Tuesday, May 8, 2012

Kembara Deoband 45: No 7 Ihata Bagh

Bilik No 7, Ihata Bagh menjadi rebutan di kalangan pelajar foreigner. Bilik ini agak selesa sedikit. Tidak pernah termimpi saya akan mendiaminya suatu hari. Ini kerana yang membiayai hostel ini ialah orang-orang Islam dari South Afrika dan England. Oleh itu pelajar merekalah yang menguasai bilik-bilik ini. Tapi takdir Allah menentukan saya dapat tinggal di bilik ini setelah keluarnya pelajar dari England bernama Abdullah yang pada ketika itu baru selesai pengajian Ifta iaitu kelas latihan memberikan fatwa.

Saya bertuah bukan kerana dapat mengecapi keselesaan bilik itu. Malah yang paling utama ialah ttg keberkatan bilik tersebut. Bilik itu telah menambahkan kepada saya sumber memperolehi ilmu. Saya tidak mempunyai duit yang cukup untuk membeli buku-buku apa lagi melanggan majalah dan suratkhabar. Walaupun saya tidak melanggan sebarang bahan bacaan tetapi setiap bulan bermacam-macam bahan bacaan di hantar oleh posman ke bilik saya yg baru ini. Rupa-rupanya mereka yang pernah tinggal di bilik ini banyak melanggan bacaan luar. Walaupun mereka telah tiada, pihak penerbit majalah tetap sahaja menghantarnya. Mungkin mereka berniat menghantarnya untuk tujuan dakwah, bukan berniaga semata-mata. 

Bilik No 7, Ihata Bagh inilah yang telah memperkenalkan kepada saya majalah Arab seperti Al Ba`thu Al Islami terbitan Nadwatul Ulama Lucknow, Sautul Ummah terbitan madrasah Ahlu Hadith Banaras. Begitu juga akhbar Al Ra`id juga terbitan Nadwatul Ulama Lucknow. Saya amat mengkagumi usaha mereka. Dalam kesusahan hidup miskin, serba kekurangan dari segi fasiliti dgn pembaca yang terhad dalam lingkungan komuniti madrasah sahaja mereka berjaya menghidupkan majalah dan akhbar berbahasa Arab itu.

No comments: