Tuesday, October 7, 2014

Anekdot Ulama 65: Maulana Wan Izuddin Wan Ibrahim

Maulana Wan Mohd Izuddin B. Wan Ibrahim, Kg Gajah Mati Pendang adalah ulama Kedah yang pernah menuntut di Darul Uloom Deoband. Beliau tamat mengaji di Darul Uloom pada tahun 1970 bersama-sama dengan 22 orang pelajar Malaysia yang lain. Antaranya Prof Selamat Hashim dari Muar Johor. Maulana tak putus-putus dikunjugi oleh para pelajar dan asatizah sampai sekarang dengan pelbagai tujuan. Semoga Allah SWT memanjangkan usia beliau dengan kesihatan yang baik.

Anekdot Ulama 64: Buku Maulana Taqi Usmani

Saya memberitahu isteri saya yang juga seorang pensyarah bahawa kalaulah saya seorang pensyarah universiti banyak dah kertas kerja saya boleh tulis tentang Maulana Taqi Usmani seperti orang putih yang banyak tulis tentang pelbagai aspek tokoh tertentu seperti mengenai Shah Waliyullah Dehlawi dsb. 

Ini kerana kami mempunyai hampir kesemua buku tulisannya yang sebahagian besarnya dalam bahasa Urdu. Hampir kesemuanya saya telah membacanya samada keseluruhan kitab atau secara sepintas lalu. Kitab beliau menyentuh pelbagai aspek. termasuklah bab Hadth, Fekah, Fatwa, Ulum Quran, Ekonomi, Tasawuf,, Biografi, Politik, Sejarah dsb...


 Sebagai Koleksi Buku Maulana Taqi Milik Kami


Budaya ilmu di Pakistan antara punca mengandakan penerbitan buku-buku Maulana Taqi walaupun kadang-kadang tulisan beliau hanyalah salinan daripada pidato, ceramah atau catatan perjalanan beliau. Ertinya ada orang yang menyalin. Ada yang sudi menerbitkan. Ada pula yang menunggu-nunggu untuk membaca.
Bukunya seperti "Jahan Didah", "Duniye mere aage" dan beberapa buah lagi yang seumpamanya agaknya seperti "Kembara Deoband" saya dari segi catatan pengalama peribadi.

Bukunya seperti "Nuqus Raftgan" seperti "Anekdot Ulama" saya. Manakala buku "Tabsirae" seperti catatan "Kitab" saya dalam blog ibnnawi. Hal ini berlaku secara kebetulan kerana saya bukan meniru beliau.

Kalaulah saya orang India atau Pakistan agaknya catatan saya akan disalin semula, diedit, diterbitkan dan dibaca oleh mereka jika mereka merasai ada sesuatu yang berharga di dalamnya.
Inilah agaknyai antara dilema penulis di tempat kita. Mahu tulis apa dan untuk siapa?
gambar: sebahagian rak buku beliau di bilik saya

Anekdot Ulama 63: Nasihat Maulana Taqi Usmani

Dalam satu tulisannya Maulana Taqi Usmani mengambarkan bahawa para maulana dan madrasah di India-Pakistan boleh dikatakan berjaya mewujudkan sistem pendidikan agama yang mantap tetapi agak gagal mendidik masyarakat ke arah muamalat yang sahih dan akhlak yang terpuji. Saya "like" lah keluhannya itu kerana ada sedikit pengalaman dulu dan sekarang.

Malam tadi saya mendendangkan kepada isteri satu kisah yang diceritakan oleh Maulana Taqi Usmani tentang ketajuban beliau dengan akhlak masyarakat Barat yang tiada pada masyarakat Pakistan secara khususnya dan masyarakat Islam secara amnya.

Ringkas cerita, beliau di sebuah airport di London. Dia memasuki sebuah kedai "Encyclopaedia Britannica" di airport tersebut. Matanya terpandang sebuah buku yang agung bertajuk "Great Books". Sekian lama buku ini dicari untuk perpustakaan madrasahnya. Buku koleksi penulis-penulis agung barat daripada "Aristotle" hinggalah kepada "Bertrand Russel" yang telah diterjemahkan kesemuanya dalam bahasa Inggeris berjumlah 65 jilid.


 Great Books

                                                                                                         Ensklopedia Britainika


Maulana berhasrat untuk membelinya. Berkata tuan kedai jika kamu telah memilki buku Encyclopaedia Britannica kami akan beri 50% diskaun. Maulana menjawab saya memilkinya tetapi tidak dapat datangkan bukti. Penjual berkata tidak mengapa kata-kata kamu "ada" itu sudah cukup sebagai bukti. Harga diskaun dalam 40 ribu rupee.

Tidak semena-mena Maulana ragu-ragu jika buku ini boleh didapati di Pakistan dengan harga yang lebih murah setelah dia mengisi borang dan menandatangani pembayaran melalui kad kredit untuk dihantar melalui pos. Maulana memberitahu penjual buku banyak kali dia dapati buku yang telah dibeli di London harganya lebih murah di Pakistan. Penjual menyakinkan Maulana jika ia benar-benar berlaku maka beliau sudi mengembalikan wang Maulana. Pekedai berjanji akan menghubungi Maulana di Pakistan dalam 4, 5 hari nanti untuk memastikan harga buku itu lebih murah di sana.


Dalam perjalanan Maulana begitu bimbang apa yang akan berlaku kepada duit yang telah ditandatangani itu. Bagaimana jika kitab itu tidak dihantar. Sebaik sahaja pulang ke Pakistan beliau terus sahaja menghubungi "American Express' agar tidak melakukan pembayaran sehingga diberitahu. Begitu juga dia menghantar seseorang untuk mencari buku tersebut. Akhirnya buku itu ditemui dengan harga 30 ribu rupee.

Setelah tiba masanya pekedai London itu menelipon Maulana untuk bertanya. Setelah diberitahu harga yang murah itu beliau membatalkan pembelian Maulana dan mengucapkan tahniah kerana dapat membeli dgn harga yang murah. Selang beberapa hari surat pekedai itu sampai yang menzahirkan kegembiraan beliau kerana Maulana dapat memperolehi buku itu dengan harga yang murah dan kekecewaan beliau kerana tidak dapat peluang untuk berkhidmat kepada Maulana. Beliau mengharapkan agar hubungan mereka tidak putus.
Kata Maulana satu sen pun pekedai itu tidak dapat apa-apa keuntungan malah telah menggunakan duitnya sendiri untuk menelipon daripada London. Surat juga dikirimkan. Kita macam-macam kata kat orang putih padahal mereka menunjukkan akhlak Islam yang telah kita tinggalkan. Kerananya Allah telah memberi kemajuan kepada mereka.

Keluhan Maulana ini bukanlah sesuatu yang baru. Semua orang mengetahuinya. Cuma bila orang yang ada nama menyebut mudah terpahat di hati.

Cerita Maulana ini mengingatkan saya kepada perkara yang lebih kurang sama berlaku antara saya dengan pekedai di Pakistan baru-baru ini.

Ringkas ceritanya buku yang saya pesan melalui pos sampai, tetapi tidak lengkap jilidnya. Bukan tercicir tetapi tidak dihantar. Duit telah dibayar cukup. Bila diminta penjelasan melalui wasap dan teligram, saluran yang kami selalu gunakan untuk berkomunikasi, di mana baki lagi kitab itu, beliau diam membisu. Bila ditanya untuk pembelian kitab lain beliau rancak menjawab!!.

Janggut, pakaian dan keturunan baik-baik tu kalau ikut zahirnya sudah lulus. Tapi bab muamalat susah sikit seperti keluhan Maulana.
(Rujukan Buku Urdu Maulana Taqi bertajuk "Islam dan Masalah Kehidupan Moden"

Syair Mirza Ghalib

Syair Mirza Ghalib tertambat di hati sesiapa, tidak kira siapa jua ia. Para agamawan, para pemikir, politikus, orang seni, pendendang qawwali, penyanyi ghazal.... Sesiapa sahaja memetik bunganya. Maulana Taqi memetik, Allamah Iqbal memetik, Kushwant Singh memetik, Jagjit Singh memetik. Mereka memetik tetapi dengan zauq yang berbeza.

Maka tidak hairanlah lagu-lagu Hindustan dahulu kala diminati ramai oleh orang Melayu walaupun tidak memahaminya kerana kata-kata yang umpama sihir penyair-penyair Urdu seperti Mirza dipinjam dalam lirik mereka. Hakikatnya lirik-lirik lagu Hindi dahulu adalah pure Urdu.

Syair Mirza di bawah membayangkan dunia ini tak ubah seperti taman permainan kanak-kanak. Siang malam aku melihat temasyanya....

Ghazal Mirza yang Didendangkan oleh Jagjit Singh






Anekdot Ulama 62: Nasihat Maulana Taqi Uthmani

Di antara kelemahan atau kealpaan sistem pengajian madrasah menurut Maulana Mufti Muhammad Taqi Usmani مفتی محمد تقی عثمانی ialah tiadanya kawalan dalam metod pengajaran. Oleh yang demikian terjadilah penekanan yang keterlaluan dalam bab-bab ibadat dan akidah dalam pengajian mereka tetapi terlalu dhaif dalam bab muamalat dan akhlak. 

Oleh itu bab-bab dalam kitab fekah dan hadith tidak diajar secara seimbang. Kitab yang mencangkupi keseluruhan bab, yang seharusnya khatam dalam masa 10 bulan secara saksama kerapkali berakhir dengan satu pertiga sahaja kitab dihuraikan secara terperinci sehingga memakan masa selama 8 bulan. Kebanyakannya menyentuh bab-bab taharah, solat, puasa dan haji. Paling jauh huraian yang dapat dihidangkan hingga bab munakahat atau nikah kawin. Bab-bab seperti jual beli , mua`asyarah dan akhlak yang terletak di separuh akhir kitab selalunya menjadi mangsa.Hanya 2 bulan masa yang ada untuknya. Bahkan hanya ditilawahkan untuk mencari keberkatan khatam kitab tanpa huraian yang mencukupi. 

Natijahnya pelajar madrasah tidak memilki ilmu yang cukup dalam bab jual beli atau ekonomi, politik dan ilmu kemasyrakatan sedangkan ilmu ini yang paling challenging di zaman ini. Kejahilan orang alim akan menatijahkan kejahilan orang awam. Ini akan menjuruskan mereka ke lembah syubahah dah haram.
Maualana juga kesal dengan penglibatan yang sedikit alim ulama aliran madrasah dalam bab ekonomi dan politik Islam. Walaupun ada di merata-rata tempat fatwa mereka dalam bab ini namun ia tidak mencukupi kerana perubahan zaman yang amat kencang. Seharusnya perlu ada dirasah yang serius. Beliau memuji usaha ulama-ulama Arab dewasa kini yang telah memperkayakan perpustakaan Islam dengan tulisan-tulisan ekonomi Islam secara serius. Bab berasingan dalam buyu` atau jual beli telah menjadi unit yang besar untuk dibincangkan. Wakaf, hibah, mudharabah dsb telah menjadi pengajian yang berasingan dengan tatbiq yang sesuai dengan zaman.

Maualana mengakui beliau telah membeli semua buku-buku itu untuk diletakkan dalam perpustakaan madarasahnya untuk bacaan dan rujukan pelajar dan asatizah. Beliau juga menubuhkan pengajian ekonomi modern di madrasahnya itu.

Bagus sekali Maulana Taqi kerana peka dengan realiti. Itulah seharusnya sikap seorang muslim apatah lagi seorang alim. Beliau memuji madrasah di tempat yang harus dipuji dan memberi peringatan di tempat yang harus diberi peringatan supaya seseorang itu tidak leka dengan sistem di mana dia berada.
(petikan daripada buku Urdu Maulana Taqi: Islam dan Masalah Kehidupan Moden)

Tuesday, September 23, 2014

Anekdot Ulama 61: Ilmu dan Kemiskinan Imam Syafie

Diceritakan bahawa Imam Syafie seorang yang yatim dan miskin ketika kecil. Emaknya tidak memilki apa-apa untuk diberi hadiah atau upah kepada guru untuk mengajar anaknya. Namun dia dihantar juga untuk belajar di maktab atau madrasah untuk kanak-kanak.

Diceritakan juga bahawa Imam Syafie terlalu miskin sampaikan tidak dapat membeli kertas untuk menulis. Apabila beliau sudah menghafal Al-Quran beliau mula menghadiri majlis-majlis ilmu di masjid. Beliau hanya mampu mendengar sahaja kuliah tanpa dapat menulisnya kerana tidak memilki kertas. 

Apabila beliau menemui tulang di mana-mana jua beliau akan mengutipnya untuk menulis apa yang beliau ingati. Apabila tulang itu penuh ditulis beliau akan menyimpannya dalam bekas seperti tempayan sehingga kata Imam Syafie akhirnya aku memilki dua tempayan besar penuh berisi tulisan.
Bagaimana pula dengan kita di zaman yang serba ada kemudahan. Adakah kita menggunakan kemudahan tersebut untuk menambat ilmu???

Sunday, September 14, 2014

Kitab Hidayah Fekah Hanafi

Pertama kali saya membaca kitab "Hidayah" kira-kira 18 tahun yang lalu. Itupun kerana belajar dek menjadi silibus Darul Uloom tempat saya belajar. Semua orang kata kitab Hidayah ini hebat. Walaupun ia kitab fekah mazhab Hanafi tetapi semua orang alim yang mengetahuinya mengatakan ia hebat. Tidak terbayang bila pula saya akan dapat membuka kitab ini. Alhamdulillah malam tadi ada peluang membuka dan mengajarnya
.
Untungnya masa belajar dahulu sempat juga kumpulkan koleksi syarahnya samada Urdu maupun Arab. Syarah Urdu oleh Maulana Jamil dan Mufti Yusuf, Syarah Arab spt Binayah oleh Aini dan Fathul Qadir oleh Ibnu Hummam.


Semasa belajar dahulu, biasalah zaman student, bukanlah tekun mana. Belajar sekadar menghabiskan silibus. Banyak benda tidak tahu tentang kitab ini walaupun pernah belajar.

Dalam mukadimah oleh Allamah Abd Hayie Lucknowi ditulis bahawa pengarang kitab ini yang terkenal dengan gelaran "Marghinani" mengambil masa 13 tahun untuk menyiapkan kitabnya yang dikatakan unik ini. Yang lebih hebat lagi ialah beliau berpuasa sepanjang mengarang kitab tersebut. Malah beliau menyembunyikan puasa beliau daripada pengetahuan orang walaupun khadamnya sendiri Itulah mungkin kehebatan sebenarnya kitab Hidayah ini. Pengarangnya menulis dengan penuh taqarrub kepada Ilahi. Itulah yang dikatakan "Hidayah", "Petunjuk" yang mengetuk kealpaan setiap orang yang membuka lembarannya.

Itulah bezanya kita dengan orang dahulu. Mereka mencari kekuatan menulis dengan beribadat. Itulah sebenarnya motivasi mereka.

Hal inilah yang yang menjadikan saya tefikir-fikir sepanjang membaca kitab ini kepada sahabat-sahabat Basooir malam tadi. Betapa kuatnya rohani ulama terdahulu dan betapa kuatnya ilmu mereka. Sampai sekarang kitab mereka dibaca berserta doa yang setiasa dipanjangkan oleh para pembacanya kepada penulisnya. Semoga Allah memasukkan kita bersama golongan yang mukhlisin kepada agamanya. Ameen.