Thursday, October 30, 2014

Anekdot Ulama 67: Ustaz Taha Amerika

Zawawi adalah kawan sekolah saya ketika sekolah rendah di Kuala Krai Kelantan. Kami berpisah semenjak 1980 lagi. Alhamdulillah, baru tahun ini dapat jumpa kembali melalui jejak facebook. 

Ringkas cerita Zawawi pernah menjadi anak murid bahasa Arab pertama Ustaz Toha di Kota Bharu. Kini Zawawi tinggal di Dengkel dan mengendalikan catering Pesona milik beliau dan seorang kawannya yang lain selaku cook. Menurut Zawawi sampai ke hari ini mereka masih berhubungan terutama menerima Ustaz Toha sebagai tetamu jika beliau datang ke KL. Ustaz Toha adalah orang putih yang berasal daripada Amerika. Beliau memeluk Islam ketika masih di sana. Kemudian beliau berkahwin dengan pelajar Malaysia daripada Temerloh ketika di US. Kemudian beliau ke Madinah untuk mempelajari bahasa Arab.

Zawawi dgn Pesona Cateringnya


Hari ini Ustaz Toha datang ke KL atas urusan passport. Zawawi mengambil kesempatan untuk memperkenalkan gurunya itu kepada saya. Beliau membawa Ustaz Toha ke rumah saya sebaik selesai urusannya itu. Kebetulan saya tidak pergi mengajar hari ini. Ustaz Toha baru berumur 46 tahun iaitu lebih muda daripada saya dua tahun.

 Ustaz Toha Amerika

Ustaz Toha memang pengajar bahasa Arab sejati. Beliau tidak jemu-jemu bercakap Arab. Seolah-olah bahasa Arab menjadi percakapan hariannya. Kadang-kadang sahaja keluar kalimah Kelantan dari mulutnya. Itupun kerana bergurau.

Sambil menjamu selera makan tengah hari kami banyak bersembang. Seronok juga mendengar pengalamannya mengajar bahasa Arab. Saya banyak juga bertanya tentang manhaj yang dia prefer dalam pengajaran bahasa Arab dan suka dukanya dalam bidang ini. Saya memberitahu beliau bahawa saya bukan specialist bidang ini tetapi tidak melupakan kepentingannya.

Walupun lama di Kelantan nampaknya loghat Kelantan lebih sukar bagi Ustaz Toha berbanding bahasa Arab. Beliau menetap di Kelantan dari tahun 90an lagi. Tetapi hanya belajar bahasa Arab 3 tahun di markaz lughah di Universiti Madinah. Kemudian terus mengajar bahasa Arab di bumi Malaysia sampai ke hari ini. Beliau adalah murid kepada V. Abd Rahim, penulis buku Madinah Arabic yang terkenal itu. Beliau banyak memuji V.Abd Rahim gurunya itu. Malah ada bercerita juga tentang kisah-kisah menarik tentang V. Abd Rahim.

Tak ramai di kalangan kita orang Melayu yang menghayati kehidupan sebagai muallim seperti Ustaz Toha. Hidup yang penuh dengan kesederhanaan dan berjuang menghidupkan bahasa Arab Fusahah yang bukan bahasa ibundanya. Beliau tidak kisah untuk tidak makan gaji. Yang beliau kisahkan bagaimana hendak memelihara dan mengembangkan ilmu bahasa Arab yang dia telah pelajari.

Saturday, October 25, 2014

Kembara Deoband 65: Maulana Taha Best Student Darul Uloom Deoband 1991

Tahun 1989 saya sampai ke Deoband dan memasuki Darul Uloom baru iaitu Darul Uloom Deoband Waqaf (dengan tambahan waqaf) yang menggunakan Jamik Masjid Deoband sebagai buildingnya.  Tahun berikutnya saya berpindah ke main building iaitu Darul Uloom Deoband lama. Saya dapati di sana ramai pelajar foreigner terutama dari South Afrika, England dan Afghanistan. Rata-rata mereka memasuki kelas atas. Bermakna mereka akan tinggal di Deoband dalam setahun dua sahaja. Ini kerana mereka telahpun belajar di tempat masing-masing sebelum datang ke Deoband. Mungkin mereka datang untuk mencari keberkatan atau belajar semula hadith dengan masyaikh Deoband . Kebanyakkan guru mereka adalah lepasan Deoband.


Waktu itu pelajar South Afrika, England dan Afghanistan semua tinggal di asrama. Kami pula tinggal di luar. Namun kami saling berkenalan antara satu sama lain kerana semua memiliki lesen yang sama iaitu foreigner. Pelajar South Afrika dan England mempunyai mess tersendiri dari turun temurun. Mereka bangunkan asrama di Darul Uloom dengan nama Africa Manzil. Di situlah mess mereka yang terletak di luar Darul Uloom.  Ada orang yang dibayar untuk memasak. Bila tiba time makan mereka hanya ke mess manakala pelajar Malaysia yang rata-ratanya miskin memasak sendiri dalam bilik sewa mereka. Semasa mereka ke mess inilah kami kerap terserempak di celah lorong berhampiran Masjid Chatta yang hanya beberapa langkah sahaja daripada mess mereka. Laluan mereka adalah laluan kami.

Antara mereka itu ada seorang yang bertubuh sasa. Saya mendapat tahu dia berketurunan Melayu. Orang panggilnya Toha. Saban hari ketika pulang dari kelas saya akan melalui bilik Toha yang terletak di Ihata Bagh, kawasan asrama pelajar South Afrika dan England. Saya pelajar baru. Toha juga pelajar baru. Dia datang pada tahun yang sama dengan saya tetapi ketika dia datang dia sudahpun alim. Sudahpun belajar di South Africa. 

 Bersembang dgn Maulana Toha

 Kunjungan Maulana Toha bersama para pelajarnya di Malaysia

Saya tidak pasti Toha terus masuk tahun akhir atau tahun sebelumnya. Bila dia memasuki tahun akhir namanya terus naik. Peperiksaan pertengahan tahun meletakkan namanya di atas. Nama South Afrika naik. Kami juga tumpang gembira kerana dia ada darah Melayu. Suatu hari Toha datang menziarahi kami pelajar Malaysia. Kami menyewa sebuah rumah yang kami panggil Baitul Jamil. Saya, Wan Nazarudin, Roselan, Hishamudin,  Nik Abduh (YB) dan Iskandar tinggal di situ.  Toha memasuki bilik saya. Kami bercakap bahasa Inggeris kerana pelajar South Afrika bercakap Inggeris sesama mereka. Toha beritahu bahawa datuk neneknya keturunan Melayu. Tapi dia hanya ingat hanya satu perkataan sahaja Melayu iaitu “Tok Guru”. Kawan-kawan menceritakan Toha sangat fasih bercakap bahasa Arab. Saya tidak tahu fasih mana kerana saya belum pandai Arab. Atau itu mungkin semata-mata takjub kerana rata-rata pelajar madrasah tak tahu bercakap Arab. Waktu itu kebetulan ada seorang pelajar keturunan Arab dari Australia. Namanya Fida`. Fida rapat dengan Toha. Jadi sahlah tu dia pandai cakap Arab. 

Waktu itu saya mempelajari kitab Hidayatu Nahw. Saya bertanya Toha kalau-kalau dia boleh ajar kami. Dengan senyum dia mengatakan aku tak belajar kitab ini. Aku hanya belajar Nahu Wadih.  Sampai sekarang Sheikh Toha menafikan hubungannya dengan nahu. Satu ketika saya dengar berita Toha kehilangan wang di New Delhi. Ketika di dalam bas koceknya digunting oleh penyeluk saku. Malang sungguh nasibnya. Saya juga diberitahu bahawa Toha mempunyai tulisan yang lawa. Khatnya cantik. Semua orang memujinya. Beliau tinggal di bilik No 2 Ihata Bagh bersebelahan dengan bilik saya yang saya diami setelah kebanyakan pelajar South Africa dan England pulang.  Saya pernah melihat tulisannya yang beliau abadikan dalam biliknya. Memang layak dipuji.

Waktu Toha tahun akhir ada seorang lagi pelajar genius. Namanya saya tidak ingat. Yang pasti dia adik kepada seorang  Maulana Darul Uloom yang berasal dari Afghanistan. Maulana Abd Rauf. Menurut cerita Maulana belajar di Darul Uloom sejak kecil. Maulana pernah belajar di Saudi juga buat seketika. Jadi Maulana boleh bercakap Arab dengan fasih. Boleh bercakap Arab dikira keramat di Darul Uloom waktu itu. Ada dua orang adik beradik Maulana Abd Rauf di tahun akhir waktu itu. Salah seorangnya  adalah saingan Toha di Dauratul Hadith. Rupanya saya ada kenangan juga dengan pelajar itu. Suatu hari saya di perpustakaan kerana ingin melihat kitab-kitab Parsi tentang syarah Risalah Lamiyah berkenaan huruf lam dalam Nahu. Kerana tidak faham saya bertanya beliau yang pada waktu itu tekun melihat kitab. Dia berserban besar seperti kebiasaan orang Afghanistan. Sebenarnya jarang pelajar datang bertandang di perpustakaan. Mungkin dia seorang yang kuat membaca.  Saya pula orang yang kebinggungan.

Bila peperiksaan akhir tahun 1991 diumumkan, nama Toha terpampang  dalam list sebagai `best student`. Dia dapat no satu daripada 700 pelajar. Nombor dua jatuh kepada pelajar Afghanistan tersebut.  [Sheikh Toha menceritakan dia mendapat berita bahawa pelajar tersebut telahpun meninggal dunia ditembak di sempadan Afghanistan dan Pakistan. Beliau mengajar di sebuah madrasah di sana]. 

Mengikut cerita, ayah Toha pernah jadi best student juga ketika belajar di Darul Uloom Deoband. Ayahnya sezaman dengan Mufti Ishak Bahrom, bekas mufti Selangor.  Selepas Toha pulang saya ingin mengorek berita tentang Toha. Waktu itu kawan rapatnya Zubair dari England masih ada. Beliau di tahun akhir pula. Mereka berbeza satu tahun pengajian. Saya masih ingat lagi kata-kata Zubair yang mengatakan bahawa dia selalu berdebat dengan Toha kerana beliau kuat Hanafi dan Toha kuat Syafie. Kata Zubair lagi: “Toha knows everything”.

Seperti pelajar Melayu dahulu kala Toha juga pergi ke Mesir selepas tamat Darul uloom Deoband selama 2 tahun.  Setelah pulang dia membuka sebuah madarasah di Cape Town. Itu yang saya dengar tentangnya bila ada orang South Afrika datang menziarahi Deoband.

Suatu hari saya menziarahi Maulana Qamarudin, guru hadith Muslim saya. Saya menceritakan kepada beliau bahawa Toha bekas best student Darul Uloom dahulu adalah keturunan Melayu. Dia terus berkata: Aku tidak pernah melihat kertas jawapan yang ditulis seperti yang ditulis oleh beliau. Tulisan Bahasa Arab dia juga hebat.[Sheikh Toha sambil bergurau memberitahu setiap kertas jawapannya dihiasi dengan syair sebagai penutup dengan meraikan usul Syafie dan Hanafi dalam huraian hadith. Hanafi kerana pemeriksa bermazhab Hanafi. Bahaya kalau melawan. Syafie kerana mazhab sendiri Syafie. Hati tak rela mempertaruhkan mazhab sendiri!!!. Akhirnya akan memberikan tarjih]

Toha tinggal kenangan. Saya selalu menceritakan tentangnya kepada kawan-kawan dan murid-murid saya. Mungkin dengan sebab keberkatan itu tiba-tiba dua tiga hari lepas saya menerima talipon daripada seseorang yang mengatakan bahawa Maulana Toha akan datang ke Malayasia pada hari Jumaat 24/10/2014. Dia ingin berjumpa saya. Dia ingin bertemu saya setelah 20 tahun berlalu.

Hari ini Maulana Toha datang ke rumah saya bersama anak-anak muridnya di Malaysia. Kami bersembang sekejap menceritakan tentang “purani baat” (cerita lama). Maulana Toha sempat bercerita tentang kisah ulama Deoband sambil menyelitkan unsur ilmiah tentang sejarah perkembangan manhaj Deobandi daripada Shah Waliyullah, Gangohi dan Kashmiri terutama untuk bekas pelajar-pelajarnya yang kesemuanya tidak pernah belajar di Deoband. Malah untuk renungan saya juga.

Maulana kemudian berangkat ke Kelantan untuk bertemu dengan Nik Abduh, Tok Guru Nik Abd Aziz dan rakan-rakan yang lain.Beliau juga akan ke Terengganu untuk bertemu dengan Maulana Lambok, yang juga bekas best student Darul Uloom Deoband.

Semoga Allah memberkati safar Maulana Toha Karan dan usahanya mengembangkan ilmu di South Africa.

Monday, October 20, 2014

Kembara Deoband 64: Anjing Di Deoband

Saya tinggal di Deoband India hampir 15 tahun. Mazhab Darul Uloom Deoband dan penduduknya ialah Hanafi yang agak longgar hukum tentang anjing. Kebetulan Deoband banyak anjing. Kadang-kadang anjing melintas sambil mengesel kita. Kadang-kadang anjing berendam dalam parit kerana terlalu panas. Kemudian menghentak-hentak bulunya. Apa lagi air terpereciklah mengenai orang yang lalu lalang.

Dalam kemudahan begitu hampir seratus peratus umat Islam Deoband tidak bela anjing di rumah apatah lagi jadikan ia sebagai "pet". Tapi mereka bela anjing untuk jaga kebun juga. Kebun mereka besar-besar. Bila saya masuk kebun selalu disalak anjing untuk gigit orang yang tidak dikenali. Bila tuannya kata diam maka anjing itu lari atau duduk diam. 

Setahu saya hanya sebuah rumah yang pelihara anjing dalam rumah. Anjingnya hitam pekat pulaktu. Kita panggil dia "uncle ji" . Budaya Inggeris sikit tapi tidak pernah dilihat pakai kot. Pakai kurta pajama sahaja macam pakaian yang dipakai oleh maulana. Anak-anak semua sekolah orang putih. Boarding school di kawasan bukit, tempat anak orang kaya-kaya bersekolah. Uncle seorang kaya kerana banyak tanah dan ladang. Kita panggil orang kaya "zamindar" (tuan yg banyak tanah). Tapi uncle jarang datang "masjid" walaupun masjid hanya bersebelahan dengan rumah. Saya lupa tanya khabar tentang uncle sejak pulang. Mudah-mudah Allah memelihara uncle sekeluarga dalam iman

Friday, October 10, 2014

Kehilangan Kitab Fatawa Usmani

Kejadian pelik telah berlaku. Kitab "Fatwa Maulana Taqi" ada dalam senarai kitab yang telah kami beli dari Pakistan. Ada 70 lebih tajuk kitab Maulana yang kami telah beli. Setiap satu saya telah membuat ulasannya kecuali kitab "Fatwa Usmani" ini kerana ia tiba-tiba hilang. Puas dicari tak jumpa-jumpa. Padahal semua kitab Maulana Taqi diletakkan di rak yang khusus. Masa berganti masa. Hampir saban waktu saya bertanya isteri di mana pergi kitab itu. Adakah kita telah beli atau tidak. Hampir saban waktu saya mencarinya di rak bukunya tapi tak jumpa-jumpa. Kadang-kadang saya angkat buku satu persatu kut-kut saya terlepas pandang. Bukan sehari dua saya mencarinya di rumah. Makan tahun juga.

Kerana berputus asa saya bertanyakan kembali kedai kitab di Pakistan untuk membelinya semula. Saya juga mencarinya dalam internet dan menemuainya. Tak puas hati membaca pdf saya cekal untuk memesannya semula.

Tiba-tiba saya masuk semula ke bilik buku yang terletak di tingkat 3, tingkat paling atas untuk mencari buku lain. Bilik bacaan saya terletak di tingkat paling bawah. Di rak kitab maulana Taqi yang sama saya terpandang dua jilid kitab berwarna hitam. Saya mendekatinya dan terkejut melihat kitab itu adalah kitab "Fatwa Usmani" yang saya cari-cari itu. Betapa gembiranya saya. Saya bawa kitab itu dan tunjukkan kepada isteri. Dia juga mengakui bahawa kitab itu ada pada hari pertama ia sampai bersama kitab lain. Malah dalam senarai kitab yang dipesan tertera tanda "right" menunjukkan yang dipesan itu sampai. Seingat saya kitab ini pernah dipinjam oleh seorang pelajar Bangladesh yang waktu itu sedang menulis tesis MA dalam bidang Fekah di University Malaya dan dia telah memulangkannya.
Kitab Fatawa Usmani Yg ditemui semual

Apakah mata saya dihijabkan selama ini? Atau ada makhluk lain yang meminjam untuk membacanya?.......
Ada satu lagi kitabnya yang hilang. Iaitu jilid pertama dari 6 jilid kitab berjodol "Islahi Majalis". Masih menunggu kalau ia datang semula.

Anekdot Ulama 67: Maulana Taqi dan Dr Yusuf Qardawi

Malam tadi selepas isyak brother Hamizi datang ke rumah untuk memungut file video Basooir untuk diedit. Kebetulan kelasnya tiada. Walaupun masih bercuti di kampung beliau datang juga hari khamis semata-mata untuk mengajar di cyberjaya.

Banyak benda juga dibuat dan disembangkan oleh brother Hamizi malam tadi. Berbual pasal kitab-kitab yang dilihatnya di Pustaka Darussalam Kedah ketika cuti hari raya. Scan kitab yang hendak digunakan dalam pengajian basooir spt Qisasun Nabiyyin jilid 2 dan kitab balaghah Talkhis Miftah untuk esok. Menyediakan pdf Muqadimah Abd Haq Dehlawi utk pengajian esok. Membeli kamera second hand satu lagi secara online untuk Basooir kerana ada orang yang hendak menjual dengan harga murah. Membaik pulih kemudahan pengajian online secara live dengan meletakkan dua monitor untuk mereka yang datang mengaji di rumah.
Entah macam mana saya menceritakan kepada Hamizi tentang kisah penyair urdu Mirza Ghalib rentetan daripada tulisan saya dalam fb. Saya juga menvceritakan tentang hubungan Maulana Taqi Usmani dengan Dr Yusuf Qardawi. Maulana Taqi sebenarnya adalah peminat Dr Yusuf Qardawi semenjak zaman belajar lagi. Beliau berhasrat untuk berjumpa dengannya suatu hari nanti. Mungkin kerana Maulana juga meminati fekah semasa.

Maulana Taqi menceritakan suatu hari beliau mengiringi ayahandanya Maulana Mufti Syafie ke seminar antarabangsa Fekah di Arab Saudi. Beliau menginap di sebuah hotel. Pada suatu hari dia menaiki lif seorang diri. Dalam lif tersebut dia menemui seorang Pak Arab. Lelaki Arab itu bersaiz besar. Beliau menegur Maulana Taqi bertanyakan dia datang ke sini untuk tujuan apa. Setelah memberitahu dia mengiringi ayahnya Maualana mufti Syafie lantas Dr Yusuf Qardawi memberitahu Maulana bahawa dia mengenali ayahnadanya itu, seorang yang alim. Dia memuji-muji beliau. Maulana bertanya nama Pak Sheikh Arab itu. Pak Sheikh Arab menjawab nama saya Yusuf Qardawi!!!. Apa lagi macam nak terbanglah kegembiraan maulana. Maulana memuji akhlak Qardawi. Katanya jarang orang Arab melayan orang ajam sepertinya sebegitu.
Kemuncak hubungan Qardawi dengan Maulana Taqi ialah apabila maulana menjemput Qardawi menulis prakata kepada kitab syarah hadith Muslimya iaitu 'Takmilah Fath Mulhim" (Tesis Ustazah Zunaidah).

Saya juga memberitahu Hamizi tentang suatu kepelikan. Iaitu Pelik bin ajaib. Qardawi adalah pemuja Maulana Maududi sehinggakan ketika Maulana Maududi meninggal dunia Qardawi datang ke Pakistan untuk mengimamkan solat jenazahnya. manakala Maulana Taqi dan ulama Deoband mengkritik Maulana Maududi. Ulama Deoband bukan setakat kritik tetapi memasukkannya ke dalam firqah batilah.

Banyak pendapat fekah Maududi dikritik oleh Maulana Taqi. Malah bukunya tentang Mua`wiyah ra adalah sebagai jawapan kepada buku 'Khilfat wa Mulukiyyat" tulisan Maulana Maududi. Pelik bin ajaib itulah namanya ilmu. Jika kita berilmu tahulah kita bagaimana hendak berta`amul dengan perselisihan sebegini.


Hamizi pulang dalam pukul 2 pagi. Paginya beliau menghantar message bertanyakan umur Maulana ketika bertemu Qardawi dan sumbernya. Saya tidak ingat buku mana yang saya baca. Tanda seorang yang ingatannya tidak kuat. kalau siapa-siapa mengetahuinya bolehlah beritahu saya.

Tuesday, October 7, 2014

Anekdot Ulama 66: Maulana Othman Omar Zuhdi

Maulana Othman bin Omar Zuhdi, anak Tuan Guru Omar Zuhdi Pondok Lanai, Baling, lahir pada 10/12/1955 pernah belajar di Darul Uloom Deoband sekitar tahun 1974.

Beliau pernah tinggal di Hafiz Manzil Deoband yang merupakan salah sebuah rumah sewa pelajar Malaysia waktu itu. Ketika saya menuntut di sana tahun1989-2004 rumah sewa Hafiz Manzil sudah tiada. Namun saya sempat bertemu dengan pemiliknya yang waktu itu sudahpun tua.

Alamat di Malaysia yang digunakan oleh Maulana ketika menuntut di India ialah Kg Banggol Berangan, Kuala Pengang. Baling Kedah.

Menurut catatan di India beliau tinggal di Deoband selama 5 tahun. Beliau boleh diziarahi di Baling

Alhamdulillah Tamat Juz Amma

Alhamdulillah kelas Surau Nur Al-Syura BBS Fasa 2B, telah diberi taufik oleh Allah SWT menamatkan Juz Amma malam tadi dalam siri pengajian memahami struktur dan morphologi ayat Al-Quran.

Pengajian ini diadakan seminggu sekali, pada setiap hari Rabu, selepas isyak selama satu setengah jam. Kelas ini bermula dari kosong pada tanggal 20/10/2008 dengan mempelajari tatabahasa Arab dan ilmu saraf terlebih dahulu. Lama kami belajar sambil bersila kerana tidak mempunyai tempat yang sesuai untuk dijadikan kelas. Setelah sekian tahun barulah rupa bilik darjah dapat diadakan setelah pihak surau menambahkan binaan baru untuk ruangan solat muslimat. Ruangan ini juga digunakan untuk kelas pengajian khusus yang memerlukan kerusi meja.

Jangan terkejut jika saya juga mengunakan Maktabah Syamilah yang sepenuhnya berbahasa Arab dan tidak berbaris untuk menunjukkan berbagai tafsir juz Amma kepada mereka!!!! Saya berharap dengan berbuat begini suatu hari mereka akan terbiasa dengan teks Arab tidak berbaris.

Doakan semoga kami diberikan taufik oleh Allah untuk meneruskan pengajian dengan surah atau juz yang lain pula selepas hari raya ini.




                                                     Bergambar dengan sebahagian pelajar.

Anekdot Ulama 65: Maulana Wan Izuddin Wan Ibrahim

Maulana Wan Mohd Izuddin B. Wan Ibrahim, Kg Gajah Mati Pendang adalah ulama Kedah yang pernah menuntut di Darul Uloom Deoband. Beliau tamat mengaji di Darul Uloom pada tahun 1970 bersama-sama dengan 22 orang pelajar Malaysia yang lain. Antaranya Prof Selamat Hashim dari Muar Johor. Maulana tak putus-putus dikunjugi oleh para pelajar dan asatizah sampai sekarang dengan pelbagai tujuan. Semoga Allah SWT memanjangkan usia beliau dengan kesihatan yang baik.

Anekdot Ulama 64: Buku Maulana Taqi Usmani

Saya memberitahu isteri saya yang juga seorang pensyarah bahawa kalaulah saya seorang pensyarah universiti banyak dah kertas kerja saya boleh tulis tentang Maulana Taqi Usmani seperti orang putih yang banyak tulis tentang pelbagai aspek tokoh tertentu seperti mengenai Shah Waliyullah Dehlawi dsb. 

Ini kerana kami mempunyai hampir kesemua buku tulisannya yang sebahagian besarnya dalam bahasa Urdu. Hampir kesemuanya saya telah membacanya samada keseluruhan kitab atau secara sepintas lalu. Kitab beliau menyentuh pelbagai aspek. termasuklah bab Hadth, Fekah, Fatwa, Ulum Quran, Ekonomi, Tasawuf,, Biografi, Politik, Sejarah dsb...


 Sebagai Koleksi Buku Maulana Taqi Milik Kami


Budaya ilmu di Pakistan antara punca mengandakan penerbitan buku-buku Maulana Taqi walaupun kadang-kadang tulisan beliau hanyalah salinan daripada pidato, ceramah atau catatan perjalanan beliau. Ertinya ada orang yang menyalin. Ada yang sudi menerbitkan. Ada pula yang menunggu-nunggu untuk membaca.
Bukunya seperti "Jahan Didah", "Duniye mere aage" dan beberapa buah lagi yang seumpamanya agaknya seperti "Kembara Deoband" saya dari segi catatan pengalama peribadi.

Bukunya seperti "Nuqus Raftgan" seperti "Anekdot Ulama" saya. Manakala buku "Tabsirae" seperti catatan "Kitab" saya dalam blog ibnnawi. Hal ini berlaku secara kebetulan kerana saya bukan meniru beliau.

Kalaulah saya orang India atau Pakistan agaknya catatan saya akan disalin semula, diedit, diterbitkan dan dibaca oleh mereka jika mereka merasai ada sesuatu yang berharga di dalamnya.
Inilah agaknyai antara dilema penulis di tempat kita. Mahu tulis apa dan untuk siapa?
gambar: sebahagian rak buku beliau di bilik saya

Anekdot Ulama 63: Nasihat Maulana Taqi Usmani

Dalam satu tulisannya Maulana Taqi Usmani mengambarkan bahawa para maulana dan madrasah di India-Pakistan boleh dikatakan berjaya mewujudkan sistem pendidikan agama yang mantap tetapi agak gagal mendidik masyarakat ke arah muamalat yang sahih dan akhlak yang terpuji. Saya "like" lah keluhannya itu kerana ada sedikit pengalaman dulu dan sekarang.

Malam tadi saya mendendangkan kepada isteri satu kisah yang diceritakan oleh Maulana Taqi Usmani tentang ketajuban beliau dengan akhlak masyarakat Barat yang tiada pada masyarakat Pakistan secara khususnya dan masyarakat Islam secara amnya.

Ringkas cerita, beliau di sebuah airport di London. Dia memasuki sebuah kedai "Encyclopaedia Britannica" di airport tersebut. Matanya terpandang sebuah buku yang agung bertajuk "Great Books". Sekian lama buku ini dicari untuk perpustakaan madrasahnya. Buku koleksi penulis-penulis agung barat daripada "Aristotle" hinggalah kepada "Bertrand Russel" yang telah diterjemahkan kesemuanya dalam bahasa Inggeris berjumlah 65 jilid.


 Great Books

                                                                                                         Ensklopedia Britainika


Maulana berhasrat untuk membelinya. Berkata tuan kedai jika kamu telah memilki buku Encyclopaedia Britannica kami akan beri 50% diskaun. Maulana menjawab saya memilkinya tetapi tidak dapat datangkan bukti. Penjual berkata tidak mengapa kata-kata kamu "ada" itu sudah cukup sebagai bukti. Harga diskaun dalam 40 ribu rupee.

Tidak semena-mena Maulana ragu-ragu jika buku ini boleh didapati di Pakistan dengan harga yang lebih murah setelah dia mengisi borang dan menandatangani pembayaran melalui kad kredit untuk dihantar melalui pos. Maulana memberitahu penjual buku banyak kali dia dapati buku yang telah dibeli di London harganya lebih murah di Pakistan. Penjual menyakinkan Maulana jika ia benar-benar berlaku maka beliau sudi mengembalikan wang Maulana. Pekedai berjanji akan menghubungi Maulana di Pakistan dalam 4, 5 hari nanti untuk memastikan harga buku itu lebih murah di sana.


Dalam perjalanan Maulana begitu bimbang apa yang akan berlaku kepada duit yang telah ditandatangani itu. Bagaimana jika kitab itu tidak dihantar. Sebaik sahaja pulang ke Pakistan beliau terus sahaja menghubungi "American Express' agar tidak melakukan pembayaran sehingga diberitahu. Begitu juga dia menghantar seseorang untuk mencari buku tersebut. Akhirnya buku itu ditemui dengan harga 30 ribu rupee.

Setelah tiba masanya pekedai London itu menelipon Maulana untuk bertanya. Setelah diberitahu harga yang murah itu beliau membatalkan pembelian Maulana dan mengucapkan tahniah kerana dapat membeli dgn harga yang murah. Selang beberapa hari surat pekedai itu sampai yang menzahirkan kegembiraan beliau kerana Maulana dapat memperolehi buku itu dengan harga yang murah dan kekecewaan beliau kerana tidak dapat peluang untuk berkhidmat kepada Maulana. Beliau mengharapkan agar hubungan mereka tidak putus.
Kata Maulana satu sen pun pekedai itu tidak dapat apa-apa keuntungan malah telah menggunakan duitnya sendiri untuk menelipon daripada London. Surat juga dikirimkan. Kita macam-macam kata kat orang putih padahal mereka menunjukkan akhlak Islam yang telah kita tinggalkan. Kerananya Allah telah memberi kemajuan kepada mereka.

Keluhan Maulana ini bukanlah sesuatu yang baru. Semua orang mengetahuinya. Cuma bila orang yang ada nama menyebut mudah terpahat di hati.

Cerita Maulana ini mengingatkan saya kepada perkara yang lebih kurang sama berlaku antara saya dengan pekedai di Pakistan baru-baru ini.

Ringkas ceritanya buku yang saya pesan melalui pos sampai, tetapi tidak lengkap jilidnya. Bukan tercicir tetapi tidak dihantar. Duit telah dibayar cukup. Bila diminta penjelasan melalui wasap dan teligram, saluran yang kami selalu gunakan untuk berkomunikasi, di mana baki lagi kitab itu, beliau diam membisu. Bila ditanya untuk pembelian kitab lain beliau rancak menjawab!!.

Janggut, pakaian dan keturunan baik-baik tu kalau ikut zahirnya sudah lulus. Tapi bab muamalat susah sikit seperti keluhan Maulana.
(Rujukan Buku Urdu Maulana Taqi bertajuk "Islam dan Masalah Kehidupan Moden"

Syair Mirza Ghalib

Syair Mirza Ghalib tertambat di hati sesiapa, tidak kira siapa jua ia. Para agamawan, para pemikir, politikus, orang seni, pendendang qawwali, penyanyi ghazal.... Sesiapa sahaja memetik bunganya. Maulana Taqi memetik, Allamah Iqbal memetik, Kushwant Singh memetik, Jagjit Singh memetik. Mereka memetik tetapi dengan zauq yang berbeza.

Maka tidak hairanlah lagu-lagu Hindustan dahulu kala diminati ramai oleh orang Melayu walaupun tidak memahaminya kerana kata-kata yang umpama sihir penyair-penyair Urdu seperti Mirza dipinjam dalam lirik mereka. Hakikatnya lirik-lirik lagu Hindi dahulu adalah pure Urdu.

Syair Mirza di bawah membayangkan dunia ini tak ubah seperti taman permainan kanak-kanak. Siang malam aku melihat temasyanya....

Ghazal Mirza yang Didendangkan oleh Jagjit Singh






Anekdot Ulama 62: Nasihat Maulana Taqi Uthmani

Di antara kelemahan atau kealpaan sistem pengajian madrasah menurut Maulana Mufti Muhammad Taqi Usmani مفتی محمد تقی عثمانی ialah tiadanya kawalan dalam metod pengajaran. Oleh yang demikian terjadilah penekanan yang keterlaluan dalam bab-bab ibadat dan akidah dalam pengajian mereka tetapi terlalu dhaif dalam bab muamalat dan akhlak. 

Oleh itu bab-bab dalam kitab fekah dan hadith tidak diajar secara seimbang. Kitab yang mencangkupi keseluruhan bab, yang seharusnya khatam dalam masa 10 bulan secara saksama kerapkali berakhir dengan satu pertiga sahaja kitab dihuraikan secara terperinci sehingga memakan masa selama 8 bulan. Kebanyakannya menyentuh bab-bab taharah, solat, puasa dan haji. Paling jauh huraian yang dapat dihidangkan hingga bab munakahat atau nikah kawin. Bab-bab seperti jual beli , mua`asyarah dan akhlak yang terletak di separuh akhir kitab selalunya menjadi mangsa.Hanya 2 bulan masa yang ada untuknya. Bahkan hanya ditilawahkan untuk mencari keberkatan khatam kitab tanpa huraian yang mencukupi. 

Natijahnya pelajar madrasah tidak memilki ilmu yang cukup dalam bab jual beli atau ekonomi, politik dan ilmu kemasyrakatan sedangkan ilmu ini yang paling challenging di zaman ini. Kejahilan orang alim akan menatijahkan kejahilan orang awam. Ini akan menjuruskan mereka ke lembah syubahah dah haram.
Maualana juga kesal dengan penglibatan yang sedikit alim ulama aliran madrasah dalam bab ekonomi dan politik Islam. Walaupun ada di merata-rata tempat fatwa mereka dalam bab ini namun ia tidak mencukupi kerana perubahan zaman yang amat kencang. Seharusnya perlu ada dirasah yang serius. Beliau memuji usaha ulama-ulama Arab dewasa kini yang telah memperkayakan perpustakaan Islam dengan tulisan-tulisan ekonomi Islam secara serius. Bab berasingan dalam buyu` atau jual beli telah menjadi unit yang besar untuk dibincangkan. Wakaf, hibah, mudharabah dsb telah menjadi pengajian yang berasingan dengan tatbiq yang sesuai dengan zaman.

Maualana mengakui beliau telah membeli semua buku-buku itu untuk diletakkan dalam perpustakaan madarasahnya untuk bacaan dan rujukan pelajar dan asatizah. Beliau juga menubuhkan pengajian ekonomi modern di madrasahnya itu.

Bagus sekali Maulana Taqi kerana peka dengan realiti. Itulah seharusnya sikap seorang muslim apatah lagi seorang alim. Beliau memuji madrasah di tempat yang harus dipuji dan memberi peringatan di tempat yang harus diberi peringatan supaya seseorang itu tidak leka dengan sistem di mana dia berada.
(petikan daripada buku Urdu Maulana Taqi: Islam dan Masalah Kehidupan Moden)