Monday, May 18, 2015

Anekdot Umrah 02: Lelaki Cacat Bertawaf

Sedaya yang mungkin saya cuba untuk memasuki ruang utama mataf supaya dapat tawaf berdekatan dengan Kaabah. Untuk itu saya terpaksa masuk ke masjid sekurang-kurangnya sejam lebih awal sebelum masuk waktu. Walaupun masih ada peluang untuk ke tingkat tawaf yang lain saya tidak mahu menjauhi Kaabah. Saya kira ramai yang begitu. Sebab itu mataf selalu penuh.Tidak kira daripada mana seseorang itu datang. Tidak kira macam mana bentuk fizikal tubuhnya. Tidak kira usianya.
Mata saya terpandang seorang lelaki kurang upaya. Ia berkerusi roda. Mungkin beliau daripada Afghanistan melihatkan wajah dan pakaiannya. Mengapa beliau tidak memilih ruang atas sahaja yang lebih selesa untuk orang seperti beliau. Dalam kesesakan manusia tawaf beliau begitu tenang dan yakin. Saya cuba mendekati beliau untuk melihat dari dekat adakah beliau tidak sihat atau sememang cacat anggota. Ramai mereka yang di luar dugaan kita sedang tawaf di Kaabah. Ada yang hanya kaki sebatang mengelilingi Kaabah dalam lautan manusia yang bertolak-tolak seperti ombak. Ada yang sudah bongkok tiga. Ada yang menjunjung anak. Bukan anak kecil tetapi anak yang sudahpun berumur belasan atau puluhan tetapi tidak bermaya. Mungkin untuk berdoa kepada Allah agar memulihkan kesihatannya yang tidak boleh berjalan. Tentunya mereka datang dari jauh. Imanlah yang memampukan mereka mengharungi semua itu. Ramai yang sihat dan berharta tetapi jauh hatinya daripada Kaabah. Ramai yang tinggal berdekatan dengan Kaabah tetapi hati mereka jauh darinya.
Sesungguhnya tawaf itu banyak pengajaran yang boleh mendidik diri kita yang sombong, tidak bersyukur, dan tidak berterima kasih kepada Allah SWT. Semoga Allah SWT mengekalkan kecintaan kita kepada Baitullah. Semoga kecintaan itu berpaut di mana-mana walaupun tidak lagi berada di sampingnya.





No comments: