Thursday, May 31, 2012

Huffaz Hadith India - 2

12-Husain b. Muhsin  Khazraji Ansari (d.1328H/1910). Beliau dikatakan  menghafal kitab Fathul Bari walaupun tidak sepenuhnya.
13-Fariduddin Kakurawi (d.1335H/1916). Beliau hampir menghafal Sahih Bukhari sepenuhnya.
14-Qadir Bakhs Sahsarami (d.1337H/1918). Beliau banyak menaqalkan hadith-hadith Sihah Sittah secara lisan dan menyebut hadith-hadith Sahih Bukhari berserta sanadnya melalui hafalannya. Beliau juga mengingati banyak potongan syarah Fathul Bari, Umdatul Qari dan syuruh yang lain.
15-Abdul Wahab Dharir (d.1338H/1920). Beliau seorang hafiz Al Quran dan banyak menghafal hadith. Berasal daripada Sahawar Aligarh.
16-Badaruddin b. Sharifuddin  Pulwarawi (d.1343H/1924). Keturunan Ja`far b. Abi Talib. Disifatkan sebagai "hafizul hadith".
17-Dr Barakatullah Bhopali (d.1346H/1927). Beliau seorang hafiz Al Quran dan Sunnan Sittah. Meninggal di California.
18-Sayyid Muhammad Amin Hasani Nasirabadi (d.1349/1930). Beliau menghafal Sahih Bukhari dan Muslim dan Asma Rijal.
19- Sayyid Anwar Shah Kashmiri (d.1351H/1932). Beliau mengingati beribu-ribu karya hadis termasuklah makhtutat (manuskript) samada matan, sanad berserta jarah wa ta`dil. Diceritakan berlaku perdebatan antara Deobandi dan Ahli Hadith di India. Anwar Shah mencabar rakannya daripada Ahli Hadith agar membaca helaian hadith2 Bukhari secara hafalan kepadanya jika benar dia mendakwa bahawa dia Ahli Hadith. Rakannya daripada Ahli Hadith menjawab kalau kamu mampu lakukanlah. Lantas beliau membacanya melalui hafalannya bermula dengan hadis pertama tanpa henti-henti sehinggalah terpaksa diberhentikan apabila dia telah membaca sampai 30 helai hadith Bukhari cetakan India yang besar itu.
20-Sayyid Badru Ali Shah (d.1354H/1935). Beliau menghafal Sahih Bukhari dan hadith-hadith yang lain.Murid Muhadith Fadhlu Rahman Ganj Muradabadi.
21-Abdul Tawwab b. Abdul Wahhab Ghaznawi. Masih hidup dalam tahun 1356H/1937.  Hidup sezaman dengan penguasa Bhopal yg juga seorang muhadith, Siddik Hasan Qanuji Bhopali. Beliau banyak menghafal hadith. Malah cuba menghafal Sahih Bukhari bila diadakan pertandingan oleh Siddik Hasan Qanuji Bhopali yang menjanjikan hadiah lumayan bagi siapa yg berjaya menghafalnya. Namun Siddik Hasan meninggal dunia terlebih dahulu sebelum Sheikh menyelesaikan hafalannya.
22-Muhammad Muhiyuddin Qadiri Pulwarawi (d.1366H/1946). Beliau banyak menghafal hadith dan mahir mentaufikkan hadith-hadith yang kelihatan bercanggah.
23- Sayyid Abul Khair Barq Hasani (d.1390H/1970) Beliau menghafal kesemua Muwatta` berserta sanadnya dan sebahagian besar Sahih Muslim.
24-Ma`mar Abdullah Khanpuri Lahori (d.1415H/1994). Beliau menghafal beribu-ribu hadith berserta sanadnya.
25-Dr Sayyid Mahmud Qadiri. Masih hayat ketika pengarang (Ustaz Faisal Ahmad Batkali) menulis artikel ini. Beliau pernah menemuinya di Selatan India di mana ketika itu umur Dr dalam lingkungan 50an. Beliau seorang doktor perubatan. Beliau menghafal kitab Mishkat Masabih dan mengajar kitab tersebut bergantung kepada hafalannya semata-mata.

Wednesday, May 30, 2012

Huffaz Hadith India -1

Berikut ialah 25 orang tokoh ulama India yang dicatatkan dalam kitab-kitab ulama India bahawa mereka menghafal berbagai-bagai kitab-kitab hadith.
1- Nizamuddin Aulia Dehlawi (d.725H/1324). Beliau menghafal kitab Mashariq Anwar yg mengandungi sebanyak 2,024 hadith. Kitab ini merupakan kitab hadith yg masyhur digunakan di zaman beliau. Beliau juga menghafal 40 maqamat drp kitab Maqamat Hariri, sebuah kitab Adabul Arabi/Sastera Arab.
2-Fakhrudin Razi (d.748H/1347). Beliau adalah anak murid Nizamuddin Aulia. Beliau menghafal banyak hadith-hadith Bukhari dan Muslim. Dikatakan apabila berbicara secara spontan dapat mengeluarkan dalil-dalil hadith Bukhari dan Muslim.
3-Ahmad Hasan Balkhi (d.891/1486) terkenal dgn gelaran Lankar Darya. Beliau menghafal kitab hadith Masabih oleh Baghawi dalam masa 6 bulan.
4-Abdul Malik Abbasi Ahamdabadi (d.970an/1562). Beliau menghafal Sahih Bukhari dan mengajarnya   tanpa menggunakan kitab Begitu juga dengan Al Quran.
5-Daud Mishkati Kashmiri (d.1097H/1685). Beliau menghafal kitab Mishkat Masabih. Oleh yg demikian beliau terkenal dengan gelaran Mishkati.
6-Muhammad Farkh (d.1122H/1710) b. Muhammad Said b. Mujaddid Alf Sani Ahmad b. Ahad Faruqi (1034H/1624). Beliau menghafal 70 ribu hadith berserta dgn sanad dan  jarah wa ta`dil.
7-Sayyid Abdul Jalil Husaini Balghrami (d1138/1725). Beliau menghafal kamus Muhith Fairuzabadi keseluruhannya. Banyak menghafal hadith, tarikh, syair dan rijal.
8-Sayyid Murtadha Zabidi (1205H/1790). Beliau mengimla`kan hadith berdasarkan kpd ingatannya dan mengajar hadith juga berdasarkan ingatannya.Ketika beliau berrhijrah ke Mesir ramai ulama datang mengambil hadith daripada beliau. Mereka mengkagumi kekuatan ingatan beliau.
9-Zuhurul Haq Fulwarawi Bihari (d1234H/1818). Beliau menghafal kitab Buhari Muslim dan Hisnul Hasin.
10-Muhammad b. Ismail b. Abd Ghani b. Shah Waliyullah (d.1246H/1830). Beliau menghafal 30 ribu hadith.
11. Rahmatullah Ilahabadi (d.1293H/1876). Beliau seorang buta dan menghafal kesemua Sunan Sittah.
.
Bersambung....
(Tarikh kematian masihi adalah secara anggaran kerana hari dan bulan hijrah tidak diberikan)
(Dipetik drp. majalah Ba`th Islami (البعث الإسلامي) simpanan peribadi, cetakan Nadwatul Ulama Lucknow India, April 1999, m/s53 dgn pindaan. Artikel oleh Ustaz Faisal Ahmad Batkali Nadwi)
 

Thursday, May 24, 2012

Wasiat Shah Waliyullah ttg Quran dan Hadith

Berikut adalah pesanan Shah Waliyullah berkenaan dgn Quran dan Hadith:
1-Hendaklah kamu berpegang kpd Kitab dan Sunnah (Quran dan Hadith) dgn kuat sekuat-kuatnya dalam bab akidah dan ibadat.
2-Hendaklah kamu sentiasa mentadabburi Quran dan Hadith.
3.Hendaklah kamu membaca satu hissah drp keduanya setiap hari.
4. Jika kamu tidak ada kekuatan membacanya carilah seseorang yang akan membacakan terjemahannya untuk kamu walaupun satu helai.

( Dipetik drp kitab Tafhimat Ilahiyyah ( التفهيمات الإهية ) yg ditulis oleh Shah Waliyullah dlm bahasa Arab bercampur Parsi, p.240. Wasiat ini ditulis dlm b. Parsi).

Mazhab Shah Waliyullah

Sebuah manuskrip Sahih Bukhari kepunyaan anak murid Shah Waliyullah (d.1176/1763) yang bernama Muhammad b. Pir Muhammad b. Sheikh Abi Al Fath ditemui di perpustakaan Khuda Bakhs di negeri Bihar, India. Di bahagian akhir Sahih Bukhari tersebut terdapat kenyataan ijazah hadith yang ditulis sendiri oleh Shah Waliyullah yang dimulakan dengan catatan sanadnya sehingga Imam Bukhari.  Muridnya itu juga menyatakan bahawa beliau tamat mempelajari Sahih Bukhari dengan gurunya itu pada tanggal 6 Syawwal 1159H (21 October 1746) berdekatan dengan sungai Jamna di Masjid Jami` Fairuzi. Kalimah akhir yang dilakarkan oleh Shah Waliyullah itu memaparkan mazhabnya dari sudut akidah, fekah dan tasawwuf.
العمري نسبا، الدهلوي وطنا، الأشعري عقيدة، الصوفي طريقة، الحنفي عملا، والحنفي  
الشافعي تدريسا، خادم التفسير والحديث والفقه والعربية والكلام.....23 شوال 1159هـ

Umari- dari segi nasab (keturunan Umar ra)
Dehlawi - dari segi watan (tinggal di Delhi)
Ashari - dari segi akidah (bermazhab Ashariah)
Sufi - dari segi tarikat kerohanian
Hanafi- dari segi mazhab (mazhab yg diamalkan)
Hanafi Shafie- dari segi pengajaran (tidak terikat kpd mazhab ketika mengajar dan menulis. Merajihkan apa yang rajih tetapi hanya berpegang kpd Hanafi dari segi amalan. Hal ini juga diwarisi oleh  sesetengan ulama Deoband)
Khadim kpd ilmu tafsir, Hadith, Fekah, B. Arab dan Ilmu Kalam.

Di bawah tulisan ini terdapat pengesahan oleh anak Shah Waliyullah iaitu Shah Rafiuddin (d.1233/1817) dgn katanya "Tidak dpt diragukan lagi tulisan di atas adalah tulisan ayahandaku".

(Dipetik drp: Muqadimah kitab Rahmatullah Al Wasiah (رحمة الله الواسعة) Syarah Urdu Hujatullah Balighah (حجة الله البالغة) oleh Muhadith Maulana Said Ahmad Palanpuri, p.51)

Monday, May 14, 2012

Anekdot Ulama 42: Ahmad b. Mani` dan Quran

Ahmad b. Mani`(160-244H) (أحمد بن منيع) mengatakan  bahawa dia membaca Al-Quran setiap hari dan mengkhatamkannya setiap tiga hari selama 40 tahun. Beliau adalah murid Abu Yusuf (fuqaha hanafi dan murid Imam Abu Hanifah). Semua kutub sittah meriwayatkan hadis beliau dgn tahap periwayatan masing-masing. Ilmunya setanding dengan Imam Ahmad b. Hanbal. Mempunyai kitab hadith iaitu  Musnad Ahmad b. Mani`. Mengikut Ibn Hajar banyak juzuk Musnadnya telah hilang.

(Tahzib Al Tahzib, Nawadir Imam Kashmiri, p24)

Thursday, May 10, 2012

Anekdot Ulama 41: Umur 18 tahun Sudah Menulis Buku Ekonomi

Maulana Taqi Usmani dikelilingi oleh kehidupan alim ulama semenjak kecil lagi. Apabila ayahandanya berpindah ke Pakistan setelah penubuhan Pakistan turut bersama beliau berhijrah adalah ulama-ulama yang masyhur seperti Maulana Yusuf Binori (pengarang Maarif Al Sunan) dan Maulana Zafar Ahmad Usmani (pengarang `Ila` Al Sunan). Daipada semenjak awal penubuhan Pakistan alim ulama negara ini mula memikirkan tentang perlunya mengislahkan sistem perbankan riba yang sedia ada kepada bersih daripada riba. Antara mereka yang mengusulkan cadangan ini ialah ayahdanya sendiri Maulana Mufti Syafi`, Maulana Zafar Ahmad Usmani, Maulana Yusuf Binori, Maulana Mufti Rashid Ahmad, Maulana Abdul Shakur Tirmizi, Maulana Mufti Wali Hassan dan Maulana Shamsul Haq Afghani.

Berbagai-bagai cara mereka perjuangkan. Daripada serendah-rendah usaha kepada setinggi-tingginya. Daripada menulis artikel hinggalah melibatkan diri dalam mengatur struktur birokrasi kerajaan agar menjadi Islamik. Ayahanda Maulana Taqi sendiri telah menulis sebuah buku yang mengumpulkan dalil-dalil daripada Quran dan Hadith ttg haramnya riba yang diberi judul "Masalai Sud" (Masalah Riba) sebagai jawaban kpd golongan yg menghalalkan riba perbankan. Beliau kemudiannya mengarahkan Maulana Taqi menyambung tulisannya itu dengan buku yang lain yg diberi tajuk "Tijarati Sud" (Perniagaan Riba). Waktu itu Maulana Taqi hanya berumur 18 tahun.

Daripada buku inilah bermulanya bibit-bibit ketokohan Maulana dalam bidang ekonomi Islam sehingga menjadikan beliau antara tokoh yang dijadikan rujukan di peringkat nasional maupun antarabangsa.

(Ghair Sudi Bankari, p3, Mufti Taqi Usmani)

Wednesday, May 9, 2012

Buku: Nawadirat Imam Kashmiri

Muhadith Maulana Anwar Shah Kashmiri (1875-1933) merupakan tokoh ulama Deoband yang tekenal dengan jolokan sebagai "perpustakaan bergerak" kerana mempunyai daya ingatan yang kuat dan menguasai berbagai cabang ilmu yang diibaratkan sebagai sebuah perpustakaan tempat alim ulama membuat rujukan di kala hayatnya. Nokhtah-nokhtah penting pengajaran hadithnya dalam kelas dicatatkan oleh anak-anak murid beliau. Maka lahirlah kitab-kitab seumpama Faidhul Bari, Anwarul Bari, Urfu Shazi, Anwarul Mahmud, Maariful Sunan, Nutq Anwar, dan Malfuzat Muhaddith Kashmiri yang dianggap sebagai hanya secebis daripada ilmu Allamah Kashmiri.

Antara kitab terbaru yang mengumpulkan tahqiq, aqwal, tafarrudat dan ifadat Allamah Kashmiri itu ialah kitab "Nawadirat Imam Kashmiri" yang ditulis oleh anak beliau sendiri Almarhum Maulana Anzar Shah Kashmiri (1927-2008, 81 tahun) yang juga penulis buku Nuqush Dawami, sebuah buku biography ttg Allamah Kashmiri. Semasa hayatnya Maulana Anzar Shah  mengajar kitab Bukhari jilid pertama (Bukhari cetakan India dibahagikan kepada 2 jilid). Fokus pengajarannya ialah menjelaskan dan menghuraikan buah fikiran ayahandannya. Kitab Nawadirat ini ialah hasil daripada pengumpulan maklumat-maklumat tersebut. Ia merakamkan lebih daripada 200 pendapat Anwar Shah yang ganjil diselitkan dicelah-celah pengajaran hadith-hadith Bukhari daripada bab muqadimah ttg Bukhari hinggalah Kitab Ilmu. Buku ini setebal 376 mukasurat dan dicetak oleh  Jamiah Imam Anwar, Deoband, dibawah kelolaan Sayyid Ahmad Khidir Shah, anak Maulana Anzar Shah iaitu cucu Allamah Anwar Shah.

Tuesday, May 8, 2012

Kembara Deoband 45: No 7 Ihata Bagh

Bilik No 7, Ihata Bagh menjadi rebutan di kalangan pelajar foreigner. Bilik ini agak selesa sedikit. Tidak pernah termimpi saya akan mendiaminya suatu hari. Ini kerana yang membiayai hostel ini ialah orang-orang Islam dari South Afrika dan England. Oleh itu pelajar merekalah yang menguasai bilik-bilik ini. Tapi takdir Allah menentukan saya dapat tinggal di bilik ini setelah keluarnya pelajar dari England bernama Abdullah yang pada ketika itu baru selesai pengajian Ifta iaitu kelas latihan memberikan fatwa.

Saya bertuah bukan kerana dapat mengecapi keselesaan bilik itu. Malah yang paling utama ialah ttg keberkatan bilik tersebut. Bilik itu telah menambahkan kepada saya sumber memperolehi ilmu. Saya tidak mempunyai duit yang cukup untuk membeli buku-buku apa lagi melanggan majalah dan suratkhabar. Walaupun saya tidak melanggan sebarang bahan bacaan tetapi setiap bulan bermacam-macam bahan bacaan di hantar oleh posman ke bilik saya yg baru ini. Rupa-rupanya mereka yang pernah tinggal di bilik ini banyak melanggan bacaan luar. Walaupun mereka telah tiada, pihak penerbit majalah tetap sahaja menghantarnya. Mungkin mereka berniat menghantarnya untuk tujuan dakwah, bukan berniaga semata-mata. 

Bilik No 7, Ihata Bagh inilah yang telah memperkenalkan kepada saya majalah Arab seperti Al Ba`thu Al Islami terbitan Nadwatul Ulama Lucknow, Sautul Ummah terbitan madrasah Ahlu Hadith Banaras. Begitu juga akhbar Al Ra`id juga terbitan Nadwatul Ulama Lucknow. Saya amat mengkagumi usaha mereka. Dalam kesusahan hidup miskin, serba kekurangan dari segi fasiliti dgn pembaca yang terhad dalam lingkungan komuniti madrasah sahaja mereka berjaya menghidupkan majalah dan akhbar berbahasa Arab itu.

Sunday, May 6, 2012

Buku: Balada Pyanhabib, Anak Apak dan Mu`jam Tasrif

Pameran buku antarabangsa berakhir semalam tanggal 6 Mei. Dalam pukul tiga setengah saya bertolak dari rumah. Pukul 4 sampai di hentian Putra. Susah untuk mendapatkan tempat parking kerana ramai yang ingin mengambil kesempatan hari terakhir pameran buku. Setelah meneliti hampir kesemua boot pada hari sebelumnya, saya mengambil keputusan utk membeli 3 buah buku sahaja di samping 2 buah buku utk Ziyad dan Zuhair. Buku-buku itu ialah Balada Pyanhabib, Anak Apak dan Mu`jam Tasrif Afal Arabiyyah.

1-Balada Pyanhabib ialah koleksi puisi-puisi penyair Pyanhabib. Buku ini dikeluarkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan dilancarkan pada ptg hari tersebut. Saya sempat mendengar Pyanhabib dan beberapa tokoh sastera yg lain mendeklamsikan puisi masing-masing. Bagi yang sudah lama bersama dgn Pyanhabib mereka turut menceritakan beberapa pengalaman terutama ttg pengalaman mereka bersama Pyanhabib dalam persatuan karyawan "Anak Alam" sekitar tahun 70an. Saya bukan seorang yang puitis. Ketika belajar di Darul Uloom Deoband saya didedahkan dgn bahasa-bahasa puitis Urdu, Parsi dan Arab. Hampir kesemua Maulana menyulamkan pengajaran mereka dalam kelas dengan keratan-keratan syair yang indah-indah. Kadang syair Urdu, kadang syair Parsi dan kadang syair Arab. Malah ada di kalangan mereka mempunyai nama Pena sebagai penyair. Mereka juga kritis terhadap syair. Bekas Mufti Pakistan, Maulana Mufti Syafi` misalnya pernah mengkritik syair Iqbal sebagai kurang selamat daripada segi dini jika dibandingkan dengan syair Akbar Ilahabadi. Namun syair Iqbal lebih memberi kesan (ta`thir) kpd pendengar yang menurut anak Mufti Syafi` iaitu Mufti Taqi Usmani mungkin kerana perbezaan uslub penyampaian. Menurut beliau Akbar Ilahabadi byk menggunakan uslub "ta`ridh" yg kurang memberi kesan untuk pengislahan masyarakat. Mereka juga membaca Dewan Ghalib, koleksi Mirza Assadullah Beg Khan (1797-1869), pujangga Urdu India terulung. Selain syair Urdu, syair-syair Parsi juga menjadi kebiasaan ulama Deoband. Sekurang-kurangnya mereka telah mempelajari syair2 Gulistan dan Bustan Sa`di semenjak awal pendidikan lagi. Dari segi tasawuf peringkat tinggi mereka menerokai keindahan puisi Mathanawi Jalaluddin Al Rumi. Guru Mufti Syafi`, Allamah Muhaddith Anwar Shah Kashmiri sendiri amat peka dengan syair-syair Arab. Beliau mempunyai kemampuan untuk membezakan kefasihan dan kebalaghahan tulisan Mutannabi, Hariri, Hamdani dsb. Malah dia sendiri byk menulis syair Arab. Penyair mempunyai deria maknawi yg peka. Kebanyakkan penyair menyelongkar kesemua anjung yg mereka pandang menyebabkan kalam mereka bercampur aduk di antara bicara ttg keadilan, kemiskinan, keindahan, kemanusiaan, dengan kalam ttg perempuan, arak, berahi, duka nestapa, kekecewan etc. Adakah puisi Pyanhabib termasuk dalam kelompok nasi campur ini. Sambil berjenaka ketika mengulas Balada Pyanhabib yg bertajuk Taman, Prof. Siti Zainon yg juga rakan "Anak Alam" seangkatan dgn Pyanhabib, mengejutkan saya dgn kata-kata, "Porno juga Pyanhabib nih!!!!" apabila beliau melalui rangkap Baladanya yang berbau sedemikian. Membaca dan meriwayatkan syair-syair sebegini adakah salah. Hal ini telah dijawab dgn panjang lebar oleh, Sheikh Abdul Qahir Jurjani (the father of Ilmu Balaghah) dlm kitab beliau Dala`il al `Ijaz.

2-Anak Apak ialah sebuah memoir wartawan Subki Latif. Buku ini juga dilancarkan pada hari yang sama sebaik sahaja selepas majlis pelancaran buku Pyanhabib. Saya tidak berganjak dari majlis itu. Terus sahaja memasang telinga mendengar bedahan buku beliau itu. Pak Subki menceritakan bagaimana beliau boleh terlibat dlm bidang kewartawanan padahal cita-citanya adalah menjadi Tok Guru seperti ayahnya dan begitulah ayahnya menaruh harapan agar dia akan menjadi anak apak (anak bapa) mewarisi ilmu dan tugasnya di Manjung. Ayahnya pernah belajar di India. Pak Subki memang tidak asing dalam dunia penulisan akhbar terutama akhbar Harakah. Namun sebelum itu Pak Subki telah bekerja dgn Utusan selama 11 tahun, kurang separuh drp Pyanhabib iaitu selama 23 tahun. Semasa di India saya suka membaca buku-buku memoir. Dengan membaca buku-buku memoir kita boleh mengetahui ttg keadaan dan fenomena zaman yg dilakarkan daripada sudut yg pelbagai. Memoir yang saya kagumi ialah kisah Muhammad Asad memeluk Islam yg dirakamkan dalam bukunya The Road to Mecca. Buku-buku Kushwant Singh juga saya gemari kerana ia menceritakan ttg keadaan masyarakat majmuk India semasa British dan di awal-awal kemerdekaan.Tak kurang juga memoir ulama-ulama Deoband spt Ap Beti oleh Maulana Zakariya dan seumpamanya spt Sawanih Qasimi berkenaan dgn Maulana Qasim Nanutawi, Tazkirah Rashidiyah berkenaan dgn Maulana Rashid Ahmad Gangohi, Al Balagh Terbitan Khas berkenaan Mufti Syafi,  dan Dr Abd Hayi Arifi,  5A, Zeldar Park Maulana Maududi ki Asri Majalis ttg Maulana Maududi, Rozgari Faqir tentang pujangga Islam Allamah Iqbal dsb.

3- Mu`jam Tasrif Afal Arabiyyah ditulis oleh Anton Dahdah, seorang kristian Lebnon, juga penulis buku Mu`jam Qawaid Al Lughah Al Arabiyyah, sebuah buku nahu secara berjadual yang tidak asing lagi di kalangan peminat nahu. Amat menakjubkan kerana beliau adalah bekas prajurit dan juga bekas duta Lebnon di Brazil. Menghasilkan banyak buku-buku Arab berbentuk mu`jam. Buku ini amat berguna kerana ia menghuraikan tasrif dlm bentuk jadual. Mudah dilihat dan dibuat perbandingan antara suatu sighah dgn sighah yg lain. Ia menghilangkan kekusutan terhadap jalaran sighah yang banyak dan komplikated . Antara kelebihannya juga ialah, kerana ketelitian dalam pengeditan, kebarangkaliannya yg besar sunyi daripada kesalahan penandaan baris yg biasa berlaku kpd kebanyakan buku-buku ilmu saraf. Wazan-wazan kata kerja yang diberikan adalah komprehensif melebihi 16 ribu kata kerja. Kesemua wazan yg dicatatkan itu diambil drp pelbagai kitab samada drp sumber turath maupun modern.

Friday, May 4, 2012

Buku: Nuqushi Raftgan

Buku "Nuqushi Raftgan" dalam bahasa Urdu ini ditulis oleh Maulana Taqi Usmani, (Nuqush: Kesan Peninggalan, Raftgan: Mereka yg Meninggal Dunia). Ia adalah biography ringkas tentang 70 orang lebih individu yang meninggal sekitar tahun 1969 hingga 2002 yg mempengaruhi  kehidupan beliau samada melalui perhubungan secara langsung dgn beliau atau tidak langsung. Majoriti mereka adalah ulama (spt Maulana Qari Tayyib, Maulana Zakariya Kandahlawi, Maul. Yusuf Binori, Maul. Abd Majid Daryabandi, Maul. Masihullah Khan, Maul. Manzor Nu`mani, Maul. Zafar Ahmad Usmani, Maul. Mufti Syafi`, Mufti Wali Hasan, Maul. Abul Hasan Ali Nadwi etc). Namun terdapat juga beberapa individu bukan agamawan yang disebut oleh beliau seperti negarawan (spt President Jeneral Ziaul Haq dan Raja Malik Faisal), ahli akedemik (spt Professor Mohd Shamim dan Prof. Muhammad Ayyub), wanita (spt isteri Maulana Asraf Ali Thanawi dan ibu Maulan Taqi sendiri) dan tokoh perundangan (spt Hakim Karimullah Darani). Buku ini sebenarnya adalah koleksi artikel Maulana yang ditulis dalam majalah "Al Balagh". Kebanyakannya ditulis setelah kematian individu tersebut sebagai memperingati jasa mereka ketika hayat. Seperti biasa kebanyakan tulisan Maulana dalam majalah "Al Balagh" akan diterbitkan dalam bentuk buku oleh murid-murid beliau mengikut pengketogorian jenis bidang penulisan apabila kumpulan artikel beliau didapati sesuai dijadikan buku. Buku ini di samping memperlihatkan akhlak indah individu-individu ternama ia juga menghidangkan kepada pembaca ttg sumbangan dan jerih payah mereka dalam memajukan Islam dalam bidang masing-masing. Buku ini setebal 478 muka surat dan dicetak oleh Maktabah Ma`riful Quran Karachi dgn edisi baru tahun 2007.