Friday, October 15, 2010
Kembara Deoband 30: Suara Quran Di Naudarah
Thursday, October 14, 2010
Wahyu Dalam Bukhari
Wahyu Dan Niat
Oleh kerana wahyu bersumber daripada Allah swt dan Allah swt tidak memandang manusia berdasarkan rupa paras tetapi kepada hati seseorang maka wahyu hanya akan memberi faedah kepada orang yang mempunyai niat yang suci di dalam pencariannya tentang kehidupan. Untuk Nabi, baginda akan dianugerakan wahyu secara langsung daripada Allah swt. Manakala mereka dikalangan umatnya yang mempunyai keikhlasan yang tinggi terhadap agama Allah akan dipermudahkan mereka menerima hidayah dan pengajaran dari sumber wahyu.
Bentuk wahyu yang diturunkan kepada Nabi saw
1- Salsalatul-Jaras – Bunyi seperti bunyi loceng. Bagaimana hakikatnya tidak dijelaskan oleh mana-mana riwayat hadis. Namun di kalangan ulama ada yang mentafsirkannya sebagai bunyi malaikat atau bunyi sayap malaikat. Bentuk ini dikatakan bentuk yang paling sukar ditanggung oleh Rasulullah saw.
2- Tamathul-Malak – Malaikat menyerupai manusia. Kebanyakan malaikat yang membawa wahyu ialah Jibrail yang menyerupai seorang sahabat bernama Dahyah Al-Kalbi. Ada kalanya menyerupai lelaki yang tidak dikenali. Ia dianggap sebagai bentuk wahyu yang paling ringan.
3- Malaikat Jibrail – Malaikat Jibrail datang dengan bentuknya yang asal. Diriwayatkan ianya berlaku sebanyak 3 kali walaupun salah satu daripada riwayat tersebut agak lemah periwayatannya.
4- Ru'yah Sadiqah – Mimpi benar. Rasulullah saw melihat cahaya putih seumpama cahaya di waktu subuh. Peristiwa ini berlaku sebelum turunnya Al-Quran. Wahyu ini menyebabkan Rasulullah saw mula menyendiri, bertafakkur dan beribadat di tempat yang sunyi, jauh daripada kesibukan manusia, di sebuah gua yang dinamakan gua Hiraq.
5- Kalam Ilahi – Allah swt bercakap terus dengan Rasulullah saw dalam peristiwa mi`raj seumpama Allah swt bercakap dengan Nabi Musa as. (Al-Itqan)
6- Nafas Fi r-Rau`– Malaikat Jibrail (Ruhul Qudus) meniupkan sesuatu ke dalam hati Nabi saw berupa wahyu sebagaimana hadis menyebut bahawa
إنَّ رُوح القُدسِ نَفَثَ في رُوعي أنه لن تَمُوتَ نفس حتى تستكمل رِزْقها وأجَلَها (جامع الأصول)
أَنَّ جِبْرِيلَ عَلَيهِ السَّلاَمُ أَلْقَى فِي رَوْعِي أَنَّ أَحَدًا مِنْكُمْ لَنْ يَخْرُجَ مِنَ الدُّنْيَا حَتىَّ يَسْتَكْمِلَ َرِزْقَهُ (الحاكم)
(Al-Itqan)
Keenam-enam bentuk itu boleh dibahagikan hanya kepada dua bahagian.
- Wahyu Ilahi – samada Allah mencampakkan terus ke dalam hati Rasullah saw tentang sesuatu perkara yang dinamakan Wahyu Qalbi atau bercakap secara langsung dengan baginda Rasulullah saw yang dinamakan Kalam Ilahi.
- Wahyu Malaki – wahyu melalui perantaraan malaikat. Lazimnya malaikat Jibrail. Namun ada riwayat mengatakan malaikat Israfil menurunkan wahyu ketika zaman fatarat iaitu zaman wahyu dihentikan daripada turun buat sementara waktu. Namun riwayat ini diperselisihkan oleh ulama hadis tentang keautoritiannya walaupun Ibn Hajar cenderung menerimanya.
Hikmah Bentuk Wahyu Yang Berbagai-bagai
- Menunjukkan wahyu bukan datang dari Muhammad saw tetapi dari sumber ghaib yang hanya boleh dilihat oleh orang biasa melalui penjelmaannya sahaja.
- Menyakinkan umat bahawa agama yang dibawa oleh Nabi saw adalah dari sumber yang benar.
- Menunjukkan Allah mengatur sesuatu mengikut fitrah manusia. Manusia perlu difokuskan untuk sesuatu perkara yang penting dengan memalingkannya daripada tertumpu kepada perkara yang lain. Keadaan wahyu yang seumpama itu menumpukan Rasul saw kepada apa yang dialaminya dan menumpukan umah kepada apa yang dialami oleh Rasulnya.
Beberapa Situasi Penerimaan Wahyu
- Keadaan Nabi saw
- Nabi berpeluh walupun di musim sejuk.
- Nabi lebih bersifat pemurah terutama di bulan Ramadhan.
- Nabi berkumat- kamit membaca Al-Quran bimbang ianya terlupa
- Keadaan Ahli Kitab
- Waraqah bin Naufal yang mengetahui sifat Nabi akhir zaman beriman dengan Nabi saw.
- Mereka mengetahui Nabi akhir zaman akan bangkit seperti hal Heraclius dan Dhughatir, teman Heraclius.
- Heraclius yang mengetahui sifat Nabi akhir zaman dan menunggu-nunggu kedatangannya namun akhirnya tidak beriman dengan Nabi saw.
- Dhughatir yang mengetahui sifat Nabi akhir zaman dan menunggu-nunggu kedatangannya akhirnya beriman dengan Nabi saw dan mati dibunuh oleh rakyat yang fanatik kepada agama Kristian mereka.
- Keadaan Musyrikin
- Menolak apa yang di bawa oleh Muhammad saw tetapi mengakui sifat-sifat terpuji yang dimiliki oleh Nabi.
- Mengetahui masa depan cerah terhadap agama ini.
- Ada yang menolak, kemudian beriman seperti Abu Sufiyan dalam peristiwa pertemuan dengan Heraclius.
Sunday, October 10, 2010
Anekdot Ulama 37: Maulana Salman An Nadawi
Dua tiga hari yang lepas saya diberitahu tentang kunjungan Maulana Salman ke Malaysia. Di Radio IKIM juga diiklankan program penyampaian sanad hadis oleh Maulana di rumah Ba`lawi di belakang zoo negara yang akan diadakan selepas maghrib pada 9/10/2010 hari sabtu. Saya dan isteri ke sana. Ketika saya melihat Maulana Salman tahun 90an dahulu dia berjanggut hitam tetapi malam itu saya melihat janggut Maulana sudahpun bertukar menjadi putih. Itu menandakan umur Maulana sudahpun meningkat dan ilmunya menjadi semakin matang. Sebelum menyampaikan sanad Maulana memberi satu tazkirah tentang pentingnya berpegang kepada Quran dan Sunnah. Maulana juga berpesan kepada yang hadir agar memandang sanad yang diberikan olehnya itu sebagai satu amanah dan bukannya taqlid atau adat semata-mata. Maulana diiringi oleh Ustaz Fahmi ZamZam yang merupakan anak muridnya ketika di Nadwah. Ustaz memberitahu dia belajar kitab Tirmizi dengan MAulana Salaman pada tahun 1980.
Rumah Ba`lawi terletak di kawasan perumahan mewah. Rumah itu juga termasuk rumah orang kaya-kaya. Saya difahamkan rumah itu juga dijadikan tempat mengendalikan program ilmu Ustaz Fahmin Zamzam. Di dinding-dindingnya banyak gambar. Ada foto ulama. Ada frame hiasan ayat-ayat dan kalimah Allah. Ada gambar-gambar peninggalan nabi saw seperti serban, pedang dsb. Di dinding menaiki tangga terdapat satu gambar besar Sheikh Alawi Maliki. Secara peribadi saya amat gelisah dengan gambar-gambar manusia yang diletakkan sebegitu. Teringat saya kepada satu peristiwa ketika saya belum lagi ke India. Saya diajak oleh kawan mengunjungi rumah Raja Azman yang merupakan orang penting dalam tariqat yang dibawa oleh Sheikh dari Cyprus, Sheikh Nizamuddin Kabbani. Bila saya masuk saya lihat satu potret Sheikh Nizamuddin yang sangat besar digantung di dinding rumahnya. Waktu itu lagi saya tak berapa senang dengan tabiat mengantung-gantungkan gambar Sheikh sebegitu. Bila belajar di India saya dapati ulama-ulama India Deobandi sangat keras dengan gambar. Mereka mengizinkannya sekadar keperluan sahaja spt utk passport, kad pengenalan, lesen, isi borang dsb. Mereka juga bertasawwuf tetapi anak murid tidak dibenarkan mengambil gambar sheikh apa lagi menggantungkannya. Pada saya biarlah kita mencintai ulama di hati, bukan dengan menggantungkan gambarnya dengan gambar2 yang besar di rumah. Kalau mahu cukuplah simpan dalam album. Atau dalam bentuk yang tidak menampakan ta`zim. Gejala seperti ini boleh membawa kepada tashyabbuh dengan orang kafir dan syiah. Raya baru ini saya balik ke Kelantan. Saya bersolat di dua buah surau di Pasir Hor berdekatan dengan rumah adik saya. Saya dapati kedua-dua surau itu menggantungkan dua potret besar Tok Guru di pintu masuk dewan utama solat!!!! Hati saya berkata: "rumah ibadat dah jadi seperti kedai gambar!!!
Monday, October 4, 2010
Kembara Deoband 29: Raya Di Deoband-3
Raya di Deoband hanya satu hari sahaja. Sehari dua selepas itu Darul Uloom akan mula dibuka untuk pelajar-pelajar baru menduduki peperiksaan bagi pengambilan baru. Pelajar lama akan datang di pertengahan Syawal. Saya juga tidak melihat masyarakat Deoband ke kubur pada musim raya. Ini mungkin kesan pengaruh Darul Uloom yang amat ketat sikapnya terhadap kubur. Kalaupun ada yang menziarahi mereka hanya berdiri sekejap sahaja di perkarangan perkuburan membaca Al Fatihah dan apa yang patut. Selepas itu mereka pergi dengan pantas.
Kembara Deoband 28: Raya Di Deoband-2
Selesai khutbah semua bersurai. Mereka bermuanaqah sesama kenalan. Ketika pulang ada yang membeli mithai untuk dibawa ke rumah sanak-saudara atau kenalan. Kuih-kuih hari raya semuanya jenis mithai. Kuihnya tidak seperti di Malaysia. Tiada kuih khusus untuk hari raya. Hanya mithai yang dijual. Mithai bukan hanya didapati pada musim hari raya malah sepanjang tahun dijual. Cuma pada hari raya ramai juga pekedai-pekedai Islam mengambil inisiatif menjual mithai walaupun kualitinya tidak berapa bagus. Tidak kira Islam atau Hindu semuanya meminati mithai. Di India orang Hindu menguasai perniagaan mithai. Orang Islam pun membeli mithai daripada kedai orang Hindu. Maulana yang besar-besar pun makan mithai daripada kedai Hindu. Di Deoband kedai mithai yang terkenal ialah kedai Rastogi. Pelajar Darul Uloom kadang-kadang kelihatan memasuki kedai Rastogi. Tak ramai memasukinya kerana harga mithainya mahal-mahal bagi student madrasah. Kedai Rastogi terkenal kerana susu yang digunakkan agak asli menjadikan mithainya lebih enak dirasa. Antara nama-nama mithai itu ialah rasgula, jelebi, samosa manis, gajar halwa, bermacam laddu, bermacam burfi, rabri dan bermacam lagi nama yang kesemuanya milk based kecuali jelebi.
Sunday, October 3, 2010
Kembara Deoband 27: Raya Di Deoband-1
Pada hari terakhir Ramadhan, selepas sahaja menunaikan solat maghrib penduduk Deoband akan naik ke bumbung rumah masing-masing untuk melihat anak bulan Syawal. Saya pula biasanya akan naik ke bumbung Masjid Choti tempat yang selalu saya berjemaah. Kebiasaannya kami semua nampak anak bulan. Sebaik sahaja anak bulan kelihatan pihak Darul Uloom akan memukul gendang tembaganya. Suaran pukulan itu akan didengari oleh hampir kesemua penduduk Deoband. Anak-anak kecil akan bersorak riang tanda mereka sudah boleh beraya.
Malam itu penduduk Deoband khasnya kaum wanita akan sibuk memasak syeer. Syer ialah sejenis masakan yang akan dihidangkan khususnya pada hari raya puasa. Boleh dikatakan semua rumah menghidangkan syer. Walaupun begitu kualiti masakan syer berbeza-beza daripada rumah ke rumah. Bagi mereka yang agak kaya masakan syer mereka lebih enak kerana mempunyai campuran daripada bahan-bahan yang agak mahak. Syer dibuat daripada susu lembu asli. Ia direbus lama bersama-sama dengan bahan-bahan seperti badam, kishmis, biji gajus, sawayya, za`faran, kurma, chuara, kacang dsb. Itulah makanan tradisional mereka. Tidak ada makanan moden seperti kek atau biskut yang beraneka ragam dihidangkan.
Sunday, September 5, 2010
Kembara Deoband 26: Qiyamulalil Di Masjid UIA Dan Darul Uloom
1- Dari segi pakaian. Hampir semua yang beriktikaf di Darul Uloom berpakaian serba putih. Samada berjubah, berkurta pajama atau bersarong. Tiada yang memakai seluar. Di UIA beraneka ragam sesuai dengan latarbelakang kehidupan masing-masing. Tahukah anda Darul Uloom masih mengharamkan pemakaian baju seluar yang mereka panggil pant shirt kerana tasahbbuh dengan orang putih nasara!
2- Dari segi jantina. Semua muktakif adalah lelaki di Darul Uloom. Tiada wanita langsung. Malah tiada ruangan untuk wanita. Sememangnya masjid di Utara India tidak menyediakan ruangan untuk wanita bersolat kerana mereka berpendapat masjid wanita ialah di rumah. Namun saya ada mendengar berita tentang ada ruanagn untuk wanita di masjid di Universiti Aligarh. Di UIA jemaah wanita tidak kurang ramainya jika dibandingkan dengan lelaki.
3- Dari segi umur. Kanak-kanak jarang kelihatan. Kalau adapun mereka yang datang dari luar negara seperti England atau South Afrika. Itu fenomena di Darul Uloom. Di UIA ceria dengan suara kanak-kanak. Malah bayi juga dibawa bersama.
4- Dari segi masa. Rata-rata yang beriktikaf dari awal Ramadhan lagi. Mereka tidak akan keluar masjid sehinggalah habis Ramadhan. Ada yang solat raya di Darul Uloom. Ada yang terus pulang. Sebaliknya rata-rata mereka yang beriktikaf di UIA hanya di akhir 10 Ramadahan sahaja. Itupun hanya di sebelah malam sahaja. Sebab perbezaan kerana berbezanya zuruf kehidupan.
5- Dari segi adab. Beriktikaf di Darul Uloom penuh dengan adab. Masing-masing menjaga adab beribadat dan adab duduk dalam masjid. Jika tidak mereka akan ditegur oleh jiran sebelah. Mereka menjaga adab ketika membaca Al Quran. Adab memegang Al Quran. Adab tidur dsb. Di UIA adab-adab kurang dijaga. Ada yang bersembang berterusan. Ada yang melayari melihat internet dalam masjid. Ada yang meletakkan Al Quran di atas carpet ketika solat seperti mereka meletakkan buku-buku lain. Ada yang membaca Al Quran sambil membukanya dengan keadaan berbaring.
6- Dari segi sahur. Mereka bersahur bersama-sama di Darul Uloom dengan hamparan yang panjang. Mereka bersahur secara berjemaah. Sahur yang simple. Adab-adab makan sangat lah dijaga supaya mengikut sunnah. Tiada pembaziran. Sahur di UIA berselerak. Sisa-sisa makanan dilempar di sana-sini. Tong-tong sampah sarat dengan sampah sehingga termuntah keluar.




