Sunday, September 5, 2010

Kembara Deoband 26: Qiyamulalil Di Masjid UIA Dan Darul Uloom

Semalam selepas terawih di surau dekat rumah saya pergi ke masjid UIA dengan niat untuk menghabiskan malam di sana. Dalam pukul sebelas lebih saya sampai. Di luar kelihatan kereta begitu banyak. Malam ini ramai pula yang datang. Mungkin kerana malam ganjil. Paling ramai orang Arab. Mereka datang berkeluarga. Suasana meriah dengan kanak-kanak. Tidak banyak yang berlari ke sana ke mari kerana malam sudahpun larut. Ramai di kalangan mereka sudahpun mengambil tempat tidur masing-masing. Tetapi ada yang membaca Al Quran kerana melihat bapa mereka membaca Al Quran. Hebatnya bapa yang dapat menanam semangat beribadah kepada anak-anak yang masih kecil itu. Kelibat pensyarah UIA juga ramai kelihatan mengambil sudut-sudut dan tempat-tempat kosong untuk beruzlah. Ada juga seorang yang menegur saya setelah hampir 20 tahun lebih berpisah di India. Dia juga datang untuk beriktikaf dari Taman Tun Dr Ismail. Beberapa tokoh pendakwah tanah air yang saya cam wajahnya juga mengambil kesempatan keemasan ini. Mereka ialah YB Syaari Sughaib, Ustaz Alias Uthman dan Ustz Hasanudin, salah seorang utusan Mavi Marmara ke Gaza tempoh hari. President taman saya juga datang bersama dengan familynya. Masing-masing sibuk membaca Quran, bersolat, bertafakkur dan berzikir. Jam 4 pagi solat tahajjud bermula. Ustaz Idris dari Morocco menjadi imam. Jam 5 pagi bersurai untuk bersahur. Hampir semua membawa bekal masing-masing. Ada yang makan bersama family. Ada yang makan bersama-sama dengan kawan-kawan. Saya keluar berjalan kaki ke kolej Ali untuk bersahur di kantin kerana kereta dah kena block di tempat parking. Suara Al Akh Idris mendayu-dayu mengikut rentak makna ayat. Kekusyukan ditambah dengan kemerduan suaranya. Terdapat beberapa perbezaan iktikaf di UIA dengan iktikaf di Darul Uloom.
1- Dari segi pakaian. Hampir semua yang beriktikaf di Darul Uloom berpakaian serba putih. Samada berjubah, berkurta pajama atau bersarong. Tiada yang memakai seluar. Di UIA beraneka ragam sesuai dengan latarbelakang kehidupan masing-masing. Tahukah anda Darul Uloom masih mengharamkan pemakaian baju seluar yang mereka panggil pant shirt kerana tasahbbuh dengan orang putih nasara!
2- Dari segi jantina. Semua muktakif adalah lelaki di Darul Uloom. Tiada wanita langsung. Malah tiada ruangan untuk wanita. Sememangnya masjid di Utara India tidak menyediakan ruangan untuk wanita bersolat kerana mereka berpendapat masjid wanita ialah di rumah. Namun saya ada mendengar berita tentang ada ruanagn untuk wanita di masjid di Universiti Aligarh. Di UIA jemaah wanita tidak kurang ramainya jika dibandingkan dengan lelaki.
3- Dari segi umur. Kanak-kanak jarang kelihatan. Kalau adapun mereka yang datang dari luar negara seperti England atau South Afrika. Itu fenomena di Darul Uloom. Di UIA ceria dengan suara kanak-kanak. Malah bayi juga dibawa bersama.
4- Dari segi masa. Rata-rata yang beriktikaf dari awal Ramadhan lagi. Mereka tidak akan keluar masjid sehinggalah habis Ramadhan. Ada yang solat raya di Darul Uloom. Ada yang terus pulang. Sebaliknya rata-rata mereka yang beriktikaf di UIA hanya di akhir 10 Ramadahan sahaja. Itupun hanya di sebelah malam sahaja. Sebab perbezaan kerana berbezanya zuruf kehidupan.
5- Dari segi adab. Beriktikaf di Darul Uloom penuh dengan adab. Masing-masing menjaga adab beribadat dan adab duduk dalam masjid. Jika tidak mereka akan ditegur oleh jiran sebelah. Mereka menjaga adab ketika membaca Al Quran. Adab memegang Al Quran. Adab tidur dsb. Di UIA adab-adab kurang dijaga. Ada yang bersembang berterusan. Ada yang melayari melihat internet dalam masjid. Ada yang meletakkan Al Quran di atas carpet ketika solat seperti mereka meletakkan buku-buku lain. Ada yang membaca Al Quran sambil membukanya dengan keadaan berbaring.
6- Dari segi sahur. Mereka bersahur bersama-sama di Darul Uloom dengan hamparan yang panjang. Mereka bersahur secara berjemaah. Sahur yang simple. Adab-adab makan sangat lah dijaga supaya mengikut sunnah. Tiada pembaziran. Sahur di UIA berselerak. Sisa-sisa makanan dilempar di sana-sini. Tong-tong sampah sarat dengan sampah sehingga termuntah keluar.