Sunday, September 30, 2012

Anekdot Ulama 44: Maulana Taqi Uthmani

Semalam kami menerima satu email dari Pakistan. Email memberitahu Maulana Taqi Uthmani sekarang berada di Malaysia dan berharap dapat berjumpa pelajar PHD uia yang sedang membuat thesis mengenai Methodologi Kitab Takmilah Fath Mulhim karangan Sheikh Taqi sendiri. Email meminta agar Sheikh dihubungi segera melalui talipon kerana beliau akan pulang ke Pakistan esok harinya. Isteri saya menelepon Sheikh pada waktu saya solat Isya kerana dialah student PHD itu. Temujanji dibuat malam itu juga. Kami bergegas ke kondo Menara City One di Masjid India kerana kebetulan Sheikh di jemput sebagai tetamu di situ.  Pukul 10 malam baru kami bertolak dari rumah. Dalam pukul 10.30 kami sampai di Menara City One. Kami menaiki lift ke Blok A tingkat 17. Saya terpegun sekejap kerana tidak mengetahui sebelum ini bahawa kondo ini kebanyakannya didiami oleh orang-orang India dan Pakistan. Oleh itu bau dalam bangunan itu seperti sudah terbiasa....

Kami dijemput masuk. Isteri saya bersama-sama dengan pihak wanita di ruang makan buat sementara waktu kerana mereka sedang makan malam. Sheikh baru sudah makan dan berehat di ruang tamu bersama-sama tetamu lain yang datang menziarahinya. Rata-rata mereka Pakistani. Rumah itu kepunyaan seorang Pakistan yang sudah lama tinggal di Malaysia. Dia mempunyai kedai kain baju yang bernama SEHERISH di bangunan tersebut. 

Sheikh menjemput saya duduk berdekatan dengannya. Kami bertakruf buat seketika. Saya memberitahu Sheikh bahawa semalam kami baru melihat utube speech Sheikh dalam bahasa Inggeris mengenai Maulana Ashraf Ali Thanawi. Kata Sheikh ianya di England. Saya berkata bertuah sungguh malam melihat Sheikh hari ini dapat berjumpa secara hakiki.!!!

Selepas isteri selesai makan kami masuk bilik berasingan untuk berbincang mengenai thesis. Saya dan isteri mengajukan beberapa soalan berkenaan dengan thesis tersebut. Sheikh memberi kerjasama yang amat membanggakan. Sheikh berjanji akan menolong kami seberapa yang dia mampu dalam menyediakan material yang diperlukan dan juga menjawab persoalan-persoalan yang memerlukan jawaban daripada Sheikh.

Saya mula mengenal nama Sheikh Taqi Uthmani ketika berada di Deoband. Buku-buku Sheikh banyak didapati di Deoband. Malah namanya disanjung di Deoband kerana keluarga Sheikh sebenarnya berasal dari Deoband. Buku Jahan Didah ialah buku pertama Sheikh yang saya baca sampai habis. Ianya ialah buku mengenai pengalaman perjalanan sheikh ke merata dunia termasuklah Malaysia. Kalau tak silap itulah julung-julung kali Sheikh datang ke Malaysia. Sehingga sekarang sudah 5 kali Sheikh bertandang ke Malaysia atas urusan Persidangan Keewangan kerana Sheikh dianggap salah seorang ulama masakini yang menempa nama di peringkat antarabangsa dalam bidang keewangan. Kemudian buku Sheikh spt Dars Tirmizi menjadi kegemaran saya ketika memasuki tahun pengajian hadis. Banyak juga buku Sheikh dan ayahnadanya Maulana Mufti Syafie yang saya baca. Saya mengkagumi cara penulisan Sheikh dan ayahda beliau.  Terang, jelas dan bersitematik. 

Apabila Ustazah Zunaidah isteri saya bercadang untuk menulis thesis mengenai kitab Takmilah Sheikh saya mengalu-alukannya kerana saya mempunyai sedikit sebanyak maklumat tentang peribadi beliau serta penulisan beliau yang boleh dikongsikan. Sheikh amat meminati Maulana Ashraf Ali Thanawi dan merupakan idolanya. Saya lupa memberitahu malam itu kepada Sheikh bahawa thesis master saya juga mengenai Maulana Ashraf Ali Thanawi iaitu tentang tahkik hadis-hadis tasawwuf yang dikumpulkan oleh Maulana dalam satu risalahnya.
Walaupun dalam ucapannya dalam utube menggambarkan bahawa beliau sudah tua dan tak berapa larat untuk musafir tetapi saya melihat Sheikh masih kuat dan belum dimakan usia. Sheikh juga membawa isteri bersama. Mengikut cerita ustazah isterinya baru julung kali datang ke Malaysia walaupun sudah mengikuti Sheikh ke seluruh pelusuk dunia. 

Tuesday, September 25, 2012

Kembara Deoband 50: Kegeniusan Maulana Mirza

Saya banyak kali mendengar nama Mirza daripada beberapa orang pelajar senior. Mereka selalu bertandang ke bilik Mirza kerana ingin menadah kitab dengannya. Ini kerana Mirza boleh bercakap Arab. Mirza sebelum itu belajar di Saharanpur. Setelah tamat belajar dia tinggal di Deoband. Saya tidak pasti apakah yang dibuat oleh Mirza pada waktu itu. Pelajar Malaysia yang senior rata-rata datang untuk setahun dua sahaja. Oleh itu mereka tidak mengusai bahasa Urdu. Ini menyebabkan mereka mencari mereka yang pandai bercakap Arab untuk mengajar mereka kitab-kitab yang diajar di Darul Uloom terutama beberapa kitab-kitab asas dalam ilmu nahu, mantik dan syair Arab yang hanya diajar di madrasah India/Pakistan. Antara yang menjadi tumpuan mereka ialah seorang yang bernama Mirza. Saya tidak begitu kisah dengan Mirza atau siapa sahaja kerana saya pelajar baru dan hanya menumpukan kepada kelas sahaja. Pelajar senior spt Abdul Rashid dan  Iskandar selalu menyebut nama Mirza. Malah diceritakan bahawa Mirza pernah meminjam duit daripada Abdul Rashid. Sebagai bayarannya beliau minta Mirza menterjemahkan kepadanya kitab nahu berbahasa Parsi kedalam bahasa Arab iaitu "Nahu Mir". Khabarnya kitab itu siap diterjemahkan oleh Mirza.

                                            "Nahu Mir " berbahasa Parsi oleh Mir Sayyid Syarif Jurjani. 
Kitab Nahu Permulaan untuk Mempejari Bahasa Arab


 Kitab Terjemahan "Nahu Mir "dlm Bahasa Arab oleh Hamid Husain Bangladeshi yang saya perolehi bertahun-tahun selepas terjemahan Mirza

Suatu malam di musim sejuk saya dan Syarif makan-makan di kedai Sa`idiyah yang terletak berhadapan dengan Darul Uloom. Makan halwa gajar dan  telur rebus berserta dud patti. Itulah makanan favorite penduduk pekan Deoband pada waktu malam di musim sejuk. Syarif menunjukkan kepada saya seorang lelaki di hujung sana yang sedang makan. Kata Syarif itulah Mirza, orang yang selalu dikunjungi oleh pelajar Malaysia. Saya belum kenal dgn Mirza dan itulah kali pertama dan terakhir saya melihat beliau. Selepas itu saya hanya mendengar cerita ttg beliau sahaja. Wajahnya  seingat saya spt Maulana Asri Darul Kauthar cuma Mirza agak gelap kulitnya. 

Mirza berasal daripada Jaunpur. Beliau mendapat pendidikan awal di Madrasah Mazahir Uloom Saharanpur. Ketika belajar dia seorang yang rajin. Walaupun umurnya masih belasan tetapi visinya jauh. Kehebatannya saya ketahui apabila membaca kitab yang ditulis olehnya di waktu usia beliau masih belasan tahun. Sebuah kitab syarah urdu kepada Syarah Miatul Amil  setebal 568 mukasurat yang berjudul Al Dhiya Al Kamil (الضياء الكامل) sempena nama guru beliau yang mengajar kitab tersebut iaitu Maulana Ziaul Haq    (ضياء الحق). Maulana Ziaul Haq juga adalah guru kepada muhadith Maulana Yunus Jaunpuri. Ianya merupakan kitab syarah yang paling tebal di kalangan syarah-syarah yang ada. Beliau  menjadikan hasyiah berbahasa Parsi oleh Maulana Ilahi Bakhs Faidhabadi sebagai rujukan utama di samping  catitan pengajaran gurunya. Dia menanam semangat untuk menulis syarah itu ketika masih belajar. Namun kerana selalu sakit beliau menangguhkannya. Apabila sembuh dia menulisnya dan siap ketika hanya berumur lebih kurang 17 tahun. Masa yang diambil hanyalah sebanyak 26 hari sahaja. Kitab ini mendapat penghargaan kata penghantar oleh Maulana Ziaul Haq sendiri dan Maulana Qari Siddiq yang banyak menulis kitab nahu saraf  dalam bahasa Urdu.


                                                     Kitab Syarah  Urdu "Syarah Miatu     Amil"  oleh Maulana Mirza                          

Suatu hari saya meminta Bayya Tauhid memeriksa buku akaun pelajar-pelajar Malaysia yang dah balik tetapi belum membayar hutang di kedai runcitnya untuk saya uruskan pembayaran . Setelah menyebut nama-nama dan jumlah hutang mereka Bayya Tauhid menyebut juga nama Mirza. Kata Bayya Mirza suatu ketika menyewa satu bilik berdekatan dengan rumahnya. Suatu hari Mirza ke Bombay. Selepas itu dia tidak balik-balik, meninggalkan biliknya begitu sahaja. Bertahun tahun berlalu, tidak ada khabar berita tentangnya. Ada yang mengatakan dia dah mati di Bombay ketika huru hara antara Muslim dengan Hindu. Ada yang mengatakan ternampak kelibat Mirza di Bombay masih hidup.
                                                           
Apapun terjadi Maulana Mirza telah meninggalkan khazanah penting untuk kehidupan saya. Semuga Allah mempermudahkan hidupnya jika dia masih hidup dan mengampunkannya dan memasukannya bersama-sama dengan orang-orang yang beriman. Kemunculan Maulana Mirza Abdul Aziz Shamsad Ahmad Beg bin Mirza Muhammad Idris bin Mirza Nizamuddin bin Mirza Ilahi  Bakhshillah Sungri Jaunpuri ini dalam kehidupan saya di Deoband sebenarnya  mempunyai seribu makna yang tersembunyi. 

 Matan "Syarah Miatu Amil "oleh 
                                                                  Abdul Rahman Jami
                                             
                                                     

Friday, September 21, 2012

Kembara Deoband 49: Maulana Jaafar Bangladeshi

Masjid Choti mempunyai sebuah bilik kecil depan pintu masuknya. Ada seorang lelaki berbadan kurus kulit kegelap-gelapan tinggal di situ. Setiap kali saya ke masjid itu saya melihat dia sibuk mentelaah kitab. Di waktu lapang biliknya akan sentiasa diziarahi oleh orang. Kebanyakkannya datang untuk menadah kitab. Dengar cerita dia seorang yang alim terutama ilmu ma`qulat. Dia datang selepas ramai pelajar Malaysia sudah meninggalkan Deoband. Ketika dia datang dia memilih untuk memasuki Darul Uloom (Wakaf) tempat anak muhadith Maulana Anwar Shah Kashmiri mengajar. Namanya Jafaar datang dari Bangladesh. Jafaar tidak memiliki apa-apa sijil. Dia menduduki peperiksaan kemasukan walaupun tidak bersijil. Sesiapa boleh menduduki peperiksaan itu. Setelah lulus barulah akan diminta dokumen. Kertas jawapan Jafaar menakjubkan guru-guru Darul Uloom Wakaf. Maulana Anzar Shah Kashmii (anak Allamah Kashmiri) memanggil beliau untuk melihat orangnya. Waktu itu jarang sudah yang dapat mengusai ilmu ma`qulat dengan baik. Jafaar berpeluang mempelajari ilmu-ilmu itu daripada guru-guru di sana walaupun sudah tidak ramai yang mengusainya. Hatta Darul Uloom sendiri sudah tidak menumpukan ilmu ma`qulat. Amat jarang sekali kedengaran  kitab-kitab seperti Qadhi Mubaraq, Hamdallah, Shamsu Bazighah, , Musamarah, Mulla Hasan, Musallmusubut etc diajar.  

Kebolehan Jafar akhirnya menyebabkan Maulana Anzar Shah selaku ketua asatizah di Darul Uloom Waqaf  mengambil beliau sebagai tenaga pengajar selepas tamat Daurah. Beliau mengajar di situ tetapi atas tiket pelajar kerana orang asing tidak dibenarkan bekerja melainkan mendapat permit daripada kerajaan. Bertahun-tahun Jafar disitu. Peningkatannya juga amat baik dan cepat. Dia diberi kepercayaan mengajar kitab yang besar-besar. Dia bertahan di situ kerana saya masih ada disitu katanya. Masih ada teman kalau ke pejabat polis untuk sambung permit. Jafar tidak tahu sampai bila dia akan berada disitu. Darul Uloom Waqaf pula tidak mempunyai keupayaan untuk menukarkan status beliau daripada pelajar kepada guru. Jafar bertambah rungsing bila saya bercadang untuk pulang. Saya mencadangkannya buat MA di UIA dan seterusnya. Mengenai biaya rakan-rakan yang mengenali Jafar sedia membantu. Yusuf dari Chicago sentiasa bertandang di bilik Jafar utk menceduk ilmunya. Yusuf pulang awal dan sanggup menolong Jafar jika dia diterima masuk UIA. Malangnya Jafar tidak memiliki dokumen yang lengkap. Hanya sijil Darul Uloom Deoband Waqaf  untuk tempoh 2 tahun sj. Belum layak dikatakan BA. Saya menghantar permohonan beliau kepada kawan-kawan di UIA utk dimajukan. Akhirnya permohonan beliau ditolak kerana dokumen tak cukup syarat. 

Ketika saya pulang tahun 2004 Jafar masih mengajar di Darul Uloom Waqaf. Apabila saya melawat Deoband tahun 2009 Jafar sudah tiada. Dia sudah pulang. Saya tidak tahu di mana dia sekarang tetapi wajahnya yang sentiasa senyum masih terpahat dalam ingatan saya. Saya tidak pernah melihat orang serajin beliau membaca buku dan cintakan ilmu. Jafar seorang yang miskin. Dia tidak memilki sumber bantuan daripada mana-mana pihak. Hanya mengharapkan pendidikan percuma di Darul uloom. Pada awalnya dia mengajar di Darul Uloom Waqaf tanpa apa-apa bayaran kemudian barulah diberikan saguhati..

Sunday, September 16, 2012

Buku: Talkhis Hujjatulllah Balighah Shah Waliyullah

Shah Waliyullah (1703-1762) menulis melebihi 50 buah kitab. Antara yang banyak digunakan ialah Fathul Rahman fi Tarjamatil Quran, Al Fauzul Al Kabir, Syarh Tarajim Abwab Bukhari, Aqd Al Jid, Tafhimat Ilahiyyat, Al Qaul Al Jamil, Al Musaffa Syarh Muuwatta`, Syifa Al Qulub, Al Luma`at dan Hujjatullah Balighah. Antara semua itu Hujjatullah Balighahlah yang memuncakkan nama Shah Waliyullah di persada antarabangsa. Oleh kerana itu banyak usaha dilakukan ke atas kitab Hujjatullah Balighah ini oleh berbagai lapisan ulama dan ahli akedemi untuk mengenegahkan pemikiran Shah Waliyullah melalui kitab tersebut. Ulama-ulama di Benua Kecil India juga turut memainkan peranan mereka dan boelh dikatakan mereka lebih berhak dalam penyebaran ini berdasarkan faktor geografi, pewarisan ilmu dan pengamalan dari turun temurun semenjak zaman Shah Waliyullah lagi. Dengan sebab itu kitab Shah Waliyullah ini dijadikan sebagai silibus di kebanyakan madrasah India-Pakistan. Tidak kurang juga yang menjadikan bahan bacaan peribadi.  Mereka juga melakukan penterjemahan, peringkasan  dan  pensyarahannya ke dalam bahasa Urdu. Antara kitab ringkasan kepada kitab Hujatullah yang terdapat di rak-rak toko buku negara India Pakistan ialah Talkhis Hujjatul Allah Balighah.

Kitab Talkhis Hujjatul Allah Balighah ini di karang oleh Sayyid Radiyuddin Ahmad Fakhri dalam bahasa Urdu. Ianya adalah ringkasan kepada kitab Hujatullah Balighah. Disediakan sebagai alternatif kepada mereka yang tidak mempunyai masa yang cukup untuk membaca kitab asal Hujatullah juga sebagai khulasah untuk memahami point penting kitab tersebut. Kitab Talkhis ini sangat unik kerana ia merupakan cubaan kali yang ketiga pengarang untuk menghidangkannya kepada pembaca. Manuskript pertama hilang. Kemudian beliau menulis semula. Setelah siapa manuslkript kedua ini juga hilang. Untuk kali yang ketiga barulah ia berjaya disiapkan semula dan berjaya juga dicetak. Kitab ini hanya merangkumi 272 mukasurat bersaiz kecil  iaitu 8.50 X 5.50 inci. Cetakan Darul Isyaat Dehli.