Monday, January 11, 2010

Anekdot Ulama 15: Apa-Apapun Kesungguhan (Mehnat)

Dalam satu majlis tahunan pelajar Maulana Abul Hasan An Nadawi telah memberikan satu ucapan menasihati pelajar-pelajar madrasah Nadwatul Ulama tentang peri pentingnya "kesungguhan" (urdu: mehnat) semasa menuntut ilmu. Kunci kejayaan bukan terletak semata-mata kepada sukatan pelajaran. Malah sukatan pelajaran hanya membantu sahaja. Kunci kejayaan yang sebenar yang boleh menjadikan seseorang itu mahir dalam sesuatu ialah kesungguhan atau mehnatnya. Rata-rata pelajar menyalahkan sukatan pelajaran yang menyebabkan mereka tidak boleh menguasai ini dan itu. Misalnya di dalam konteks bahasa Arab ramai pelajar-pelajar madrasah (madarasah dlm istilah alam di benua India, pondok dalam istilah alam Melayu dan pasentren dalam alam Indonesia) zaman moden sekarang menyalahkan madrasah kerana tidak menyediakan sukatan yang cukup untuk memampukan mereka menguasia bahasa Arab dari segi penulisan dan percakapan moden. Kitab yang diajar kesemuanya klasik. Tiada kalam nathar (نَثَرٌ) diajar yang menyebabkan lemahnya zauq adabi di kalangan pelajar. Kitab bacaan Arab yang diajar misalnya terus kepada syair-syair samada berbentuk dewan-dewan maupun maqamat-maqamat. Maka lahirlah sukatan dari turun temurun kitab seperti Nafhatul Yaman, Maqamat Hariri, Maqamat Badiuzzaman Hamdani, Dewan Hamasah, Dewan Mutanabbi dsb. Pelajar-pelajar merasakan kitab-kitab sebegini hanya sesuai untuk mereka yang sudah mahir berbahasa Arab. Ianya untuk golongan specialist. Mereka menjadikan ianya penyebab kenapa mereka tidak memampu mengarang dan bercakap bahasa Arab.

Maqamat Hariri

Dalam menolak persepsi ini menurut Maulana Abul Hasan sukatan pelajaran bukanlah memainkan peranan yang terpenting dalam menjadikan seseorang mengusai sesuatu fan atau ilmu. Sukatan sebenarnya berubah dari zaman ke zaman berdasarkan keperluan semasa. Ada sesetengah sukatan moden lebih berkesan daripada sukatan lama. Misalnya kitab Mukhtarat yang telah dijadikan sukatan di Nadwatul Ulama masa kini sangat berkesan dalam membina zauq adabi bagi seorang penuntut bahasa Arab kerana sebelum ini belum ada kitab seumpama itu dijadikan sukatan. Ia kaya dengan uslub adabi tetapi dalam bentuk kalam nathar yang sememangnya tidak boleh lagi ditolak oleh golongan pelajar kerana ia bukan kalam berbentuk syair. Malah kitab-kitab kalam natahr berlambak di pasaran. Seharusnya ia dapat melahirkan pelajar yang hebat dalam bahasa Arab. Namun kata Abul Hasan kenapa Nadwah sekarang malah India secara amnya tidak lagi mampu mengeluarkan mereka yang hebat berbahasa Arab sebagaimana mereka yang terdahulu. Tegas Abul Hasan beliau sendiri juga mempelajari kitab-kitab turath seperti Maqamat Hariri dan seumpamanya tetapi kenapa beliau mampu menulis dengan baik dalam bahasa Arab. Begitu juga sahabat baik beliau Maulana Masud Alam Nadwi yang terkenal dengan penulisan bahasa Arabnya tidak pernah belajar kitab Mukhtarat tetapi mencapai kedudukan yang baik dalam bahasa Arab. Beliau menyebut beberapa nama tokoh ulama India terdahulu yang hebat bahasa Arabnya yang hanya bermanhajkan kitab-kitab turath sahaja seperti tokoh hadith Maulana Siddiq Hasan Khan, tokoh kamus Allamah Zabidi, Maulana Ghulam Ali Bilgrami, Sheikh Muhsin Yahya Tarhiti dan Maulana Sadruddin Azardah.

Kitab Mukhtarat Yang Disusun Oleh Abul Hasan Ali An Nadawi
Yg Mendapat Penghargaan Oleh Tokoh Sastera Arab
Spt Sayyid Qutub Dan Ali Thantawi


Kesimpulannya menurut Maulana Abul Hasan isti`dad sesuatu ilmu banyak bergantung kepada setakat mana kesungguhan seseorang guru dan pelajar. Sukatan hanya membantu sahaja. Oleh itu dengan berpaksikan kepada kesungguhan adalah penting kepada pelajar yang beraliran universiti misalnya menguasai kitab-kitab turath walaupun mereka tidak pernah didedahkan kepada sistem pengajian kitab turath. Kepada pelajar-pelajar aliran madrasah ala turath adalah penting bagi mereka melengkap diri agar ilmu mereka dapat dicanangkan dan diolahkan dalam bentuk semasa, zaman di mana mereka hidup sekarang. Itulah barangkali kenapa Maulana Abul Hasan mempopularkan slogan Al Qadim -s- Soleh Wal Jadidu n-Nafi`. (Rujukan: Paja Surakhi Zendegi, 168)



Maqamat Badiuzzaman Hamdani

1 comment:

Hamba Allah said...

BETUL USTAZ,MEHNAT INI PENTING BAGI ORANG SEDANG BELAJAR.

SAYA SESEKALI JUGA TERPENGARUH DENGAN KEHEBATAN ALIRAN, MADRASAH DAN SUKATAN..

SEPATUTNYA MEHNAT LAH NOMBOR SATU..

TERIMA KASIH, MENGINGATKAN..