Monday, May 18, 2015

Kitab 36: Fiqh Buyu` Maulana Taqi Usmani

Kitab terbaru Maulana Taqi Uthmani berkenaan dengan "Fiqh Buyu". Kitab ini hanyalah susunan kembali dengan sedikit tokok tambah dalam bentuk moden yang kemas daripada artikel-artikel beliau tentang masalah keewangan samada yang ditulis dalam bentuk buku ataupun maqalah yang dibentangkan di persidangan Fekah Sedunia di sepanjang penglibatannya dalam dunia keewangan. Kitab ini terbit dalam dua jilid dan boleh dimuat turun daripada laman maya. Alhamdulillah rata-rata artikel yang ditulis dalam buku ini telahpun saya baca sebelum ia disusun dalam bentuk seumpama ini. Kepada peminat-peminat ulama benua India luangkanl lah masa membaca kitab-kitab seumpama ini kalaupun tidak mampu untuk menulis sepertinya.

Kitab 35: Tamat Syarah Miatu Amil


Hampir setahun pengajian Syarah Miatu Amil diadakan di kelas Basooir Subang Perdana. Ia bermula pada tanggal 8 Jun 2014 dan tamat semalam tanggal 17 Mei 2015. Saya tidak menyedari ia memakan masa setahun kerana pengajian diadakan secara bergilir-gilir dengan kitab Irab Quran dan Fauzul kabir. Dalam sebulan mungkin kekerapannya hanya sekali. Saya juga gembira kerana dapat mengajar kitab yang kecil-kecil. Ramai alim ulamak walaupun sudah bergelar muhadith dan sebagainya tetapi melazimi mengajar kitab kecil. Muhammad bin Sulaiman guru kepada Imam Syayuti walaupun seorang allamah, muhadith dan berbagai-bagailah gelaran kealiman tetapi lebih dikenali dengan gelaran Kafiiji (الكافيجي) kerana tidak mahu berpisah dengan kitab nahu Kafiah (الكافية) Ibnu Hajib. Kalau mereka seumpama itu maka orang seperti saya lebih-lebih lagilah memerlukannya kerana lemah dalam nahu dan bahasa Arab.
Tahniah kepada pelajar basooir yang dapat menamatkannya. Ramai yang mengaji dari mula tetapi tak ramai yang dapat mengkhatamkan keseluruhannya kerana faktor kesibukan. Semoga Allah melapangkan waktu untuk kita di hari muka.

                                            Kitab Syarah Miatu Amil oleh Abd Rahman Jami 
                                                         yang kami guna



Anekdot Umrah 03: Pengawas Sekolah di Mekah


Saya turun dari hotel kerana ada program ziarah bersama, dengan kopiah yang tergumpal-ngumpal kerana baru sahaja bertahallul. Saya lewat turun.Seorang yang berpakaian kemas dengan logo TH Travel sedang menunggu di ruang menunggu jika ada yang terlewat. Melihat saya dia terus menegur supaya membetulkan kopiah saya yang senget itu. Dia cuba menolong kerana saya kepayahan dek kepala sudah botak, sukar untuk kopiah lembik. Dia menyarankan saya agar membeli kopiah yang keras sedikit. Dalam masa yang singkat itu kami sempat bertanya khabar. Rupa-rupanya kami satu sekolah. Satu batch. Waktu itu dia menjadi pengawas sekolah. Hari ini dia menjadi pengawas lagi tetapi pengawas yang lebih mulia. Rupa-rupanya dialah ketua rombangan umrah kami. Tidak sangka bertemu di Mekah setelah hampir 34-35 tahun tidak bertemu. Katanya Mekah dan Madinah sudah menjadi rumah keduanya kerana saban waktu datang mengiringi tetamu Allah baik umrah maupun Haji. Bila pulang dia menghadiahkan kepada saya seat business classnya dengan tambahan air zam zam. Alangkah indahnya jika bertemu di syurga nanti sahabat. 09 MAC 2015



Bersama Zul Zamri kawan sekolah yang bertugas
 sebagai wakil TH Travel

Anekdot Umrah 02: Lelaki Cacat Bertawaf

Sedaya yang mungkin saya cuba untuk memasuki ruang utama mataf supaya dapat tawaf berdekatan dengan Kaabah. Untuk itu saya terpaksa masuk ke masjid sekurang-kurangnya sejam lebih awal sebelum masuk waktu. Walaupun masih ada peluang untuk ke tingkat tawaf yang lain saya tidak mahu menjauhi Kaabah. Saya kira ramai yang begitu. Sebab itu mataf selalu penuh.Tidak kira daripada mana seseorang itu datang. Tidak kira macam mana bentuk fizikal tubuhnya. Tidak kira usianya.
Mata saya terpandang seorang lelaki kurang upaya. Ia berkerusi roda. Mungkin beliau daripada Afghanistan melihatkan wajah dan pakaiannya. Mengapa beliau tidak memilih ruang atas sahaja yang lebih selesa untuk orang seperti beliau. Dalam kesesakan manusia tawaf beliau begitu tenang dan yakin. Saya cuba mendekati beliau untuk melihat dari dekat adakah beliau tidak sihat atau sememang cacat anggota. Ramai mereka yang di luar dugaan kita sedang tawaf di Kaabah. Ada yang hanya kaki sebatang mengelilingi Kaabah dalam lautan manusia yang bertolak-tolak seperti ombak. Ada yang sudah bongkok tiga. Ada yang menjunjung anak. Bukan anak kecil tetapi anak yang sudahpun berumur belasan atau puluhan tetapi tidak bermaya. Mungkin untuk berdoa kepada Allah agar memulihkan kesihatannya yang tidak boleh berjalan. Tentunya mereka datang dari jauh. Imanlah yang memampukan mereka mengharungi semua itu. Ramai yang sihat dan berharta tetapi jauh hatinya daripada Kaabah. Ramai yang tinggal berdekatan dengan Kaabah tetapi hati mereka jauh darinya.
Sesungguhnya tawaf itu banyak pengajaran yang boleh mendidik diri kita yang sombong, tidak bersyukur, dan tidak berterima kasih kepada Allah SWT. Semoga Allah SWT mengekalkan kecintaan kita kepada Baitullah. Semoga kecintaan itu berpaut di mana-mana walaupun tidak lagi berada di sampingnya.





Anekdot Umrah 01: Bertemu dengam Maulana Badarudin Ajmal

Selepas Asar saya pulang sekejap ke bilik. Kemudian saya turun semula untuk pergi tawaf sebelum tibanya waktu maghrib. Di ruang tamu hotel ramai yang menjamu selera buah tamar sukkari dan qawah arabi yang diberikan percuma oleh pihak hotel setiap lepas Asar. Saya terpandang seorang lelaki tua India sedang duduk di atas kerusi. Saya memperlahan langkah. Saya tidak mendekatinya sebaliknya bertanya seorang India lain yang baru sahaja melayaninya dengan minuman qahwah dan kurma tersebut. Saya rasa macam kenal sangat beliau. Saya bertanya siapa lelaki itu. Jawabnya dia orang besar di India. Saya terus menyapa adakah dia Maulana Badarudin Ajmal. Dia terkejut lalu bertanya daripada kamu tahu. Saya memberitahunya saya pernah belajar di Deoband. Mendengar sahaja nama Deoband dia terus menarik saya untuk bertemu dengan Maulana Badarudin Ajmal. Maulana sangat gembira bila bertemu saya. Dia mengarahkan khadimnya memberikan kepada saya minyak wangi Oudh syarikat Ajmalnya.
Kami berbual sebentar tentang kisah lama dan kisah baru di India. Maulana sekarang terlibat dalam politik India. Begitu juga dengan dua anakanya yang waktu saya di Deoband masih kecil, baru belajar tahfiz. Maulana berasal daripada negeri Asam, India. Ketika saya di sana beliau sudahpun menjadi ahli syura Darul Uloom. Beliau seorang yang kaya kerana mewarisi perniagaan ayahnya. Keluarganya memilki gedung minyak wangi Oudh di merata-rata tempat di India dan Timur Tengah. Di Mekah juga ada dan Madinah juga ada. Beliau memberitahu saya dia ada 35 buah kedai di Saudi. Salah sebuah kedainya ada di bangunan tempat saya menginap. Beliau seorang yang pemurah. Banyak bangunan Darul Uloom dibina oleh beliau dan juga markaz dakwah dan bahasa untuk lepasan Darul Uloom Deoband. Kami bersama-sama berangkat ke mataf kerana Maulana hendak tawaf sebelum pulang ke India. Maulana hanya datang untuk 2 hari sahaj kerana kebetulan India cuti perayaan. Saya melihat Maulana tawaf kemudian beransur-ansur meninggalkan masjid. Maulana sempat memberikan kadnya kepada saya. Semoga Allah memberkati usaha Maulana Badarudin Ajmal memperjuangkan hak orang Islam minoriti di India. 10 MAC 2015.

 
Maulana Badarudin Ajmal

 Kad Maulana

  Kad Maulana

 Minyak Wangi Hadiah drp Maulana

Sunday, January 25, 2015

Kitab 34: Khatam Kitab Muqadimah Abd Haq Dehlawi

Alhamdulillah saya dan empat orang pelajar Basooir Subang sempat khatam kitab mustalah hadith "Muqadimah Abd Haq Dehlawi". Kami bermula pada 11 Oktober 2014 dan pada hari Sabtu tanggal 24hb Jan 2015 ia tamat dipelajari. Hampir 3 bulan lebih. Ini adalah kitab yang ketiga bagi pelajar Basooir Subang khatam bermula dengan Taisir Mustalah Hadith Dr Mahmud Tahhan dan kemudian Matan Manzumah Baiquniah.
Di antara metodologi yang kami gunakan semasa mempelajari kitab ini ialah:

1-Membaca keseluruhan kitab dari mukadimahnya oleh Maulana Salman sehinggalah akhir ayat kitab.

2-Membaca dan menghuraikan hampir kesemua hasyiah kitab yang ditulis oleh Maulana Salman An Nadawi.
3-Setiap pelajar akan membaca teks secara bergilir-gilir untuk memastikan bacaannya betul. Ini adalah salah satu kaedah untuk mengaplikasikan kaedah nahu dan saraf yang telah dipelajari.
3.Membandingkan naskah Muqadimah yang pelbagai dengan menjadikan cetakan baru keluaran Nadwatul Ulama Luknow India sebagai teks pengajian. Kami dapati cetakan baru ini tersangat banyak kesalahan cetakan. Cetakan Syria yang lama lebih kemas. Kami berhasrat untuk mengajukan kesilpan-kesilapan tersebut kepada pihak percetakan Nadwatul Ulama walaupun kemungkinan mereka sudahpun mengenalpastinya sebagai tanda penghargaan kepada usaha murni pihak Nadwah dalam mengeluarkan kitab ini.
4. Lima buah kitab muqadimah Abd Haq dijadikan perbandingan di mana salah satunya adalah syarah ringkas oleh Jafar Alam.
3. Kebiasaanya kelas bermula jam 11 pagi dan berakhir jam1 tengahari setiap hari Sabtu. Selepas zohor sehingga Asar kami mempelajari kitab Balaghah "Talkhis Miftah" oleh Khatib Qazwini.

Post ini bukanlah bertujuan untuk mengiklankan berapa banyak kitab sudah dikhatamkan. Ia bertujuan sebagai galakan kepada kita semua agar menggunakan waktu dengan betul jika meminati mempelajari ilmu-ilmu Islam. Ikut disiplin ilmu yang betul juga harus diutamakan. Contohnya bermula dengan kitab bawah kemudian barulah kitab yang tinggi-tinggi. Jangan gopoh untuk jadi alim. Bermulalah dgn bahasa Arab. Nahu dan Saraf biar agak kemas sedikit kalaupun tidak sampai jadi pakar. Sekali seminggu tidak mengapa asalkan istiqamah. Alhamdulillah 4 orang pelajar Basooir ini bukan daripada jurusan agama tetapi sekarang mereka sudah mempunyai kelayakan untuk belajar agama menggunakan kitab Arab itu sendiri. Kalau mereka rajin tentunya mereka akan lebih alim daripada Ustaz yang mengajar itu sendiri.




Sunday, December 7, 2014

Kembara Deoband 68: Multaqa Lepasan Madrasah India


Sebaik selesai kelas di Masjid Subang Perdana saya bergegas ke Shah Alam bersama dengan Hamizi menaiki kereta Nik Farid kerana kereta saya tiba-tiba pecah cermin untuk menghadiri majlis pertemuan dengan bekas-bekas pelajar madrasah di India. Surau Al-Husna tempat diadakan majlis multaqa itu terletak di seksyen 20 Shah Alam berdekatan dengan Hotel De Palma dan Hospital KPJ. Ketika saya tiba majlis suaikenal sedang berlangsung. Majlis sebenarnya sudahpun bermula dari pagi dengan kehadiran Dato Mufti Kedah. Waktu itu mereka yang hadir naik ke pentas seorang demi seorang untuk memperkenalkan diri. Nama, bila ke India, di mana belajar, bila tamat belajar dan pekerjaan sekarang. Itu sahaja perlu dibicara.  Mata saya terpandang rakan-rakan Deoband yang memenuhi satu meja. Tanpa memandang ke kiri dan ke kanan saya terus meluru ke situ. Nik Abduh, Jailani, Azhar, Zahirudin dan Surur sedang berbual-bual sesama mereka. 

Mata saya mengintai-ngintai teman-teman yang berada di meja lain. Ada yang dikenali dan ada yang tidak dikenali. Ada yang datang dari utara dan ada yang dari selatan. Ada yang datang dari timur dan ada yang datang dari Barat. Ada yang datang dari Indonesia dan ada yang datang dari Thailand. Mereka yang meninggalkan India sebelum tahun 1989 pastinya saya tidak mengenali mereka. Namun ada nama di kalangan mereka yang diabadikan di India kerana mempunyai kehebatan yang tertentu. Nama mereka selalu disebut-sebut samada oleh pelajar-pelajar kita maupun orang India setempat. Ada yang namanya hebat kerana pandai Urdu, ada yang kerana lama tinggal di India, ada yang kerana datang sejak kecil, ada yang kerana fasih berbahasa Arab, ada yang kerana menjadi hafiz Quran, ada yang kerana pendiam, ada yang kerana banyak cakap, ada yang pandai berniaga, ada yang kerana alim dan fakih, ada yang pandai masak, ada yang pelik-pelik ceritanya. Hari ini Allah SWT takdirkan saya dapat melihat sendiri siapa empunya badan itu.

Di kalangan kawan-kawan yang hadir itu ada yang sifatnya "juun kaa tuun" yakni masih seperti dulu, tak banyak berubah dari segi fizikal. Ada juga yang berubah secara drastik kerana faktor umur dan penyakit. Ada yang sihat dan ada yang sakit. Tetapi hari ini mereka kelihatan ceria. Bahut khushi kata orang India kerana dapat berjumpa dengan kawan-kawan lama. Masing-masing mempunyai takdir yang berbeza setelah pulang ke tanah air. Ada yang menjadi ustaz sebagai tenaga pengajar di sekolah-sekolah kerajaan, swasta mahupun kepunyaan sendiri. Ada yang mengajar di Universiti. Ada yang menjadi pendakwah dan sekali gus ahli politik. Ada yang sudah menjadi YB. Ada yang menjadi speaker DUN. Ada yang menjadi peniaga kecila-kecilan dan ada yang besar-besaran. Ada yang berkhidmat di stesen-stesen TV arus perdana sebagai penerbit dan sebagainya. Ada yang menjadi Dato Mufti. Ada yang pernah menjadi Kadi. Pendek kata sebagaimana India itu unik begitulah halnya mereka yang pernah memijak tanahnya dan menghirup udaranya. Pendek kata sebagaimana India itu muzium manusia dengan aneka pekerjaan penduduknya begitulah halnya mereka yang pernah bertandan ke muzium itu. Rata-rata yang hadir kelihatan hidup humble walaupun gelarannya agak elegant kerana berkat kehidupan yang ditunjukkan oleh guru-guru mereka. Yang susah tidak memperlihat kesusahannya dan yang senanag tidak memperlihatkan kesenangannya.


Khabarnya ramai yang dijadualkan akan datang ke majlis tetapi tidak dapat datang kerana urusan yang tidak dapat dielakkan. Ada yang tidak dapat dihubungi kerana terputus hubungan. Meraka yang hadir tertanya-tanya sesama mereka mana si polan, mana si polan. Lama tidak melihat si polan si polan. Entah hidup entah sudah pulang ke alam baqa. Malah ada yang sudahpun kembali ke alam abadi.


Pertemuan yang sebentar itu mengingatkan banyak kisah, banyak cerita, banyak khahaani, banyak puraani baat, banyak kenangan. Ada kenangan yang sukar dilupakan maka masing-masing mengulanginya. Ada kenangan yang sudah dilupakan tetapi ada yang mengingatkannya. Ada kenangan yang dahulunya pahit tetapi sekarang ia tidak lagi pahit. Ia hanya kenangan semata-mata kenangan.

Ustaz Abd Manan dari Indonesia juga hadir. Saya sempat dengannya di waktu saya belajar di Deoband dahulu walaupun ustaz belajar di Nadwatul Ulama. Hari ini dalam pertemuan ini Ustaz menjadi perhatian umum mereka yang hadir. Semua orang ingin bergambar dengan ustaz kerana teruja dengan apa yang telah terjadi kepada ustaz. Sebenarnya Ustaz telah kehilangan penglihatan sepenuhnya. Ustaz tidak lagi dapat melihat keindahan alam fizikal seperti orang biasa. Namun Allah tidak mencabut penglihatan hati dan basirah ustaz. Ustaz  mengingati Al-Quran 30 juzuk dan mengajarnya. "Sebaik kamu adalah orang yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya" itulah kata-kata Nabi saw. Kehadiran Ustaz bagi saya adalah segala-galanya. Ia mendatangkan seribu rahmat kepada orang seperti saya yang perlukan sentuhan-setuhan rohani. Moga-moga Allah memelihara iman dan amalan kita semua kerana sesungguhnya pertemuaan dan multaqa yang hakiki ialah pertemuan dengan Allah SWT di hari akhirat.



Bergambar beramai-ramai


Bergambar beramai-ramai 


Bersama Ust Nik Ajun dan Ust Zakaria. 
Saya tidak sempat dgn mereka di Deoband. 
Mereka meninggalkan Deoband di kala saya baru sampai

Bersama  Ust Zakaria yang mahir mengalunkan na`at Urdu

Bersama  Ust Surur, Ust Tajol, Ust Jailani, Ust Nazman,
 Ust Sukri, Ust Manan, Ust Nongman dan Ust Saifudin


Bersama Ust Mohd Khairi, orang lama di Madrasah Jalalabad

Bersama dengan Ustz Rosnan, Ust Abdullah Husin, Ustz Manan,
 Ustz Amir, Ustz Numan,Ust Yusuf Johan

Bersama dengan Yb Ust Abdullah Husin


Bersama dengan Ust ِAslam yang mahir Urdu

Bersama dengan Ustz Nasri, Ustz Azhar 
dan Ustz Nik Abduh

Bersama dengan Ust Dr Sayuthi


Ustz Sukri, Ustz Mohd Rasdi, Ustz Nik Abduh


Bersama dengan Ust Junaid yg pergi bersama ke India

Bersama dengan Ust Shukri Thailand, 
sempat bersama di Deoband


Seangkatan di Deoband Ust Surur, 
Ust Jailani, Ust Mohd Zahirudin


Seangkatan di Deoband dari Thailand

Seangkatan di Deoband Ustz Jailani,
 Ust Mohd Zahirudin, Utz Alwi Thailand


Sesi Taaruf


Cermin kereta pecah sebelum berangkat ke Shah Alam 
sebaik selesai mengajar di Masjid Subang Perdana