Sunday, January 25, 2015

Kitab 34: Khatam Kitab Muqadimah Abd Haq Dehlawi

Alhamdulillah saya dan empat orang pelajar Basooir Subang sempat khatam kitab mustalah hadith "Muqadimah Abd Haq Dehlawi". Kami bermula pada 11 Oktober 2014 dan pada hari Sabtu tanggal 24hb Jan 2015 ia tamat dipelajari. Hampir 3 bulan lebih. Ini adalah kitab yang ketiga bagi pelajar Basooir Subang khatam bermula dengan Taisir Mustalah Hadith Dr Mahmud Tahhan dan kemudian Matan Manzumah Baiquniah.
Di antara metodologi yang kami gunakan semasa mempelajari kitab ini ialah:

1-Membaca keseluruhan kitab dari mukadimahnya oleh Maulana Salman sehinggalah akhir ayat kitab.

2-Membaca dan menghuraikan hampir kesemua hasyiah kitab yang ditulis oleh Maulana Salman An Nadawi.
3-Setiap pelajar akan membaca teks secara bergilir-gilir untuk memastikan bacaannya betul. Ini adalah salah satu kaedah untuk mengaplikasikan kaedah nahu dan saraf yang telah dipelajari.
3.Membandingkan naskah Muqadimah yang pelbagai dengan menjadikan cetakan baru keluaran Nadwatul Ulama Luknow India sebagai teks pengajian. Kami dapati cetakan baru ini tersangat banyak kesalahan cetakan. Cetakan Syria yang lama lebih kemas. Kami berhasrat untuk mengajukan kesilpan-kesilapan tersebut kepada pihak percetakan Nadwatul Ulama walaupun kemungkinan mereka sudahpun mengenalpastinya sebagai tanda penghargaan kepada usaha murni pihak Nadwah dalam mengeluarkan kitab ini.
4. Lima buah kitab muqadimah Abd Haq dijadikan perbandingan di mana salah satunya adalah syarah ringkas oleh Jafar Alam.
3. Kebiasaanya kelas bermula jam 11 pagi dan berakhir jam1 tengahari setiap hari Sabtu. Selepas zohor sehingga Asar kami mempelajari kitab Balaghah "Talkhis Miftah" oleh Khatib Qazwini.

Post ini bukanlah bertujuan untuk mengiklankan berapa banyak kitab sudah dikhatamkan. Ia bertujuan sebagai galakan kepada kita semua agar menggunakan waktu dengan betul jika meminati mempelajari ilmu-ilmu Islam. Ikut disiplin ilmu yang betul juga harus diutamakan. Contohnya bermula dengan kitab bawah kemudian barulah kitab yang tinggi-tinggi. Jangan gopoh untuk jadi alim. Bermulalah dgn bahasa Arab. Nahu dan Saraf biar agak kemas sedikit kalaupun tidak sampai jadi pakar. Sekali seminggu tidak mengapa asalkan istiqamah. Alhamdulillah 4 orang pelajar Basooir ini bukan daripada jurusan agama tetapi sekarang mereka sudah mempunyai kelayakan untuk belajar agama menggunakan kitab Arab itu sendiri. Kalau mereka rajin tentunya mereka akan lebih alim daripada Ustaz yang mengajar itu sendiri.