Monday, May 18, 2015

Kitab 37: Tamhid Ubaidullah Sindi

Al-Tamhid li Tar`rif Al-A`immah Al-Tajdid merupakan sebuah kitab yang nadir atau sukar ditemui hasil karya Maulana Ubaidullah Sindi dalam bahasa Arab. Sebuah kitab yang memaparkan banyak perkara yang unik tentang madrasah pemikiran Shah Waliyullah Dehlawi dan Deobandi dari sisi pandangan Maulana Ubaidullah. Di samping menceritakan babak pengalaman hidupnya yang merentas banyak negara beliau turut menyelit fikrah tentang pelbagai aspek kehidupan termasuklah siyasah. Kitab ini juga kaya dengan pelbagai sanad turuq Shahwaliyullah, ulama Deoband,ahli hadith, ulama-ulama Dehlawi, sanad-sanad daripada musannif pelbagai fan seperti fekah, balaghah, falsafah, munazarah, bahasa arab.... berserta riwayat hidup ringkas tokoh-tokoh ulama India.

Kitab 36: Fiqh Buyu` Maulana Taqi Usmani

Kitab terbaru Maulana Taqi Uthmani berkenaan dengan "Fiqh Buyu". Kitab ini hanyalah susunan kembali dengan sedikit tokok tambah dalam bentuk moden yang kemas daripada artikel-artikel beliau tentang masalah keewangan samada yang ditulis dalam bentuk buku ataupun maqalah yang dibentangkan di persidangan Fekah Sedunia di sepanjang penglibatannya dalam dunia keewangan. Kitab ini terbit dalam dua jilid dan boleh dimuat turun daripada laman maya. Alhamdulillah rata-rata artikel yang ditulis dalam buku ini telahpun saya baca sebelum ia disusun dalam bentuk seumpama ini. Kepada peminat-peminat ulama benua India luangkanl lah masa membaca kitab-kitab seumpama ini kalaupun tidak mampu untuk menulis sepertinya.

Kitab 35: Tamat Syarah Miatu Amil


Hampir setahun pengajian Syarah Miatu Amil diadakan di kelas Basooir Subang Perdana. Ia bermula pada tanggal 8 Jun 2014 dan tamat semalam tanggal 17 Mei 2015. Saya tidak menyedari ia memakan masa setahun kerana pengajian diadakan secara bergilir-gilir dengan kitab Irab Quran dan Fauzul kabir. Dalam sebulan mungkin kekerapannya hanya sekali. Saya juga gembira kerana dapat mengajar kitab yang kecil-kecil. Ramai alim ulamak walaupun sudah bergelar muhadith dan sebagainya tetapi melazimi mengajar kitab kecil. Muhammad bin Sulaiman guru kepada Imam Syayuti walaupun seorang allamah, muhadith dan berbagai-bagailah gelaran kealiman tetapi lebih dikenali dengan gelaran Kafiiji (الكافيجي) kerana tidak mahu berpisah dengan kitab nahu Kafiah (الكافية) Ibnu Hajib. Kalau mereka seumpama itu maka orang seperti saya lebih-lebih lagilah memerlukannya kerana lemah dalam nahu dan bahasa Arab.
Tahniah kepada pelajar basooir yang dapat menamatkannya. Ramai yang mengaji dari mula tetapi tak ramai yang dapat mengkhatamkan keseluruhannya kerana faktor kesibukan. Semoga Allah melapangkan waktu untuk kita di hari muka.

                                            Kitab Syarah Miatu Amil oleh Abd Rahman Jami 
                                                         yang kami guna



Anekdot Umrah 03: Pengawas Sekolah di Mekah


Saya turun dari hotel kerana ada program ziarah bersama, dengan kopiah yang tergumpal-ngumpal kerana baru sahaja bertahallul. Saya lewat turun.Seorang yang berpakaian kemas dengan logo TH Travel sedang menunggu di ruang menunggu jika ada yang terlewat. Melihat saya dia terus menegur supaya membetulkan kopiah saya yang senget itu. Dia cuba menolong kerana saya kepayahan dek kepala sudah botak, sukar untuk kopiah lembik. Dia menyarankan saya agar membeli kopiah yang keras sedikit. Dalam masa yang singkat itu kami sempat bertanya khabar. Rupa-rupanya kami satu sekolah. Satu batch. Waktu itu dia menjadi pengawas sekolah. Hari ini dia menjadi pengawas lagi tetapi pengawas yang lebih mulia. Rupa-rupanya dialah ketua rombangan umrah kami. Tidak sangka bertemu di Mekah setelah hampir 34-35 tahun tidak bertemu. Katanya Mekah dan Madinah sudah menjadi rumah keduanya kerana saban waktu datang mengiringi tetamu Allah baik umrah maupun Haji. Bila pulang dia menghadiahkan kepada saya seat business classnya dengan tambahan air zam zam. Alangkah indahnya jika bertemu di syurga nanti sahabat. 09 MAC 2015



Bersama Zul Zamri kawan sekolah yang bertugas
 sebagai wakil TH Travel

Anekdot Umrah 02: Lelaki Cacat Bertawaf

Sedaya yang mungkin saya cuba untuk memasuki ruang utama mataf supaya dapat tawaf berdekatan dengan Kaabah. Untuk itu saya terpaksa masuk ke masjid sekurang-kurangnya sejam lebih awal sebelum masuk waktu. Walaupun masih ada peluang untuk ke tingkat tawaf yang lain saya tidak mahu menjauhi Kaabah. Saya kira ramai yang begitu. Sebab itu mataf selalu penuh.Tidak kira daripada mana seseorang itu datang. Tidak kira macam mana bentuk fizikal tubuhnya. Tidak kira usianya.
Mata saya terpandang seorang lelaki kurang upaya. Ia berkerusi roda. Mungkin beliau daripada Afghanistan melihatkan wajah dan pakaiannya. Mengapa beliau tidak memilih ruang atas sahaja yang lebih selesa untuk orang seperti beliau. Dalam kesesakan manusia tawaf beliau begitu tenang dan yakin. Saya cuba mendekati beliau untuk melihat dari dekat adakah beliau tidak sihat atau sememang cacat anggota. Ramai mereka yang di luar dugaan kita sedang tawaf di Kaabah. Ada yang hanya kaki sebatang mengelilingi Kaabah dalam lautan manusia yang bertolak-tolak seperti ombak. Ada yang sudah bongkok tiga. Ada yang menjunjung anak. Bukan anak kecil tetapi anak yang sudahpun berumur belasan atau puluhan tetapi tidak bermaya. Mungkin untuk berdoa kepada Allah agar memulihkan kesihatannya yang tidak boleh berjalan. Tentunya mereka datang dari jauh. Imanlah yang memampukan mereka mengharungi semua itu. Ramai yang sihat dan berharta tetapi jauh hatinya daripada Kaabah. Ramai yang tinggal berdekatan dengan Kaabah tetapi hati mereka jauh darinya.
Sesungguhnya tawaf itu banyak pengajaran yang boleh mendidik diri kita yang sombong, tidak bersyukur, dan tidak berterima kasih kepada Allah SWT. Semoga Allah SWT mengekalkan kecintaan kita kepada Baitullah. Semoga kecintaan itu berpaut di mana-mana walaupun tidak lagi berada di sampingnya.





Anekdot Umrah 01: Bertemu dengam Maulana Badarudin Ajmal

Selepas Asar saya pulang sekejap ke bilik. Kemudian saya turun semula untuk pergi tawaf sebelum tibanya waktu maghrib. Di ruang tamu hotel ramai yang menjamu selera buah tamar sukkari dan qawah arabi yang diberikan percuma oleh pihak hotel setiap lepas Asar. Saya terpandang seorang lelaki tua India sedang duduk di atas kerusi. Saya memperlahan langkah. Saya tidak mendekatinya sebaliknya bertanya seorang India lain yang baru sahaja melayaninya dengan minuman qahwah dan kurma tersebut. Saya rasa macam kenal sangat beliau. Saya bertanya siapa lelaki itu. Jawabnya dia orang besar di India. Saya terus menyapa adakah dia Maulana Badarudin Ajmal. Dia terkejut lalu bertanya daripada kamu tahu. Saya memberitahunya saya pernah belajar di Deoband. Mendengar sahaja nama Deoband dia terus menarik saya untuk bertemu dengan Maulana Badarudin Ajmal. Maulana sangat gembira bila bertemu saya. Dia mengarahkan khadimnya memberikan kepada saya minyak wangi Oudh syarikat Ajmalnya.
Kami berbual sebentar tentang kisah lama dan kisah baru di India. Maulana sekarang terlibat dalam politik India. Begitu juga dengan dua anakanya yang waktu saya di Deoband masih kecil, baru belajar tahfiz. Maulana berasal daripada negeri Asam, India. Ketika saya di sana beliau sudahpun menjadi ahli syura Darul Uloom. Beliau seorang yang kaya kerana mewarisi perniagaan ayahnya. Keluarganya memilki gedung minyak wangi Oudh di merata-rata tempat di India dan Timur Tengah. Di Mekah juga ada dan Madinah juga ada. Beliau memberitahu saya dia ada 35 buah kedai di Saudi. Salah sebuah kedainya ada di bangunan tempat saya menginap. Beliau seorang yang pemurah. Banyak bangunan Darul Uloom dibina oleh beliau dan juga markaz dakwah dan bahasa untuk lepasan Darul Uloom Deoband. Kami bersama-sama berangkat ke mataf kerana Maulana hendak tawaf sebelum pulang ke India. Maulana hanya datang untuk 2 hari sahaj kerana kebetulan India cuti perayaan. Saya melihat Maulana tawaf kemudian beransur-ansur meninggalkan masjid. Maulana sempat memberikan kadnya kepada saya. Semoga Allah memberkati usaha Maulana Badarudin Ajmal memperjuangkan hak orang Islam minoriti di India. 10 MAC 2015.

 
Maulana Badarudin Ajmal

 Kad Maulana

  Kad Maulana

 Minyak Wangi Hadiah drp Maulana