Wednesday, July 3, 2013

Kembara Deoband 58: Hadiah Quran Nublan Zaki

Saya bercita-cita untuk menghafal Al-Quran semenjak dari sekolah menengah iaitu dalam tahun 80an. Ramai sahabat yang saya kenali menghadiahkan kepada saya kaset qari-qari yang membaca Al-Quran dengan suara yang merdu-merdu. Ini membuatkan saya bertambah minat untuk menghafal Al-Quran. Saya berjinak-jinak menghafalnya setelah meniru bacaan mereka. Suatu hari saya dihadiahkan sebuah Al-Quran kecil oleh seorang sahabat satu sekolah, Nublan Zaki. Kami juga pernah mengikuti kursus bahasa Arab di Pusat Bahasa Arab Nilam Puri selepas SPM. Beliau anak kepada Ustaz Yusuf Zaki Yakub, penterjemah Tafsir  Zilal. Waktu itu dia sedang menuntut di UIA. Saya masih berada di Kota Bharu. Saya amat gembira kerana Quran yang dihadiahkan itu sungguh indah. Warnanya hijau. Corak kulitnya digubah dengan warna keemas-emasan. Ia diletakkan dalam satu kotak kecil dan dipecahkan kepada enam naskah. Satu naskah terdiri daripada lima juzuk. Quran ini memudahkan lagi saya untuk menghafal. Saya selalu membawanya ke mana sahaja saya pergi. Saya letakkannya di dalam kocek baju kerana saiznya muat untuk diletakkan dalam kocek.

Suatu hari saya berada di Masjid Muhammadi Kota Bharu untuk menunaikan solat. Saya perlu masuk tandas dahulu. Saya letakkan Quran di luar tandas. Bila saya keluar tandas, Quran itu hilang. Ia diambil orang. Mungkin orang itu ingat tak patut Quran ditinggalkan dekat tandas, lalu meletakkannya dalam masjid. Saya mencari-carinya di sekitar masjid tetapi tidak menemuinya. Saya amat kesal kerana saya amat sayangkan Quran itu. Banyak sudah juz yang dihafal menerusinya. Ia adalah naskah yang pertama yang terdiri daripada juz satu sampai juz lima. 

Wajah Al-Quran kecil hadian dari Nublan Zaki yang sudah lusuh di makan usia.


Juz 6-10                                                             Juz 11-15


Juz 16-20                                                         Juz 21-25


Bila saya ke India saya membawa Quran tersebut tanpa naskahnya yang hilang. Kemudian naskah yang terakhir pula hilang iaitu  juz 26-30. Saya terus menggunakan Quran itu sehinggalah pada tahun 1992 bila saya mengambil keputusan untuk menghafal Quran sepenuh masa. Ini setelah melihat Nik Mohd Abduh berbuat demikian. Dia berhenti belajar kitab dan mendaftar di kelas tahfiz. Sayapun menurut jejak langkahnya. Untuk tujuan ini saya menggunakan Quran yang lebih besar. Saya menggunakan Quran cetakan Saudi. Tidak banyak tanda yang ada dalam Quran itu berbanding dengan cetakan India. Dalam kelas mereka menggunakan hafalan mengikut pecahan-pecahan ruku`. Oleh itu saya meminta kawan di kelas tahfiz saya yang bernama Zakir dari Asam untuk menulis tanda ruku` seperti dalam cetakan India. Pada hujung tahun 1993 saya menamatkan hafalan Quran dan menyambung semula pengajian kitab.

Siapa sangka hadiah yang bersahaja daripada Nublan Zaki telah merelisasikan cita-cita saya itu. Walaupun bersahaja tetapi ia amat bermakna untuk diri saya. Pada waktu itu saya tidak mempunyai sumber untuk memilki Quran seumpama itu. Hanya niat murni yang menyampaikannya kepada saya. Semoga Allah  sentiasa memberi taufik kepada saya untuk terus membaca Al-Quran dan menjadikannya sumber pahala kepada mereka yang kerananya saya dapat menghafal Al-Quran.

Wajah sekarang bahagian depan Al-Quran 
yang saya gunakan ketika menghafal

Bahagian belakang Al-Quran

Mukasurat terakhir tertera tarikh saya tamat menghafal Al-Quran berserta 
tanda ruku` yang ditulis oleh Zakir Asami

Tuesday, July 2, 2013

Kembara Deoband 57: Darul Hadith dan Darul Tafsir

Gambar-gambar ini diambil pada tahun 1993.

Di hadapan pokok Molsari terdapat satu bangunan yang besar yang merupakan bilik-bilik darjah Darul Uloom peringkat tinggi. Ia terdiri daripada dua binaan yang besar. Iaitu bangunan Darul Hadith dan bangunan Darul Tafsir.

a) Darul Hadith. Lelaki yang sedang menyapu itu masih saya ingat rupa parasnya. Dia bekerja sebagai tukang sapu. Tempat yang dia menyapu bergantung kepada tugasnya hari itu. Kebanyakan tukang sapu adalah dari golongan kaum Bangi  (bukan bandar Bangi). Kaum bangi adalah Hindu yang berkasta rendah. Walaupun dinamakan Darul Hadith tetapi kelas-kelas yang terdapat dalam bangunan tersebut  bukan semestinya kelas-kelas hadith sahaja. Kemungkinan sewaktu awal-awal pembinaanya bangunan itu hanya digunakan sebagai kelas pengajian hadith.

Darul Hadith

Darul Hadith Fauqani yakni bahagian atas Darul Hadith. Bahagian ini adalah untuk pengajian kitab Mishkat Masabih berserta kitab-kitab yang lain yang setara dengan levelnya.

b) Darul Tafsir. Bahgian atas yang berwarna putih itu adalah Darul Tafsir. Semasa zaman saya kelas itu tidak digunakan sekian lama. Ia dibiarkan kosong berkunci. Mendengar nama Darul Tafsir seolah-olah suatu yang mengerikan. Terletak di bahagian paling atas Darul Uloom. Untuk sampai kepadanya mesti menaiki tangga tinggi yang sempit. Di sana tidak ada cahaya lampu. Namun setelah saya memasuki tahun 7 sebelum tahun akhir iaitu tahun 8, kelas itu dibuka kembali. Saya sempat belajar tafsir Baidhawi di dalamnya. Apabila tiba waktu tafsir kami akan menaiki tangga untuk ke kelas. Kemudian ia ditutp kembali. Selepas itu dibuka pula untuk kelas tajwid. Saya amat beruntung kerana sempat belajar hampir di semua bangunan Darul Uloom dari bangunan lama sampailah wujudnya bangunan baru.

Darul Tafsir


Darul Tafsir Dari Pandangan Jauh

Kubah Darul Tafsir

Kembara Deoband 56: Kuan dan Pokok Molsari

Gambar-gambar ini diambil pada tahun 1993. Bahagian yang agak glamour setelah memasuki pintu utama Darul Uloom ialah:

a) Perigi Darul uloom atau kuan yang diletakan di hadapannya satu pam tangan. Airnya sungguh sejuk. Terdapat gelas besi yang diikat dengan rantai besi supaya tidak hilang. Gelas itu untuk sesiapa menghilangkan dahaga terutama di musim panas. Adakalanya terpaksa beratur untuk minum dalam dua tiga orang menunggu giliran.


Perigi atau kuan bersama pamnya. Perigi kelihatan seperit 
kolah di bahagian belakang  sekali

 b) Pokok Molsari. Sebuah pokok yang cukup besar dan rendang. Bunganya harum. Pokok ini menghasilkan bayang yang cukup besar untuk meneduhkan bahagian depan Darul Uloom yang dinamakan Ihata Molsari.

Pokok Molsari di depan perigi dan pam air

Monday, July 1, 2013

Kembara Deoband 55: Pintu- Pintu Darul Uloom Deoband

Gambar-gambar ini diambil pada tahun 1993


Bab Imdad. Pintu utama Darul Uloom. Dibina di zaman Maulana Qari Tayyib oleh Maulana Wahiduzzaman

Bab Qasim. Bahagian atasnya yang baru dibina di zaman Maulana Marghuburahman oleh Maulana Wahiduzzaman

Bab Rafi`. Juga terkenal dengan nama Mawwaj Gate (Bab Mawwaj) 

Madani Gate. Pintu yang selalu digunakan oleh Maulana Husein Ahmad Madani untuk memasuki Darul Uloom

Bab Zahir. Dibina atas biayaan Raja Zahir, raja  Afhanistan pada tahun 1940 pada zaman Maulana Qari Muhammad Tayyib.