Suatu hari tergerak hati saya untuk menziarahi Shaukat. Dia beritahu biliknya berdekatan dengan matbakh (tempat memasak Darul Uloom). Saya mencari-cari no biliknya. Allahu Akbar! Biliknya sebiji macam kubur. Sempit. Luasnya hanya muat untuk seorang tidur sahaja. Tiada ruangan lain. Bila melihat saya datang Shaukat amat gembira. Dia menjemput saya masuk. Masuk dalam kubur. Mulanya saya rasa kehadiran saya menyusahkan Shaukat. Tetapi Shaukat seorang yang rapi. Bilik yang sekecil itu kelihatan tersusun rapi. Saya berasa pelik sungguh dengan kebolehannya menyusun barang-barangnya sebegitu rupa. Layanan yang ditunjukkan oleh Shaukat menyebabkan saya tidak merasakan menyusahkannya. Saya bertanya Shaukat kalau elektrik tiada bagaimana kamu duduk dalam bilik ini. Tidakkah ia akan mengukus kamu sehingga masak!! Dia tersipu-sipu katanya dah biasa. Di situlah dia membaca buku kerana dia tidak suka bercampur dengan pelajar2 lain bimbang akan membuang masa bersembang.
Apabila masuk tahun akhir Shaukat memperolehi bilik yang lebih besar. Di kala itulah saya melihat keen beliau kepada pelajaran sampai ke kemuncaknya. Dia membeli banyak buku-buku syarah hadis yang harganya sungguh mahal. Walaupun mahal dia tetap membelinya. Ayahnya pula amat menyokongnya. Waktu itu tidak banyak buku syarah hadith di Deoband. Kalau adapun kitab cetakan Beirut yang kadang-kadang datang dari Pakistan. Saya sendiri tidak mampu membeli kitab-kitab cetakan Beirut yang harganya 3 kali ganda harga sebenar. Tetapi Shaukat tidak berkira tentang harganya. Yang penting dia dapat membacanya. Shaukat mengenali banyak nama-nama kitab. Dia membeli kitab siyar a`lam nubala, syarah Bukhari Umadatul Qari, Fathul Bari etc. Kebanyakan pelajar India hanya berpada dengan syarahan guru sahaja. Tetapi Shaukat sangat pelik. Akhlak dan sikap Shaukat itu sangat mempengaruhi diri saya. Sampai hari ini saya sentiasa mengingati Shaukat. Saya cuba mencari namanya di dalam internet tetapi tidak menemuinya. Kali akhir sebelum saya berangkat pulang ke Malaysia saya mendengar khabar dari penuntut West Bengal di Darul Uloom bahawa Shaukat mengajar di sebuah madarasah di West Bengal. Iaitu mengajar Kitab Tirmizi. Semoga Allah memelihara Shaukat dan memberkati ilmu dan kesungguhannya.