Saturday, June 29, 2013

Kembara Deoband 54: Rahat Manzil

Setelah tinggal di Baitul Jamil saya berpindah ke rumah sewa baru yang bernama Rahat Manzil pada awal-awal tahun 90an. Waktu itu saya tinggal bersama dengan Wan Nazarudin sebelum dia mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia. Rahat Manzil berhadapan dengan Masjid Madani, masjid tempat Maulana Husein Ahmad Madani solat pada zamannya. Di bawah masjid ini ada bahagian bawah tanah. Ia dikatakan tempat Maulana Madani bersuluk. Berdekatan dengan masjid ini terletaknya rumah keluarga Husein Ahmad Madani   yang tidak jauh dari Masjid Rashid dan bangunan Thanawiah Darul Uloom.

Rumah sewa kami dimiliki oleh satu keluarga yang berada dan berpendidikan. Anak tuan rumah yang berurusan dengan saya dalam apa sahaja hal ehwal tentang Rahat Manzil ialah Faisal. Waktu itu dia sedang belajar di Kolej. Abangnya adalah pensyarah bahasa Inggeris di Jamia Milia New Delhi. Rumah ini mempunyai satu court badminton yang besar. Malah ia seperti taman. Kami menebas juga bulu tangkis di kala lapang terutama di musim sejuk. Bilik rumah ini besar-besar belaka. Ada tiga bilik dan satu dapur. Kami duduk ditingkat atas. Bilik bawah disewa oleh orang Deoband yang sudah berkeluarga.Kemudian ia disewa pula oleh seorang Bangladesh yang berkahwin dengan anak Insyaalah Khan orang Deoband. 

Bersama dengan tuan rumah Faisal

Ketika duduk di sini saya memasak juga. Bergilir-gilir dengan Wan Nazarudin. Kemudian Surul (Ustaz Surul Sahabudin) dan Ismail datang untuk tinggal bersama dengan kami. Waktu ini Surul masuk kelas hafiz dan menghafal Quran. 

Giliran memasak malam utk Surul, Wan dan Ismail

Setelah Surul dan Wan meninggalkan Rahat Manzil saya tinggal bersama pelajar Thailand dari Bangkok. Sepatah perkataan merekapun tidak difahami. Mereka adalah generasi orang Melayu Bangkok yang sudah tidak boleh bertutur bahasa Melayu. Perkataan Melayu yang mereka tahu adalah "Saya Terima Nikahnya dengan maskawin...." kerana jawab nikah masih memakai bahasa Melayu kata mereka. 

Sebelum saya tinggal di Rahat Manzil saya menyewa bilik di Masjid Madani. Biliknya macam kubur   menyebabkan saya hampir tidak dapat bernafas. Saya tinggal di bahagian tingkat atas berdekatan dengan bumbung Masjid menyebabkan saya seolah-olah di kukus pada musim panas.  Saya selalu berdoa agar diberikan bilik yang baik sedikit. Bila mendengar khabar berita tentang kekosongan Rahat Manzil saya nekad untuk menyewanya walaupun duit cukup-cukup makan. 

Friday, June 28, 2013

Anekdot Ulama 52: Ustaz Abdul Qadir dan Kitabnya

Banyak perkara yang saya tidak mengetahui tentang orang yang saya mengenalinya. Al Marhum Ustaz Abdul Qadir Hasan antara individu yang saya kenali tetapi tidak banyak maklumat peribadinya saya tahu. Berasal dari Kelantan. Tinggal di Segambut. Beliau pernah belajar di Deoband. Dia adalah abang angkat Maulana Mohd Asri Darul Kauthar. Ustaz Abdul Qadirlah yang menjaga maulana ketika maulana dikirimkan oleh keluarganya untuk menghafal Al-Quran di Deoband. Waktu itu maulana masih kecil. 

Saya mengenali Ustaz Abdul Qadir setelah diperkenalkan oleh sahabat untuk proses mendapatkan visa ke India. Ustzlah yang menjadi perantara antara kami dengan kedutaan India di Kuala Lumpur. Yang saya tahu ustaz pernah bekerja dengan Pusat Islam sewaktu awal-awal penubuhannya. Selepas itu ustaz berhenti dan menjadi pendakwah bebas. Hampir semua pejabat mengenali ustaz kerana ustaz  mengajar di suaru-surau pejabat pada waktu tengahari. 

Saya tidak tahu bahawa Ustaz mempunyai kebolehan mengarang sehinggalah saya dihadiahkan oleh seorang pelajar Basooir, Nik Mohd Farid sebuah buku hadith karangan Ustaz. Nik antara orang yang banyak mengetahui tentang Ustaz kerana sempat berguru dengannya. Buku itu berkenaan ilmu Mustalah Hadith sebanyak 2 jilid. Buku bersaiz kecil. Jilid pertama 156 mukasurat manakala jilid kedua 160 mukasurat.  Dicetak dalam tulisan jawi oleh Pustaka Aman Press. Tidak diketahu bilakah ustaz menulis buku ini. Mungkin awal-awal tahun 70an kerana cetakan jilid pertamanya pada tahun 1975. Manakala cetakan pertama jilid kedua pada tahun 1985. Kemungkinan Ustaz menulis kitab ini sebelum ustaz sibuk dengan aktiviti mengajar di surau-surau dan di masjid-masjid. Seperti kitab-kitab mustalah yang lain ia hampir mencangkupi kesemua tajuk-tajuk asas yang penting dalam ilmu hadith iaitu tentang hadith Sahih, Hasan dan Dhaif.

Ustaz sudah tiada. Hanya kitabnya lah dapat berbicara. Semoga suatu hari nanti kitab ini diulang cetak agar ia tidak luput daripada pengetahui pembaca tentang khazanah-khazanah ilmu yang ditinggalkan oleh mereka yang terdahulu dan mendatangkan pahala yang berterusan buat Ustaz.

 Kitab Ilmu Hadith Ustaz Abdul Qadir Jilid 1

 Kitab Ilmu Hadith Ustaz Abdul Qadir Jilid 2


Thursday, June 27, 2013

Kembara Deoband 53: Seorang Itali Tetamu Deoband

Suatu hari ketika di Deoband saya bertemu dengan seorang Italy. Dia baru masuk Islam. Banyak mengembara untuk mencari agama. Boleh bercakap Arab tetapi bahasa pasar. Banyak merantau di tanah Arab untuk mencari sheikh tasawuf. Pernah bertemu dgn Nuh Ha Min Keller di Jordan. Dialah yg memberitahu saya Nuh Ha Mim Keller baru menerbitkan bukunya Realiance of  the Traveller terjemahan kitab fekah mazhab Syafie Umdatu Al-Salik. Dia ke India kerana ingin menziarahi kubur Sirhindi dan mencari guru tasawuf tarikat Naqshabandi kerana gurunya sudah meninggal. Itulah seorang salik ada yang mencari rantaian kerohanian menerusi pencarian fizikal…

Kebetulan ketika saya mengambil MA di UIA ada pelajar MA dalam jurusan Usuludin yang bernama Mohd Nasir Mohd Tap selalu bersembang dengan saya ketika berada di kantin kolej tentang berbagai isu yang agak santai. Antaranya tasawuf di Deoband. Beliau bukan setakat pengkaji tasawuf malah seorang pengamal tarikat Naqshabandi. Bukan itu sahaja beliau juga rajin bertalaqi kitab-kitab turath. 

Dalam diam-diam Mohd Nasir Mohd Taip telah menghasilkan satu karya ilmiah tentang wacana tasawuf, tarekat dan pemikiran kalam Imam Ahmad Sirhindi. Saya dihadiahkan buku itu oleh beliau kerana katanya nama saya ada dinukilkan dalam buku itu (m/s 80) ketika beliau membicarakan tentang perbezaan konsep wahdatul wujud antara Maulana Asraf Ali Thanawi dengan Sirhindi. Itulah seorang salik ada yang mencari peluang menyumbang rantaian kerohaniannya melalui wacana ilmiah.

Karya Mohd Nasir Mohd Tap

Buku Nuh Ha Mim Keller

Saya tidak mengetahui banyak perkara tentang Sirhindi. Saya mengetahui tentangnya kerana namanya sentiasa disebut-sebut dalam buku-buku ulama Deoband dan ulama India yang lain seperti Maulana Abul Hasan Ali An Nadwi. Noktah-noktah Maktubaat yang ditinggalkan olehnya menjadi kajian dan panduan kepada mereka yang mencari jawapan kepada polemik pengalaman kerohanian. Sesetengah ulama keliru dengan jenama `Deobandi`. Tidak sedikit di kalangan ulama di tanah air kita juga keliru dengan Deobandi. Mereka sinonimkan Deobandi dengan Wahabi kerana kebetulan pandangan Deobandi dan Wahabi serupa tentang beberapa isu. Meraka juga keliru tentang pelajar-pelajar Malaysia yang keluar daripada madrasah aliran-aliran Deobandi. Mereka menyangka pelajar-pelajar lepasan madrasah Deobandi tidak kira samada di India ataupun Pakistan adalah penjelmaan  kepada pandangan Deobandi. Dalam hal tasawuf Deobandi menerima tasawuf malah penjadi pengamal dan pendokongnya. Tentang bagaimana pembawakan tasawuf Deobandi itu tidak menjejaskan mereka daripada digolongkan dalam golongan mutasawifin atau mutasawifun. Oleh itu sesiapa sahaja yang lepasan madrasah aliran Deoband yang menolak tasawuf sebenarnya tidak mewakili suara ulama Deoband dalam bab ini. Itu mungkin pandangan peribadi beliau.

Biodata Mohd Nasir

Tuesday, June 11, 2013

Kembara Deoband 52: Lubnan Manzil

Ketika saya baru sahaja menjejak kaki di Deoband tiba-tiba ada seorang Pak Arab datang menziarahi Deoband. Dia berpakai kemas. Beliau memakai baju kot. Orangnya kacak,  lembut, berjanggut panjang dan masih muda dalam lingkungan pertengahan duapuluhan. Beliau memilki ijazah dalam bidang bukan agama. Namanya Ali Sayyaf dari Lubnan. Dia datang ke India untuk mencari tempat belajar agama. Setelah berpuas hati dengan apa yang dikehendakinya maka dia membuat keputusan untuk belajar di Deoband.

Mengikut kawan-kawan sebelum ini ada dua orang adik beradik dari Sudan belajar di Darul Uloom Deoband. Ketika itu mereka baru sahaja tamat belajar dan banyak berjalan ke madrasah-madrasah lain antaranya Madrasah Masihullah Khan di Jalalabad. (Ustaz) Surul Sahabudin yang pada ketika itu menghafal Quran di Deoband memberitahu saya bahawa dia sebilik dengan Sudani itu ketika beriktikaf di madrasah di Jalalabad  sebulan Ramadhan. Ramai ke sana di bulan Ramdhan untuk beribadat bersama Sheikh. Sudani itu pernah menegur  satu kesalahan hafalan yang dibacanya. 


Ali Sayyaf memang serius untuk belajar di Deoband. Dia bertanya kami di mana hendak belajar Urdu. Waktu itu saya belajar Urdu dengan Molvi Aqil. Ali Sayyafpun turut serta tetapi hari yang berlainan dengan saya. Beliau sebenarnya seorang yang berfikrah haraki. Beliau mengikuti fikrah Hasan Al-Banna. 

Mulanya Ali Sayyad  datang bersendirian. Selepas itu dia pulang berkempen kepada kawan-kawannya untuk datang belajar di Deoband. Saya tak pasti kawan-kawannya itu sememangnya sudah ada di India atau di Lubnan. Ini kerana pada waktu itu pelajar Arab memang sudah ramai di India. Mereka belajar di universiti-universiti di seluruh India tetapi mengambil jurusan bukan agama. 

Akhirnya dalam lingkungan lima enam orang pelajar Lubnan datang. Mereka menyewa sebuah rumah di Baziaulhaq, jalan menghala ke bus stand alternatif untuk ke bandar Saharnpur. Jika tidak fikirkan seat untuk ke Saharnpur maka orang akan menunggu bus di sini yang pastinya terpaksa berdiri sepanjang perjalanan ke Saharanpur yang memakan masa satu jam itu.

Ada beberapa kali saya menziarahi Lubnan Manzil. Rumah mereka sentiasa diziarahi oleh pelajar-pelajar India. Hanya Ali Sayyad sahaja yang berminat untuk belajar Urdu, yang lain lebih suka berbahasa Arab. Peluang ini telah digunakan oleh pelajar2 India untuk belajar berbual dalam bahasa Arab. Teringat saya satu kisah di mana pada waktu itu ada seorang pelajar India yang pintar menziarahi Lubnan Manzil. Kemungkinan dia student kelas Ifta. Pelajar Lubnan sangat menghormatinya kerana setiap soalan yang diajukan oleh mereka pelajar ini pasti akan dapat menjawabnya. Merak panggil dia Mufti.

Rakan-rakan Ali Sayyad tidak lama di Deoband. Ada yang meninggalkan Deoband kerana menyertai misi jihad di Afghanistan untuk menumbangkan Soviet Union. Yang tinggal hanyalah Ali Sayyad dan Khidar. Setelah tamat di Deoband dalam enam tujuh tahun Ali Sayyad ke Mazahir Uloom untuk belajar Daurah Hadith dengan Sheikh Yunus. Pada satu hari Ali Sayyad menziarahi Deoband. Ketika itu dia sudahpun bersiap sedia untuk pulang ke Lubnan. Saya sempat bertemu dengannya di Mehman Khana (guest house) Darul Uloom. Dia menasihati saya agar selepas ini ke Mazahir Uloom pula untuk belajar dengan Sheikh Yunus. Pengajaran Bukhari Sheikh Yunus sangat berlainan dengan ulama lain di India. Beliau berhasrat untuk memasuki kelas Ifta (takhassus fekah) selepas Daurah tetapi kesihatannya semakin teruk. Dia tidak dapat bertahan lagi. Saya melihat dia memesan kitab fekah syarah Urdu Ashraful Hidayah yang masyhur oleh Maulana Jamil. Kitab Hidayah (oleh Murghinani) adalah kitab fekah Hanafi tertinggi dijadikan silibus  di Deoband. Kitab ini wajib diajar sampai habis. Saya rasa Ali Sayyaf tidak sempat mempelajari kitab Hidayah kerana beliau banyak juga melompat kelas kerana tidak mahu duduk terlalu lama.

Tinggallah Khidir seorang diri di Darul Uloom. Akhirnya dia tinggal di asrama berdekatan dengan bilik saya. Suatu hari dia mengkritik Ikhwan Muslimin. Dia berkata kepada saya Ikhwan mendakwa yang merekalah satu-satu jemaah yang harus diikuti secara syarie kerana jemaah yang lain tidak syamil. Khidir tidak senang dengan kenyataan ini. Saya tersentak dibuatnya kerana saya tidak pernah mendengar dakwaan sebegitu selama ini. Kebetulan saya teah diberikan amanah menjaga library kecil miik Muslim Student Union di sana. Kesemua buku-buku itu adalah buku Ikhwan Muslimin. Ada buku-buku yang lama yang ditulis di awal-awal penubuhan Ikhwan. Saya cuba membelek-beleknya. Antara buku-buku itu ada menyatakan hal yang disebut oleh Khidar itu. Saya diam tidak terkata sambil cuba menganalisa hujah-hujah yang dikemukan. Saya tidak menemui jawapannya kerana jawapan memerlukan kepada ilmu sedangkan saya baru belajar agama dan terlalu muda dalam memahami isu-isu dalam gerakan Islam. Saya biarkan ia tidak berjawab.

Setelah tamat Khidar melanjutkan pelajaran di Universitu Aligarh ke peringkat Master. Semua mereka telah meninggalkan Deoband. Tinggallah saya bersendirian. Semalam saya menghantar message kepada Ustaz Azhar di Kota Bharu melalui fb bertanyakan maklumat tentang pelajar Lubnan dahulu kalau-kalau beliau ada maklumat tentang mereka sekarang. Menurut Ustaz Azhar yang dia tahu hanya tentang Ali Sayyad. Ali Sayyad masih hidup tapi agak miskin kerana wang dicurahkan untuk melawan Syiah di Lubnan. (ditemui pada 24/10/2014)

gambar 2014


Thursday, June 6, 2013

Amin Raihani dan Bahas Arab

Amin Raihani (1876-1940) kelahiran Lubnan tetapi membesar di US. Beliau berhijrah ke US ketika berumur 10 tahun. Sesuai dengan pendidikan di tempat barunya itu beliau mula cinta kepada sastera Inggeris kerana beliau seorang yang amat minat membaca. Sudah tentulah Amin Raihani akan terpegun dengan buku-buku sastera Inggeris yang ditulis oleh penulis-penulis agung mereka seperti Shakespeare samada dalam bentuk novel maupun drama. Tetapi akhirnya beliau menyedari siapa dirinya dan apakah bahasa ibundanya. Kesedaran ini menyebabkan beliau berazam untuk mendalami bahasa Arab. Beliau mula membaca buku-buku seperti Bahs Al-Mataalib oleh Jarmanus Farhat (d1732), Nahju Al-Balaghah oleh pengumpulnya Sharif Razi (d1015), Maqaamat Al-Hariiri oleh Hariri (d1122), Muqaddimah Ibn Khaldun, antara beberapa buku yang disebut oleh beliau yang menjinakkan dirinya untuk terus menerokai kekayaan dan keindahan bahasa Arab. 

Buku Thomas Carlyle, On Heroes and Hero-Worship menyedarkannnya tentang hero-hero dalam sejarah Islam. Malah beliau melahirkan rasa takjub dan pelik terhadap dirinya yang mengenali baginda Rasulullah saw melalui orang putih Barat itu. Tulisan mereka ini membawa beliau mencintai rijal-rijal Arab dan sejarah ttg Arab.

Kecintaan kepada Arab dan bahasanya inilah telah mengangkat beliau sebagai seorang sasterawan Arab Moden sebaris dengan Jibran Khalil Jibran, Abbas Mahmud Aqqad, Salma Musa, Taufiq Hakim, Muhammad Husein Haikal dan penulis-penulis moden yang lain. 

Apa yang boleh kita pelajari daripada kisah Amin Raihani ini ialah tentang semangatnya untuk mempelajari bahasa Arab setelah mengetahui siapa dirinya. Jika kita mengetahui siapa diri kita sekurang-kurangnya dalam hubungan dengan Al-Quran dan solat maka sudah tentu kita akan berusaha melebihi usaha yang dilakukan oleh Amin Raihani untuk memahami ayat-ayat solat dan bacaan Al-Quran yang sudah tentunya ditulis dan dibaca dalam bahasa Arab.