Wednesday, April 28, 2010

Anekdot Ulama 32: Hafiji Na Bina

Berdekatan dengan main gate Darul Uloom ada sebuah kedai buku kecil. Ia terletak di lorong laluan saya untuk pulang ke rumah sewa. Pendek kata setiap hari saya harus melintasi kedai usang itu. Kedainya walaupun kecil dan tidak banyak buku yang dijual ia sentiasa dikunjungi orang. Kebanyakannya student Darul Uloom. Kadang-kadang guru-guru Darul Uloom juga singgah di situ. Walaupun tak banyak buku tetapi ramai yang membeli daripada kedai itu secara pos. Buku-buku diambil daripada kedai lain jika tiada. Kedai itu dimiliki oleh seorang yang buta. Di Deoband dia dipanggil hafiji na bina (hafiz tak nampak penglihatan atau buta). Nama sebenarnya Nu`man. Dia tamat belajar di Darul Uloom. Seingat saya dalam tahun awal-awal 90an umurnya sudahpun tua. Dalam lingkungan 50an. Ketika saya sampai di Deoband tahun 1989 itu beliau sudahpun berniaga di situ.

Apa yang menarik tentang Hafiji ialah ingatannya yang luar biasa. Dia tahu kitab apa yang ada di kedainya dan dicelah mana ianya diletakkan. Seringkali dia akan memberitahu pembantunya supaya mengambil kitab di rak-raknya jika ada pembeli yang menanyakan. Di samping menjual buku beliau juga mengajar kitab di kedainya itu. Ada saja student bertandang ke kedai dan membuka kitab untuk mendapat penjelasan daripada Hafiji. Jika pelajar membaca baris yang salah beliau akan membebel itu fa`i, itu mubtad`a, itu maf`ul bihi, itu tamyiz...kenapa kamu baca baris atas padahal ia sepatutnya baris hadapan. Apa-apa kitab yang diajar di Darul Uloom ia boleh diajar oleh Hafiji. Bertandang di kedai Hafiji banyak faedahnya. Banyak ilmu dan pengalaman diperolehi walaupun hasil daripada sembang-sembang orang dengan Hafiji Na Bina.

Pada bulan Ramadahan Hafiji akan mengambil syiftnya sebanyak sepuluh hari untuk menjadi Imam terawih di Masjid Chatta. Masjid Chatta akan mengadakan tiga kali khatam Al-Quran di sepanjang Ramadhan. Sepuluh hari satu Al-Quran. Hafiji akan menjadi Imam dengan membaca tiga juz satu malam. Pada waktu siang hari, Hafiji akan menyemak bacaan hafalan dengan bantuan pelajar Darul Uloom yang akan datang ke kedainya. Di kala tidak ada pelangan Hafiji akan membaca Al-Quran.

Hafiji Na Bina sememangnya berkahwin. Beliau dikurniakan seorang anak lelaki. Ketika saya mengunjungi Deoband tahun 2009, anaknya sudahpun dewasa dan mengambil alih menjaga kedai ayahnya. Sebenarnya Hafiji Na Bina tidak buta kerana hatinya terang benderang dengan cahaya ilmu dan cahaya Al-Quran. Tetapi kita walaupun celik mata belum tentu hati kita secerah hati Hafiji Na Bina. Kehidupan Hafiji banyak memberi pengajaran kepada saya. Beliau berdikari dalam mencari rezeki. Beliau sentiasa menjaga Al-Qurannya. Beliau tidak meninggalkan solat berjemaah walaupun terpaksa dipimpin. Beliau sentiasa bergaul dengan ilmuan. Mengajar dan belajar. Beliau menjaga sunnah walaupun buta. Beliau sentiasa mengekal imej kemaulanaan. Memakai baju serba putih dan berkopiah. Kedainya di tutup bila waktu solat. Beliau tidak hanya menjadikan kedainya sebagai tempat mencari rezeki malah sebagai stesen ilmu. Semoga Allah menyihatkan Hafiji dan memanjangkan usianya. (Hafiji = Hafiz + Ji. Ji kalimah tambahan untuk respect spt Gandhiji, Hazratji dsb)


Sunday, April 25, 2010

Anekdot Ulama 31: Muhaddis Maulana Yunus Dinasihati

Maulana Yunus menceritakan bahawa Sheikhnya Muhaddis Maulana Zakariya Kandahlawi sering berpesan kepadanya. Kadang-kadang melalui surat menyurat. Kadang-kadang secara lisan apabila mereka bertemu. Antara nasihat Maulana Zakariya kepada Maulana Yunus ialah:
1) Hendaklah kamu ikhlas dalam kerja-kerja kamu.
2) Berhati-hatilah dengan apa-apa harta madrasah yang kamu guna.
3) Selalulah berzikir. Jika kamu sakit dan tak mampu mengamalkan zikir-zikir kamu maka tawajjuhlah kepada Allah dengan hati kamu (nasihat ini diberikan kerana Maulana Yunus sering sakit). Antara zikir-zikir itu utamakan selawat kepada Nabi saw. Pengalaman aku mendapati kelebihannya amat menakjubkan.
4) Jauhi dari sifat kibr sama sekali. Sentiasa menganggap diri sebagai jahil, tak layak (digelar alim dsb).
5) Ikutilah langkah-langkah yang telah dibina oleh ulama-ulama kita terdahulu sedaya mungkin. Utamakan yang batin melebihi yang zahir.
6) Banyakkan istighfar kepada Allah walaupun kamu diberikan mimpi-mimpi yang baik dan ramalannya yang baik jua (nasihat ini diberikan setelah Maulana Yunus meminta Sheikhnya mentafsirkan mimpinya. Maulana Zakariya mentafsirkannya sebagai husnu khatimah. Perlu diingatkan bahawa Deobandi berpendapat ta`bir mimpi ialah zanni. Ia boleh jadi benar atau tidak).
7) Jika ada yang hendak berbai`ah dengan kamu walaupun daripada pelajar, lakukanlah kerana silsilah batin harus ada kesenambungan. (bai`ah yang dimaksudkan bai`ah tasawwuf. Ulama India Deobandi mengamalkan tasawwuf dengan pendekatan yang telah dibina oleh akabir mereka spt Shah Waliyullah Dehlawi, Rashid Ahmad Gangohi dan Ashraf Ali Thanawi)
(Rujukan: Al Yawaqit )

Wednesday, April 21, 2010

Anekdot Ulama 30: Purani Baat Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Hari itu nenek dimasukkan ke Hospital Besar Kota Bharu (2004). Saya bergegas ke hospital untuk menziarahi nenek. Tak lama selepas itu sanak saudara yang lain juga datang. Kata suami emak saudara dia lihat Tok Guru Nik Abdul Aziz, MB, juga masuk wad di wad sebelah Hati saya berkata patut ke saya ambil peluang berjumpanya dalam kondisi sebegini. Saya talipon salah seorang keluarga Tok Guru untuk memastikan benar ke Tok Guru masuk wad. Dia kata beliau tak tahu. Dekat dengan maghrib saya pergi juga ke bilik di mana Tok Guru dikatakan berada. Maklumlah semenjak balik belum lagi ada kesempatan menziarahi beliau. Bila sampai di situ saya melihat sememangnya Tok Guru diwadkan untuk berehat. Saya memperkenalkan diri. Tok Guru bertanya sayakah orangnya yang mengirimkan barang dari India tempoh hari. Saya berkata ya. Kemudian kami berbual panjang. Bila tiba waktu maghrib kami berjemaah di dalam wad. Tok Guru jadi Imam. Selepas maghrib kami sembang lagi sehingga Isyak. Isyak Tok Guru imamkan juga solat kami. Selepas Isyak saya terus beredar. Dalam perbualan antara saya dengan Tok Guru tiada bicara politik atau issu-issu semasa. Dia begitu bersemangat berhasrat kalau dia ada kesempatan untuk mengajar kitab Abu Daud. Agaknya Tok Guru minat dengan hadis-hadis ahkam. Dia juga seronok menceritakan kisah-kisah lama beliau di Deoband. Kata dia itu semua purani baat, (old story). Saya tersentak juga kerana Tok Guru masih mengingati kalam urdu itu. Magar unki puraani baat, meeri na`i baat hai ( it was an old story for him but something new for me)

Anekdot Ulama 29: A chief minister's normal breakfast

Petikan daripada e-mail yang dikirimkan kepada saya. E- Mail daripada seorang yang bernama Ibrahim Awang ......

Sewaktu kami sekeluarga berkunjung ke Kota Bharu Kelantan pada cuti sekolah bulan lepas, kami sekeluarga sarapan pagi di gerai berhampiran hotel penginapan.. Kami sekeluarga terkejut dan rasa terharu bila kami dapati MB Kelantan tengah sarapan pagi di gerai tersebut berseorangan tanpa pengawal peribadi dan pegawai kerajaan Kelantan..

Malah beliau terlebih dahulu menegur dan menberi salam kepada kami sekeluarga serta mengajak kami sekeluarga makan bersama-sama di meja beliau sambil berborak menayakan dari mana, bagaimana perasaan kami bila berada di Kelantan dan banyak lagi.. Ketika berborak, beliau tiada sedikit pun menyentuh soal politik atau cerita perkembangan terkini di Negeri kami (Negeri 9).. Malah beliau berterima kasih kepada kami kerana sudi datang dan lihat sendiri keadaan di Kelantan daripada membaca di akhbar atau melihat di TV.. Malah kami sekeluarga rasa lebih terharu bila beliau bayar kami sekeluarga makan pada pagi itu.

We are very pleased to meet with such a MB.

Sunday, April 18, 2010

Anekdot Ulama 28: Maulana Nikmatullah, Ustazul Asatizah

Ujian kemasukan ke Darul Uloom untuk kelas bawah diadakan secara lisan. Setahun saya mustami` di Darul Uloom. Atas sokongan guru-guru yang mengajar, mereka sarankan saya jadi pelajar Darul Uloom secara rasmi. Berdaftar. Untuk itu saya perlu lalui ujian kemasukan seperti pelajar-pelajar lain. Tahun yang saya apply untuk masuk ialah tahun 2. Kebanyakan pelajar yang ikut serta dalam ujian itu rata-rata umur mereka 10 hingga 12 tahun. Umur saya ketika itu dah dua puluhan!!! Baru nak belajar Arab. Bila nama saya dipanggil ke dalam dewan saya diarah untuk mengadap seorang Maulana yang sedang menguji pelajar-pelajar lain. Dia bertanya tentang asal usul saya dalam bahasa Arab ala madrasah. Saya senyum-senyum tak tahu nak jawab lebih-lebih kerana belum pandai Arab. Dia terus mengajukan soalan. Cuba beritahu ta`lil qultu (قُلْتُ). Saya lagi tersengeh tak tahu nak jawab. Maulana mungkin tahu saya tak tahu jawabannya lalu menerangkan bagaimana ta`lil qultu (قُلْتُ). Mungkin Maulana tahu juga saya memang ikhlas nak belajar kerana belum ada orang Malaysia yang mintak nak masuk tahun 2. Tahun dua hanya belajar ilmu saraf pertengahan, ilmu nahu pertengahan, matan fekah yang kecil2. Arabic readings. Mantik pertengahan dan terjemahan Al-Quran. Zaman-zaman dahulu orang Malaysia datang ke Deoband semua dah alim-alim. Habis pondok. Habis Nilam Puri (sebelum UM ambil alih). Habis sekolah Arab. So mereka minta masuk kelas lima ke atas. Orang yang mintak tahun dua ni confirm tak reti apa. Maulana kata aku bagi kamu lulus tapi kamu kena mehnat (bersungguh-sungguh) nanti. Saya angguk-angguk malu kerana dibelas kasihankan. Tetapi gembira kerana dapat jadi student Malaysia pertama dapat belajar di Darul uloom setelah hampir 10 tahun pelajar Malaysia tidak belajar di sana. Dalam tempoh itu pelajar Malaysia semuanya belajar di Darul Uloom satu lagi yang dinamakan sebagai Darul uloom Deoband Waqaf. Dengan tambahan perkataan waqaf.

Bertahun-tahun selepas itu barulah saya mengetahui bahawa Maulana yang meluluskan saya itu namanya Maulana Ni`matullah. Beliau menjadi guru saya kemudiannya. Beliau mengajar saya kitab hadis Muslim, Abu Daud dan Tafsir Baidhawi.Kebetulan tahun saya belajar Tafsir Baidhawi kelas tafsir lama dibuka kembali setelah sekian lama tidak digunakan. Kelasnya di dalam kubah bangunan Darul Uloom. Suatu ketika dahulu diceritakan bahawa kelas itu ialah tempat di mana JIN belajar kitab dengan maulana-maulana Darul Uloom. Tapi saya tak tahu sejauh mana kebenaran cerita itu dan tak pernah bertanya Maulana di situ tentang kesahihan berita tersebut. Tak sampai sebulan dua saya belajar di kelas itu tiba-tiba ia ditutup kembali dan kami dipindahkan ke kelas lain yang agaknya tiada JIN!!!. Selain itu Maulana juga mengajar kitab-kitab takhassus dalam berbagai ulum termasuklah takhasusu fil hadith.

Maulana Ni`matullah dilahirkan pada tahun 1936. Permulaan pengajiannya ialah di kampungnya. Maulana memasuki Darul Uloom di peringkat pertengahan bermula dengan kitab Tafsir Jalalain. Kemudian beliau menamatkan pengajian Daurah Hadisnya pada tahun 1372H./1953. Selepas itu beliau menadah kitab untuk tafaqquh selama dua tahun. Selepas itu Maulana mengajar di madrasah di India di merata-rata tempat sehinggalah Maulana dipanggil mengajar di Darul Uloom pada tahun 1402H/1982. Orangnya tinggi. Kurus. Putih. Tidak seperti maulana-maulana lain, Maulana Nikmatullah jarang dikerumuni pelajar. Bila berjalan beliau lebih suka berseorangan tidak diiringi oleh sesiapa dengan tongkatnya. Maulana kelihatan simple dalam segala-galanya sehingga tiada yang menyangka bahawa beliau sebenarnya adalah guru kepada guru-guru Darul Uloom (ustazul asatizah). Beliau ialah pakar rujuk kepada maulana-maulana Darul Uloom. Yang peliknya saya melihat kadang-kadang Maulana mengajar kitab bawahan. Mengajar pelajar-pelajar yang rata-rata berumur 12,13 tahun!

Suatu hari saya menemani seorang kawan, Roslan Ramli untuk bertemu dengan Maulana di rumahnya (Roslan tamat Al Azhar Mesir selepas itu. Kini bertugas di sekolah rendah Al Amin, Kertih Tnganu). Pada waktu itu Roslan Ramli sudahpun menamatkan pengajiannya di Darul Uloom. Beliau mahu berjumpa semua guru-guru sebelum pulang ke Malaysia. Kami pergi selepas isyak ke rumah Maulana. Kami rasa malu juga kerana Maulana pada waktu itu baru selesai mengajar kitab hadis kepada salah seorang Maulana yang juga guru hadis kami. Pada malam itu barulah terbukti kepada kami tentang kata-kata orang bahawa dia pakar rujuk Darul Uloom. Kami dijemput masuk. Ruangan tamu kelihatan kosong. Ianya agak kecil. Tiada kerusi. Tiada meja. Hanya tikar dihamparkan. Sebenarnya rumahnya itu ialah kuartes guru-guru Darul Uloom. Ianya disediakan khas untuk Maulana2 yang tidak punyai rumah sendiri di Deoband. Kami sebentar di rumah Maulana kerana tidak mahu menganggu masa beliau.

Keperibadi Maulana Nikmatullah itu melambangkan ketinggian ilmunya dan keserlahan sifat tawaduknya. Saya amat terasa keberkatan ilmunya. Soalan ta`lil قُلْتُ yang diajukan kepada saya menjadi dorongan yang kuat untuk saya cuba memahami kitab-kitab teks ilmu saraf bahasa Arab Darul Uloom yang ditulis dalam bahasa Parsi!!!!. Malah pelajaran ilmu saraf menjadi begitu mudah kepada saya akhirnya. Untuk itu saya telah mengabadikan sebuah buku ilmu saraf dan ilmu nahu yang sekarang masih dalam bentuk manuskrip. Mudahan-mudahan suatu masa nanti ia akan dicetak untuk tatapan umum. Ianya bukan sebagai margin atau ukuran tentang keilmuan saya tetapi satu jelmaan doa seorang guru yang berpesan kepada muridnya supaya mehnat.

Kitab Syarah Muslim Dalam Bahasa Urdu
Oleh Maulana Nikmatullah Dari Kitab Buyu`

manuskrip tatabahasa Arab

manuskrip ilmu saraf


Thursday, April 8, 2010

Poolan Dewi: Sachhi Baat

Sepanjang tinggal di India ada berbagai-bagai kisah yang saya alami. Kadang-kadang rasa tidak percaya pun ada adakah benar begitu halnya. Poolan Dewi suatu nama yang tak asing di kalangan masyarakat India. Di lahirkan tahun 1963. Mati ditembak pada tahun 2001. Kemasyuran Poolan Dewi telah diangkat ke layar perak. Filem mengenainya "The Bandit Queen" telah memenangi beberapa award Bollywood. Cerita Poolan Dewi mengambarkan tentang banyak perkara tentang India. Tentang Sistem sosialnya. Politik. Keselamatan. Undang-Undang. Demokrasi. Agama. Kasta. Ekonomi. Pelajaran. Wanita. ETC.

Pada 25 July tahun 2001 saya dikejutkan oleh berita besar-besaran di dada-dada akhbar India. Pembunuhan Poolan Dewi. Poolan ditembak oleh Sher Singh Rana yang membalas dendam ke atas Poolan Dewi. Poolan dilahirkan dalam keluarga berkasta rendah. Kemudian Poolan melalui kehidupan yang penuh dengan konflik yang tragedis. Daripada perkahwinan paksanya sejak berumur 11 tahun. Kemudian diseksa oleh suami dan isteri kedua. Dituduh mencuri oleh ahli keluarga. Disumbat dalam penjara kerana perancangan mereka. Di dalam penjara diarah oleh tangan-tangan ghaib agar dipukul dan dihina secara seksual. Tahun 1979 Poolan diculik oleh gangster. Kemudian Poolan berkahwin dengan Vikram, orang nombor dua dalam gangster itu. Mereka berjaya membunuh ketua kumpulan yang cuba menodai Phoolan. Kumpulan ini juga melakukan aktiviti perompakan dan samun. Terutama menyamun dan menculik golongan berkasta tinggi. Vikram dan Poolan menyerang kampung bekas suaminya. Poolan mengambil kesempatan untuk membunuh bekas suaminya yang mengikut Phoolan orang yang bertanggung jawab menyeksa kehidupannya. Akhirnya kumpulan itu diketuai oleh Shri Ram berkasta Thakur. Beliau menyerang kasta Mahalla, kasta Poolan Dewi. Ramai dikalangan mereka diseksa oleh Shri Ram. Berlaku ketegangan dalam gagster kerana tidak puas hati dengan sikap Shri Ram yang membelasah golongan kasta rendah. Shri Vikram cuba membunuh Phoolan dan suaminya Vikram yang dianggap sebagai musuh dalam selimut. Shri Ram berjaya membunuh Vikram. Kemudian mereka menangkap Poolan dan mengurungnya di kampung Bhemai. Poolan kemudian dicemari oleh penduduk kampung disitu. Akhirnya Poolan diselamatkan oleh golongan kasta rendah. Beliau berjaya melarikan diri.

Tujuh bulan kemudian Phoolan dan orang-orangnya menyamar sebagai anggota polis. Mereka menyerang kampung Bhemai dan membunuh kasta Thakur sebagai balas dendam. Kejadian ini menyebabkan Poolan diburu oleh pihak keselamatan kerajaan. Mulai daripada saat itu Poolan Dewi digelar sebagai "The Bandit Queen". Kerana kesihatan yang terganggu dan kebanyakan ahli gagsternya meninggal dunia pada tahun 1983 Poolan menyerah diri dengan mengemukan berbagai syarat kpd pihak berkuasa. Beliau kemudian merengkuk di dalam penjara selama 11 tahun. Tahun 1994 beliau dibebaskan on parole. Beliau kemudian menubuhkan persatuan sosial untuk kasta rendah. Tahun 1996 beliau terlibat dengan politik. Bertanding di atas tiket parti Samajwadi yang merupakan parti yang banyak mendokong hak golongan kasta rendah selain daripada parti Bhojan. Beliau menang dalam pilihanraya dan menjadi MP. Akhirnya Poolan Dewi ditembak mati di depan pintu gate rumahnya di New Delhi oleh Sher Singh Rana yang menuntut bela di atas kematian keluarganya dalam pembunuhan beramai-ramai di Bhemai.

Kalau Phoolan Dewi ialah bandit yang berjuang untuk kasta rendah di utara India, di selatan India pula lahirnya bandit Veerappan yang digelar Robin Hood India kerana bersembunyi di dalam hutan untuk melakukan operasi pemberontakannya. Dia dipuja oleh golongan miskin kerana sering membantu mereka yang berada dalam kesempitan. Beliau membantu mereka tetapi melalui amukan ke atas golongan kasta tinggi. Veerappan mati ditembak oleh kerajaan pada 18 oktober 2004.

Tetapi agak kepelikan kerana di India jarang kedengaran crimes berlaku di hadapan mata. Tiada samun menyamun di tengah-tengah kota berleluasa. Tiada rogol dilapurkan di dada-dada akhbar. Tiada buang bayi. Tiada rompakan besar-besaran. Malah kita terasa lebih selamat berjalan seorang diri di New Delhi jika dibandingkan dengan Kuala Lumpur. Tetapi di sebalik itu ada gangsterism yang bermaharaja lela di tengah-tengah kota. Siapa yang tak kenal dengan nama Daud Ibrahim di Mumbai. Ketua gagster yang digeruni oleh pihak kerajaan mahupun gagster yang lain. Pada masa kejadian pengeboman di Mumbai kebetulan ada seorang Ustaz datang dari Malaysia untuk melawat Deoband. Namanya Daud. Pernah belajar di India tahun 80an. Beliau menceritakan semasa dalam keretapi dia berbual-bual dengan orang India kerana masih mampu bercakap Urdu/Hindi. Bila ditanya nama, beliau menjawab "Daud". Bila disebut Daud semua orang dalam keretapi diam tak terkata. Mereka takut dengan nama "Daud" sebagaimana orang Barat takut dengan nama "Usamah".

Apakah pengajaran yang boleh dipelajari daripada kisah Phoolan, Veerappan dan Daud Ibrahim? Yang nyata kisah mereka ini sachhi baat iaitu kisah benar. Tetapi di manakah kebenaran? Untuk orang yang beriman kisah ini menambahkan kebenaran keimanan mereka. Bagaimana memahaminya? Sudah tentu ia tertakluk kepada tahap keilmuan dan keimanan masing-masing untuk menggarapnya. Untuk orang agnostik mereka bertambah yakin dengan kebenaran bahawa tuhan sememangnya tidak ada kerana menurut mereka kalau tuhan ada kenapa Dia biarkan injustice berlaku atau adakah Tuhan just playing dice !!!. Atau kisah ini boleh menrefleksikan kebenaran apa yang dinyatakan oleh Maulana Abul Hasan Ali An Nadawi sebagai " ماذا خسر العالم بانحطاط المسلمين" = What did the world lose by the deterioration of Muslims?

Phoolan Dewi


Tak Kawin

Di akhir-akhir tahun 90an India memiliki dua pemimpin yang kebetulan tidak berkahwin. Iaitu perdana menterinya Atal Vajpayee dan Presidentnya Abdul Kalam. Untuk itu seorang telah melontarkan suatu ungkapan sindiran untuk mereka berdua yang berbunyi:

President Abdul Kalam is unmarried
So is Prime Minister Vajpayee.
What wonderful land is ours!
It is raining everywhere, but the clouds are dry!

Wednesday, April 7, 2010

Restoran Tandas

Baru-baru ini saya pergi ke Low Yat Plaza untuk membeli keperluan laptop. Untuk solat saya ke Sungei Wang Plaza bersebelahan Low Yat kerana musallanya lebih besar dan selesa. Berdekatan dengan ruangan musalla itu saya lihat banyak tandas. Saya mendekatinya dan melihat ramai orang sedang makan minum di situ. Mereka makan minum di atas tandas itu sambil berbual-bual!!! Rupa-rupanya ia restoran baru. Kerusinya di buat ala tandas. Agaknya pengusaha restoran mahukan suasana releks ketika makan. Sereleks mencangkung dalam tandas. Begitulah halnya manusia apabila semakin bertamadun. Lama-lama akan meletakkan diri mereka tashabbuh dengan sesuatu yang perlu dijauhi (diabolical place). Teringat hadis awal-awal dalam Abu Daud bahawa Rasulullah saw:
كَانَ إِذَا ذَهَبَ الْمَذْهَبَ أَبْعَدَ
Apabila pergi ke tempat membuang air baginda akan pergi jauh-jauh daripada pandangan manusia.

Nabi saw juga mengajar kita supaya membaca doa ketika masuk tandas minta jauhi daripada syaitan kerana di situ ada banyak syaitan:
أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الْخُبُثِ وَالْخَبَائِثِ

Restoran Toilet rupa-rupanya sudah menjadi diabolic custom.



Tuesday, April 6, 2010

Anekdot Ulama 27: Muhaddith Maulana Mufti Saed Ahmad Palanpuri

Beliau ialah guru yang mengajar saya kitab Tirmizi, Syarah Ma`ani Athar oleh Tahawi dan Hujatullah Balighah (karangan Shah Waliyullah Dehlawi). Berasal dari negeri Gujerat, India. Pernah belajar diperingkat pertengahan silibus madrasah di Palanpur. Barangkali dengan sebab itu Maulana dikenali dengan gelaran Maulana Saed Palanpuri. Manakala gelaran Mufti kerana selepas tamat daurah hadis di Darul Uloom Deoband beliau memasuki kelas pengajian takhassus fekah yang dipanggil kelas ifta`. Di situ beliau memperolehi keputusan yang cemerlang. Mulai saat itu namanya tidak lekang dengan sebutan Mufti. Setelah kematian Maulana Nasir Ahmad Khan baru-baru ini Maulana Mufti Saed telah diangkat sebagai Sheikhul Hadith untuk mengajar kitab Bukhari.

Di Darul Uloom beliau sangat disegani kerana mempunyai keperibadian yang dihormati. Baik daripada segi ilmu maupun akhlak. Seorang yang berhemah tinggi. Amat berdisiplin. Kuat berpegang dengan sunnah dan mazhab Hanafi (bahut pakka hanafi hai). Siapa sahaja mengenali Mufti Saed Palanpuri. Daripada pelajar kelas bawahan apatah lagi pelajar kelas atasan. Mufti Saed mempunyai kebolehan yang luarbiasa dalam menyampaikan syarahan pelajaran yang diajarnya. Bahasanya kemas. Pointnya tersusun. Tidak panjang. Tidak pendek. Tidak tafrith dan tidak juga ifrath. Beliau mampu menghuraikan sesuatu yang complicated menjadi senang dan mudah. Pengajian kelas Tirmizi paling diminati oleh pelajar-pelajar. Mempelajari kitab Tirmizi dengannya seolah-olah kita tidak lagi memerlukan pengajian kitab-kitab hadis yang lain. Mudah memahami kitab lain. Mufti Saed tidak hanya peka mentashilkan kitab yang besar-besar malah beliau juga menulis kitab-kitab peringkat bawahan seperti ilmu saraf, ilmu nahu, ilmu mantik dan ilmu falsafah. Semuanya dibuat dalam bentuk tashil kerana mungkin beliau sedar pelajar dewasa ini amat lemah isti`dad.


Kitab Miftahul Awamil syarah urdu oleh Muhaddis Fakhruddin Ahmad kepada kitab Syarah Miatu Amil oleh Abd Rahman Jami. Kitab Muhaddis Fakhrudin ini kemudian disusun semula oleh Maulana Mufti Saed Palanpuri.

Kitab usul tafsir oleh Shah Waliyullah Dehlawi dalam bahasa Parsi. Ia mulanya diterjemahkan ke dalam bahasa Arab oleh seorang yang kurang dikenali. Kemudian ia diterjemahkan semula oleh Mufti Saed ke dalam bahasa Arab.

Kitab Asan Nahw (Nahu Mudah) mulanya adalah nota yang disediakan oleh Mufti Saed untuk mengajar anaknya tentang asas-asas nahu Arab. Kemudian dibukukan.

Kelas Daurah Hadith tahun akhir mempunyai lebih kurang tujuh lapan ratus orang pelajar. Jika Mufti Saed mengajar kelas penuh sampai keluar kerana mereka yang tidak berdaftarpun tumpang mendengar kuliah beliau. Sebelum Mufti Saed sampai ke kelas pelajar-pelajar semuanya diam. Jika beliau terdengar bunyi riuh rendah sebelum masuk ke kelas beliau akan berpatah balik. Terpaksalah kami memujuk beliau dengan janji tidak akan mengulanginya lagi. Sebenarnya Mufti Saed mahu mendidik pelajar semua agar menghormati hadis. Bukan sekadar belajar. Tapi beramal. Bermula di dalam kelas. Semasa beliau mengajar suasana amat tenteram. Tiada bunyi lain yang kedengaran melainkan suara Mufti Saed. Malah kalau pen terjatuh ke atas lantaipun akan didengari di seluruh dewan.

Saya masih teringat bagaimana Mufti Saed berjalan pulang ke rumahnya. Sering saya terserempak dengannya. Jika terserempak dialah yang akan memulai memberi salam terlebih dahulu. Masih teringat bagaimana beliau membawa kitab dengan meletakkannya di dada bukan di paras pinggang sebagaimana kebiasaan orang membawa kitab. Ketika saya belasan tahun, saya pernah melihat cara Mufti Saed membawa kitab itu sama dengan Tok Guru Nik Abdul Aziz membawanya. Barangkali Tok Gurupun terdidik dengan cara ulama Deoband zaman beliau menghormati ilmu. Mufti Saed juga kuat berzikir. Sambil berjalan beliau memegang tasbih kecil. Jari jemarinya bergerak memusingkan manik-manik tasbih. Dari segi pakaian Mufti Saed memakai kurta pajama tetapi bajunya labuh seperi jubah. Kadang-kadang beliau mamakai serban berwarna hijau dan kadang-kadang hanya berkopiah. Rambut dan janggutnya sudah beruban. Tetapi Mufti Saed mengenakan inai menjadikannya berwarna perang.

Suatu hari saya menziarahi Mufti Saed di rumahnya. Dalam perbualan kami itu Mufti Saed menceritakan bahawa dia ada kawan orang Malaysia. Namanya Lambok. Tambahnya lagi "Woh bahut zahin hai (Dia sangat cerdik). Aku dapat nombor satu Lambok dapat nombor dua". Itu dalam tahun akhir sekitar tahun 1962/1382H. Mufti bertanya: "Di mana Lambok sekarang?". Itulah julung kali saya mendengar nama Lambok di kalangan ulamak Malaysia. Sampai sekarang saya tidak tahu siapa itu Lambok. Dalam register nama-nama pelajar Malaysia yang saya perolehi daripada Darul Uloom terdapat seorang pelajar bernama Lambak bin Ibrahim, Kampung Jerim, Kuala Neros, Terengganu. Tahun tamat Darul Uloom juga 1382H sama dengan Mufti Saed. Adakah dia Lambok yang dimaksudkan. Mungkin kita perlukan satu projek program jejak ulamak untuk menyusul ulama-ulamak yang pernah belajar di Benua India!!!

Nama Lambak di dalam senarai register
Darul Uloom Deoband yang saya perolehi semasa lawatan tahun 2009.


Sunday, April 4, 2010

Anekdot Ulama 26: Muhadith Maulana Yunus Saharanpuri


Beliau ialah anak murid kesayangan Maulana Zakariya Kandahlawi, pengarang banyak kitab hadis. Maulana Yunus dilahirkan pada tahun 1937 di Jaunpur. Kerana itu kadang-kadang beliau disebut dengan gelaran Maulana Yunus Jaunpuri. Atau Maulana Yunus Mazhari kerana beliau tamat belajar di madrasah Mazahir Ulum. Atau Maulana Yunus Saharanpuri kerana madarasah Mazahir Ulum terletak di bandar Saharanpur. Secara amnya beliau tidak dikenali di persada antarabangsa. Antara sebabnya mungkin beliau tidak menulis kitab untuk tatapan awam. Beliau sangat dikenali di kalangan ahli ilmu yang pernah belajar di India, Bangladesh, Mynmar dan Pakistan. Juga oleh pihak-pihak yang ada hubungan dengan madrasah sistem Deobandi di England, South Afrika dan US. Jika sesiapa bertanya siapakah muhaddis India/Pakistan yang paling alim sekarang. Maka jawapannya tidak lain dan tidak bukan Maulana Yunus Jaunpuri. Sudah hampir 43 tahun lamanya Maulana Yunus mengajar kitab Sahih Bukhari di Madrasah Mazahir Ulum. Bererti sekurang-kurangnya 43 kali Maulana telah mengkhatamkan kitab Bukhari dalam bentuk tadris (mengajar). Ini kerana sukatan madrasah perlu menghabiskan Bukhari dalam tempoh hampir satu tahun. Cara beliau mengajar kitab Bukhari sememangnya menampakan kewibawaan beliau sebagai seorang muhaddis. Maulana Zakariya sendiri kerap bertanya masalah hadis daripada anak muridnya ini. Surat-surat Maulana Zakariya ketika beliau tinggal di Madinah menyaksikan bagaimana Maulana Zakariya dengan humblenya bertanya banyak masalah hadis daripada Maulan Yunus. Di dalam kitab Abawab Wa Tarajim Li Sahih Bukhari-nya Maulana Zakariya ada mencatatkan pandangan Maulana Yunus tentang makna Bad`u Wahy yang dimaksudkan oleh Bukhari. Pengi`tirafan Maulana Zakariya terhadap kebolehan Maulana Yunus itu sudah cukup membuktikan beliau seorang yang alim dalam bidang hadis. Di samping berguru dengan Maulana Zakariya sebanyak dua kali dalam pengajian hadis Bukhari, Maulana Yunus juga berbai`ah kepada Mualana Zakariya dalam suluk kerohaninnya.

Dalam kehebatan beliau sebagai seorang yang alim dalam bidang hadis jarang mengetahui beliau mengidap penyakit yang serius semenjak daripada zaman belajar di madarasah lagi. Pernah pengetua madrasah menasihati beliau agar berhenti daripada meneruskan pengajian dan pulang berubat. Tetapi beliau berkeras. Kata beliau biarlah beliau mati dalam menuntut ilmu. Seriusnya penyakit Maulana sampai kadang kala darah keluar daripada mulut. Penyakit Maulana tidak sembuh-sembuh sampailah sekarang. Oleh kerana itu Maulana tidak mempunyai kesempatan untuk berkahwin. Biarpun Maulana tidak mempunyai anak tetapi beliau dikurniakan ramai anak murid.

Biarpun sering sakit Maulana tidak menjadikannya sebagai alasan untuk tidak membaca. Pembacaan Maulana amat luas. Biliknya dipenuhi dengan kitab. Berak-rak. Sampai terpaksa menggunakan tangga untuk mencapainya. Maulana menghabiskan masa di situ. Di situ juga tempat tetamu menemui Maulana. Jika Maulana terpaksa membaca atau membuat kajian tentang sesuatu tetamu diizinkan juga masuk. Maulana tidak mahu menghampakan tetamu. Tetapi beliau juga tidak mahu masanya habis dengan hanya melayani tetamu yang tak putus-putus itu. Untuk itu Maulana akan terus membuat kerjanya sambil disaksikan oleh tetamu. Untuk tetamu yang memahami maka mereka tak akan lama di bilik Maulana. Cukuplah kalau dapat melihat Maulana dan kegigihannya. Itu sudah cukup sebagai suntikan untuk bersungguh-sungguh dengan ilmu.

Maulana menceritakan Maulana Zakariya ketika hayatnya sentiasa memberikan wang kepadanya sebagai hadiah. Selepas itu Maulana Zakariya akan bertanya apa yang kamu buat dengan duit itu. Dengan duit itulah Maulana membeli kitab-kitab hadis dari masa ke semasa. Maklumlah gaji sebagai guru madrasah bukanlah besar mana untuk boleh membeli kitab. Kini berkat kecintaannya kepada ilmu Allah memberikan apa sahaja kitab yang ingin beliau telaahi. Kadang-kadang ketika ke Mekah beliau akan mengambil kesempatan untuk ke kedai kitab. Di situ Maulana akan berjam-jam menegok kitab untuk menyelesaikan masalah hadis. Ada kalanya beliau terpaksa berdiri berjam-jam mentelaah. Lama kelamaan pemilik kedai mengenali Maulana, setiap kali Maulana datang di musim Haji beliau akan mempelawa Maulana menegok kitab sambil duduk di atas kerusi.

Seingat saya sebanyak tiga kali saya sempat juga bertandang ke bilik Maulana Yunus . Pertama sebelum menjejak kaki ke tahun akhir. Kedua, ketika hendak masuk tahun akhir. Ketika itu saya mengambil kesempatan untuk bertanya Maulana tentang kitab-kitab hadis yang perlu difokuskan di tahun akhir. Kata Maulana masing-masing kitab hadis ada kelebihan masing-masing. Lalu Maulana menyebut beberapa kelebihan kitab Sunan Sittah kepada saya. Sekali lagi saya menziarahi Maulana ketika menemani dua tetamu daripada Malaysia iaitu Dr Asri Zainal Abidin (ex Mufti Perlis) dan Dr Sayuthi Manas (Pensyarah UIA). Kedua-dua mereka pada waktu itu pelajar PHD dalam bidang hadis. Mereka dihantar oleh supervisor mereka Prof Dr Abu Laith untuk mendapatkan sanad hadis. Nama saya diberikan untuk membantu mereka. Waktu itu hanya saya seorang sahaja pelajar Melayu di Deoband dan pernah bertemu dengan Prof Abu Laith sebanyak dua kali ketika beliau menziarahi Deoband semasa pulang bercuti di India. Saya membantu mereka mendapatkan sanad hadis di Deoband dan di Saharanpur. Guru Prof. Abu Laith waktu itu mengajar di Madrasah Mazahir Ulum. Beliau ialah Maulana Zainal Abidin. Mengajar pelajar-pelajar takhasus hadis. Seorang yang hebat dari segi ingatan. Matanya buta sebelah. Ijazah am diberikan kepada mereka berdua oleh Maulana Anzar Shah Kashmiri, Maulana Nasir Ahmad Khan, Maulana Salim Qasimi di Deoband. Dan oleh Maulana Zainal Abidin dan Sanad Hadis Musalsalat oleh Maulana Yunus Jaunpuri di Saharanpur.

Saya tidak mempunyai kesempatan untuk belajar dengan Maulana Yunus kerana tempat kami jauh. Polis pula tak izinkan kami pindah randah madrasah. Namun saya sentiasa bercita-cita untuk mendengar pengajian Maulana. Biasanya Maulana tidak benarkan pengajian dirakamkan dalam apa jua bentuk rakaman. Tetapi pada suatu tahun beliau tergerak di hati untuk mengizinkan pengajian Bukharinya direkordkan. Waktu itu rakaman dalam bentuk kaset. Bila pulang ke Malaysia 2004 saya mencari-cari kaset itu daripada empunyanya iaitu Ustaz Muhammad Hazim yang sekarang bertugas di Markaz Seri Petaling sebagai tenaga pengajar madarasah di sana. Ustaz Hazim ialah khadim khusus Maulana Yunus ketika di Mazahir Ulum. Dia antara pelajar Malaysia yang tamat belajar di Saharanpur. Kini beliau mengajar kitab Bukhari di Madrasah Seri Petaling. Satu naskhah lagi daripada Ustaz Hafiz yang mengajar tahfiz di Pulau Pinang. Ia dirakamkan pada tahun selepas tahun Ustaz Hazim Mazhari. Naskhah rakaman ketiga berada dengan seorang ustaz yang bernama Muhammad Mustafa yang tinggal di sekitar USJ. Naskhah ketiga ini gagal diperolehi sampai sekarang. Naskah rakaman ini lebih awal daripada yang Ustaz Hazim dan Ustaz Hafiz punya dan lebih banyak maklumat kerana kesihatan Maulana ketika itu lebih bagus daipada yang berikutnya. Semasa menuntut MA di UIA saya telah mengambil inisatif menukarkan rakaman dalam bentuk kaset itu kepada bentuk cd. Semuanya saya buat sendiri setelah mengetahui ada software yang boleh melakukannya. Alhamdulillah rakaman keselurahan pengajian Bukhari dari awal hingga akhir dapat saya dengari dan berguru dengan Maulana Yunus secara tidak langsung. Saya tidak jemu-jemu mendengarnya untuk mencatatkan nokhtah-noktah penting komentar Maulana Yunus terhadap syarahan hadis Bukhari. Pernah saya mengajukan tajuk 'Waham Ibnu Hajar Dalam Fathul Bari" untuk thesis Master saya. Idea saya perolehi daripada pengamatan Maulana Yunus semasa mengajar Bukhari. Prof Abu Laith sangat setuju dengan tajuk itu. Namun ia ditolak dalam meeting proposal oleh Dr2 yang lain. Antara sebabnya ialah terlalu tinggi untuk bercakap pasal itu diperingkat Master. Dan siapa saya nak kritik Ibnu Hajar!!! Al maklumlah sidang meeting bukan semua dalam bidang hadis!!! Mereka ingat itu semacam nak bongkar keaiban Ibn Hajar. Padahal skop waham yang nak diutarakan agak luas.
(Rujukan: Yawaqit Ghaliyah Fi Tahqiqi Wa takhrij Ahadith A`liyah).

Kitab Yawaqit mengumpulkan jawapan serta soalan daripada surat-surat yang dihantar kepada Maulana Yunus bertanyakan permasalahan hadis oleh segenap lapisan ilmuanSebuah lagi kitab yang disusun daripada surat-surat jawapan Maulana Yunus terhadap persolan hadisSanad Hadis Musalsalat Saya Daripada Maulana Yunus


Bahagian tepi ialah rantaian sanad musalsalat Maulana Yunus

Berita Maulana ketika masuk wad di Madinah oktober 2014


video di Leicester England Jun 2014