Tuesday, February 9, 2010

Anekdot Ulama 19: Maulana Maseehullah Khan

Di antara perkara yang tidak dapat dilupakan waktu belajar di Darul Uloom Deoband ialah kenangan ketika menziarahi Maulana Maseehullah Khan (1911/12-1992). Sebelum itu nama Maulana sudahpun saya dengari sebagai seorang Sheikh yang hebat dari segi kerohanian. Maklumlah dia dikatakan salah seorang murid Hakimul Ummah Maulan Ashraf Ali Thanawi yang masih hidup di India pada waktu itu. Selain beliau, yang masih hidup lagi ketika itu ialah Maulana Abrarul Haq. Kemasyurannya menyebabkan terasa benar di hati ingin menziarahi beliau. Kalau dapat menatapi wajahnya pun sudah cukup. Pada suatu hari, saya berkesempatan menziarahi Maulana di madrasahnya Miftahul Uloom, di Jalalabad, yang jauhnya kira-kira satu jam perjalanan menaiki bus daripada Deoband.

Waktu saya menziarahi beliau, Maulana berada di sebuah bilik, tempat beliau menerima kunjungan tetamu. Kebetulan waktu itu waktu Maulana menerima kunjungan tetamu dan tidak ada tetamu lain melainkan saya dan teman yang mengiringi. Saya mengambil peluang untuk bersalam dengan Maulana. Beliau bertanya saya dari mana. Saya katakan saya pelajar Darul Uloom. Maulana dengan nada yang tawaduk mencelah yang kira-kira katanya begini: "Kamu tu pelajar wahai anakku...kamu sepatutnya menggunakan waktu untuk belajar bukannya datang jauh-jauh menziarahi aku. Apalah ada pada aku". Saya mengangguk-ngangguk dan hanya mampu mengukirkan senyuman. Kata-kata Maulana persis kata-kata guru kepada gurunya iaitu Maulana Rashid Ahmad Gangohi. Ketika Maulana Ashraf Ali Thanawi belajar di Deoband dia berhasrat untuk berbaiah dengan Maulana Rashid Ahmad di Gangoh yang juga terletak jauh daripada Deoband. Tetapi Maulana Rashid Ahmad menasihati Maulana Ashraf Ali Thanawi agar menumpukan pelajaran di Deoband. Usah berpindah-pindah menyebabkan masa terbuang. Masa belajar perlu digunakan sepenuhnya untuk belajar.

Lebih kurang setahun selepas itu, pada tanggal 12 November 1992, Darul Uloom melalui corong pembesar suaranya telah menyampaikan kepada seluruh penduduk Deoband suatu berita sedih tentang kembalinya Maulana Maseehullah Khan menemui Illahi. Dalam sekelip mata sahaja kampung Deoband yang hiruk pikuk dengan suara manusia telah menjadi senyap sunyi. Deoband yang selalunya penuh dengan lautan manusia tiba-tiba menjadi kosong. Khabarnya semua orang telah meninggalkan Deoband untuk pergi ke Jalalabad. Kerana itu saya turut serta di dalam kafilah mereka.

Di dalam perjalanan, saya amat terkejut kerana melihat bus-bus dipenuhi manusia hingga sampai ke bumbung. Mereka datang dari segenap pelusuk kawasan. Berita sampai begitu pantas. Apabila mendengar berita mereka terus sahaja meninggalkan pekerjaan masing-masing. Darul Uloom terus sahaja memberhentikan pengajian. Kesemua asatizah (guru-guru) menyertai mereka yang bergerak ke sana. Sesampainya di Madrasah Miftahul Uloom saya melihat manusia sudahpun membanjiri segenap jalan ke Madrasah. Tidak pernah dalam sejarah hidup saya melihat manusia seramai itu. Hampir kesemuanya berpakaian putih melambangkan bersihnya hati masing-masing.

Itulah kehebatan orang yang ikhlas kepada Tuhannya. Di dunia ini sahaja Allah sudahpun menunjukkan tanda-tanda bahawa ia dikasihi orang. Apatah lagi oleh Allah yang sifatnya Maha Pengasih dan lagi Maha Penyayang.

No comments: