Thursday, November 29, 2012

Anekdot Ulama 45: Maryam Jamelah

Puan Sokdah menghantar email kepada saya memberitahu saya bahawa dia dapat membaca buku "Surat Menyurat Antara Maulana Maududi dengan Maryam Jameelah" dalam bahasa Ingeris melalui link yang diberikan. Buku ini selalu saya sebut-sebutkan dalam kelas agar dibaca. Rupanya waktu itu Maryam Jameelah baru sahaja meninggal dunia (31 Okt 2012). Saya tidak tahu tentang perkara itu. Kiriman email Puan Sokdah itu mengingatkan saya kepada sumbangan Maryam Jameelah kepada diri saya. Awal-awal tahu 80an memperkenalkan beberapa tokoh penulis yang banyak menulis tentang Islam dan pertentangannya dengan Barat dalam aspek pendidikan, politik, ekonomi, budaya dan sebagainya. Bahasa  dan istilah yang digunakan ialah bahasa dan istilah moden yang sangat memberi kesan kepada mereka yang dari latarbelakang pendidikan sekular. Penulisan mereka ini telah memberikan satu nafas baru kepada seorang muslim bagaimana untuk mengekalkan imej muslim dalam lingkungan dunia sekular.  

Antara tokoh penulis itu ialah Maryam Jameelah, seorang wanita Yahudi yang sudahpun Islam sebelum memeluk Islam!!!! Maksudnya pemikiran dan kecenderungan hidupnya ketika di kota New York sebelum memeluk Islam sudahpun selari dengan Islam. Saya mula diperkenalkan dengan beliau melalui buku yang mengisahkan tentang  surat menyuratnya dengan Maulana Maudud ketika masih berada di Amerika dan sebelum berhijrah ke Pakistan.
Antara bukunya yang menjadi kegemaran saya pada waktu itu ialah novel "Ahmad Khalil". Saya mencari-cari dalam rak buku saya tetapi tidak menemuinya. Saya kerap memberitahu Puan Sokdah tentang buku ini. Kalau ada saya ingin pinjamkan kerana dia suka membaca. Seingat saya, saya memiliki dua naskhah novel ini. Satu yang lama dan satu yang baru. Tapi kedua-duanya sudah tiada dalam rak. Hari ini semasa mengemas bilik bacaan saya terjumpa satu kotak berisi buku-buku kecil. Hati saya mengatakan mungkin Ahmad Khalil ada di sini. Alhamdulullah, kedua-dua buku tersebut terselit dicelah buku2 novel Inggeris yang saya baca di India dahulu. Yang lama masih ada tetapi yang baru tinggal kulit sahaja. Entah ke mana isinya.


                                            Novel Ahmad Khalil  yg Sudah Usang
Mengikut catatan dalam buku Ahmad Khalil ini saya membelinya pada tanggal 9hb tahun 1986. Tiga tahun sebelum saya ke India. Harga buku tersebut hanyalah 4 ringgit. Saya tidak pasti adakah       saya selesai membaca buku ini di Malaysia atau di India. Buku ini saya bawa ke India, bererti saya membacanya semula di India. Buku ini dicetak pada bulan Ogos tahun 1968 dengan jumlah cetakan sebanyak 3 ribu naskah. Buku ini dicetak di Lahore Pakistan dengan harga hanya 4.50 rupee.

Melalui buku Ahmad Khalil ini saya mengetahui banyak perkara tentang gerakan Zionist dari kaca mata seorang Yahudi sendiri. Ini mendorong saya menghabiskan banyak waktu membaca buku2 tentang sejarah Israel dan tokoh2 Israel spt Golden Mayer, Moshi Dayan dsb. Perpustakaan Universiti Malaya pada tahu 80an itu memjadi tempat saya bersarang membaca buku2 tersebut. 

Bahagian dalam buku "Ahmad Khalil"
Semasa di India saya berpeluang membaca buku-bukunya yang lain yang ditulis oleh Maryam Jameelah. Apa yang nyata Maryam Jameelah telah menukar gaya hidup saya daripada seorang yang tidak suka membaca  kepada seorang yang suka membaca buku. Saya malu dengan pengorbanannya. Saya malu dengan penghayatannya terhadap ilmu. Semoga apa yang ditinggalkan oleh Maryam Jameelah menjadi amalan soleh yang berpanjangan. untuk beliau. http://basooir.com/  

Friday, November 23, 2012

Madrasah Basooir/Basooir Seminary





Ibnnawi bercadang untuk transplant blog ini ke website www.basooir.com, insyaalah

Thursday, November 8, 2012

Rehlah Hadith

Bergambar bersama Al Ustaz Muhammad Husni

Al Akh Anwar sahabat lama saya.  Dahulunya ketika belajar di UIA (jurusan engineering) dia  selalu bertandang ke rumah saya untuk membaca kitab turath. Kini dia tinggal di Kajang dan baru berkahwin. Dia menelepon untuk datang berziarah. Saya mengalu-alukan kerana ingat dia akan bawa isterinya sekali. Petang itu saya meneleponnya untuk mendapatkan kepastian adakah dia akan datang. Dia kata dia berada di Seri Gombak dan boleh sampai dalam waktu yang terdekat. Dia meminta izin untuk membawa bersama seorang ustaz pengumpul sanad hadith ulama nusantara dari Indonesia. Saya agak terkejut kerana lain yang disangka lain yang berlaku.

Itulah Sheikh Muhammad Husni Ginting bin Muhammad Hayat ginting Al Langkati Al Azhari seperti Sheikh Muhammad Daniel Londoni. Beliau belajar di Azhar selama 12 tahun. BA dalam Syariah dan mengambil pula BA dalam bidang hadith. Beliau banyak mengembara untuk mengumpulkan sanad hadis. Saya hanya memiliki sanad hadith sheikh-sheikh di Deoband yang kebanyakan berpada dengan sanad Shah Waliyullah. Sheikh meminta ijazah hadith yang saya miliki untuk dibukukan dalam sanad-sanad hadith ulama nusantara yang beliau sedang usahakan atas nasihat gurunya di Mesir, Sheikh Mamduh. Saya mengijazahkan kepadanya keselurahan marwiyaat yang saya miliki. Begitu juga saya mengambil kesempatan untuk mengambil sanad beliau. Semoga usaha murni beliau dipermudahkan oleh Allah.http://basooir.com/

Wednesday, November 7, 2012

Bahasa Arab Surau Nur Al Syura


Ini adalah gambar peserta bahasa Arab Surau Nur Al Syura, Bandar Baru Selayang Fasa 2B, Batu Caves seramai 17 orang yang dipimpin oleh saya sendiri. Peserta adalah dari taman dan kampung yang berdekatan. Kami memulakan pengajian bahasa Arab pada tahun 2007. Sehingga sekarang masih berjalan. Kelas diadakan setiap malam Rabu pukul 9.00pm -10.30pm. Hari ini 31/10/2012 kami begitu gembira kerana semua dapat hadir. Kalau tidak mesti ada mana-mana di kalangan peserta yang tidak dapat hadir.

Peserta terdiri daripada nama-nama berikut: Berdiri: Encik Suhaimi, Sahabudin, Abd Aziz, Mohd Rapi,  Khairul Rijal, Zahari Rafie, Jamaludin Ahmad, Zulkifly, Redwan, Mansur, Mazlan,Raja Azlan. Duduk dari kiri: Mohd Anuar (Mat Pot), Hanif, Wan Zahari, Nazir dan Kamli.

Mereka daripada berbagai latar belakang pekerjaan dan tempat kerja: Pesara Askar, Telekom, Pertukangan Besi, Syt Saham, Bank Negara, Seni Bina, DAWAMA, Tentera, Public Bank, Syt Baja, Travel Agensi, Koperasi Polis, Kantin Makan dan IT. Rata-rata berumur 40 ke atas. Hanya dua orang berumur bawah 40 iaitu 29 dan 3oan. Doakan kami agar dapat meneruskan pengajian ini.