Tuesday, September 23, 2014

Anekdot Ulama 61: Ilmu dan Kemiskinan Imam Syafie

Diceritakan bahawa Imam Syafie seorang yang yatim dan miskin ketika kecil. Emaknya tidak memilki apa-apa untuk diberi hadiah atau upah kepada guru untuk mengajar anaknya. Namun dia dihantar juga untuk belajar di maktab atau madrasah untuk kanak-kanak.

Diceritakan juga bahawa Imam Syafie terlalu miskin sampaikan tidak dapat membeli kertas untuk menulis. Apabila beliau sudah menghafal Al-Quran beliau mula menghadiri majlis-majlis ilmu di masjid. Beliau hanya mampu mendengar sahaja kuliah tanpa dapat menulisnya kerana tidak memilki kertas. 

Apabila beliau menemui tulang di mana-mana jua beliau akan mengutipnya untuk menulis apa yang beliau ingati. Apabila tulang itu penuh ditulis beliau akan menyimpannya dalam bekas seperti tempayan sehingga kata Imam Syafie akhirnya aku memilki dua tempayan besar penuh berisi tulisan.
Bagaimana pula dengan kita di zaman yang serba ada kemudahan. Adakah kita menggunakan kemudahan tersebut untuk menambat ilmu???

Sunday, September 14, 2014

Kitab Hidayah Fekah Hanafi

Pertama kali saya membaca kitab "Hidayah" kira-kira 18 tahun yang lalu. Itupun kerana belajar dek menjadi silibus Darul Uloom tempat saya belajar. Semua orang kata kitab Hidayah ini hebat. Walaupun ia kitab fekah mazhab Hanafi tetapi semua orang alim yang mengetahuinya mengatakan ia hebat. Tidak terbayang bila pula saya akan dapat membuka kitab ini. Alhamdulillah malam tadi ada peluang membuka dan mengajarnya
.
Untungnya masa belajar dahulu sempat juga kumpulkan koleksi syarahnya samada Urdu maupun Arab. Syarah Urdu oleh Maulana Jamil dan Mufti Yusuf, Syarah Arab spt Binayah oleh Aini dan Fathul Qadir oleh Ibnu Hummam.


Semasa belajar dahulu, biasalah zaman student, bukanlah tekun mana. Belajar sekadar menghabiskan silibus. Banyak benda tidak tahu tentang kitab ini walaupun pernah belajar.

Dalam mukadimah oleh Allamah Abd Hayie Lucknowi ditulis bahawa pengarang kitab ini yang terkenal dengan gelaran "Marghinani" mengambil masa 13 tahun untuk menyiapkan kitabnya yang dikatakan unik ini. Yang lebih hebat lagi ialah beliau berpuasa sepanjang mengarang kitab tersebut. Malah beliau menyembunyikan puasa beliau daripada pengetahuan orang walaupun khadamnya sendiri Itulah mungkin kehebatan sebenarnya kitab Hidayah ini. Pengarangnya menulis dengan penuh taqarrub kepada Ilahi. Itulah yang dikatakan "Hidayah", "Petunjuk" yang mengetuk kealpaan setiap orang yang membuka lembarannya.

Itulah bezanya kita dengan orang dahulu. Mereka mencari kekuatan menulis dengan beribadat. Itulah sebenarnya motivasi mereka.

Hal inilah yang yang menjadikan saya tefikir-fikir sepanjang membaca kitab ini kepada sahabat-sahabat Basooir malam tadi. Betapa kuatnya rohani ulama terdahulu dan betapa kuatnya ilmu mereka. Sampai sekarang kitab mereka dibaca berserta doa yang setiasa dipanjangkan oleh para pembacanya kepada penulisnya. Semoga Allah memasukkan kita bersama golongan yang mukhlisin kepada agamanya. Ameen.

Tuesday, September 9, 2014

Anekdot Ulama 60: Dr Muhammad Abd Hayie Arifi


Membaca sebuah buku tentang riwayat hidup seorang murabbi ulama Deobandi Dr Abd Hayie Arifi dan singgah pada cerita bahawa beliau meninggal kerana sakit perut. Maka diceritakan pula bahawa beberapa orang di kalangan ulama Deoband yang lain juga meninggal dunia kerana masalah sakit perut. Antaranya Haji Imdadullah, Maulana Ashraf Ali Thanawi dan Maulana Rashid Gangohi. Kesemua mereka sheikh tasawuf ulama Deoband. Penulis mengemukakan sebuah hadith riwayat Bukhari tentang kelebihan orang yang meninggal dunia disebabkan masalah perut seumpama orang yang mati syahid.
المَبْطُونُ شَهِيدٌ "Orang yang meninggal kerana sakit perut adalah seperti orang yang mati syahid" ertinya ada ganjaran yang mereka perolehi termasuk dalam ganjaran orang yang benar-benar mati syahid walaupun tidak semua.
(Al-Balagh, Bayan Arif Billah Hazrat Maulana Dr Muhammad Abd Hayie Arifi, m/s 22-23).

Tuesday, September 2, 2014

Kitab Madkhal Maulana Abul Hasan Ali An Nadawi

Hari ini saya masih mengemas kitab di rak buku kerana semasa buat studio Basooir hari itu banyak kitab dipindahkan dan diletakkan dimerata-rata tempat.Oleh kerana sukar mencari kitab untuk rujukan terpaksalah saya kutip semula dan susun mengikut subjek. Tiba-tiba saya menemui sebuah kitab kecil dalam bahasa Urdu tentang "Pengenalan kepada pengajian ilmu Hadith" oleh Maulana Abul Hasan Ali An Nadawi. Kitab ini adalah kitab terjemahan daripada kitab asalnya dalam bahasa Arab berjudul "Al-Madkhal ila Diraasaat al-Hadith al-Nabawi al-Syarif". Saya pernah membacanya suatu ketika dahulu tetapi terasa seolah-olah macam belum lagi membacanya. Saya meletakkannya berasingan kerana berhasrat untuk membaca prakata dalam buku tersebut semula selepas berkemas. Bila selesai menyusun kitab saya mengambilnya dan cuba membaca mukadimahnya sampai habis.

Mukadimah yang ditulis oleh Bilal Abd Hayie Hasani itu sangat menyentuh perasaan. Selama ini Maulana Abul Hasan hanya dikenali sebagai tokoh Sastera Arab dan juga pemikir Islam. Jarang mengetahui beliau seorang yang alim dalam ilmu tafsir dan hadith.

Diceritakan bahawa semasa beliau belajar ilmu hadith secara talaqqi dengan gurunya Maulana Haider Hasan Khan, Maulana Abul Hasan menggunakan manuskrip yang amat unik kerana tidak ada orang yang memilki kitab yang sedemikian unik. Kitab itu adalah warisan daripada keluarganya. Kitab itu berasal daripada Maulana Qutubul Huda Hasani yang merupakan anak murid kepada Shah Abd Aziz Dehlawi (1745- 1823). Maulana Qutubul Huda Hasani menyalin kitab itu daripada gurunya Shah Abdul Aziz. Beliau juga mencatat nota-nota penting (hawashi) daripada kuliah gurunya. Kemudian kitab ini digunakan oleh bapa Maulana Abul Hasan iaitu Maulana Abdl Hayie Lucknowi ketika beliau bertalaqqi dengan gurunya Sheikh Husein Arab. Beliau juga menulis hawashinya sendiri. Apabila tiba giliran Maulana Abul Hasan mengaji Tirmizi abang beliau Dr. Sayyid Abd `Aliy Hasani memberikan kitab itu kepada beliau untuk digunakan sebagai teks pengajian. Maulana juga menulis hawashi ke atas kitab Tirmizinya itu.


Maulana Abul Hasan juga sempat mengajar ilmu hadith di Nadwatul Ulama. Beliau pernah mengajar kitab-kitab hadith yang besar termasuklah Tirmizi dan Bukhari. Maulana juga banyak menulis mukadimah kepada kitab-kitab syarah hadith seperti kitab-kitab syarah hadith yang ditulis oleh Maulana Zakariya Kandahlawi.

Dalam kesibukan hidupnya Maulana tidak pernah mengabaikan membaca kitab hadith. Di akhir hayatnya Maulana menjadikan kegiatan rutin mendengar bacaan kitab Bukhari yang dibacakan kepadanya. Kadang-kadang menyebut nokhtah-noktah penting daripada hadith yang didengarinya itu.

Kitab "Madhal ila Dirasat al-Hadith al-Nabawi al-Syarif" ini dikarang diakhir hayat beliau iaitu kira-kira empat atau lima tahun sebelum beliau meninggal dunia.

Semoga Allah menjadikan kita seperti Maulana Abul Hasan yang istiqamah dengan ilmu hingga ke akhir hayat. Itulah dia akhlak kecintaan kepada ilmu pengarang kitab Qisasun Nabiyyin, Qiraat Rashidah dan Mukhatarat Adab Arabi yang digunakan oleh Basooir.