Sunday, January 24, 2010

Anekdot Ulama 17: Muhaddith Abdul Haq Dehlawi Ketika Kecil

Muhaddis Abdul Haq Dehlawi (1551-1641M) menceritakan tentang zaman belajarnya bahawa beliau ketika kanak-kanak tidak pernah ada kesempatan untuk bermain. Malah beliau dengan nada mubalaghah mengatakan bahawa beliau tidak mengetahui apa itu makna bermain, apa itu makna tidur, apa itu makna rehat, apa itu makna berkawan dan apa itu makna berpelesiran. Kerana sibuk belajar kata Muhaddis Abdul Haq, beliau tidak pernah cukup tidur dan tidak pernah makan tepat pada waktunya.

Muhaddis Abdul Haq menukilkan nostalgianya di zaman kanak-kanak dengan katanya: "Setiap hari saya berjalan kaki berulang-alik dari rumah ke madrasah sebanyak dua kali. Tidak kira samada musim panas atau musim sejuk. Jarak antara madrasah dan rumah ialah lebih kurang dua batu. Pagi saya pergi ke madrasah. Tengahari saya pulang sekejap untuk makan. Mak saya selalu menyuruh saya mengambil masa sedikit untuk bermain dengan kawan-kawan. Jawapan saya kepada mak ialah: Apakah tujuannya bermain itu. Kalau tujuannya untuk gembirakan hati maka hati saya akan gembira kalau saya dapat membuat sesuatu untuk pelajaran. Biasanya kanak-kanak suka bermain dan mak bapak akan berpenat menyuruh mereka pergi ke sekolah (madrasah). Tapi saya sebaliknya. Mak saya puas memujuk saya agar meluangkan sedikit waktu bermain. Manakala ke madrasah saya pergi tanpa perlu disuruh. Saya berjaga sampai ke larut malam membaca. Apabila bapa saya mengetahui saya belum lagi tidur beliau akan memekik "Apa yg kamu buattu!!" Bila mendengar suara bapa saya buat-buat tidur. Bila bapa yakin saya dah tidur saya bangun semula untuk membaca.

Itulah Muhaddis Abdul Haq dalam usia baru 12 tahun sudahpun menamatkan pengajian kitab semacam Syarah Aqaid Nasafiyah, manakala dalam usia baru 16 tahun sudahpun selesai mempelajari kitab balaghah semacam Mukhtasar Ma`ani dan Mutawwal oleh Allamah Taftazani. Bagaimanakah didikan yang diberikan oleh keluarga Abdul Haq Dehlawi sehingga menjadikan beliau seorang kanak-kanak yang cinta ilmu semenjak dari kecil lagi. (Rujukan: Hayat i- Sheikh Abdul Haq Muhaddith Dehlawi, 82, 84, 86).

Buku Riwayat Hidup Muhaddith Abdul Haq
Oleh Khaliq Ahmad Nizami Dlm Bahasa Urdu

Sunday, January 17, 2010

Anekdot Ulama 16: Simplenya Iqbal

Diceritakan bahawa suatu hari dua orang pemuda berpakaian askar datang mencari Iqbal. Kemungkinan ada yang menunjukkan rumah Iqbal lalu mereka menuju ke sana. Kebetulan Iqbal waktu itu sedang berbual-bual dengan sahabat handai di halaman rumahnya. Iqbal duduk di atas sebuah kerusi dengan memakai hanya t-shirt dan kain sarung. Mereka yang lainpun duduk di atas kerusi yang disediakan sebagaimana adat kebiasaan orang-orang besar di India dan Pakistan di petang hari bertemu dengan masyarakat. Masih ada kerusi kosong belum ditempati. Orang gaji khusus Iqbal Mumtaz Hasan pun turut duduk sama di dalam majlis itu. Begitu juga kawan Iqbal, Professor Muhammad Syafi` juga kebetulan menziarahi beliau. Apabila dua pemuda askar itu sampai di halaman, mereka terus mengambil tempat di kerusi yang masih kosong. Tak lama kemudian, setelah mereka yakin agaknya Mumtaz Hasan ini kerjanya sebagai orang gaji, mereka bertanya: "Encik, boleh kami tahu di mana Tuan Allamah Doktor Sir Sheikh Muhammad Iqbal, MIP, PHD, Barrister Law Member, Member Of Punjab Legislator Council?. Mendengar soalan mereka itu Mumtaz Hasan ketawa terbahak. Professor Muhammad Syafi` bertanya kenapa kamu ketawa. Jawab Mumtaz Hasan: Aku tengah cari Iqbal yang sebegitu tak jumpa-jumpa!!!! Kerana kesiankan pemuda itu Prof. Muhammad Syafi` menunjukkan ke arah Iqbal dengan katanya "Nun di sanatu siapa?" Mendengar dan melihat gelagatnya, kesemua yang berada di dalam majlis ketawa lucu.

Sebenarnya dengan kemasyuran Iqbal itu dua pemuda itu mengambarkan tentu Iqbal seorang yang kelihatan hebat. Sukar untuk menemuinya. Mesti ada protokol. Perlu appointment terlebih dahulu. Tinggal di rumah mewah. Dan macam-macam tasawwur yang layak bagi orang besar. Mana mungkin Iqbal di rumah yang simple begitu. Di majlis yang tiada protokol ini dan itu. Boleh ditemui begitu mudah. Walau bagaimanapun itulah hakikatnya. Itulah hakikat cara kehidupan yang diplih oleh Iqbal..... (Rujukan: Rozgari Faqir, jild 2, 350)

Rozgari Faqir Jilid 1 sebuah buku biografi ringkas
Iqbal oleh Sayyid Wahiduddin


Rozgari Faqir Jilid 2

Friday, January 15, 2010

Si Bahlul Belajar Nahu

Diceritakan bahawa seorang bahlul membaca ayat Al Quran فِي بُيُوتٍ أَذِنَ اللهُ أَنْ تُرْفَعَ (An Nur, 36) dengan membaca فِي يُيُوتٌ bukannya فِي بُيُوتٍ iaitu dengan merafa`kan بُيُوت. Mendengar bacaannya yang sebegitu seorang kawannya bertanya kenapa kamu membaca rafa` يُيُوتٌ sedangkan bacaan yang sepatutnya ialah dengan jar فِي بُيُوتٍ. Maka berkatalah si bahlul itu: "Jika Allah sendiri menyebut agar membaca يُيُوت dengan rafa` kenapa pula kamu jarkannya. Tidakkah Allah berfirman "Pada perkataan يُيُوت itu Allah izinkan rafa` = فِي بُيُوتٍ أَذِنَ اللهُ أَنْ تُرْفَعَ" !!!!!! Pengajaran: Kalau nak kira hari ini ramailah terpaksa dilabelkan `bahlul` kerana baca baris bahasa Arab ikut selera sendiri berhujahkan asal faham dah lah. (Rujukan: Nafhatul Arab, 43).

Nafhatul Arab

Monday, January 11, 2010

Anekdot Ulama 15: Apa-Apapun Kesungguhan (Mehnat)

Dalam satu majlis tahunan pelajar Maulana Abul Hasan An Nadawi telah memberikan satu ucapan menasihati pelajar-pelajar madrasah Nadwatul Ulama tentang peri pentingnya "kesungguhan" (urdu: mehnat) semasa menuntut ilmu. Kunci kejayaan bukan terletak semata-mata kepada sukatan pelajaran. Malah sukatan pelajaran hanya membantu sahaja. Kunci kejayaan yang sebenar yang boleh menjadikan seseorang itu mahir dalam sesuatu ialah kesungguhan atau mehnatnya. Rata-rata pelajar menyalahkan sukatan pelajaran yang menyebabkan mereka tidak boleh menguasai ini dan itu. Misalnya di dalam konteks bahasa Arab ramai pelajar-pelajar madrasah (madarasah dlm istilah alam di benua India, pondok dalam istilah alam Melayu dan pasentren dalam alam Indonesia) zaman moden sekarang menyalahkan madrasah kerana tidak menyediakan sukatan yang cukup untuk memampukan mereka menguasia bahasa Arab dari segi penulisan dan percakapan moden. Kitab yang diajar kesemuanya klasik. Tiada kalam nathar (نَثَرٌ) diajar yang menyebabkan lemahnya zauq adabi di kalangan pelajar. Kitab bacaan Arab yang diajar misalnya terus kepada syair-syair samada berbentuk dewan-dewan maupun maqamat-maqamat. Maka lahirlah sukatan dari turun temurun kitab seperti Nafhatul Yaman, Maqamat Hariri, Maqamat Badiuzzaman Hamdani, Dewan Hamasah, Dewan Mutanabbi dsb. Pelajar-pelajar merasakan kitab-kitab sebegini hanya sesuai untuk mereka yang sudah mahir berbahasa Arab. Ianya untuk golongan specialist. Mereka menjadikan ianya penyebab kenapa mereka tidak memampu mengarang dan bercakap bahasa Arab.

Maqamat Hariri

Dalam menolak persepsi ini menurut Maulana Abul Hasan sukatan pelajaran bukanlah memainkan peranan yang terpenting dalam menjadikan seseorang mengusai sesuatu fan atau ilmu. Sukatan sebenarnya berubah dari zaman ke zaman berdasarkan keperluan semasa. Ada sesetengah sukatan moden lebih berkesan daripada sukatan lama. Misalnya kitab Mukhtarat yang telah dijadikan sukatan di Nadwatul Ulama masa kini sangat berkesan dalam membina zauq adabi bagi seorang penuntut bahasa Arab kerana sebelum ini belum ada kitab seumpama itu dijadikan sukatan. Ia kaya dengan uslub adabi tetapi dalam bentuk kalam nathar yang sememangnya tidak boleh lagi ditolak oleh golongan pelajar kerana ia bukan kalam berbentuk syair. Malah kitab-kitab kalam natahr berlambak di pasaran. Seharusnya ia dapat melahirkan pelajar yang hebat dalam bahasa Arab. Namun kata Abul Hasan kenapa Nadwah sekarang malah India secara amnya tidak lagi mampu mengeluarkan mereka yang hebat berbahasa Arab sebagaimana mereka yang terdahulu. Tegas Abul Hasan beliau sendiri juga mempelajari kitab-kitab turath seperti Maqamat Hariri dan seumpamanya tetapi kenapa beliau mampu menulis dengan baik dalam bahasa Arab. Begitu juga sahabat baik beliau Maulana Masud Alam Nadwi yang terkenal dengan penulisan bahasa Arabnya tidak pernah belajar kitab Mukhtarat tetapi mencapai kedudukan yang baik dalam bahasa Arab. Beliau menyebut beberapa nama tokoh ulama India terdahulu yang hebat bahasa Arabnya yang hanya bermanhajkan kitab-kitab turath sahaja seperti tokoh hadith Maulana Siddiq Hasan Khan, tokoh kamus Allamah Zabidi, Maulana Ghulam Ali Bilgrami, Sheikh Muhsin Yahya Tarhiti dan Maulana Sadruddin Azardah.

Kitab Mukhtarat Yang Disusun Oleh Abul Hasan Ali An Nadawi
Yg Mendapat Penghargaan Oleh Tokoh Sastera Arab
Spt Sayyid Qutub Dan Ali Thantawi


Kesimpulannya menurut Maulana Abul Hasan isti`dad sesuatu ilmu banyak bergantung kepada setakat mana kesungguhan seseorang guru dan pelajar. Sukatan hanya membantu sahaja. Oleh itu dengan berpaksikan kepada kesungguhan adalah penting kepada pelajar yang beraliran universiti misalnya menguasai kitab-kitab turath walaupun mereka tidak pernah didedahkan kepada sistem pengajian kitab turath. Kepada pelajar-pelajar aliran madrasah ala turath adalah penting bagi mereka melengkap diri agar ilmu mereka dapat dicanangkan dan diolahkan dalam bentuk semasa, zaman di mana mereka hidup sekarang. Itulah barangkali kenapa Maulana Abul Hasan mempopularkan slogan Al Qadim -s- Soleh Wal Jadidu n-Nafi`. (Rujukan: Paja Surakhi Zendegi, 168)



Maqamat Badiuzzaman Hamdani