerata-rata tempat.Oleh kerana sukar mencari kitab untuk
rujukan terpaksalah saya kutip semula dan susun mengikut
subjek. Tiba-tiba saya menemui sebuah kitab kecil dalam bahasa Urdu
tentang "Pengenalan kepada pengajian ilmu Hadith" oleh Maulana Abul
Hasan Ali An Nadawi. Kitab ini adalah kitab terjemahan daripada kitab
asalnya dalam bahasa Arab berjudul "Al-Madkhal ila Diraasaat al-Hadith
al-Nabawi al-Syarif". Saya pernah membacanya suatu ketika dahulu tetapi
terasa seolah-olah macam belum lagi membacanya. Saya meletakkannya
berasingan kerana berhasrat untuk membaca prakata dalam buku tersebut
semula selepas berkemas. Bila selesai menyusun kitab saya mengambilnya
dan cuba membaca mukadimahnya sampai habis.
Mukadimah yang
ditulis oleh Bilal Abd Hayie Hasani itu sangat menyentuh perasaan.
Selama ini Maulana Abul Hasan hanya dikenali sebagai tokoh Sastera Arab
dan juga pemikir Islam. Jarang mengetahui beliau seorang yang alim dalam
ilmu tafsir dan hadith.
Diceritakan bahawa semasa beliau
belajar ilmu hadith secara talaqqi dengan gurunya Maulana Haider Hasan
Khan, Maulana Abul Hasan menggunakan manuskrip yang amat unik kerana
tidak ada orang yang memilki kitab yang sedemikian unik. Kitab itu
adalah warisan daripada keluarganya. Kitab itu berasal daripada Maulana
Qutubul Huda Hasani yang merupakan anak murid kepada Shah Abd Aziz
Dehlawi (1745- 1823). Maulana Qutubul Huda Hasani menyalin kitab itu
daripada gurunya Shah Abdul Aziz. Beliau juga mencatat nota-nota penting
(hawashi) daripada kuliah gurunya. Kemudian kitab ini digunakan oleh
bapa Maulana Abul Hasan iaitu Maulana Abdl Hayie Lucknowi ketika beliau
bertalaqqi dengan gurunya Sheikh Husein Arab. Beliau juga menulis
hawashinya sendiri. Apabila tiba giliran Maulana Abul Hasan mengaji
Tirmizi abang beliau Dr. Sayyid Abd `Aliy Hasani memberikan kitab itu
kepada beliau untuk digunakan sebagai teks pengajian. Maulana juga
menulis hawashi ke atas kitab Tirmizinya itu.

Maulana Abul
Hasan juga sempat mengajar ilmu hadith di Nadwatul Ulama. Beliau pernah
mengajar kitab-kitab hadith yang besar termasuklah Tirmizi dan Bukhari.
Maulana juga banyak menulis mukadimah kepada kitab-kitab syarah hadith
seperti kitab-kitab syarah hadith yang ditulis oleh Maulana Zakariya
Kandahlawi.
Dalam kesibukan hidupnya Maulana tidak pernah
mengabaikan membaca kitab hadith. Di akhir hayatnya Maulana menjadikan
kegiatan rutin mendengar bacaan kitab Bukhari yang dibacakan kepadanya.
Kadang-kadang menyebut nokhtah-noktah penting daripada hadith yang
didengarinya itu.
Kitab "Madhal ila Dirasat al-Hadith
al-Nabawi al-Syarif" ini dikarang diakhir hayat beliau iaitu kira-kira
empat atau lima tahun sebelum beliau meninggal dunia.
Semoga
Allah menjadikan kita seperti Maulana Abul Hasan yang istiqamah dengan
ilmu hingga ke akhir hayat. Itulah dia akhlak kecintaan kepada ilmu
pengarang kitab Qisasun Nabiyyin, Qiraat Rashidah dan Mukhatarat Adab
Arabi yang digunakan oleh Basooir.