Tuesday, September 25, 2012

Kembara Deoband 50: Kegeniusan Maulana Mirza

Saya banyak kali mendengar nama Mirza daripada beberapa orang pelajar senior. Mereka selalu bertandang ke bilik Mirza kerana ingin menadah kitab dengannya. Ini kerana Mirza boleh bercakap Arab. Mirza sebelum itu belajar di Saharanpur. Setelah tamat belajar dia tinggal di Deoband. Saya tidak pasti apakah yang dibuat oleh Mirza pada waktu itu. Pelajar Malaysia yang senior rata-rata datang untuk setahun dua sahaja. Oleh itu mereka tidak mengusai bahasa Urdu. Ini menyebabkan mereka mencari mereka yang pandai bercakap Arab untuk mengajar mereka kitab-kitab yang diajar di Darul Uloom terutama beberapa kitab-kitab asas dalam ilmu nahu, mantik dan syair Arab yang hanya diajar di madrasah India/Pakistan. Antara yang menjadi tumpuan mereka ialah seorang yang bernama Mirza. Saya tidak begitu kisah dengan Mirza atau siapa sahaja kerana saya pelajar baru dan hanya menumpukan kepada kelas sahaja. Pelajar senior spt Abdul Rashid dan  Iskandar selalu menyebut nama Mirza. Malah diceritakan bahawa Mirza pernah meminjam duit daripada Abdul Rashid. Sebagai bayarannya beliau minta Mirza menterjemahkan kepadanya kitab nahu berbahasa Parsi kedalam bahasa Arab iaitu "Nahu Mir". Khabarnya kitab itu siap diterjemahkan oleh Mirza.

                                            "Nahu Mir " berbahasa Parsi oleh Mir Sayyid Syarif Jurjani. 
Kitab Nahu Permulaan untuk Mempejari Bahasa Arab


 Kitab Terjemahan "Nahu Mir "dlm Bahasa Arab oleh Hamid Husain Bangladeshi yang saya perolehi bertahun-tahun selepas terjemahan Mirza

Suatu malam di musim sejuk saya dan Syarif makan-makan di kedai Sa`idiyah yang terletak berhadapan dengan Darul Uloom. Makan halwa gajar dan  telur rebus berserta dud patti. Itulah makanan favorite penduduk pekan Deoband pada waktu malam di musim sejuk. Syarif menunjukkan kepada saya seorang lelaki di hujung sana yang sedang makan. Kata Syarif itulah Mirza, orang yang selalu dikunjungi oleh pelajar Malaysia. Saya belum kenal dgn Mirza dan itulah kali pertama dan terakhir saya melihat beliau. Selepas itu saya hanya mendengar cerita ttg beliau sahaja. Wajahnya  seingat saya spt Maulana Asri Darul Kauthar cuma Mirza agak gelap kulitnya. 

Mirza berasal daripada Jaunpur. Beliau mendapat pendidikan awal di Madrasah Mazahir Uloom Saharanpur. Ketika belajar dia seorang yang rajin. Walaupun umurnya masih belasan tetapi visinya jauh. Kehebatannya saya ketahui apabila membaca kitab yang ditulis olehnya di waktu usia beliau masih belasan tahun. Sebuah kitab syarah urdu kepada Syarah Miatul Amil  setebal 568 mukasurat yang berjudul Al Dhiya Al Kamil (الضياء الكامل) sempena nama guru beliau yang mengajar kitab tersebut iaitu Maulana Ziaul Haq    (ضياء الحق). Maulana Ziaul Haq juga adalah guru kepada muhadith Maulana Yunus Jaunpuri. Ianya merupakan kitab syarah yang paling tebal di kalangan syarah-syarah yang ada. Beliau  menjadikan hasyiah berbahasa Parsi oleh Maulana Ilahi Bakhs Faidhabadi sebagai rujukan utama di samping  catitan pengajaran gurunya. Dia menanam semangat untuk menulis syarah itu ketika masih belajar. Namun kerana selalu sakit beliau menangguhkannya. Apabila sembuh dia menulisnya dan siap ketika hanya berumur lebih kurang 17 tahun. Masa yang diambil hanyalah sebanyak 26 hari sahaja. Kitab ini mendapat penghargaan kata penghantar oleh Maulana Ziaul Haq sendiri dan Maulana Qari Siddiq yang banyak menulis kitab nahu saraf  dalam bahasa Urdu.


                                                     Kitab Syarah  Urdu "Syarah Miatu     Amil"  oleh Maulana Mirza                          

Suatu hari saya meminta Bayya Tauhid memeriksa buku akaun pelajar-pelajar Malaysia yang dah balik tetapi belum membayar hutang di kedai runcitnya untuk saya uruskan pembayaran . Setelah menyebut nama-nama dan jumlah hutang mereka Bayya Tauhid menyebut juga nama Mirza. Kata Bayya Mirza suatu ketika menyewa satu bilik berdekatan dengan rumahnya. Suatu hari Mirza ke Bombay. Selepas itu dia tidak balik-balik, meninggalkan biliknya begitu sahaja. Bertahun tahun berlalu, tidak ada khabar berita tentangnya. Ada yang mengatakan dia dah mati di Bombay ketika huru hara antara Muslim dengan Hindu. Ada yang mengatakan ternampak kelibat Mirza di Bombay masih hidup.
                                                           
Apapun terjadi Maulana Mirza telah meninggalkan khazanah penting untuk kehidupan saya. Semuga Allah mempermudahkan hidupnya jika dia masih hidup dan mengampunkannya dan memasukannya bersama-sama dengan orang-orang yang beriman. Kemunculan Maulana Mirza Abdul Aziz Shamsad Ahmad Beg bin Mirza Muhammad Idris bin Mirza Nizamuddin bin Mirza Ilahi  Bakhshillah Sungri Jaunpuri ini dalam kehidupan saya di Deoband sebenarnya  mempunyai seribu makna yang tersembunyi. 

 Matan "Syarah Miatu Amil "oleh 
                                                                  Abdul Rahman Jami
                                             
                                                     

Friday, September 21, 2012

Kembara Deoband 49: Maulana Jaafar Bangladeshi

Masjid Choti mempunyai sebuah bilik kecil depan pintu masuknya. Ada seorang lelaki berbadan kurus kulit kegelap-gelapan tinggal di situ. Setiap kali saya ke masjid itu saya melihat dia sibuk mentelaah kitab. Di waktu lapang biliknya akan sentiasa diziarahi oleh orang. Kebanyakkannya datang untuk menadah kitab. Dengar cerita dia seorang yang alim terutama ilmu ma`qulat. Dia datang selepas ramai pelajar Malaysia sudah meninggalkan Deoband. Ketika dia datang dia memilih untuk memasuki Darul Uloom (Wakaf) tempat anak muhadith Maulana Anwar Shah Kashmiri mengajar. Namanya Jafaar datang dari Bangladesh. Jafaar tidak memiliki apa-apa sijil. Dia menduduki peperiksaan kemasukan walaupun tidak bersijil. Sesiapa boleh menduduki peperiksaan itu. Setelah lulus barulah akan diminta dokumen. Kertas jawapan Jafaar menakjubkan guru-guru Darul Uloom Wakaf. Maulana Anzar Shah Kashmii (anak Allamah Kashmiri) memanggil beliau untuk melihat orangnya. Waktu itu jarang sudah yang dapat mengusai ilmu ma`qulat dengan baik. Jafaar berpeluang mempelajari ilmu-ilmu itu daripada guru-guru di sana walaupun sudah tidak ramai yang mengusainya. Hatta Darul Uloom sendiri sudah tidak menumpukan ilmu ma`qulat. Amat jarang sekali kedengaran  kitab-kitab seperti Qadhi Mubaraq, Hamdallah, Shamsu Bazighah, , Musamarah, Mulla Hasan, Musallmusubut etc diajar.  

Kebolehan Jafar akhirnya menyebabkan Maulana Anzar Shah selaku ketua asatizah di Darul Uloom Waqaf  mengambil beliau sebagai tenaga pengajar selepas tamat Daurah. Beliau mengajar di situ tetapi atas tiket pelajar kerana orang asing tidak dibenarkan bekerja melainkan mendapat permit daripada kerajaan. Bertahun-tahun Jafar disitu. Peningkatannya juga amat baik dan cepat. Dia diberi kepercayaan mengajar kitab yang besar-besar. Dia bertahan di situ kerana saya masih ada disitu katanya. Masih ada teman kalau ke pejabat polis untuk sambung permit. Jafar tidak tahu sampai bila dia akan berada disitu. Darul Uloom Waqaf pula tidak mempunyai keupayaan untuk menukarkan status beliau daripada pelajar kepada guru. Jafar bertambah rungsing bila saya bercadang untuk pulang. Saya mencadangkannya buat MA di UIA dan seterusnya. Mengenai biaya rakan-rakan yang mengenali Jafar sedia membantu. Yusuf dari Chicago sentiasa bertandang di bilik Jafar utk menceduk ilmunya. Yusuf pulang awal dan sanggup menolong Jafar jika dia diterima masuk UIA. Malangnya Jafar tidak memiliki dokumen yang lengkap. Hanya sijil Darul Uloom Deoband Waqaf  untuk tempoh 2 tahun sj. Belum layak dikatakan BA. Saya menghantar permohonan beliau kepada kawan-kawan di UIA utk dimajukan. Akhirnya permohonan beliau ditolak kerana dokumen tak cukup syarat. 

Ketika saya pulang tahun 2004 Jafar masih mengajar di Darul Uloom Waqaf. Apabila saya melawat Deoband tahun 2009 Jafar sudah tiada. Dia sudah pulang. Saya tidak tahu di mana dia sekarang tetapi wajahnya yang sentiasa senyum masih terpahat dalam ingatan saya. Saya tidak pernah melihat orang serajin beliau membaca buku dan cintakan ilmu. Jafar seorang yang miskin. Dia tidak memilki sumber bantuan daripada mana-mana pihak. Hanya mengharapkan pendidikan percuma di Darul uloom. Pada awalnya dia mengajar di Darul Uloom Waqaf tanpa apa-apa bayaran kemudian barulah diberikan saguhati..

Sunday, September 16, 2012

Buku: Talkhis Hujjatulllah Balighah Shah Waliyullah

Shah Waliyullah (1703-1762) menulis melebihi 50 buah kitab. Antara yang banyak digunakan ialah Fathul Rahman fi Tarjamatil Quran, Al Fauzul Al Kabir, Syarh Tarajim Abwab Bukhari, Aqd Al Jid, Tafhimat Ilahiyyat, Al Qaul Al Jamil, Al Musaffa Syarh Muuwatta`, Syifa Al Qulub, Al Luma`at dan Hujjatullah Balighah. Antara semua itu Hujjatullah Balighahlah yang memuncakkan nama Shah Waliyullah di persada antarabangsa. Oleh kerana itu banyak usaha dilakukan ke atas kitab Hujjatullah Balighah ini oleh berbagai lapisan ulama dan ahli akedemi untuk mengenegahkan pemikiran Shah Waliyullah melalui kitab tersebut. Ulama-ulama di Benua Kecil India juga turut memainkan peranan mereka dan boelh dikatakan mereka lebih berhak dalam penyebaran ini berdasarkan faktor geografi, pewarisan ilmu dan pengamalan dari turun temurun semenjak zaman Shah Waliyullah lagi. Dengan sebab itu kitab Shah Waliyullah ini dijadikan sebagai silibus di kebanyakan madrasah India-Pakistan. Tidak kurang juga yang menjadikan bahan bacaan peribadi.  Mereka juga melakukan penterjemahan, peringkasan  dan  pensyarahannya ke dalam bahasa Urdu. Antara kitab ringkasan kepada kitab Hujatullah yang terdapat di rak-rak toko buku negara India Pakistan ialah Talkhis Hujjatul Allah Balighah.

Kitab Talkhis Hujjatul Allah Balighah ini di karang oleh Sayyid Radiyuddin Ahmad Fakhri dalam bahasa Urdu. Ianya adalah ringkasan kepada kitab Hujatullah Balighah. Disediakan sebagai alternatif kepada mereka yang tidak mempunyai masa yang cukup untuk membaca kitab asal Hujatullah juga sebagai khulasah untuk memahami point penting kitab tersebut. Kitab Talkhis ini sangat unik kerana ia merupakan cubaan kali yang ketiga pengarang untuk menghidangkannya kepada pembaca. Manuskript pertama hilang. Kemudian beliau menulis semula. Setelah siapa manuslkript kedua ini juga hilang. Untuk kali yang ketiga barulah ia berjaya disiapkan semula dan berjaya juga dicetak. Kitab ini hanya merangkumi 272 mukasurat bersaiz kecil  iaitu 8.50 X 5.50 inci. Cetakan Darul Isyaat Dehli.  

Wednesday, August 22, 2012

Anekdot Ulama 43: Mimpi Shah Waliyullah Tentang Syiah

Shah Waliyullah merakamkan 40 buah mimpi pertemuan denagan Nabi saw dlm sebuah risalah yang dinamakannya sebagai Al Durru Al Thamin fi Mubassyiraat Al Nabiy Al Amin. Mimpi pertemuan dengan Rasulullah saw  ialah apa yang dialaminya sendiri berserta dengan apa yang didengari daripada ayahndanya, gurunya Abu Tahir dan mereka yang solih yang mempunyai hubungan yang rapat dengan beliau. Antara mimpi tersebut ialah tentang penjelasan Rasulullah saw berkenaan dengan Syiah. Mimpi yang dirakam itu ialah mimpi yang ke sembilan iaitu:
                    "Aku bertanya Rasulullah saw satu soalan rohani berkenaan dengan Syiah. Baginda mengisyaratkan kepadaku bahawa mazahab mereka batil. Kebatilan mazhab mereka boleh dilihat menerusi lafaz Imam. Apabila aku sedar aku mengetahui bahawa Imam di sisi mereka adalah maksum, wajib ditaati dan seorang yang diwahyukan secara wahyu batin. Ini semua makna Nabi. Fahaman mereka ini sudah tentu membawa kepada pengingkaran terhadap khatam nubuwwah (Finality of Prophethood). Semoga Allah memburukkan hal mereka". [Perhatian: Ini bukan bermakna Shah Waliyullah menjadikan mimpi sebagai dalil. Shah Waliyullah tidak menjadikan mimpi sebagai hujah syari`]
(Petikan: Al Rasail Al Thalath, Al Fadhl Al Mubin fi Al Musalsal min Hadith Al Nabiy Al Amin, karangan Shah Waliyullah Dehlawi, cetakan Darul Kitab Deoband, m/s 158).

Wednesday, July 18, 2012

Isteri Muhadith Maulana Husain Ahmad Madani Meninggal Dunia

Maulana Husain Ahmad Madani ialah guru kepada ramai pelajar Malaysia pada tahun lima puluhan. Beliau juga guru kepada Tuan Guru Nik Abd Aziz, menteri besar Kelantan. Maulanai Madani meninggal pada tahun 1957. Pada 5hb July 2012 baru-baru ini isteri beliau pula meninggal dunia dalam usia menjangkau 102 tahun.   Beliau ialah ibu kepada guru hadith saya Maulana Arshad Madani yang waktu itu mengajar kitab Tirmizi jilid 2. Jenazah disembahyangkan oleh Maulana sendiri diperkarangan Darul Uloom Deoband. Gambar menunjukan jenazah diusung di perkarangan Darul Uloom oleh para pelajar, asatizah dan mu`taqidin Darul Uloom. Tak lama kemudian isteri bekas guru besar Darul Uloom Deoband Almarhum Maulana Marghuburahman (guru besar ketika saya menjadi pelajar) pula menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 10hb July 2012 pada usia 95 tahun. Semoga Allah merahmati roh mereka berdua, Ameen.

Sunday, July 15, 2012

Kolah di Kemboja

Ustaz Salleh daripada Kemboja mengirimkan gambar-gambar projek pembinaan infrastruktur madrasah Nurul Iman di bawah kelolaannya hasil derma masyarakat Malaysia melalui saya dan sahabat-sahabat semua. Pihak madrasah mengucapkan jutaan terimakasih kepada penderma. Hanya Allah yang akan membalas niat ikhlas kita semua dalam membantu pendidikan Islam di Kemboja.


.

Sunday, July 1, 2012

Kembara Deoband 48: Bertimbun Penyakit

Sakit dalam perut belum lagi sembuh tiba-tiba saya diserang oleh penyakit kencing yang tidak berhenti-henti. Hampir setiap saat hendak kencing. Bukan lagi hendak tetapi perlu kencing. Untuk menemui doktor juga amat sukar. Saya terpaks menahan kencing untuk ke klinik. Klinik pula penuh dengan pesakit dan tidak ada kemudahan tandas. Doktor tidak dapat menjelaskan dengan jelas apakah nama dan punca penyakit saya itu.  Dia hanya memberikan ubat. Saya rasa ekoran masalah perut..menjangkiti pundi-pundi kencing. Saya bertambah bimbang kerana tahun itu ialah tahun Daurah Hadith, iaitu tahun akhir saya. Belumpun selesai  penyakit kencing satu lagi penyakit ganjil menyerang saya. Tubuh saya akan terasa pedih jika terkena angin kipas. Saya sentiasa berasa sejuk walaupun di musim panas. Saya perlu berselimut ataupun memakai baju sejuk untuk mengurangkan rasa sejuk itu. Kemudian saya diserang oleh penyakit mata. Saya tidak mampu untuk tinggal dalam bilik kerana faktor mata saya memerlukan tahap kecerahan tertentu. Bilik saya cukup cerah tetapi mata saya akan berasa senak dengan keamatan cahayanya. Puas berubat tetapi tidak sembuh-sembuh. Akhirnya saya memasang enam buah lampu kalimantan padahal saiz bilik saya itu cukup dengan satu kalimantan sahaja. Lama-lama ia semakin baik. Dari emnam menjadi lima, empat, tiga dan dua. Tak pernah turun kepada satu sehinggalah pulang. Saya membawa semua penyakit-penyakit itu pulang berserta dengan kitab-kitab. Kesemuanya masih ada tetapi semakin berkurangan. Saya amat kuat berpantang. Tidak memakan sebarang makan yang pedas-pedas. Ubat homoepathy masih saya makan tetapi tidak sekerap dahulu. Kadang berbulan-bulan saya tidak makan kerana rasa perut dah agak ok. Kadang terasa sunyi kalau tidak makan ubat kerana terlalu lama mengamalkannya. Berkat sakit saya belajar "berpantang" dan tak ikut nafsu makan. Bila terasa agak sembuh nafsu makan datang kembali. Maka berlakulah pertarungan antara keperitan sejarah lalu dengan keinginan mengecapi nikmat makan.





Catatan kekerapan kencing yang 
saya rakamkan dlm buku catatan kecil
Pani=Air; Chai=Teh Susu (lembu); Ur=Urine