Monday, September 16, 2013

Anekdot Ulama 54: Gambar-Gambar Pelajar Malaysia Lepasan India






Muhamad Maadah bin Layang (1895-1947) atau Maulana Lebai Maadah, Kuala Pilah 
dikatakan pernah belajar di Darul Uloom Deoband. Lihat: Klik di sini untuk biodata




TGH Abbas (1910an-1997) pernah belajar di Dabhel 
Gujerat dan Deoband. Klik di sini utk biodata


Maulana Abdullah Noh (1905-1947) pernah berguru dengan
 Maulana Ubaidillah Sindi (foto dr facebook Mohd Rosli Ibrahim)




Mantan Menteri Besar Kelantan, TGH Nik Abdul Aziz Nik Mat. 
Memasuki Darul  Uloom Deoband pada tahun 1952



Maulana Lambak  belajar di Darul Uloom Deoband 
pada tahun 1955  selama hampir 10 tahun.Klik di sini



Mantan Mufti Selangor Dato` Ishak Baharom (1928-2008). 
Memasuki Darul Uloom Deoband pada tahun 1957 selama 5 tahun



Dr Abdul Hayie Abd Syukor lahir 1947.
Menuntut di Darul Uloom Deoband tahun 1967.


Professor Selamat Hashim lahir tahun 1948. 
Belajar di Darul Uloom Deoband  1967.

Selamat bin Hashim berkelulusan Al–Fadil (1971) dari Darul Ulum, Deoband, India; B.A. Perundangan Islam (1972), Diploma Pendidikan (1973) dan M.A. Perundangan Islam (1975) dari Universiti Al–Azhar, Mesir serta Diploma Falsafah Sains (1996) dari Institut Pengajian Ilmu–ilmu Islam, Kuala Lumpur. Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Pegawai Agama Johor (1977), Pendakwa Mahkamah Syariah Negeri Johor (1978). Tugas ini disandang bersama dengan tugas sebagai Penolong Kadi Besar di Pejabat Kadi Besar Johor, Pegawai Penyelidik di Jabatan Agama Johor dan Kadi di Pejabat Kadi Daerah Pontian (1982).

Beliau mula bertugas sebagai pensyarah di Pusat Pengajian Kemanusiaan, UTM Kuala Lumpur pada tahun 1982 dan dilantik menjadi Pengarah Pusat Pengajian Islam dan Pembangunan Sosial, UTM Skudai pada 1 Mei 2002 hingga 31 Mei 2006. Sepanjang bertugas sebagai pensyarah di UTM, beliau terlibat mengajar mata pelajaran Falsafah Sains Islam, Pendidikan Islam, Cabaran Pemikiran Islam Semasa, Qawaeid Fiqhiyah, Usul Fiqh, Tafsir dan Ayat Ahkam, Fiqh Waqaf, Fiqh Ibadat, Fiqh Muamalat dan Hukum Pembahagian Pusaka. Beliau juga aktif dalam khidmat perundingan. Antara penglibatan beliau ialah sebagai pakar runding yang menyediakan kertas kerja penubuhan Kolej Islam YPJ, rundingan dengan pihak Universiti al–Azhar dan Kedutaan Malaysia di Cairo bagi mendapatkan pengiktirafan ke atas Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH), menyertai rombongan penyelidikan anjuran kerajaan Johor ke enam negara Timur Tengah untuk mengkaji pelaksanaan undang–undang Islam, menganggotai Jawatankuasa Panel Penilai Buku Teks Kurikulum Baru Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor dan Ahli Panel Syariah Uqud Barakah Sdn. Bhd., Syarikat Guaman Ikbal Salam & Associates, Taman Molek Johor Bahru.




Datuk Aziz Jamaludin lahir pada tahun 1954. Belajar di 
Nadawatul Ulama Lucknow India pada tahun 1966. Deoband tahun 1977-1979

Anak kelahiran Kampung Baru di sini, mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Inggeris Kuala Lumpur sebelum menyertai kursus tahfiz al-Quran di Nadwa Kolej Lucknow, India dari 1966 hingga 1970.

Beliau meneruskan pengajian peringkat menengah di tiga sekolah agama di Pulau Pinang dari tahun 1971 hingga 1976, sebelum ke India bagi mendapatkan sarjana dalam bidang hadis di Universiti Deoband dari tahun 1977 hingga 1979 dan menuntut di Universiti Al-Azhar dari tahun 1979 hingga 1983 dalam bidang syariah dan undang-undang.

Aziz Jamaludin pernah memegang pelbagai jawatan dalam kerajaan iaitu sebagai Hakim Wilayah Persekutuan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dari November 1984 hingga Mac 1987, Konsul di Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah dari Julai 1991 hingga Julai 1995, setiausaha sulit kanan kepada Menteri Pendidikan dari Ogos 1995 hingga April 1998 dan ditauliahkan sebagai peguam syarie bagi Negeri Sembilan dan Perak pada tahun 1998. Beliau juga pernah menjadi Yang DiPertua YADIM.


Datuk Dr. Aziz Jamaludin Bin Hj Mhd Tahir serves as Independent Non-Executive Director of Datasonic Group Berhad since June 27, 2011. He graduated from Deoband University, India, in 1979 with a degree in Islamic Studies and later obtained Bachelor of Arts in Syariah Law from the Al Azhar University, Egypt, in 1983. He obtained a PhD from Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim, Indonesia, in 2012. He started his career in 1984 as a Federal Court Judge in the Syariah Court. In 1987, he joined the Prime Minister’s Department as an Administration and Diplomatic Officer. He was the Consulate of the Malaysian Embassy in Saudi Arabia from 1991 to 1995 and Confidential Secretary to the Education Minister from 1995 to 1998. In 2008, he represented UMNO as a candidate for the national election for the Parliamentary seat for Titiwangsa district. In the same year, he was appointed as Treasurer for The Scouts Association of Malaysia. In 2009, he was appointed as the Chairman of Koperasi JASA (KOJASA). In 2010, he was appointed as the Deputy Chief of The Scouts Associations of Malaysia.

Sunday, September 15, 2013

Anekdot Ulama 53: Tok Guru Haji Abbas (1910an-1997)

Daerah Besut tidak pernah ketandusan melahirkan ulama-ulama berkaliber. Salah seorang darinya ialah Tuan Guru Haji Abbas Ahmad. Beliaulah yang telah mengasaskan pondok Tok Jiring sehingga menjadi sekolah agama yang terkenal di peringkat tanahair pada masa ini. Beliau dilahirkan pada awal tahun 1910-an di Kampung Bukit Puteri, Kuala Besut. Kealimannya diakui khususnya dalam bidang ilmu feqah yang merangkumi 4 mazhab iaitu Shafie, Maliki, Hanafi dan Hambali menerusi gerakan pendidikan pondok.


Tuan Guru Haji Abbas mendapat pendidikan awal di Pondok Haji Mohd bin Haji Hussein, Kuala Besut. Selepas itu sepertimana yang menjadi kelaziman ulama-ulama besar satu masa dahulu, beliau kemudian melanjutkan pelajaran ke Makkah selama 8 tahun ketika usianya baru menjejak 14 tahun. Setelah menyelesaikan pengajian di Makkah, beliau kemudiannya berangkat ke India untuk menyambung pengajian di Universiti Al-Jamiah Al- Islamiah, Gujerat. Pada ketika itu, beliau berusia 22 tahun. Selepas pulang ke tanah air, empat tahun kemudian beliau pergi semula ke India untuk meneruskan pengajiannya di Universiti Darul Ulum Deoband selama setahun iaitu pada tahun 1938. [Nota: Universiti yg dimaksudkan ialah Madrasah kerana sistem yg digunakan bukan sistem universiti moden tetapi ala madrasah, pondok atau pasenteren dgn lebih bersistem seperti adanya peperiksaan dan graduation- ibnnawi]

Setelah menyelesaikan pengajiannya, beliau pulang semula ke tanahair. Matlamat utamanya ialah beramal, berbakti dan berkorban demi mencapai keredaan Allah. Untuk mencapai matlamatnya itu, ilmu wajib dikembangkan demi kesejahteraan umat seluruhnya. Langkah pertama ialah dengan mengasaskan sebuah pondok di kampung kelahirannya sendiri yang diberi nama Jamiah Diniah. Bersama-sama dengan beberapa ulama lain, beliau membuka sebuah lagi pondok di Kampung Raja, Besut iaitu Madrasah Nurul Ittifaq dan seterusnya membuka satu lagi pusat pengajian yang diberi nama Darul Adib Al-Khursani di Kuala Besut. 


Gerakan pendidikan dan dakwah Tuan Guru Haji Abbas ini melewati Besut hingga ke sempadan Bukit Yong di Kelantan dengan membuka beberapa buah pondok mulai 1945. Beliau kemudiannya berhijrah ke Kuala Terengganu dan mengasaskan pondok Tok Jiring hingga sekolah itu menjadi terkenal di Terengganu dan seluruh negara amnya.[1] Pondok ini diasaskan pada tahun 1953. Ia berkembang menjadi sebuah Sekolah Menengah Agama sehingga kerajaan negeri mengambil alih pentadbirannya pada tahun 1962. Pada tahun 1976, Kementerian Pelajaran Malaysia mengambil alih pentadbirannya dan dinaikkan taraf menjadi sebuah sekolah menengah agama yang termoden di Terengganu.[2]


Atas sumbangan dan jasanya yang tidak ternilai kepada anak bangsa itu, kerajaan Negeri Terengganu mengisytiharkannya sebagai Tokoh Ulama dalam Majlis Sambutan Ma'al Hijrah pada Tahun Hijrah 1409. Pada 17 April 1989, Sultan Terengganu berkenan mengurniakan Bintang Kebesaran Negeri Terengganu, Datuk Paduka Mahkota Terengganu, (DPMT) yang membawa gelaran Datuk kepadanya. Tuan Guru Haji Abbas juga pernah dianugerahkan sebagai Tokoh Guru Terengganu tahun 1990. Pada 16 Mei 1991, beliau sekali lagi dianugerahkan sebagai Tokoh Guru Peringkat Nasional. Dalam pentadbiran kerajaan negeri, beliau pernah dilantik sebagai senator selama 6 tahun oleh Dewan Undangan Negeri Terengganu pada awal tahun 60-an.[3]

Tuan Guru Haji Abbas dikurniakan 15 orang anak. Antara anaknya yang meneruskan aktiviti dakwah menerusi sistem pondok ialah Abdul Aziz.


Salah seorang anak muridnya yang menjadi ulama besar pada masa ini ialah Menteri Besar Kelantan pada ketika ini iaitu Tuan Guru Haji Nik Aziz Nik Mat[4]. Tuan Guru Haji Nik Aziz menimba ilmu kepada Tuan Guru Haji Abbas di Madrasah Nurul Ittifaq di Besut. [5]


Salah seorang lagi pelajar tok guru Haji Abbas yang masih lagi aktif meneruskan segala perjuangan tok guru ialah Haji Lambak bin Ibrahim, yang juga merupakan menantu kepada Tok guru . Beliau telah menuntut ilmu dengan tok guru sejak remaja dan telah melanjutkan pelajaran ke Universiti Deoband. Sekembali ke Malaysia beliau meneruskan pembelajaran dengan Tok guru sehingga Tok guru menghembuskan nafas terakhir. Hingga kini, beliau masih lagi aktif menghidupkan surau yang di bina oleh Tok guru sendiri, iaitu Surau Haji Abas di Tok Jiring dengan mengadakan kuliah tetap hampir setiap hari. Contohnya, kuliah subuh dan pengajian kitab.


Tuan Guru Haji Abbas berpulang kembali ke rahmatullah pada 1 Julai 1997. 


[1] Rujuk http://smkatj2010.blogspot.com/2008/04/pengasas-smka-tok-jiring-seorang-ulama.html. Dicapai pada 27 Jun 2009

[2]Rujuk http://rasmi.smkatokjiring.com/index.php?option=com_content&task=view&id=55&Itemid=57. Dicapai pada 27 Jun 2009
[3] Rujuk http://rasmi.smkatokjiring.com/index.php?option=com_content&task=view&id=55&Itemid=57. Dicapai pada 27 Jun 2009
[4] Lahir pada tahun 1931 di Pulau Melaka, Kelantan. Dilantik menjadi Menteri Besar Kelantan pada 22 Oktober 1990.


[5] Rujuk biodata Menteri Besar di http://mbkelantan.disanasini.com/biodata/


Tuesday, September 10, 2013

Kembara Deoband 60: Register Pelajar-Pelajar Malaysia di India tahun 1947-1990an


Pelajar terawal dalam register pelajar-pelajar Melayu di India berpengkalan di Deoband tersimpan di Arkib Negara Kuala Lumpur ialah Zakaria b. Hj Muhammad. Datang ke Deoband, India pada tanggal 9 Mei tahun 1947. Berasal dr Kg Kota Jelasin Kota Bharu. Lahir pd tahun 1929. Sampai di Deoband ketika beumur 18 tahun. Ini tidak bermakna beliau adalah pelajar terawal kerana TGH Abbas pernah belajar di Dabhel dan Deoband zaman Maulana Anwar Shah Kashmiri yang meninggal tahun 1933.


Nama TGH Nik Abd Aziz Nik Mat dalam register pelajar-pelajar Melayu di India berpengkalan di Deoband tersimpan di Arkib Negara Kuala Lumpur. Datang ke Deoband, India pada tahun 1952. Nama dlm register Ab Aziz Muhammad, Tabun Kedai Lalat. Kemungkinan ini nama Tok Guru berdasarkan tarikh sampai dan alamat Kedai Lalat.


Nama Maulana Asri Yusuf dalam register pelajar-pelajar Melayu di India berpengkalan di Deoband tersimpan di Arkib Negara Kuala Lumpur. Datang ke Deoband, India pada tahun 1977 ketika berusia 9 tahun untuk menghafalAl-Quran.



Nama Zaharudin Nawi, Nik Mohd Abduh, Roselan, Azhar Abd Satar dan Mohd Khuduri, dalam register pelajar-pelajar Melayu di India berpengkalan di Deoband tersimpan di Arkib Negara Kuala Lumpur. Mereka adalah nama yang terakhir yang tersimpan dalam register nam-nama pelajar sebelum merdeka lagi.



Nama Ishak Baharom bekas Mufti Selangor dalam register pelajar-pelajar Melayu di India berpengkalan di Deoband tersimpan di Arkib Negara Kuala Lumpur. Datang ke Deoband, India pada tahun 1957 ketika berusia 26 tahun. Lahir tahun 1931.



Dalam senarai daftar ini juga (no 162/67)Aziz Jamaludin (YADIM)- Nadwah 1966, (no 168/67)Abd Hayie Abd Syukor (UM) - Deoband 1967 dan (no 170/67) Nik Razi Nik Mat (Adik TGH Nik Abd Aziz) - Deoband 1967


Penyata Keewangan Persatuan Pelajar-Pelajar Malaysia Deoband tahun 1969-1979 yang tersimpan di Arkib Negara Kuala Lumpur.


Thursday, September 5, 2013

Kembara Deoband 59: Best Student Darul Uloom Deoband Maulana Lambak

Seperti yang disebut sebelum ini pertama kali saya mendengar nama Lambak ialah daripada guru saya sendiri Maulana Said Palnpuri ketika saya dan Roselan menziarahi beliau di rumahnya. Pada tahun 2004 sebaik sahaja pulang ke tanahair saya bertanya khabar tentang nama beliau tetapi tidak ada yang mengetahui. Pada tahun 2009 setelah saya menziarahi Deoband saya membawa balik buku daftar Darul Uloom Deoband yang menyimpan nama-nama pelajar luar negeri mereka yang lama-lama. Saya dapati nama Lambak ada tertera di dalamnya. Ini memudahkan saya mencarinya kerana disertakan bersama alamat Maulana. Apabila Al-Akh Lotfi Yusuf dapat menjadi lecturer di UniSZA beliau memberitahu saya Maulana Lambak mengajar di surau TGH Abbas dan beliau ada juga mengikuti pengajiannya.

Saya bersama Hamizi, Mohd Azri, Kamarudin dan Nik Farid bertolak dari Kuala Lumpur pada pukul 8.30 pagi tanggal 5/9/2013 dalam ekspedisi kami untuk menziarahi Maulana. Jam 1.00 tengahari kami sampai di Tepoh, Kuala Terengganu dan makan tengahari di situ. Setelah makan kami solat di Masjid Wakaf Tembusu yang terletak berdekatan dengan rumah Maulana Lambak yang hanya dipanggil sebagai ustaz sahaja oleh pelajar-pelajar dan penduduk di kawasan itu. Selesai solat kami ke Surau tempat Maulana mengajar kerana Lotfi sedang menunggu di situ untuk membawa kami ke rumah Maulana. Sebelum itu saya sudah membuat temujanji dengan Maulana melalui Lotfi. Maulana menunggu-nunggu kedatangan kami. Rumah Maulana di seberang jalan utama setentang dengan surau beliau. Sebaik sahaja kami sampai Maulana sudahpun keluar dari rumah untuk menyambut kedatangan kami.



Kami dipelawa untuk masuk. Nampaknya Maulana tidak banyak protokol. Walaupun umur sudah menjangkau 80 tahun Maulana kelihatan kuat dan sihat. Sebelum ini saya terfikir-fikir bagaimana hendak bercakap dengan orang yang sudah lanjut usianya. Tentu dia penat. Tentu dia kurang dengar. Tentu dia cerewet. Tapi semua anggapan itu meleset. Maulana kelihatan kuat, pendengaran masih baik dan tidak cerewet.

                                                  Di hadapan Masjid Wakaf Tembusu: Dari Kiri:                                                                                         Kamarudin, Ibnnawi, Nik Farid, Hamizi dan Mohd Azri

Surau TGH Abbas tempat Maulana Lambok mengajar

Maulana pergi ke India pada tahun 1955 ketika berusia 19 tahun. Beliau menaiki kapal laut dari Singapura bersama dengan 9 orang pelajar lain ke Calcutta. Perjalanan mengambil masa 2 hari untuk sampai ke Calcutta. Dari Calcutta menaiki keretapi yang mengambil masa 3 hari 3 malam terus ke Deoband.

Sebelum ke Deoband Maulana sudahpun alim. Banyak kitab yang telah dipelajari di merata-rata pondok termasuklah pondok-pondok di Kelantan. Beliau adalah anak murid Tok Guru Hj Abbas satu zaman dengan TGH Abdul Aziz Nik Mat. TGH Nik Aziz  senior beliau dan pergi ke India lebih awal. Maulana mengakui TGH Nik Abdul Aziz sudahpun alim sebelum pergi India lagi dan juga seorang yang fasih bertutur bahasa Arab. Kalau dalam bidang Nahu Maulana sudahpun mempelajari kitab setinggi Syarah Ushmuni oleh Ali b. Muhammad b. Isa. Kalau Fekah sudahpun mempelajari Mahalli. Maulana masih mengingati tokoh-tokoh ulama dan pusat-pusat pengajian agama di Kelantan semasa beliau berada di situ. Malah beliau masih mengingati nama-nama anak beranak tokoh-tokoh ulama tersebut. Begitu juga kisah-kisah yang tidak jemu telinga mendengarnya. Antaranya anak-anak Tok Khurasan (1875-1944) dan mereka yang menjadi anak murid Tok Khurasan dan Tok Guru Haji Abbas (w.1997) seperti  Ustaz Yusuf Zaki Yakob (1928-1999). Maulana mengisahkan bagaimana Tok guru Haji Abbas suatu hari pergi ke rumah Ustz Yusuf Zaki dalam keadaan kaki yang penuh dengan selut (lumpur). Kerana menghormati Tok Guru Ustz Yusuf Zaki terus mempelawa Tok Guru masuk tanpa harus membasuhnya. Saya buat rumah ini untuk Tok guru, tok guru masuklah sampai ke katil sekalipun, pijak kapet sekalipun. Kata ustaz Yusuf Zaki.

Maulana/Ustaz Lambak



Tok Guru Haji Abbas, Mertua Maulana Lambak

Walaupun sudah alim Maulana tetap cintakan ilmu. Maulana tidak terus memasuki pengajian yang tinggi di Deoband sesuai dengan tahap kealiman Maulana. Malah bermula dari bawah. Walaupun sudah alim dalam nahu beliau tetap ingin mempelajari kitab nahu yang digunakan di Deoband. Maka belajarlah Maulana kitab nahu seumpama Kafiah dan Syarah Jami. Maulana sangat meminati pelajaran nahu sehingga mengambil kesempatan ketika berada di Deoband untuk menghafal matan Alfiyah Ibnu Malik. Maulana juga menumpukan kepada mata pelajaran ilmu alat seperti Mantik, Falsafah dan Balgahah. Dalam bidang mantik Maulana telah mempelajari kitab setinggi Sullamu l-Ulum dan Qadi Mubarak. Dalam bidang Balghah kitab setinggi Mukhtasar Maani dan Mutawwal. Usul Fekah pula sehingga Husami dan Taudih wa t-Talwih. Antara kitab yang dipelajari oleh Maulana di Deoband selain Sunan Sittah ialah Hujjatullah Balighah (rahsia syariat Islam), Syarah Aqaid Nasafiyah, Musayarah, Musamarah, Hashiyah Khayali (akidah), Dewan Mutannabi, Maqamat Hariri, Dewan Hamasah, Sab`ah Muallaqat (adab arabi), Tafsir Jalalain, Tafsir Baidawi (tafsir), Faizul Kabir (usul tafsir), Mishkat (hadith), Syarah Nukhbah (usul hadith), Nurul Anwar, Musallamu Subut (usul fekah), Siraji (faraid), Tasrih dan Syarh Chagmini (ilmu falak), Rashidiah (munazarah), Fawaid Makkiyah (tajwid) dan banyak lagi.
Beliau juga banyak meluangkan masa mengajar pelajar-pelajar Malayasia yang lain.


Antara guru-guru Maulana pada waktu itu ialah:
Maulana Fakhrudin Ahmad ((1889-1972))- Bukhari
Maulana Mohd Ibrahim Balyawi (1886-1967)- Tirmizi, Muslim
Maulana Syed Fakhrul Hasan (1905-1967)– Baidawi, Abu Daud
Maulana Naim –Sullam, Mukhtasar Ma`ani
Maulana Mian Asghar  Husein- Hidayah 1.
Maulana Mirajul Haq – Hidayah 2 (Saya sempat menemui beliau ketika berada di Deoband tahun 1989)
Maulana Qari Tayyib (1897-1983)- Hujjatullah Balighah
Maulana Mohd Salim- Tarjamatul Quran
Maulana Anzar Shah (1929-2008)- Tarjamatul Quran
Maulana Nasir Ahmad Khan (1918-2010)-Jalalain

Menurut maulana Mufti Darul uloom waktu ialah Maulana Mahdi Hasan (1883-1976). Mufti Mahdi pandai bertutur bahasa Arab tetapi kata Maulana dia tak pandai mengajar. Dia mempunyai daya ingatan yang kuat. Maulana yang pandai mengajar pada waktu itu ialah Maulana Fakhrulhasan. Saya mencelah: "Saya mengakuinya kerana saya memilki kitab syarah Baidawi dalam bahasa Urdu yang ditulis oleh Maulan Fakhrulhasan. Gaya penyampaiannya mudah dan teratur". 



Bergambar di rumah Maulana


Maulana-maulana yang menjadi Sheikhul hadith kami pada waktu saya di Deoband (1989-2004) adalah maulana-maulana yang hanya mengajar kitab-kitab bawah sahaja di zaman Maulana Lambak seperti Maulana Naim (w.2007), Maulana Anzar Shah (w.2008), Maulana Nasir Ahmad Khan (w.2010) dan Maulana Salim (hayat).


Tahun akhir yang diduduki oleh Maulana, yang merupakan tahun pengajian hadith secara seratus peratus, mempunyai sebanyak dua ratus lebih orang pelajar. Dalam peperiksaan akhir Maulana Lambak telah berjaya mendapat tempat yang kedua. Tempat pertama diduduki oleh Maulana Said Palanpuri (guru saya). Ketiga oleh Maulana Fakhruzaman (adik guru kami Maulana Wahiduzaman Kiranawi). Maka tidak heranlah Maulana Said memberitahu saya bahawa Lambak seorang yang sangat pintar (woh bahut zahin hai).

Mulanya Maulana juga bercadang ke Mesir apabila tamat Darul Uloom. Akan tetapi beliau meneruskan pengajian takhassus untuk mempelajari beberapa kitab yang lebih tinggi terutama dalam ilmu usul. Setelah itu Maulana terus pulang ke tanahair. Beliau hampir-hampir menjadi calon PAS waktu itu kerana semasa pulang pilihanraya sedang dalam proses untuk diadakan. Kata Maulana Allah tidak mentakdirkan beliau dalam bidang politik. Kawan-kawan yang lain ramai yang menjadi calon. Ada yang menang ada yang kalah. Beberapa individu yang terdapat di dalam buku register yang saya bawa dikenali oleh Maulana terutama yang sezaman dengan beliau. Hampir kesemuanya meninggal dunia. Yang hidup semuanya dalam keadaan uzur. Semoga Allah memberikan kesihatan yang sejahtera kepada mereka. Semoga suatu hari nanti kami dapat berkunjung lagi ke Terengganu untuk menziarahi mereka.

Semasa belajar di Darul Uloom Maulana tidak pergi ke mana-mana melainkan berkurung di Deoband sahaja. Beliau juga tidak pernah pulang bercuti sehinggalah tamat belajar. Maulana diberikan single room yang terletak di bawah bilik guru besar (darul Ihtimam). Biasanya hanya pelajar pintar sahaja diberikan single room. Maulana juga banyak menghabiskan masa di perpustakaan Darul Uloom, perkara yang jarang-jarang dilakukan oleh pelajar madrasah. Ini menunjukkan bahawa Maulana tidak berpada dengan buku teks malah ingin mengali masalah yang ada di dalamnya dengan lebih mendalam.

Maulana berkawin dengan anak TGH Abbas dari isterinya yang kedua. TGH Abbas seorang yang berharta. Beliau memberikan tanahnya untuk Maulana mendirikan rumah berdekatan dengan rumah  dan surau beliau. Kemudian Maulana bekerja dengan kerajaan sehinggalah pencen pada usia 55 tahun. TGH abbas juga mewasiatkan kepadanya agar menyambung tugasnya mengajar kerana orang lain tidak mempunyai kecenderungan untuk mengajar walaupun menjadi anak muridnya. Selepas itu Maulana mula mengajar di surau tersebut dan di masjid-masjid. Sehingga kini Maulana telah berjaya menamatkan 6 kali pengajian Bukhari. Setiap kali khatam mengambil masa 6 tahun. Maulana juga mengajar kitab Fekah Syafie bawahan, Muhazzab, Al Um, Tafsir Baidawi dan banyak lagi kitab. Kata Maulana Deoband adalah lubuk ilmu dan tempat yang berkat. Maulana-maulana yang ada di situ semuanya berkat sebab itulah semua kitab dapat dikhatamkan dalam masa yang singkat. Kita semua sibuk dengan dunia. Maulana Deoband juga mempunyai banyak keramat menurut Maulana. Antaranya kisah ruangan kosong dalam kelas Daurah Hadith, dari turun temurun dikosongkan antara kedudukan maulana yang mengajar dengan pelajar-pelajar yang duduk di hadapan. Katanya ruangan itu khas untuk jin. Antarnya seorang pelajar  pintar sengkatan dgn Maulana yang hilang ilmunya dek kata-kata seorang guru dengan nada kemarahan akan mengambil semua ilmu yang ada padanya kerana derhaka ia kepada guru. 

Rumah TGH Abbas mertua Maulana selaku gurunya
 yang terbiar di atas tapak tanah TGH Abbas yang 
luas di hadapan rumah Maulana

Maulana juga telah menunjukkan kepada kami kitab-kitab simpanannya. Ada yang disimpan di rumah dan ada yang diletakkan di surau. Dalam perbualan itu Maulana ada menyebut tentang kitab tarajim abwab Bukhari dalam bahasa arab yang dikarang oleh gurunya Maulana Fakhrudin Ahmad (1889-1972). Maulana Fakhrudin adalah anak murid Sheikhul Hind (1851-1920) dan Maulana Anwar Shah Kashmiri (1875-1933). Saya pertama kali mendengarnya atau terlupa ttg kewujudannya. Saya hanya memilki syarah Bukhari dalam bahasa Urdu oleh Maulana Fakhrudin. Saya membelek-belek kitab itu. Maulana memahaminya. Akhirnya Maulana mengizinkan saya membawa pulang kitab tersebut. Menurut Maulana Lambak, Maulana Fakrudin waktu itu sudahpun tua. Berjalanpun harus dipapah seperti juga Maulana Zakariya Kandahlawi (1898-1982) di Saharanpur. Kami juga meminta daripada Maulana agar memberikan kepada kami ijazah bagi semua riwayat hadith yang Maulana terima daripada guru-guru Maulana. Beliau dengan berbesar hati telah melafazkan lafaz ijazah kepada kami bagi kesemua marwiyaat beliau.

Kitab Tarajim Abwab Bukhari, Al Qaul Al Fasih, karangan 
Maulana Fakhrudin yg saya bawa pulang





Sebahagian Sanad Hadith Maulana Lambak



Maulana Menunjukkan Sanadnya sambil 
dilihat oleh Lotfi dan Ibnnawi


Begitulah serba sedikit tentang Maulana Lambak, nama yang cuba ditukar oleh anak Tok Kenali kepada Abdullah tetapi tidak menjadi kerana kuatnya pengaruh nama yg tetera pada kad pengenalan. Begitulah Maulana Lambak nama yang tidak dikenali ramai tetapi mempunyai sejarah hebat yang tersendiri. Itulah Maulana Lambak pelajar yang didoakan oleh gurunya untuk berkhidmat kepada ilmu sehingga penghujung hayat. Semoga Allah menjadikan kita termasuk ke dalam golongan orang yang sentiasa menuntut ilmu dan berkhidmat untuk ilmu walau di mana kita berada, walau usia hampir menjamah bumi.

Dalam Daftar Persatuan Bekas-Bekas Pelajar Darul Uloom Deoband tertera nama beliau seperti berikut:
Nama: Maulana Lambak,
Tahun Tamat Belajar: 1382H/1962
Alamat: Lambak bin Ibrahim, Kampong Jerim, Kuala Neros, Terengganu, Malaysia


Daftar Pelajar Malaysia Alumni Darul Uloom Yang diambil 
di Darul Uloom Deoband tahun 2009 Tertera nama Lambak

Thursday, August 29, 2013

Helo! Helo!

Banyak kali juga kami berdepan dengan kegagalan ketika membuat rakaman pengajian samada di UM, Subang Perdana dan di rumah. Kadang mic lupa on. Kadang zoom lupa on. Kadang salah satunya habis bateri. Kadang camera habis bateri. Kadang software rakaman crash. Sekarang baru saya sedar pentingnya sedikit pengetahuan ttg teknologi baru. Kalau ada ilmu, byk perkara dpt di atasi dgn tidak memerlukan belanja yg besar.

Ayah saya tak berpelajaran tinggi. Dia belajar sikit dgn org ilmu ttg microphone tahun 60an. Dgn ilmu itu dia dpt kerja kerajaan urus microphone bila ada majlis2 rasmi kerajaan. Masatu saya hanya tahu ayah sibuk test microphone `helo` `helo` `helo`.

Masalah yg selalu menganggu saya bila bercakap dgn mic Basooir ialah ragu2 ttg bateri yg ada dlmnya masih ada charge atau tidak. Mic pakai bateri jam tangan yg kecil. Tidak ada indicator ttg ia masih bernyawa atau tidak. Selepas rakaman baru tahu. Kalau masuk ertinya on. Kalau rakaman tak masuk ertinya kantoi.

Hari ini saya menerima sebuah mic baru dari UK yang dibuat di rumah sahaja dgn harga budjet. Katanya boleh mengatasi masalah bateri. Tak payah guna bateri lagi. Saya mencubanya dgn `helo` `helo`. Mengubah level2 sound utk mendapatkan sound yg dikehendaki. Mengulang-ngulang `helo` `helo`. Kemudian merakamkannya. Kemudian emailkan kpd Hamizi sehinggalah mendapat pengesahan sound yg baik daripadanya.

Alhamdulillah, nampaknya boleh guna. Harap2 tidak was-was lagi ttg rakaman masuk atau tidak.

Masa saya balik dari India ayah saya memberitahu saya dia amat berbangga kerana dulu dia menyediakan microphone untuk orang. Tetapi sekarang orang pula menyediakan microhone untuk anak-anaknya bercakap. Kebetulan pada waktu itu adik-adik saya menjadi pencermah multilevel yang disegani di kalangan follower mereka. Ayah selalu kepingin mendengar saya mengajar agama menggunakan microphone. Waktu itu saya belum lagi mengajar tetapi masih mahu belajar, beralih ke UIA sebaik sahaja pulang dari India.

Bila saya sudah mula mengajar dan pandai helo helo ayah pula sudah pergi untuk selama-lamanya. Kalaulah ayah ada sudah tentu dia akan mengajar saya helo helo dan mengatakan tidak sia-sia helo-helo ayah.

Amalan ayah rupanya tidak sia-sia. Helo helo!!!!.

Wednesday, July 3, 2013

Kembara Deoband 58: Hadiah Quran Nublan Zaki

Saya bercita-cita untuk menghafal Al-Quran semenjak dari sekolah menengah iaitu dalam tahun 80an. Ramai sahabat yang saya kenali menghadiahkan kepada saya kaset qari-qari yang membaca Al-Quran dengan suara yang merdu-merdu. Ini membuatkan saya bertambah minat untuk menghafal Al-Quran. Saya berjinak-jinak menghafalnya setelah meniru bacaan mereka. Suatu hari saya dihadiahkan sebuah Al-Quran kecil oleh seorang sahabat satu sekolah, Nublan Zaki. Kami juga pernah mengikuti kursus bahasa Arab di Pusat Bahasa Arab Nilam Puri selepas SPM. Beliau anak kepada Ustaz Yusuf Zaki Yakub, penterjemah Tafsir  Zilal. Waktu itu dia sedang menuntut di UIA. Saya masih berada di Kota Bharu. Saya amat gembira kerana Quran yang dihadiahkan itu sungguh indah. Warnanya hijau. Corak kulitnya digubah dengan warna keemas-emasan. Ia diletakkan dalam satu kotak kecil dan dipecahkan kepada enam naskah. Satu naskah terdiri daripada lima juzuk. Quran ini memudahkan lagi saya untuk menghafal. Saya selalu membawanya ke mana sahaja saya pergi. Saya letakkannya di dalam kocek baju kerana saiznya muat untuk diletakkan dalam kocek.

Suatu hari saya berada di Masjid Muhammadi Kota Bharu untuk menunaikan solat. Saya perlu masuk tandas dahulu. Saya letakkan Quran di luar tandas. Bila saya keluar tandas, Quran itu hilang. Ia diambil orang. Mungkin orang itu ingat tak patut Quran ditinggalkan dekat tandas, lalu meletakkannya dalam masjid. Saya mencari-carinya di sekitar masjid tetapi tidak menemuinya. Saya amat kesal kerana saya amat sayangkan Quran itu. Banyak sudah juz yang dihafal menerusinya. Ia adalah naskah yang pertama yang terdiri daripada juz satu sampai juz lima. 

Wajah Al-Quran kecil hadian dari Nublan Zaki yang sudah lusuh di makan usia.


Juz 6-10                                                             Juz 11-15


Juz 16-20                                                         Juz 21-25


Bila saya ke India saya membawa Quran tersebut tanpa naskahnya yang hilang. Kemudian naskah yang terakhir pula hilang iaitu  juz 26-30. Saya terus menggunakan Quran itu sehinggalah pada tahun 1992 bila saya mengambil keputusan untuk menghafal Quran sepenuh masa. Ini setelah melihat Nik Mohd Abduh berbuat demikian. Dia berhenti belajar kitab dan mendaftar di kelas tahfiz. Sayapun menurut jejak langkahnya. Untuk tujuan ini saya menggunakan Quran yang lebih besar. Saya menggunakan Quran cetakan Saudi. Tidak banyak tanda yang ada dalam Quran itu berbanding dengan cetakan India. Dalam kelas mereka menggunakan hafalan mengikut pecahan-pecahan ruku`. Oleh itu saya meminta kawan di kelas tahfiz saya yang bernama Zakir dari Asam untuk menulis tanda ruku` seperti dalam cetakan India. Pada hujung tahun 1993 saya menamatkan hafalan Quran dan menyambung semula pengajian kitab.

Siapa sangka hadiah yang bersahaja daripada Nublan Zaki telah merelisasikan cita-cita saya itu. Walaupun bersahaja tetapi ia amat bermakna untuk diri saya. Pada waktu itu saya tidak mempunyai sumber untuk memilki Quran seumpama itu. Hanya niat murni yang menyampaikannya kepada saya. Semoga Allah  sentiasa memberi taufik kepada saya untuk terus membaca Al-Quran dan menjadikannya sumber pahala kepada mereka yang kerananya saya dapat menghafal Al-Quran.

Wajah sekarang bahagian depan Al-Quran 
yang saya gunakan ketika menghafal

Bahagian belakang Al-Quran

Mukasurat terakhir tertera tarikh saya tamat menghafal Al-Quran berserta 
tanda ruku` yang ditulis oleh Zakir Asami

Tuesday, July 2, 2013

Kembara Deoband 57: Darul Hadith dan Darul Tafsir

Gambar-gambar ini diambil pada tahun 1993.

Di hadapan pokok Molsari terdapat satu bangunan yang besar yang merupakan bilik-bilik darjah Darul Uloom peringkat tinggi. Ia terdiri daripada dua binaan yang besar. Iaitu bangunan Darul Hadith dan bangunan Darul Tafsir.

a) Darul Hadith. Lelaki yang sedang menyapu itu masih saya ingat rupa parasnya. Dia bekerja sebagai tukang sapu. Tempat yang dia menyapu bergantung kepada tugasnya hari itu. Kebanyakan tukang sapu adalah dari golongan kaum Bangi  (bukan bandar Bangi). Kaum bangi adalah Hindu yang berkasta rendah. Walaupun dinamakan Darul Hadith tetapi kelas-kelas yang terdapat dalam bangunan tersebut  bukan semestinya kelas-kelas hadith sahaja. Kemungkinan sewaktu awal-awal pembinaanya bangunan itu hanya digunakan sebagai kelas pengajian hadith.

Darul Hadith

Darul Hadith Fauqani yakni bahagian atas Darul Hadith. Bahagian ini adalah untuk pengajian kitab Mishkat Masabih berserta kitab-kitab yang lain yang setara dengan levelnya.

b) Darul Tafsir. Bahgian atas yang berwarna putih itu adalah Darul Tafsir. Semasa zaman saya kelas itu tidak digunakan sekian lama. Ia dibiarkan kosong berkunci. Mendengar nama Darul Tafsir seolah-olah suatu yang mengerikan. Terletak di bahagian paling atas Darul Uloom. Untuk sampai kepadanya mesti menaiki tangga tinggi yang sempit. Di sana tidak ada cahaya lampu. Namun setelah saya memasuki tahun 7 sebelum tahun akhir iaitu tahun 8, kelas itu dibuka kembali. Saya sempat belajar tafsir Baidhawi di dalamnya. Apabila tiba waktu tafsir kami akan menaiki tangga untuk ke kelas. Kemudian ia ditutp kembali. Selepas itu dibuka pula untuk kelas tajwid. Saya amat beruntung kerana sempat belajar hampir di semua bangunan Darul Uloom dari bangunan lama sampailah wujudnya bangunan baru.

Darul Tafsir


Darul Tafsir Dari Pandangan Jauh

Kubah Darul Tafsir