Wednesday, May 26, 2010

Anekdot Ulama 35: Wahiduzzaman Kiranawi

Sesiapa yang belajar di India dan meminati bahasa Arab mesti mengenali nama Maulana Wahiduzzaman Kiranawi. Hampir kesemua pelajar memiliki kamus yang disusun oleh beliau. Kamus Urdu-Arab, Kamus Jadid Arab-Urdu dan Kamus Istilahi. Selain itu buku Qira`ah Wadhiah beliau juga dijadikan sukatan Darul Uloom sebagai reading book untuk pelajaran bahasa Arab. Saya mengenali Maulana tetapi tidak pernah memberanikan diri bercakap dengannya. Saya juga tidak berkesempatan untuk menjadi anak murid beliau. Maulana hanya mengajar di kelas takhasus Bahasa Arab ketika saya di Deoband. Tetapi saya masih bertuah kerana menjadi rakan kepada anak Maulana, Qadruzzaman, yang pada masa itu menjadi classmate saya di tahun 1, 2 dan 3. Tetapi dia tidak sempat menamatkan pengajian di Darul Uloom kerana terpaksa `jaga kedai buku` keluarganya, Maktabah Husainiyyah.

Maulana seorang yang cintakan bahasa Arab. Beliaulah yang menghidupkan bahasa Arab di Darul Uloom Deoband. Ketika masih menjadi pelajar Maulana sudahpun membuka kelas bahasa Arab untuk pelajar-pelajar lain. Beliau mengajar mereka menggunakan bahasa Arab secara praktikal. Menulis, mengarang, bercakap dan berpidato. Beliaulah pelopor kepada persatuan bahasa Arab di Darul Uloom, Nadi Arabi. Beliau juga menghidupkan majallah Ad Daie Darul Uloom yang berbahasa Arab. Kebolehan Maulana menguasai bahasa Arab moden amatlah pelik memandangkan rata-rata madrasah aliran Deobandi hanya berpada dengan bahasa Arab yang tertulis dalam matan-matan atau teks-teks turath.

Maulana seorang yang tegas. Amat menjaga waktu dan keterampilan. Saya selalu melihat beliau berjemaah di Masjid Qadhi berdekatan dengan rumahnnya. Maulana seorang yang tinggi dan kurus. Daripada raut wajahnya dan pakaiannya yang sentiasa kelihatan putih bersih seseorang dapat meneka bahawa Maulana mempunyai keperibadian yang luhur. Beliau mengajar di Darul Uloom selama 30 tahun. Selain mengajar bahasa dan kesusteraan Arab beliau pernah juga diamanahkan mengajar kitab-kitab hadith seperti Sunan Nasai dan Syarah Ma`ani Athar Thahawi.

Dua tahun sebelum akhir hayatnya, Maulana bertungkus lumus menyiapkan sebuah kamus Arab-Urdu yang bersaiz besar. Ia mencangkupi seratus ribu perkataan. Kamus itu pada awalnya dinamakan oleh Maulana sebagai Kamus Muhith. Tetapi kemudiannya dinamakan Kamus Wahid oleh anak-anak beliau yang menguruskan penerbitannya kerana mengambil sempena nama beliau. Pada tahun beliau meninggal dunia Maulana telah menyiapkan koleksi hadis-hadis Akhlaq dan Adab. Maulana meninggal dunia di kala umurnya 65 tahun. Maulana dilahirkan pada tahun 1930 di Kiranah sebuah kampung di daerah MuzaffarNagar berdekatan dengan Deoband. Beliau meninggal pada tahun 1995 di Deoband ketika saya masih di sana. Saya sempat menziarahi jenazah Maulana di rumah beliau. Berpusu-pusu pelajar datang melihat Maulana buat kali terakhir. Maulana disemadikan diperkuburan Qasimi, perkuburan kebanyakan ulama Deoband. Perginya Maulana perginya seorang mahaguru yang banyak berjasa menghidupakan sesuatu yang sudah dialpakan oleh masyarakat ilmuan. Iaitu bahasa Arab, bahasa Al-Quran. (Rujukan: Muqaddimah Kamus Wahid)

Sunday, May 23, 2010

Bahasa Arab

Pagi tadi saya memberi kuliah Subuh di Masjid Subang Perdana (Tafsir Surah Al-Alaq). Selepas kuliah saya pulang semula ke rumah di Taman Selayang Mulia berdekatan dengan Batu Caves. Jam 9 pagi saya bertolak semula ke Masjid Subang Perdana kerana ada kelas bahasa Arab yang akan bermula pada jam 10 pagi yang kebiasaannya berakhir hingga waktu Zohor. Hampir tiga jam. 15 minit rehat minum-minum teh. Kelas diadakan dalam bilik khas berhawa dingin. Hari ini kami semua amat gembira kerana berjaya menghabiskan pengajian bahasa Arab sebanyak 50 tajuk. Hari ini tajuk ke-50. Pengajian kami seminggu sekali. Setiap mingga satu tajuk. Bermakna kami telah melalui sebanyak 50 minggu dan menggunakan lebih kurang sebanyak 976 helai kertas A4 untuk nota. Nota disediakan oleh saya sendiri. Saya mengambil masa satu minggu untuk menyiapkan satu nota atau satu pelajaran. Hanya ada 11 orang pelajar. Semua mereka sudah berumur. Ada yang sudahpun pencen tetapi sabar bersama saya sehingga selesai nota. Hari ini juga kami menetapkan untuk meneruskan pengajian dengan membuka mana-mana kitab yang sesuai. Kami akan sambung semula pengajian pada 4hb July. Kami bercadang membaca kitab Qisasun Nabiyyin oleh Maulana Abul Hasan Ali An Nadawi dan Arabic For Scholars of Social Sciences oleh M.A Saleem Khan. Saya selalu berpesan kepada teman-teman yang mengikuti pelajaran bahasa Arab dengan saya itu agar datanglah ke kelas walaupun tak faham. Saya tak mengharapkan anda faham tetapi saya hanya mengharapkan anda datang dan dengar seperti anda mendengar kuliah-kuliah maghrib. Kerana yang memberi faham itu Allah bukan saya. Berkat istiqamah mereka alhamdulillah mereka dah nampak What Arabic really means. Semenjak mula mengenal bahasa Arab saya bercita-cita untuk menulis satu buku lengkap mempelajari bahasa Arab yang boleh digunakan oleh semua peringkat pelajar. Yang baru nak mula maupun kepada yang beraliran Arab. Alhamdulillah hari ini ianya siap. Saya akhiri nota itu dengan hadis Nabi saw sebagaimana Imam Bukhari mengakhiri kitab Sahihnya: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: كلمتان خفيفتان على اللسان، ثقيلتان في الميزان، حبيبتان إلى الرحمن، سبحان الله العظيم، سبحان الله وبحمده

Nota Bahasa Arab Ke-50 Tajuk Terakhir

Monday, May 10, 2010

Anekdot Ulama 34: Qari Siddiq Bandwi

Saya rasa hairan dengan keadaan Deoband yang senyap sunyi hari itu. Azan daripada pembesar suara Darul Uloompun tidak kedengaran. Saya bertanyakan seseorang kenapa hari ini agak senyap. Jawapan yang diberikan ialah Qari Siddiq (Lahir 1923) datang! Kerana menghormatinya pembesar suara tidak digunakkan. Sebenarnya kerana menghormati amalannya yang tidak menggunakan pembesar suara dalam ibadat solat. Namanya memang terkenal di seluruh India. Beliau memiliki sebuah madrasah di suatu tempat yang bernama Bandah jauh menghala ke Lucknow. Kerana itu nama penuhnya berserta gelaran ialah Maulana Qari Syed Siddiq Ahmad Bandwi. Beliau tamat pengajian di Madarsah Mazahir Uloom Saharanpur pada tahun 1363H/1944M. Kemudian beliau mengajar di madrasah di berbagai-bagai tempat di India. Setelah berlakunya gerakan pemurtadan orang Islam kepada agama Hindu oleh gerakan Shuddi Maulana pulang ke Bandah setelah gerakan itu mula menyerang orang-orang kampung di Bandah yang rata-rata pegangan mereka kepada agama tidaklah kukuh. Daripada situ Maulana merasakan peri pentingnya mendirikan sebuah madarasah sebagai tunjang pendidikan untuk memperkukuhkan iman, ilmu dan amal masyarakat setempat. Membaca tentang sejarah bagaimana Maulana membina madarasah itu amatlah memilukan. Maulana bekerja sendirian kerana orang kampung tiada yang menyokong. Mereka semuanya jahil dan tidak mengendahkan hajat Maulana itu. Malah kebanyakkan masyarakat di situ juga miskin yang sudah tentunya tidak mengetahui betapa pentingnya pelajaran. Pada permulaannya madarasah dibina daripada tanah lumpur. Di situlah Maulana mengajar dan tinggal. Apabila hujan turun madrasah akan runtuh kerana ia dibina daripada hanya tanah.

Saya menuju ke Masjid Chatta kerana mendapat maklumat bahawa Qari Siddiq akan bersolat Asar (atau Zohor tidak ingat) di situ. Kebetulan apabila saya memasuki pintu masjid saya melihat seorang tua yang berbadan besar sedang mengambil wuduk. Ramai pelajar mengelilinginya. Salah seorangnya mencurahkan air daripada lota untuk Maulana berwuduk. Daripada raut wajahnya kelihatan beliau seorang yang hebat dan bekerja keras. Di samping seorang guru dan pendakwah beliau juga seorang sheikh tasawwuf. Ramai murid yang datang ke madarasah Maulana (Madarasah Jamiah Arabiyyah Hathura, Bandah) dengan tujuan masing-masing. Ada yang tinggal di situ seminggu dua. Ada yang sampai sebulan dan seumpamanya mengikut kelapangan dan tujuan masing-masing. Maulana bukan sekadar mengajar tetapi beliau juga perihatin dalam bidang penulisan. Beliau banyak menulis kitab-kitab turath yang diajar di madarasah dalam bahasa Urdu dalam bentuk syarah dan tashil. Daripada tajwid, nahu, saraf, mantiq, hadis dan sebagainya. Malah saya sendiri gemar membaca buku-buku Maulana itu.

Maulana Siddiq amat menjaga ibadah. Begitu berdisplin dengan amalan-amalan sunnat. Seorang kawan orang Malaysia jugak menceritakan (dlm tahun 1990an) dia berkesempatan melawat madrasah Maulana di Bandah. Ketika pulang ke New Delhi dia terkejut kerana ditakdirkan berada di gerabak yang sama dengan Maulana. Untuk ke Delhi perjalanan harus bermalam. Kata kawan itu Maulana sudah tua dan dia sentiasa dipimpin oleh mereka yang mengiringinya. Malam itu waktu tahajjud beliau terjaga dan melihat Maulana berjalan bersendirian ke tandas untuk mengambil wuduk. Kemudian bersolat tahajjud dalam keadaan keretapi bergerak. Lihatlah betapa istiqamahnya Maulana dalam menjaga amalannya.

Maualana Siddiq amat rapat hubungannya dengan Maualana Abu Hasan Ali An Nadwi. Beliau juga menjadi member Syura madarasah Nadwatul Ulama Lucknow yang terkenal itu. Semuga kekuatan yang ada pada Maualana itu menjadi contoh tauladan kepada kita generasi yang kemudian. (rujukan: Is`ad al Fuhum fi halli Sullam Al Ulum)

Monday, May 3, 2010

Anekdot Ulama 33: Anak Muhaddith Besar

Ketika saya ingin memasuki Darul Uloom Deoband (1990/1991) saya dibawa ke bilik nazim bahagian pelajaran. Namanya Maulana Arshad Madani. Madani kerana dia pernah tinggal di Madinah selama 14 bulan. Atau kerana semua keluarganya dinisbahkan dengan madani kerana ayahnya pernah mengajar di sana selama 18 tahun. Orangnya kelihatan serius. Dia bertutur dalam bahasa Arab yang fasih. Suaranya tinggi. Gementar juga berhadapan dengan Maulana yang tegas seperti Maulana Arshad ini. Melihat kelibatnya sahaja pelajar sudah tahu bagaimana hendak mengelak daripada bertembung dengannya. Namun hatinya begitu lembut dengan Al-Quran. Agaknya seperti Umar ra. Beliau ialah anak kepada Maulana Husein Ahmad Madani (1879-1957) yang memegang gelaran Sheikhul Hadith selama 28 tahun di Darul Uloom. Maulana Husien Ahmad Madani hidup sezaman dengan muhaddith terkenal India iaitu Maulana Anwar Shah Kashmiri (1875-1933). Kedua-duanya muhaddith besar. Bezanya Maulana Anwar Shah Kashmiri umurnya tak panjang. Oleh itu beliau tak mempunyai ramai anak murid. Maulana Madani umurnya panjang. Ramai yang sempat berguru dengannya. Hampir kesemua sanad hadith asatizah Darul Uloom bersumberkan daripada Maulana Madani. Begitu juga rata-rata pelajar Malaysia yang belajar sebelum tahun 1957 berguru dengan Maulana Husein Ahmad Madani dalam bidang Hadith termasuklah Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Menteri Besar Kelantan sekarang. Maulana Arshad Madani mewarisi ayahnya dalam mendedikasikan diri untuk ilmu dan siyasah. Beliau menjadi nazim ta`limat (ketua urusan pelajaran) Darul Uloom sebelum saya menjejak kaki di Darul Uloom lagi. Semasa saya pulang ke tanah air (2004) beliau masih menjadi nazim ta`limat. Di samping itu beliau juga mengajar saya kitab Tirmizi.

Maulana Husain Ahmad Madani


Maulana Arshad Madani bukan hanya bertugas di pejabat dan di dalam kelas sahaja. Malah beliau sangat mengambil berat tentang disiplin pelajar terutama dalam bab solat. Dia akan pastikan semua pelajar solat berjemaah. Sebelum subuh lagi beliau akan datang ke Darul Uloom. Suaranya akan kedengaran di seluruh empat penjuru tembok Darul Uloom. Beliau akan berteriak "Utho...Utho...Utho.." Bangun! bangun!. Persis seperti general askar. Beliau akan pergi dari satu asrama ke satu asrama dengan laungan "Bijli kholo...bijli kholo! Buka lampu! Buka lampu!. Jika bekalan elektrik terputus terutama di musim sejuk Maulana akan datang dengan membawa torch light nya yang besar. Suluhannya mengerunkan sesiapa sahaja. Apabila mendengar suaranya semua pelajar akan bingkas bangun dan berebut-rebut ke bilik air.

Antara keistimewaan keluarga Madani ialah mereka semua sangat mengambil berat tentang Al-Quran. Kesemua anak beranaknya mesti dijadikan hafiz . Di depan rumahnya didirikan sebuah kelas untuk anak cucu Madani menghafal Al-Quran. Maulana Arshad Madani juga hafiz Al-Quran dan sangat sensitif dengan Al-Quran. Dialah yang bertangugjawab menguatkan semula ma`ahad tahfiz Darul Uloom. Di bawah pengawasannya ma`ahad tahfiz mendapat bangunan baru. Guru-guru baru. Dan sistem yang baru yang memastikan agar hafalan Al-Quran pelajar-pelajar tahfiz kuat dan mantap. Apabila saya menyatakan hasrat untuk menghafal Al-Quran Maulana terus membenarkannya dan bertanyakan saya guru mana yang saya nak. Apabila saya tamat menghafal Al-Quran dan pergi menemuinya dia melahirkan rasa gembira yang tidak terhingga lalu menyeluk koceknya dan menghulurkan sedikit wang kepada saya sebagai hadiah. Apabila saya tamat belajar di Darul Uloom saya sekali lagi menemuinya. Biasanya orang meminta sambung belajar dalam bidang takhasus selepas tamat pengajian alim di Darul Uloom. Tetapi sebaliknya saya meminta daripada Maulana Arshad agar mengizinkan saya masuk semula ke kelas tahfiz. Saya mahu membaca Al-Quran sebanyak mungkin sebelum pulang ke Malaysia آنَاءَ اللَّيْلِ وَأَطْرَافَ النَّهَارِ . Dia tidak bercakap panjang. Terus sahaja mengizinkannya kerana dia tahu kemanisan membaca Al-Quran apatah lagi beramal dengannya. Semuga kecintaan Maulana kepada Al-Quran memberi kesan kepada kehidupan saya di hari muka.






Wednesday, April 28, 2010

Anekdot Ulama 32: Hafiji Na Bina

Berdekatan dengan main gate Darul Uloom ada sebuah kedai buku kecil. Ia terletak di lorong laluan saya untuk pulang ke rumah sewa. Pendek kata setiap hari saya harus melintasi kedai usang itu. Kedainya walaupun kecil dan tidak banyak buku yang dijual ia sentiasa dikunjungi orang. Kebanyakannya student Darul Uloom. Kadang-kadang guru-guru Darul Uloom juga singgah di situ. Walaupun tak banyak buku tetapi ramai yang membeli daripada kedai itu secara pos. Buku-buku diambil daripada kedai lain jika tiada. Kedai itu dimiliki oleh seorang yang buta. Di Deoband dia dipanggil hafiji na bina (hafiz tak nampak penglihatan atau buta). Nama sebenarnya Nu`man. Dia tamat belajar di Darul Uloom. Seingat saya dalam tahun awal-awal 90an umurnya sudahpun tua. Dalam lingkungan 50an. Ketika saya sampai di Deoband tahun 1989 itu beliau sudahpun berniaga di situ.

Apa yang menarik tentang Hafiji ialah ingatannya yang luar biasa. Dia tahu kitab apa yang ada di kedainya dan dicelah mana ianya diletakkan. Seringkali dia akan memberitahu pembantunya supaya mengambil kitab di rak-raknya jika ada pembeli yang menanyakan. Di samping menjual buku beliau juga mengajar kitab di kedainya itu. Ada saja student bertandang ke kedai dan membuka kitab untuk mendapat penjelasan daripada Hafiji. Jika pelajar membaca baris yang salah beliau akan membebel itu fa`i, itu mubtad`a, itu maf`ul bihi, itu tamyiz...kenapa kamu baca baris atas padahal ia sepatutnya baris hadapan. Apa-apa kitab yang diajar di Darul Uloom ia boleh diajar oleh Hafiji. Bertandang di kedai Hafiji banyak faedahnya. Banyak ilmu dan pengalaman diperolehi walaupun hasil daripada sembang-sembang orang dengan Hafiji Na Bina.

Pada bulan Ramadahan Hafiji akan mengambil syiftnya sebanyak sepuluh hari untuk menjadi Imam terawih di Masjid Chatta. Masjid Chatta akan mengadakan tiga kali khatam Al-Quran di sepanjang Ramadhan. Sepuluh hari satu Al-Quran. Hafiji akan menjadi Imam dengan membaca tiga juz satu malam. Pada waktu siang hari, Hafiji akan menyemak bacaan hafalan dengan bantuan pelajar Darul Uloom yang akan datang ke kedainya. Di kala tidak ada pelangan Hafiji akan membaca Al-Quran.

Hafiji Na Bina sememangnya berkahwin. Beliau dikurniakan seorang anak lelaki. Ketika saya mengunjungi Deoband tahun 2009, anaknya sudahpun dewasa dan mengambil alih menjaga kedai ayahnya. Sebenarnya Hafiji Na Bina tidak buta kerana hatinya terang benderang dengan cahaya ilmu dan cahaya Al-Quran. Tetapi kita walaupun celik mata belum tentu hati kita secerah hati Hafiji Na Bina. Kehidupan Hafiji banyak memberi pengajaran kepada saya. Beliau berdikari dalam mencari rezeki. Beliau sentiasa menjaga Al-Qurannya. Beliau tidak meninggalkan solat berjemaah walaupun terpaksa dipimpin. Beliau sentiasa bergaul dengan ilmuan. Mengajar dan belajar. Beliau menjaga sunnah walaupun buta. Beliau sentiasa mengekal imej kemaulanaan. Memakai baju serba putih dan berkopiah. Kedainya di tutup bila waktu solat. Beliau tidak hanya menjadikan kedainya sebagai tempat mencari rezeki malah sebagai stesen ilmu. Semoga Allah menyihatkan Hafiji dan memanjangkan usianya. (Hafiji = Hafiz + Ji. Ji kalimah tambahan untuk respect spt Gandhiji, Hazratji dsb)


Sunday, April 25, 2010

Anekdot Ulama 31: Muhaddis Maulana Yunus Dinasihati

Maulana Yunus menceritakan bahawa Sheikhnya Muhaddis Maulana Zakariya Kandahlawi sering berpesan kepadanya. Kadang-kadang melalui surat menyurat. Kadang-kadang secara lisan apabila mereka bertemu. Antara nasihat Maulana Zakariya kepada Maulana Yunus ialah:
1) Hendaklah kamu ikhlas dalam kerja-kerja kamu.
2) Berhati-hatilah dengan apa-apa harta madrasah yang kamu guna.
3) Selalulah berzikir. Jika kamu sakit dan tak mampu mengamalkan zikir-zikir kamu maka tawajjuhlah kepada Allah dengan hati kamu (nasihat ini diberikan kerana Maulana Yunus sering sakit). Antara zikir-zikir itu utamakan selawat kepada Nabi saw. Pengalaman aku mendapati kelebihannya amat menakjubkan.
4) Jauhi dari sifat kibr sama sekali. Sentiasa menganggap diri sebagai jahil, tak layak (digelar alim dsb).
5) Ikutilah langkah-langkah yang telah dibina oleh ulama-ulama kita terdahulu sedaya mungkin. Utamakan yang batin melebihi yang zahir.
6) Banyakkan istighfar kepada Allah walaupun kamu diberikan mimpi-mimpi yang baik dan ramalannya yang baik jua (nasihat ini diberikan setelah Maulana Yunus meminta Sheikhnya mentafsirkan mimpinya. Maulana Zakariya mentafsirkannya sebagai husnu khatimah. Perlu diingatkan bahawa Deobandi berpendapat ta`bir mimpi ialah zanni. Ia boleh jadi benar atau tidak).
7) Jika ada yang hendak berbai`ah dengan kamu walaupun daripada pelajar, lakukanlah kerana silsilah batin harus ada kesenambungan. (bai`ah yang dimaksudkan bai`ah tasawwuf. Ulama India Deobandi mengamalkan tasawwuf dengan pendekatan yang telah dibina oleh akabir mereka spt Shah Waliyullah Dehlawi, Rashid Ahmad Gangohi dan Ashraf Ali Thanawi)
(Rujukan: Al Yawaqit )

Wednesday, April 21, 2010

Anekdot Ulama 30: Purani Baat Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Hari itu nenek dimasukkan ke Hospital Besar Kota Bharu (2004). Saya bergegas ke hospital untuk menziarahi nenek. Tak lama selepas itu sanak saudara yang lain juga datang. Kata suami emak saudara dia lihat Tok Guru Nik Abdul Aziz, MB, juga masuk wad di wad sebelah Hati saya berkata patut ke saya ambil peluang berjumpanya dalam kondisi sebegini. Saya talipon salah seorang keluarga Tok Guru untuk memastikan benar ke Tok Guru masuk wad. Dia kata beliau tak tahu. Dekat dengan maghrib saya pergi juga ke bilik di mana Tok Guru dikatakan berada. Maklumlah semenjak balik belum lagi ada kesempatan menziarahi beliau. Bila sampai di situ saya melihat sememangnya Tok Guru diwadkan untuk berehat. Saya memperkenalkan diri. Tok Guru bertanya sayakah orangnya yang mengirimkan barang dari India tempoh hari. Saya berkata ya. Kemudian kami berbual panjang. Bila tiba waktu maghrib kami berjemaah di dalam wad. Tok Guru jadi Imam. Selepas maghrib kami sembang lagi sehingga Isyak. Isyak Tok Guru imamkan juga solat kami. Selepas Isyak saya terus beredar. Dalam perbualan antara saya dengan Tok Guru tiada bicara politik atau issu-issu semasa. Dia begitu bersemangat berhasrat kalau dia ada kesempatan untuk mengajar kitab Abu Daud. Agaknya Tok Guru minat dengan hadis-hadis ahkam. Dia juga seronok menceritakan kisah-kisah lama beliau di Deoband. Kata dia itu semua purani baat, (old story). Saya tersentak juga kerana Tok Guru masih mengingati kalam urdu itu. Magar unki puraani baat, meeri na`i baat hai ( it was an old story for him but something new for me)