Wednesday, May 9, 2012

Buku: Nawadirat Imam Kashmiri

Muhadith Maulana Anwar Shah Kashmiri (1875-1933) merupakan tokoh ulama Deoband yang tekenal dengan jolokan sebagai "perpustakaan bergerak" kerana mempunyai daya ingatan yang kuat dan menguasai berbagai cabang ilmu yang diibaratkan sebagai sebuah perpustakaan tempat alim ulama membuat rujukan di kala hayatnya. Nokhtah-nokhtah penting pengajaran hadithnya dalam kelas dicatatkan oleh anak-anak murid beliau. Maka lahirlah kitab-kitab seumpama Faidhul Bari, Anwarul Bari, Urfu Shazi, Anwarul Mahmud, Maariful Sunan, Nutq Anwar, dan Malfuzat Muhaddith Kashmiri yang dianggap sebagai hanya secebis daripada ilmu Allamah Kashmiri.

Antara kitab terbaru yang mengumpulkan tahqiq, aqwal, tafarrudat dan ifadat Allamah Kashmiri itu ialah kitab "Nawadirat Imam Kashmiri" yang ditulis oleh anak beliau sendiri Almarhum Maulana Anzar Shah Kashmiri (1927-2008, 81 tahun) yang juga penulis buku Nuqush Dawami, sebuah buku biography ttg Allamah Kashmiri. Semasa hayatnya Maulana Anzar Shah  mengajar kitab Bukhari jilid pertama (Bukhari cetakan India dibahagikan kepada 2 jilid). Fokus pengajarannya ialah menjelaskan dan menghuraikan buah fikiran ayahandannya. Kitab Nawadirat ini ialah hasil daripada pengumpulan maklumat-maklumat tersebut. Ia merakamkan lebih daripada 200 pendapat Anwar Shah yang ganjil diselitkan dicelah-celah pengajaran hadith-hadith Bukhari daripada bab muqadimah ttg Bukhari hinggalah Kitab Ilmu. Buku ini setebal 376 mukasurat dan dicetak oleh  Jamiah Imam Anwar, Deoband, dibawah kelolaan Sayyid Ahmad Khidir Shah, anak Maulana Anzar Shah iaitu cucu Allamah Anwar Shah.

Tuesday, May 8, 2012

Kembara Deoband 45: No 7 Ihata Bagh

Bilik No 7, Ihata Bagh menjadi rebutan di kalangan pelajar foreigner. Bilik ini agak selesa sedikit. Tidak pernah termimpi saya akan mendiaminya suatu hari. Ini kerana yang membiayai hostel ini ialah orang-orang Islam dari South Afrika dan England. Oleh itu pelajar merekalah yang menguasai bilik-bilik ini. Tapi takdir Allah menentukan saya dapat tinggal di bilik ini setelah keluarnya pelajar dari England bernama Abdullah yang pada ketika itu baru selesai pengajian Ifta iaitu kelas latihan memberikan fatwa.

Saya bertuah bukan kerana dapat mengecapi keselesaan bilik itu. Malah yang paling utama ialah ttg keberkatan bilik tersebut. Bilik itu telah menambahkan kepada saya sumber memperolehi ilmu. Saya tidak mempunyai duit yang cukup untuk membeli buku-buku apa lagi melanggan majalah dan suratkhabar. Walaupun saya tidak melanggan sebarang bahan bacaan tetapi setiap bulan bermacam-macam bahan bacaan di hantar oleh posman ke bilik saya yg baru ini. Rupa-rupanya mereka yang pernah tinggal di bilik ini banyak melanggan bacaan luar. Walaupun mereka telah tiada, pihak penerbit majalah tetap sahaja menghantarnya. Mungkin mereka berniat menghantarnya untuk tujuan dakwah, bukan berniaga semata-mata. 

Bilik No 7, Ihata Bagh inilah yang telah memperkenalkan kepada saya majalah Arab seperti Al Ba`thu Al Islami terbitan Nadwatul Ulama Lucknow, Sautul Ummah terbitan madrasah Ahlu Hadith Banaras. Begitu juga akhbar Al Ra`id juga terbitan Nadwatul Ulama Lucknow. Saya amat mengkagumi usaha mereka. Dalam kesusahan hidup miskin, serba kekurangan dari segi fasiliti dgn pembaca yang terhad dalam lingkungan komuniti madrasah sahaja mereka berjaya menghidupkan majalah dan akhbar berbahasa Arab itu.

Sunday, May 6, 2012

Buku: Balada Pyanhabib, Anak Apak dan Mu`jam Tasrif

Pameran buku antarabangsa berakhir semalam tanggal 6 Mei. Dalam pukul tiga setengah saya bertolak dari rumah. Pukul 4 sampai di hentian Putra. Susah untuk mendapatkan tempat parking kerana ramai yang ingin mengambil kesempatan hari terakhir pameran buku. Setelah meneliti hampir kesemua boot pada hari sebelumnya, saya mengambil keputusan utk membeli 3 buah buku sahaja di samping 2 buah buku utk Ziyad dan Zuhair. Buku-buku itu ialah Balada Pyanhabib, Anak Apak dan Mu`jam Tasrif Afal Arabiyyah.

1-Balada Pyanhabib ialah koleksi puisi-puisi penyair Pyanhabib. Buku ini dikeluarkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan dilancarkan pada ptg hari tersebut. Saya sempat mendengar Pyanhabib dan beberapa tokoh sastera yg lain mendeklamsikan puisi masing-masing. Bagi yang sudah lama bersama dgn Pyanhabib mereka turut menceritakan beberapa pengalaman terutama ttg pengalaman mereka bersama Pyanhabib dalam persatuan karyawan "Anak Alam" sekitar tahun 70an. Saya bukan seorang yang puitis. Ketika belajar di Darul Uloom Deoband saya didedahkan dgn bahasa-bahasa puitis Urdu, Parsi dan Arab. Hampir kesemua Maulana menyulamkan pengajaran mereka dalam kelas dengan keratan-keratan syair yang indah-indah. Kadang syair Urdu, kadang syair Parsi dan kadang syair Arab. Malah ada di kalangan mereka mempunyai nama Pena sebagai penyair. Mereka juga kritis terhadap syair. Bekas Mufti Pakistan, Maulana Mufti Syafi` misalnya pernah mengkritik syair Iqbal sebagai kurang selamat daripada segi dini jika dibandingkan dengan syair Akbar Ilahabadi. Namun syair Iqbal lebih memberi kesan (ta`thir) kpd pendengar yang menurut anak Mufti Syafi` iaitu Mufti Taqi Usmani mungkin kerana perbezaan uslub penyampaian. Menurut beliau Akbar Ilahabadi byk menggunakan uslub "ta`ridh" yg kurang memberi kesan untuk pengislahan masyarakat. Mereka juga membaca Dewan Ghalib, koleksi Mirza Assadullah Beg Khan (1797-1869), pujangga Urdu India terulung. Selain syair Urdu, syair-syair Parsi juga menjadi kebiasaan ulama Deoband. Sekurang-kurangnya mereka telah mempelajari syair2 Gulistan dan Bustan Sa`di semenjak awal pendidikan lagi. Dari segi tasawuf peringkat tinggi mereka menerokai keindahan puisi Mathanawi Jalaluddin Al Rumi. Guru Mufti Syafi`, Allamah Muhaddith Anwar Shah Kashmiri sendiri amat peka dengan syair-syair Arab. Beliau mempunyai kemampuan untuk membezakan kefasihan dan kebalaghahan tulisan Mutannabi, Hariri, Hamdani dsb. Malah dia sendiri byk menulis syair Arab. Penyair mempunyai deria maknawi yg peka. Kebanyakkan penyair menyelongkar kesemua anjung yg mereka pandang menyebabkan kalam mereka bercampur aduk di antara bicara ttg keadilan, kemiskinan, keindahan, kemanusiaan, dengan kalam ttg perempuan, arak, berahi, duka nestapa, kekecewan etc. Adakah puisi Pyanhabib termasuk dalam kelompok nasi campur ini. Sambil berjenaka ketika mengulas Balada Pyanhabib yg bertajuk Taman, Prof. Siti Zainon yg juga rakan "Anak Alam" seangkatan dgn Pyanhabib, mengejutkan saya dgn kata-kata, "Porno juga Pyanhabib nih!!!!" apabila beliau melalui rangkap Baladanya yang berbau sedemikian. Membaca dan meriwayatkan syair-syair sebegini adakah salah. Hal ini telah dijawab dgn panjang lebar oleh, Sheikh Abdul Qahir Jurjani (the father of Ilmu Balaghah) dlm kitab beliau Dala`il al `Ijaz.

2-Anak Apak ialah sebuah memoir wartawan Subki Latif. Buku ini juga dilancarkan pada hari yang sama sebaik sahaja selepas majlis pelancaran buku Pyanhabib. Saya tidak berganjak dari majlis itu. Terus sahaja memasang telinga mendengar bedahan buku beliau itu. Pak Subki menceritakan bagaimana beliau boleh terlibat dlm bidang kewartawanan padahal cita-citanya adalah menjadi Tok Guru seperti ayahnya dan begitulah ayahnya menaruh harapan agar dia akan menjadi anak apak (anak bapa) mewarisi ilmu dan tugasnya di Manjung. Ayahnya pernah belajar di India. Pak Subki memang tidak asing dalam dunia penulisan akhbar terutama akhbar Harakah. Namun sebelum itu Pak Subki telah bekerja dgn Utusan selama 11 tahun, kurang separuh drp Pyanhabib iaitu selama 23 tahun. Semasa di India saya suka membaca buku-buku memoir. Dengan membaca buku-buku memoir kita boleh mengetahui ttg keadaan dan fenomena zaman yg dilakarkan daripada sudut yg pelbagai. Memoir yang saya kagumi ialah kisah Muhammad Asad memeluk Islam yg dirakamkan dalam bukunya The Road to Mecca. Buku-buku Kushwant Singh juga saya gemari kerana ia menceritakan ttg keadaan masyarakat majmuk India semasa British dan di awal-awal kemerdekaan.Tak kurang juga memoir ulama-ulama Deoband spt Ap Beti oleh Maulana Zakariya dan seumpamanya spt Sawanih Qasimi berkenaan dgn Maulana Qasim Nanutawi, Tazkirah Rashidiyah berkenaan dgn Maulana Rashid Ahmad Gangohi, Al Balagh Terbitan Khas berkenaan Mufti Syafi,  dan Dr Abd Hayi Arifi,  5A, Zeldar Park Maulana Maududi ki Asri Majalis ttg Maulana Maududi, Rozgari Faqir tentang pujangga Islam Allamah Iqbal dsb.

3- Mu`jam Tasrif Afal Arabiyyah ditulis oleh Anton Dahdah, seorang kristian Lebnon, juga penulis buku Mu`jam Qawaid Al Lughah Al Arabiyyah, sebuah buku nahu secara berjadual yang tidak asing lagi di kalangan peminat nahu. Amat menakjubkan kerana beliau adalah bekas prajurit dan juga bekas duta Lebnon di Brazil. Menghasilkan banyak buku-buku Arab berbentuk mu`jam. Buku ini amat berguna kerana ia menghuraikan tasrif dlm bentuk jadual. Mudah dilihat dan dibuat perbandingan antara suatu sighah dgn sighah yg lain. Ia menghilangkan kekusutan terhadap jalaran sighah yang banyak dan komplikated . Antara kelebihannya juga ialah, kerana ketelitian dalam pengeditan, kebarangkaliannya yg besar sunyi daripada kesalahan penandaan baris yg biasa berlaku kpd kebanyakan buku-buku ilmu saraf. Wazan-wazan kata kerja yang diberikan adalah komprehensif melebihi 16 ribu kata kerja. Kesemua wazan yg dicatatkan itu diambil drp pelbagai kitab samada drp sumber turath maupun modern.

Friday, May 4, 2012

Buku: Nuqushi Raftgan

Buku "Nuqushi Raftgan" dalam bahasa Urdu ini ditulis oleh Maulana Taqi Usmani, (Nuqush: Kesan Peninggalan, Raftgan: Mereka yg Meninggal Dunia). Ia adalah biography ringkas tentang 70 orang lebih individu yang meninggal sekitar tahun 1969 hingga 2002 yg mempengaruhi  kehidupan beliau samada melalui perhubungan secara langsung dgn beliau atau tidak langsung. Majoriti mereka adalah ulama (spt Maulana Qari Tayyib, Maulana Zakariya Kandahlawi, Maul. Yusuf Binori, Maul. Abd Majid Daryabandi, Maul. Masihullah Khan, Maul. Manzor Nu`mani, Maul. Zafar Ahmad Usmani, Maul. Mufti Syafi`, Mufti Wali Hasan, Maul. Abul Hasan Ali Nadwi etc). Namun terdapat juga beberapa individu bukan agamawan yang disebut oleh beliau seperti negarawan (spt President Jeneral Ziaul Haq dan Raja Malik Faisal), ahli akedemik (spt Professor Mohd Shamim dan Prof. Muhammad Ayyub), wanita (spt isteri Maulana Asraf Ali Thanawi dan ibu Maulan Taqi sendiri) dan tokoh perundangan (spt Hakim Karimullah Darani). Buku ini sebenarnya adalah koleksi artikel Maulana yang ditulis dalam majalah "Al Balagh". Kebanyakannya ditulis setelah kematian individu tersebut sebagai memperingati jasa mereka ketika hayat. Seperti biasa kebanyakan tulisan Maulana dalam majalah "Al Balagh" akan diterbitkan dalam bentuk buku oleh murid-murid beliau mengikut pengketogorian jenis bidang penulisan apabila kumpulan artikel beliau didapati sesuai dijadikan buku. Buku ini di samping memperlihatkan akhlak indah individu-individu ternama ia juga menghidangkan kepada pembaca ttg sumbangan dan jerih payah mereka dalam memajukan Islam dalam bidang masing-masing. Buku ini setebal 478 muka surat dan dicetak oleh Maktabah Ma`riful Quran Karachi dgn edisi baru tahun 2007.

Sunday, April 29, 2012

Kembara Deoband 44: Pilihanraya di India

1-Saya berada di India terlalu lama. Selama berada di sana saya tidak pernah mengundi dan tidak pernah mengetahui keadaan di dalam tempat mengundi. Setiap kali pilihanraya di India saya mengikuti perkembangan pilihanraya di sana terutama apa yang berlaku di Deoband. Ulama Deoband juga turun mengundi. Sebahagian besar mereka menyokong parti Kongres yang merupakan sahabat karib ulama Deoband yang menentang penjajahan British dahulu. Masyarakat Islam pula berubah kepada parti Samajwadi yang mereka rasakan lebih membela orang Islam. Parti Kongres terlalu lama memerintah, sejak merdeka lagi. Lama-lama mereka lupa kpd tangugjawab sebenar. Rasuah dan nepotisma menjadi perkara biasa. Mekanisma pilihanraya amat lemah. Sesiapa sahaja boleh mengundi. Ramai yang masuk mengundi berkali-kali. Perbuatan ini menjadi tamparan kepada Kongres. Akhirnya, Kongres jatuh daripada memperolehi majoriti. Seterusnya jatuh drp memimpin India. Bila jatuh sukar untuk bangun semula.

2-Tahun 2008 buat pertama kalinya saya mengundi di Kota Baharu. Suasana mengundi tidak sama dengan di Deoband. Suasana tenang, tersusun dan effisien. Pihak pemerhati ada bagi kedua-dua pihak. Hati mengatakan mustahil ada penipuan. Dulu semasa sebelum pergi ke India pernah juga mendengar desas desus tentang pengundi "hantu". Sejauh manakah kebenarannya?. Pihak pembangkang selalu membangkitkan isu ini. Malah salah satu tuntutan "Bersih 3" pada kali ini juga berkenaan dgn perkara ini. Manakala pihak kerajaan sentiasa menafikan kenyataan ini. Kata mereka ini adalah dakyah politik.

3- Selesai mengundi saya bersiap untuk pulang ke Kuala Lumpur. Keputusan boleh didengari daripada siaran radio dalam kereta. Sebelum pulang saya singgah di rumah Kak Nab. Kak Nab ialah emak saudara adik ipar saya. Dia sudah uzur. Setiap kali saya pulang ke Kota Bharu saya mengambil kesempatan utk menziarahinya. Buah pinggang Kak Nab sudah rosak. Dia bergantung kpd dialisis. Dia tidak pergi ke mana-mana. Banyak berkurung di rumah. Saya berkata kepada Kak Nab, "Tadi saya mengundi. Rasanya payah nak berlaku penipuan kerana keadaan pengawalan yang ketat". Kak Nab mendengar pelik. Saya menyambung, "Kalau begini sukar juga nak mempercayai kewujudan pengundi hantu". Mendengar sahaja jawapan saya ttg "pengundi hantu" Kak Nab terus menyampuk. Dia nampaknya tidak tahan lagi mendengar perkataan itu. "Apa tiadanya!!! Kak Nablah bekas pengundi hantu. Sekarang Kak Nab tak mengundi lagi. Bertaubat.  IC entah ke mana. Mereka ambil tidak kembalikan". Kak Nab terus bercerita, "Dulu Kak Nab tinggal di Jengka Pahang. Kak Nab diupah sebanyak Rm 50 seorang untuk menjadi pengundi hantu menjatuhkan Haji Hadi di Terengganu. Kami sebutir bas!!!!". Saya tidak tahu rupa-rupanya Kak Nab banyak menyimpan rahsia.  Saya percaya Kak Nab tidak dusta. Rupa-rupanya pengundi hantu memang wujud. Kewujudan ini kalau dibiarkan akan memakan diri sendiri. Kini Kak Nab sudah pergi untuk selama-lamanya. Kalaulah Kak Nab masih hidup apakah media arus perdana teruja untuk mendedahkan "taubat" Kak Nab.

Friday, April 13, 2012

Wasiat Shah Waliyullah Dehlawi

Ringkasan Wasiat Shah Waliyullah Muhadith Dehlawi
1-Janganlah kamu bergaul dengan orang kaya melainkan kerana maslahah agama.
2-Jauhilah golongan sufi yang jahil, abid yang jahil, ulama yg tidak mempunyai sifat zuhud, muhadith yg zahiri yg memusuhi fekah dan mereka yang melampau dlm ilmu kalam dan penggunaan akal sehingga merendahkan perkara yg manqul .
3-Dekatilah golongan alim yg sufi, yg tidak memandang dunia, yang selalu berzikir kpd Allah, yg cintakan sunnah.
4. Janganlah mentarjihkan mana2 mazhab fuqaha ke atas yg lain spt Hanafi lebih sunnah drp Syafie. Ikutilah pendapat sarih yg muwafaqah dgn sunnah (bagi muhaqqiq yg alim dan mahir ttg sanad dan matan hadith)
5.Jauhilah drp mentarjihkan mana-mana tariqat ke atas yg lain spt tariqat Naqshabandi lebih dekat kpd sunnah jika dibandingkan dgn tariqat2 lain, tariqat anu lebih afdhal drp tariqat anu dsb

(Al Qaul Al Jamil dgn syarah Syifa Al Alil )

Sunday, April 1, 2012

Buku: Perlaksanaan Syariat dan Masalahnya

Buku setebal 148 mukasurat ini menghidangkan pembaca ttg masalah yang dihadapi oleh negara Pakistan dalam perlaksanaan syariat Islam. Buku ini ditulis oleh Maulana Taqi Usmani dengan jodol " نفاذ شریعت اور اس کے مسائل " Nafazi Syariat aur uske Masail (Perlaksanaan Syariat dan Masalahnya). Ia merupakan hasil pengalaman Maulana Taqi dan bapanya bekas Mufti Pakistan Maulana Muhammad Syafi`bertugas membantu kerajaan dalam bidang perundangan untuk merangka dan mengubah undang-undang yang sedia ada kepada "patuh syariah". Menurut Maulana Taqi walaupun kerajaan Pakistan silih berganti namun setiap Presiden ataupun Perdana Menteri akan mengwar-warkan perlaksanaan Syariat dalam kerajaan baru sesuai dengan penubuhan Pakistan sebagai negara umat Islam dan menjadikan Quran sebagai dustur negara. Namun pengisytiharan tidak memperlihatkan keikhlasan kerajaan sebagaimana yang diharapkan kerana apabila dalam konteks perlaksanaan, kerajaan kerap berubah sikap samada dengan menangguhkan perlaksanaan enakmen yang telahpun diluluskan atau cuba memansuhkannya kerana desakan pihak-pihak yang tertentu. Di antara masalah perlaksanaan undang2 syariah sebagaimana yg disebut oleh Maulana Taqi ialah perlantikan mereka yang tidak ahli dalam bidang syariah dan kanun dalam majlis perundangan syariat yang dibentuk oleh kerajaan.

Maulana Taqi juga turut mengulas tentang konsep undang-undang Islam, prinsip asas kerajaan Islam, bagaimana cara perlaksanaan undang-undang Islam oleh kerajaan dalam konteks undang-undang Barat yang sedia ada.

Maulana juga menerangkan tentang bidang kuasa pelaksanaan syariat di Pakistan melalui "Majlis Falsafah Kefahaman Islam" (Islami Nazariyati Council) yang merupakan badan perundangan negara yang bertugas sebagai penasihat kepada penggubal undang-undang terhadap undang-undang yang bertentangan dengan Quran dan Sunnah.