Monday, November 30, 2009

Kembara Deoband 14- Hari-Hari Permulaan Pengajian

Ustaz Nasrif Yusuf dan kawan-kawan senior telah mengusahakan kemasukan kami ke Darul Uloom Waqaf atau Jama` Masjid. Saya dan Wan Nazarudin dibenarkan masuk ke tahun dua. Abd Rahman, Junaid dan Abu Hashim semuanya memasuki tahun lapan iaitu tahun akhir. Ia juga dikenali sebagai tahun Daurah Hadith. Saya tidak mengetahui atas alasan apa saya diletakkan di tahun dua. Kenapa tidak tahun satu. Persoalan yang hanya mampu saya ajukan kepada diri sendiri sahaja kerana jika diberi penjelasan pun saya mungkin akan akur sahaja. Sememangnya saya jahil tentang sisitem pengajian agama. Samada sekolah agama, pondok atau madrasah.

Kawan-kawan senior begitu bersemangat ingin menjadikan kami berdua alim. Mereka merasakan rugi kerana tidak mendapat peluang mempelajari kitab-kitab asas di tahun-tahun permulaan. Kerana itu mereka ingin kami merangkulnya. Mereka membawa kami berdua membeli kitab2 tahun dua. Sebahagiannya berbahasa Parsi dan sebahagian lagi berbahasa Arab. Semua kitab ditulis dengan tangan. Kemudian diphotocopykan ke dalam plat-plat besi sebelum di masukkan ke dalam mesin pencetak. Yang mengherankan ialah kitab-kitab yang dibeli bukan boleh terus dibaca. Ia perlu dipotong-potong terlebih dahulu mengikut ukuran yg sesuai. Ia tanpa kulit. Oleh itu ia perlu dijilidkan. Ia harus dibawa ke kedai penjilidan buku. Tukang jilid akan mengambil masa sehari dua untuk menjilidkan kitab bergantung kepada kesibukan mereka juga. Kita bebas memilih antara cover berkulit lembu atau berkulit kertas. Bahagian tepi kitab biasanya diwarnai dengan corak warna yang berbagai-bagai. Ia dilakukan dgn memasukan berbagai warna cat ke dalam minyak tanah. Cat ditiup-tiup supaya ia bercampur antara satu sama lain dan tersebar dipermukaan minyak. Kemudian bahagian tepi kitab akan dicelup untuk menghasilkan corak warna tepi yang unik. Bahagian tepi yang berwarna ini menyebabkan kitab kelihatan tidak lusuh walaupun kerap dibuka. Jika tidak ia lama kelamaan akan menjadi hitam.

Wednesday, November 25, 2009

Kembara Deoband 13 - Bukan Sekadar MSU

MSU mempunyai cawangan di seluruh India. Di mana adanya pelajar Arab maka di situ akan adanya MSU. Cawangan yang agak besar ahlinya ialah di Delhi, Pune dan Lucknow. Ia bukan sekadar markaz tempat persinggahan. Malah MSU mempunyai agenda yang lebih besar daripada itu. Iaitu agenda Islam. Di antara aktiviti yang dilakukan oleh MSU yang terserlah ialah pentarbiahan. Mentarbiah pelajar baru dan lama kepada fikrah dan amal islami. Modus operandinya ialah dengan mewujudkan unit-unit usrah. Setahun sekali ahli-ahli usrah dari seluruh cawangan akan berkumpul dalam satu program yang dinamakan mukhayyam atau perkemahan. Manhaj yang digunakan ialah manhaj Jemaah Ikhwan Muslimin. Oleh itu perpustakaan MSU banyak diisi dengan buku tokoh-tokoh Ikhwan spt Yusuf Qardawi, Muhammad Ghazali, Ahmad Muhammad Rashid, Fathi Yakan, Sayyid Qutb, Mustafa Masyhur, Sayyid Hawa dsb. Program mukhayyam diisi dengan beberapa aktiviti seperti ceramah yang akan dihadiri oleh tokoh2 ternama dari dalam maupun luar India; latihan berkawat ala tentera; permaianan padang seperti bolasepak dsb, pementasan seperti pertandingan menghafal Al-Quran, persembahan nasyid dan lakunan; Ibadah spt solat berjemahan, qiamullai, wirid ma`thurat. Mukhayyam diadakan di lokasi yang berbeza-beza mengikut giliran negeri. Pernah diadakan di Hyderabad di negeri Andhra Pradesh, di Bangalore di negeri Karnataka, Delhi dan Lucknow di negeri Uttar Pradesh etc. Saya hanya sempat mengikuti dua kali mukhayyam sahaja. Mukhayyam di Hayderabad dan Banglore. Ini disebabkan biasanya tarikh mukhayyam berbetulan dengan tarikh peperiksaan akhir sesi di Deoband.

Pelajar Malaysia, Thailand dan Indonesia juga mempunyai hubungan dari segi tanzim dengan MSU terutama mereka yang belajar di Nadwatul Ulama. Lokasi Nadwah yang berdekatan dengan University of Lukcnow memudahkan mereka mengikuti program-program MSU Lucknow. Jumlah mereka yang ramai dapat mewujudkan satu persatuan pelajar-pelajar bukan Arab yang akrab dan kukuh dengan menjadikan MSU sebagai tempat rujukan mereka. Kemudahterimaan pelajar Malaysia kepada dakwah bercirikan dakwah seperti MSU ini sebenarnya adalah hasil rentetan dakwah yang berlaku di tanahair.

Tahun 80an merupakan tahun kebangkitan Islam di Malaysia. Di antara ciri fasa 80an ini ialah penerapan fikrah Islam yang syumul. Untuk tujuan mendedahkan kesyumulan Islam banyak agenda telah dilakukan oleh pendakwah-pendakwah di tanahair. Pada waktu inilah buku-buku gerakan Islam mulai diterjemahkan dengan rancaknya. Terutama buku-buku gerakan Ikhwan Muslimun Mesir, Jamaat Islami Pakistan, dan Revolusi Iran. Aktiviti dakwah banyak dipengaruhi oleh manhaj gerakan-gerakan ini. Oleh kerana ianya fasa penerapan maka golongan sasaran yang utama ialah golongan pelajar peringkat sekolah menengah dan peringkat universiti. Ramai guru-guru di sekolah dan pensyarah-pensyarah di universiti telah mengambil inisiatif ke arah melahirkan generasi pelajar yang berjiwa Islam. Usrah, tamrin dan rehlah mula diperkenalkan kepada golongan pelajar. Mereka mula diperkenalkan dengan tokoh-tokoh pendakwah antarabangsa melalui penerbitan risalah-risalah, buku-buku dan majalah-majalah. Bertitik tolak di atas landasan ini mereka mula menerajui persatuan-persatuan Islam. Banyak seminar, diskusi, forum, wacana dsb dijayakan untuk mengenegahkan Islam kepada masyarakat umum terutama masyarakat pelajar.


Monday, November 23, 2009

Kembara Deoband 12 - MSU East of Kailash

Azhar daripada Deoband sudahpun menunggu kami di airport. Kami di bawa menaiki teksi. Saya tidak tahu Azhar hendak membawa kami ke mana. Perhatian saya hanya tertumpu melihat suasana baru di Delhi. Bahang kepanasan mula dirasai apabila keluar daripada airport kerana bulan Julai masih di dalam iddah musim panas. Agaknya suhu sudah menjangkau 40 darjah celsius lebih. Tengkok mula terasa haus. Namun saya tidak berani bersuara apa-apa kerana berjaga-jaga untuk tidak banyak merungut di tempat orang.

Jalan di sepanjang airport ke Delhi tidaklah begitu sibuk kerana jauhnya airport daripada pusat bandar. Kira-kira 45 minit perjalanan dengan kereta. Tanah-tanah di kiri kanan jalan masih lagi kosong. Tiada bangunan. Tiada perumahan. Jika dibandingkan dengan sekarang, tahun 2009, semuanya dipenuhi dengan bangunan rumah-rumah kedai dan hotel-hotel. Trafik mulai sibuk apabila teksi memasuki kawasan bandar. Hon-hon bas, lori, kereta, autorikshaw dan motosikal mula kedengaran. Kelihatan mereka begitu seronok menekan hon masing-masing. Mungkin mereka menggunakan bahasa hon di atas jalan raya yang tidak kami fahami. Hon sebagi salutation "namaste" untuk kawan dari arah yang berlawanan. Hon untuk memotong. Hon untuk memberi laluan. Hon menghalang laluan. Hon ucapan terimakasih kerana memberi laluan. Hon minta supaya bersopan sikit di jalan raya. Hon kerana marah. Hon haru biru bila di sana tidak ada traffic light dan tidak tahu macam mana hendak keluar daripada kesesakan yang tidak dirancang. Masing-masing mahu keluar dahulu. Ternyata kita dinasihatkan berhon di bandar Delhi. Di belakang sesetengah kenderaan terpampang arahan bertulis 'Please Hon'. Adakah ianya arahan daripada kerajaan atau amalan rakyat yang diredai oleh kerajaan sampai sekarang saya tidak mengetahui jawapannya.

Jalan di Delhi yang tiada line pemisah

Saya tidak jemu-jemu mengarahkan pandangan untuk melihat suasana Delhi. Jalan raya banyak tidak bertraffic light. Kenderaan berwajah lama. Kesemuannya ber-made in-kan India. Tidak banyak design kenderaan didapati. Produk Tata, Maruti, Mahindra dan Asyok Leyland semuanya kelihatan sama. Kereta-keretanya seperti kereta guru besar sekolah rendah saya Cikgu Sulaiman tahun 70an. Ia mengambarkan India tidak mengutamakan barangan import. Ia menunjukkan bahawa walaupun India adalah negara demokrasi terbesar di dunia tetapi dasar ekonominya lebih cenderung kepada Fabian Socialism. Mirip sistem perancangan berpusat Soviet Union ketika itu. Bangunan tidak tinggi. Semua serata. Tiada yang indah. Tiada yang mengasyikan. Warnanya lusuh kerana dibahangi oleh cahaya matahari. Tiang-tiang letrik condong hendak menyembah bumi. Wayar berserabut sambung menyambung di udara. Ada yang berjuntai-juntai ke bawah kerana putus atau diputuskan. Orang-orang miskin berderetan di sepanjang jalan. Meletakkan apa yang ada untuk hamparan tidur. Rumah-rumah setinggan di tepi jalan kelihatan amat miskin dan dhaif. Ia bagaikan khemah-khemah pelarian. Berdinding dan beratapkan kain guni dan juga plastik. Penghuninya seperti orang-orang nomad yang berpindah randah. Wajah mereka comot. Pakaian mereka compang camping. Kerana lama tidak berbasuh warnanya menjadi sekulit dengan warna tubuh mereka. Mereka memasak di tepi jalan. Membasuh mengikut giliran. Mandi separuh bertelanjangan. Penjual-penjual di tepi-tepi jalan sibuk menyorong kereta sorong. Memekik-mekik. Melolong-lolong. Chai! chai! chai! (teh!, teh!, teh!). Phal le lo! phal le lo!, phal le lo (buah! buah! buah!...ambik buah, jual buah!). Lembu-lembu terbiar berkeliaran di tepi jalan. Meragut apa sahaja yang ada. Kertas, plastik, sampah sarap, kain dan berbagai kotoran. Tiada rumput. Tiada lalang. Sesekali mereka diam di tengah jalan. Menghalang lalu lintas. Menguji iman dan kepercayaan. Tiada yang merungut kerana menghormati kesucian.

Berteduh di tepi jalan


Rumah setinggan di tepi jalan


Wayar letrik yang berserabut

Lembu bebas di tengah jalan

Sampah sarap menjadi makanan
lembu yang dianggap suci


Teksi kami kemudian melalui kawasan perumahan yang cantik. Rumah-rumahnya agak tersusun rapi. Persis spt rumah-rumah di KL. Kawasannya agak bersih. Suasananya agak tenang. Mungkin ia kawasan orang-orang kaya dan berpelajaran. Ada yang memiliki sekuriti. Rupa paras sekuriti guardnya seperti orang Melayu kecina-cinaan. Kata kawan-kawan mereka orang Nepal. Kebanyakan mereka datang ke India mencari rezeki. Bekerja di restaurant, hotel-hotel dan banyak yang menjadi security guard. Nepal pada waktu itu sesatunya negara di dunia yang mengamalkan sistem autokrasi berpaksikan Hinduism. Sepatutnya India kerana ia mempunyai bilangan penganut Hindu yang paling banyak di dunia. Tetapi tidak. Nepal sebaliknya yang mendapat tempat. Ia diperintah oleh seorang raja yang beragama Hindu yang diwarisi dari turun temurun. Malangnya Nepal termasuk salah sebuah negara yang termiskin di dunia dengan kadar 31% daripada 28 juta penduduknya berada di bawah paras kemiskinan. Tidak hairanlah ramai rakyatnya mengadu nasib di bumi India. Pada hakikatnya India sememangnya dikelilingi oleh negara-negara yang tidak mampu menyediakan peluang pekerjaan yang selesa kepada rakyatnya. Bangladesh, Pakistan dan Sri Lanka. Jika keadaan India sebegitu rupa bagaimana pula keadaan negara-negara disekelilingnya. Suatu perkara yang mengherankan ialah bagaimana boleh India menyediakan peluang pekerjaan kepada penduk-penduduk negara jirannya sedangkan rakyatnya susah mendapat kerja. Satu lagi persoalan yang sentiasa bermain di fikiran saya ialah bagaimana boleh terjadi India selaku sebuah negara nuklear di dunia tidak dapat menyediakan kemudahan yang paling asas untuk rakyatnya. Adakah kesemua duit rakyat dihabiskan untuk memperkuatkan ketenteraan? Berlumba-lumba dengan Pakistan melancarkan program pembinaan senjata nuklear terbaru. Missile Prithvi, Dhanush, Agni, Surya, Shaurya dan Sagarika melawan missile Hatf, Abdali, Ghaznawi, Shaheen, Ghauri, Babur, dan Ra`ad milik Pakistan.

Missile Ghauri Pakistan

Missile Agni India

Teksi kami akhirnya berhenti di hadapan sebuah rumah teres. Ramai yang keluar daripada rumah itu untuk menyambut kedatangan kami. Mereka seperti sudah menunggu-nunggu kedatangan kami. Saya terasa seperti VIP yang disenangi. Dipeluk-peluk. Ditegur-teguri. Mereka sungguh ramah dan sangat mehmaan nawaazi (hospitable). Barang-barang kami diangkut masuk ke rumah dalam sekelip mata sahaja. Mereka bercakap dengan bahasa yang saya tidak fahami. Rupa-rupanya mereka bercakap Arab. Mereka orang-orang Arab dari serata dunia. Palestine, Kuwait, Jordan, Sudan, Yaman, Algeria....Walaupun baru pertama kali datang kami merasakan seolah-olah sudahpun mengenali mereka sebelum ini. Itulah barangkali sifat orang Arab dahulu kala yang diwarisi. Apabila mereka mengatakan ahlan wasahlan maka ianya bukan sekadar luahan. Malah ia akan dijelmai dengan perbuatan. Tetapi akhlak ini kini bukan milik semua golongan Arab. Hanya mereka yang prihatin terhadap warisan Islam sahaja yang kelihatan menghidupkannya. Kata kawan-kawan orang Arab ramai di Delhi. Malah di seluruh pelusuk India. Hampir keseluruhan mereka adalah pelajar daripada berbagai-bagai peringkat pengajian tinggi. Ada yang mengambil BA. Ada yang mengambil MA. Ada yang sudah lama di India menyambung ke peringkat Phd. Bidang pengajian tumpuan mereka ialah selain pengajian agama. Hampir tiada orang Arab di madrasah-madrasah. Mereka belajar di universiti-universiti dan kolej-kolej. Rumah itu ialah markaz penuntut-penuntut Arab di Delhi. Mereka namakannya sebagai MSU. Singkatan kepada Muslim Student Union atau Ittihaad Talabatul Muslimiin Fil Hind. Ianya menjadi tempat persinggahan kepada mereka yang datang ke New Delhi. Samada dari luar negara atau dari dalam negeri. Pelajar2 Malaysia yang datang ke New Delhi pun biasanya menjadikan MSU sebagai tempat persinggahan mereka. Ianya pengalaman yang amat bermakna dalam hidup saya. Berada di India tetapi tidak disangka-sangka seperti berada di tanah Arab. MSU sentiasa dalam ingatan. MSU yang terletak di kawasan perumahan East Of Kailash. East of Kailash yang berdekatan dengan Markaz Tabligh Nizamuddin.

Bertanda A ialah lokasi East Of Kailash.
Di sebelah utaranya kelihatan stesen keretapi Nizamudin.
Markaz Tabligh Nizamudin berdekatan dengan stesen ini.


Friday, November 20, 2009

Kembara Deoband 11 - Sampai Ke Destinasi New Delhi

Jam 1.50 pagi engin pesawat dihidupkan semula untuk penerbangan selanjutnya. Selepas 10 minit pesawat kami mula meninggalkan landasan. Hati tertanya-tanya adakah pesawat ini hanya membekalkan coklat dan air sejuk sahaja utk penumpang di sepanjang penerbangan. Tak ada makanan yang berat-beratkah? Agaknya sebab itulah tambangnya murah. Kata orang di dalam pesawat penumpang akan dihidangkan dgn makanan tengahari, malam dan sarapan pagi. Perut sudah mula memainkan irama keroncongnya tanda bahawa ia sudah lapar. Tidak sia-sia berfikir tentang bila makanan akan dihidangkan. Tiba2 pramugara dan pramugari mula menolak troli berisi makanan menghala ke tempat duduk kami. Saya hanya menjamah burger ikan, kuih, buah tamar dan susu. Nasinya yg berisi kentang kari bersama yougort saya hulurkan kepada kawan2 Pakistan kerana mereka sudah biasa dgn kelazatannya. Saya tidak biasa dgn makanan yg seperti itu. Selepas sarapan mata kami semua mulai mengantuk dan kami terus tidur sehinggalah sampai ke Madras jam 5.35 pagi. Tepat jam 6.45 pesawat meninggalkan Madras menuju ke destinasi kami yg sebenar iaitu New Delhi. Sarapan dihidangkan sekitar jam 7.45 pagi. Telur, roti, jem dan betik. 8.30 pagi penumpang diminta memakai talipinggang masing-masing kerana pesawat akan mulai landing. Saya cuba menikmati pemandangan menerusi tingkap kecil pesawat. Dari udara kelihatan bangunan dan rumah-rumah di bandar Delhi seperti petak-petak sawah. Tidak ada bangunan pencakar langit yang mendongak ke atas. Tidak banyak jaluran sungai yang mencelahi tanah-tanah lapang. Tidak ada gunung dan bukit bukau yang memagari. Tidak ada pokok dan hutan yang menyelubungi. Jaringan jalan raya yang bengkang-bengkok agak jelas kelihatan. Suatu pemandangan yang amat berbeza dgn apa yang ada di tanahair. Jam menunjukkan pukul 9.00 pagi. Jantung berdebar-debar kerana terbayang-bayang kesukaran untuk melepasi kaunter imegresen nanti sebagaimana yang diceritakan oleh kawan-kawan dahulu. Takut mereka tak terima visa. Takut ditanya itu dan ini dan tak tahu hendak menjawabnya. Atau takut tersalah jawaban yang boleh mengundang ketidakpercayaan mereka bahawa kami datang untuk tujuan lain. Dalam asyik berfikir saya tidak menyedari bahawa saya sudah berada di dalam lapangan terbang antarabangsa Indra Gandhi. Syukur kepada Tuhan kerana akhirnya saya dapat memijak bumi India.

Monday, November 16, 2009

Kembara Deoband 10 - Sai Baba

Kerana sedikit kelewatan pesawat mula bergerak meninggalkan landasan pada jam 1.40 pagi. Saya duduk di barisan tengah bersama Wan Nazarudin, Umbaidilah dan Junid. Manakala Abu Hashim dan Abd Rahman duduk di bahagian kanan tingkap. Di sebelah kiri ialah seorang laki-laki dan perempuan India. Mereka kelihatan seperti pasangan pengantin baru. Seorang pemuda keturunan India yang baru naik daripada Singapura mengambil tempat duduknya di sebelah saya. Dia seorang penuntut fakulti undang-undang di salah sebuah universiti di Singapura. Katanya dia mahu ke Madras. Mahu menziarahi keluarga dan bersembahyang di kuil. Dia tidak jemu-jemu membelek-belek buku di tangannya. Barangkali sedang menghafal mantera-mantera untuk pemujaan di kuil nanti. Saya tidak bertanya dia penganut Hindu aliran apa. Daripada buku yang di tangannya itu jelas menunjukkan dia pengikut Sai Baba. Saya kerap melihat gambar Satya Sai Baba itu ketika di Kuala Lumpur. Gambarnya dilekatkan di dinding-dinding pejabat atau kedai orang-orang India. Perasaan saya ingin mengetahui siapakah sebenarnya tokoh ini. Kenapa dia mempunyai pengikut yang begitu setia. Apakah kehebatannya. Apakah pula ajarannya. Adakah dia seorang Hindu atau penganut agama lain. Perasaan ingin tahu ini telah menanamkan benih ke dalam jiwa saya tentang ilmu perbandingan agama. Pemerhatian ini menjadi pencetus kenapa saya selepas itu begitu cenderung kepada sesuatu yg bernama comparative religion.

Satya Sai Baba

Ajaran Sai Baba bukanlah sesuatu yang aneh dalam Hinduisme. Sebelum Sai Baba sudahpun lahir Sidi Baba yang membawa konsep ajaran yg sama. Malah sesiapa sahaja boleh menjadi spt Sai Baba dan Sidi Baba asalkan ia menerima konsep avatar (reincarnation, hulul) ajaran Hindu. Sesiapa sahaja boleh menjadi avatar kepada tuhan-tuhan mereka seperti Vishnu, Krishna, Rama dsb. Ia bermula dengan latihan rohani dengan meninggalkan fitrah kemanusian tanpa syariat yg membatasinya. Sehinggalah lahir perasaan kesatuan diri dengan Tuhan. Iaitu Atman. Manusia akan dilihat sama sahaja. Agama juga akan dilihat sama. Manusia bebas beragama tetapi harus menyatu dan bersatu. Iaitu Sanathana Dharma. Tidak ada yang haq. Bersatu itulah haq. Sama seperti konsep Din Ilahi Akbar, Bahai dan sesetengah ajaran sufi yang sesat seperti ajaran Inayat Khan (5 July 1882 – 5 February 1927). Matlamatnya cinta dan kasih sayang kepada semua. Iaitu Ocean of Love. Cinta dan kasih sayang harus dimanifestasikan dalam kesatuan berkerja. Bekerja untuk aktiviti sosial tanpa ada matlamat dunia. Iaitu Seva (selfless service). Golongan yang lemah ditolong. Golongan yang kuat menolong.

Gerakan Sai Baba telah berjaya melaksanakan banyak projek mega dan mendirikan institusi kebajikan percuma untuk masyarakat di hampir 166 buah negara. Sekolah, universiti, hospital, pusat kesenian, rumah ibadat, rumah kebajikan etc. Kemuncak kekuatan gerakan Sai Bab dapat dilihat oleh satu kenyataan bahawa pada tahun 2002 mereka mampu mengambil alih tugas kerajaan Tamil Nadu mengalirkan air ke sebuah tempat simpanan air (reservoir) Chennai (Madras) daripada sungai Krishna di negeri Andra Pradesh setelah projek Telugu Ganga yang dibina oleh kerajaan tidak lagi berkesan. Sempena dengan kejayaan itu org ramai telah menamakan projek baru itu sebagai Projek Sai Ganga. Maka tidak hairanlah jika ajaran Sai Baba mendakwa mereka mempunyai 1,200 pusat Sai Baba di 114 buah negara. Fenomena mengadakan aktiviti sosial oleh badan agama di India bukannlah asing. Banyak ashram (religious hermitage) dan mandir (temple) pecahan agama Hindu yang berbagai-bagai menubuhkan unit-unit sosial utk melaksanakan kerja2 kebajikan. Antaranya Ashram Aurobindo; Mandir-mandir dan sewa-sewa sempena nama tokoh2 Hindu moden spt Ramakrishna dan pengikut setianya Swami Vivekanda. Juga yang ditubuhkan oleh gerakan pertubuhan RSS yang bercita-cita mendaulatkan India sebagai Negara Hindu tulen, bukan negara sekular demokratik spt sekarang. Begitu juga pertubuhan agama-agama lain. Pertubuhan Misionary Kristian Mother Teresa, Pertubuhan sosial atas nama pengasas agama spt Guru Nanak, Mahavira dan Gautama Budha. Organisasi2 Islam juga turut memainkan perananya spt badan ekonomi Islam Muslim Fund, sayap sosio-politik madrasah-madrasah India iaitu Jamiat Ulama Hind, unit-unit amal gerakan Jamaat Islami dsb.

Namun kenapa India masih berhadapan dengan kemiskinan yang melata. Buta huruf yang nestapa. Taraf kesihatan yang dialpa. Infrastruktur yang terseksa. Mungkin jari boleh ditudingkan kepada kerajaan yang memerintah. Pertubuhan agama dan NGO hanya mampu menampung kekurangan di pihak kerajaan. Jika sesebuah kerajaan itu meninggalkan lompang kerja yang terlalu besar maka kerjanya sukar diisi dan ditampung oleh masyarakat kecil yg tidak mempunyai cukup kuasa. Adakah mereka yang menerajui silih berganti dewan undangan negeri Lokh Sabhanya dan dewan negara Rajya Sabhanya mempunyai niat yang ikhlas terhadap kebajikan rakyat. Parti Kongres, Parti Janatadal, Parti Baratiya Janataldal (BJP), Parti Bahujan (BSP) dan Parti Komunis (CPI) ialah nama-nama besar yang menjanjikan kesejahteraan rakyat di setiap kali piliharan raya diadakan. Atau kerana mungkin ada kuasa luar yang tidak mahu India menjadi suatu kuasa besar yang boleh mengugat kepentingan kuasa-kuasa tertentu di dunia yg menyebabkan mereka seolah-olah dirancang untuk terus berada dalam kondisi yg sedemikian rupa. Atau mungkin kerana faktor-faktor lain. Kemungkinan2 itu mungkin saja seluas tanah India barangkali. Ia mungkin juga sebanyak bilangan penduduknya yg kini mencecah satu billon.

Sunday, November 15, 2009

Kembara Deoband 9 - India di Pesawat

Jam 11.56 enjin pesawat mula dihidupkan. Tepat jam 12.00 kapalterbang mula menuju ke landasan. Hati berdebar-debar kerana itulah julung kalinya menaiki pesawat. Terasa hanyut di kepala apabila ia mula menconggak naik dengan pantas sebelum mendatar di udara. Pramugari dan pramugara sibuk memberi arahan kepada penumpang mematuhi peraturan di dalam pesawat. Mereka juga sibuk melayan kerenah penumpang dengan kuntuman senyum yang tidak pernah pudar. Saya melihat gelagat mereka sambil berfikir sejenak kenapa kami penumpang dilayan sedemikian rupa. Adakah kami calon-calon syurga?. Adakah kami sedang menuju ke syurga?. Adakah mereka di luar pesawat sebaik itu. Atau mereka hanya dilatih berbuat begitu....dan macam2 lagi persoalan yg timbul. Kemudian pramugari mula mempelawa kami mengambil coklat dan sedikit minuman. Mereka seolah-olah mengetahui kami semua mungkin kehausan kerana bekejar-kejar mendapatkan pesawat tadi. Penumpang tidaklah begitu ramai. Masih banyak kerusi yang belum diisi. Agaknya disediakan untuk penumpang yang naik dari Singapura.

Jam 12.23 kapten mengumumkan bahawa pesawat akan mendarat di Singapura. Semua penumpang diminta memakai tali kaledar masing-masing. Pesawat mula menjunam ke bawah dengan lajunya. Saya tertanya-tanya kenapa harus laju. Bukankah untuk jatuh ke bawah lebih mudah jika dibandingkan dengan naik. Kepala terasa bengang kerana perubahan tekanan yang tiba-tiba. Terfikir juga takut pesawat hilang kawalan dan terus jatuh menyembah bumi. Mulut berkumat kamit tak henti-henti berdoa moga-moga Allah selamatkan penerbangan kami. Kawan-kawanpun begitu. Itulah tabiat manusia. Di kala mereka kehilangan tempat bergantung ketika susah di waktu itulah mereka akan pasrahkan doa dan harapan kepada Tuhan. Jika mereka senang mereka akan lupakan Tuhan.

Dalam masa lebih kurang 10 minit kami sudahpun berada di tanah. Jarum jam menunjukkan pukul 12.40. Kami transit di Singapura selama 20 minit sahaja. Kami tidak dibenarkan keluar dari pesawat kerana berhentinya sekejap. Ada penumpang yang turun kerana destinasinya hanyalah Singapura. Saya pernah ke Singapura akhir 70an kerana mengikuti emak dan ayah membeli kereta volkswegen sambil membeli kain baju untuk berniaga. Itulah kereta pertama keluarga kami. Kata emak kalau saya dapat good result di sekolah dia akan bawa saya ke Singapura. Emak selalu memberi perangsang kepada anak-anak untuk cemerlang dalam pelajaran walaupun emak tidak tahu membaca dan menulis. Emak totally buta huruf. Tidak tahu membaca rumi dan jawi. Emak juga tidak tahu membaca Al-Quran. Tetapi emak cuba juga mempelajari Al-Quran. Ada makcik yang datang ke rumah sesekali untuk mengajar emak Al-Quran. Akhirnya emak boleh membaca Yasin. Kalau umurnya panjang tentu dia dapat membaca Al-Quran dengan lancar kerana dia seorang yang rajin dan ambitious. Transit ini mengingatkan semula kisah-kisah indah bersama emak terutama di Singapura. Emak meninggal dunia pada tahun 1980 ketika baru berumur 30 tahun. Kalau dahulu emak menghadiahkan kepada saya menjejak kaki ke Singapura maka pada hari ini saya menghadiahkan pahala pula kepada emak dengan menjejak kaki ke Singapura dalam usaha untuk menuntut ilmu agama.

Penumpang-penumpang dari Singapura mula mengisi kerusi-kerusi kosong menyebabkan suasana dalam pesawat mula sendat dengan manusia. Ada Melayu ada Cina. Kebanyakkannya keturunan India. Samada pelancong dari India atau orang India Malaysia atau Singapura sendiri yang ingin ke sana atas berbagai tujuan. Berniaga, menziarahi sanak saudara, melawat tempat-tempat suci, melancong ke tempat2 peranginan dan bersejarah, urusan akedemik, menghadiri seminar, menyambung pelajaran terutama dlm bidang kedoktoran, membuat kajian etc. India kaya dengan khazanah kemanusiaan. Oleh itu orang pergi ke India dengan bermacam-macam tujuan. Pengamatan terhadap India juga berbeza-beza. Ada yang sayang dan cintakan India. Ada yang mencemuhnya dan tidak mahu datang-datang lagi. Walaupun kadang-kadang tujuannya sama tetapi pentafsiran sesuatu tentang India tetap berbeza. Ada yang melihat India itu kotor. Ada yang melihat India itu penuh dgn penipuan. Ada yang melihat India itu miskin. Ada yg melihat India tidak cantik sebagaimana yg digambarkan. Ada yg melihat India itu tempat kehidupan berkasta yg zalim. Ada yang melihat India ketinggalan dan tidak moden. Tetapi hakikatnya manusia tetap datang ke India. Dari Asia maupun Eropah. Seolah-olah ada kuasa ghaib yang menarik mereka ke situ. Mereka memenuhi ceruk rantaunya. Dari Selatan hinggalah ke Utara. Dari Kanyakumari hinggalah ke Himalaya. Mereka tetap menulis mengenainya. Tidak kering pena melakarinya. Kata Iqbal dalam memuji India: "saree jahaan se achha Hindustan hamaara". Poetik ini menakjubkan semua lapisan masyarakat India hinggakan negarawannya dan akhirnya diangkat menjadi rhythm negara. Bersambung...

Saturday, November 7, 2009

Kembara Deoband 8 - Tarikh Keramat 22 Julai 1989

Perjalanan pulang dari Lucknow lebih mententeramkan jiwa saya jika dibandingkan dengan perjalanan semasa pergi kerana saya dapat melihat sendiri Nadwatul Ulama dan membuat keputusan untuk belajar di mana selepas ini. Ianya sekali gus membuka ruang untuk saya berfikir tentang hakikat Islam di India. Betapa Islam di India begitu subur hidup dengan pengajian agama yang mantap walaupun ia tidak dinaungi oleh mana-mana pihak yg berkuasa. Tidak individu. Tidak juga pemerintah. Tidak kuasa dari dalam. Tidak juga kuasa dari luar. Malah ia dipelihara oleh kesedaran yg tinggi ummahnya. Dari petani hinggalah yang bekerja di pejabat. Dari orang kampung hinggalah orang bandar. Dari orang biasa (layman; aam aadmi) hinggalah orang yg berpelajaran (educated; pare likhkhe aadmi).

Di sepanjang perjalanan saya tidak jemu-jemu melihat pemandangan di luar sana. Pemandangannya cantik dan mengasyikkan. Tanahnya jarang kelihatan kosong. Kelihatan kesemuanya diusahakan terutama untuk kegiatan pertanian dan penternakan. Seharusnya tiada yang lapar di India melihatkan tanah yang diusahakan sedemikain rupa. Tetapi keadaannya sebalik. Ramai yang meminta kerana kelaparan. Ladang-ladang gandum dan tebu kelihatan subur menghijau. Kebun-kebun mangga terbentang luas. Kerbau-kerbau sedang meragut dan berkubang di dalam lumpur. Gembala-gembala kambing tenang menunggu ternakan mereka memakan daun-daun pokok di tepi-tepi rel keretapi. Kereta-kereta lembu sarat dengan batang-batang tebu yang hendak di bawa ke kilang-kilang gula. Burung-burung berterbangan berpuak-puak. Sesekali kelihatan kumpulan merak menari-nari kegembiraan. Fenomena membuang air besar di sesetengah kawasan di kala kereta api melintas kadang-kadang menganggu mata saya memandang keindahan alam semulajadi ciptaan Tuhan. Fikiran saya mula melangkau jauh mengingatkan saat-saat akhir meninggalkan bumi tercinta..

bil ghari (kereta lembu) yang sarat dgn tebu menuju ke kilang gula

merak menari-nari berdekatan dgn parit (nali ke qariib)

Penerbangan kami ke New Delhi dengan Air India 411 dijadualkan pada pukul 10.30 malam tanggal 21 Julai 1989. Ramai kawan-kawan datang ke airport Subang untuk mengucapkan selamat tinggal kepada saya. Fenomena keakraban ukhuwwah Islamiyyah tahun 80an sememangnya lumrah. Itulah berkat usaha daei-daei yang cintakan Islam di kala itu. Adik-adik junior UM Basri, Raja, Ismail, Khairi, Yahya, Khairul Nizam dan Hamdan turut hadir. Kawan-kawan serumah di Bangsar Shahini, Mazlan Shamsur, Roslan, Hishamudin, Shah Johan, Wan Baharudin, dan Nazman tidak ketinggalan bersama hingga ke saat akhir untuk berlepas. Penerbangan tiba-tiba ditunda hingga ke pukul 12.00 tengah malam. Boarding pass keluar Malaysia sudahpun dijatuhkan mohornya oleh pihak imigresen bertarikh 22 Julai 1989. Tarikhnya mungkin dikira daripada waktu sebenar kapalterbang akan berlepas. Ianya sudah tentu tarikh keramat buat diri saya. Tarikh ini adalah suatu realiti bahawa saya benar-benar akan meninggalkan tanahair. Selama ini ianya hanyalah sebuah impian yang tidak ketahuan apakah benar ia boleh menjadi kenyataan. Tetapi hari ini pada tarikh 22 Julai 1989, saat ini ketika jam berdetik 12.00 tgh mlm, ia bukan lagi suatu mimpi.

Sebelum ini saya sudahpun mendengar rungutan kawan-kawan mengatakan penerbangan dengan Air India memang menyusahkan. Kerap berubah masa. Banyak transit. Transit di Singapura. Transit di Madras. Namun apa boleh buat itulah antara penerbangan yang paling murah yang dapat diperolehi. Selain Air India penerbangan yang menjadi pilihan pelajar-pelajar kita untuk ke New Delhi kerana tambangnya yang murah ialah Air float Russia. Rata-rata yang hendak belajar di India tidak mendapat mana-mana biasiswa. Mereka perlu berjimat dalam apa jua suasana termasuklah dalam pemilihan jenama kapal terbang. Kesemua urusan tiket sebenarnya diuruskan oleh kawan-kawan yang sudah ada pengalaman ke Pakistan. Mereka lebih arif tentang tiket. Ke India dan ke Pakistan agaknya sama. Junaid, Abu Hashim, Abdul Rahman dan Umbaidillah kesemuanya pernah belajar di Pakistan dan kini mahu menyambung pelajaran di India pula. Jika saya dan Wan Nazarudin kami belum pernah keluar daripada Malaysia. Namun kami masih berbeza. Wan Nazarudin pernah belajar di sekolah Arab manakala saya bukan daripada aliran Arab atau agama. Sebelum ini kami semua belum mengenali antara satu sama lain. Kami dipertemukan oleh tujuan yang sama. Tujuan hendak mengembara menuntut ilmu di bumi India. Saya dan Wan beruntung kerana ada teman-teman yang sudahpun ada pengalaman berada di dalam airport. Tidaklah kami seperti rusa masuk kampung. Saya tidak kesah walaupun waktu ditunda asalkan jangan saya tidak dibenarkan terbang langsung. Tumpuan saya hanyalah satu iaitu mahu meninggalkan Malaysia dan sampai ke bumi India. Tidak kiralah pukul berapa. Saya tidaklah resah dan merungut kerana kelewatan. Sikap tidak merungut dan keluh kesah ini mungkin satu faktor besar kenapa saya betah tinggal lama di India. 1989 hingga 2004 sudah tentu lama masanya. Matlamat itu penting. Apatah lagi kalau ia adalah matlamat agama. Cinta kita kepada sesuatu menyebabkan sesuatu yang pahit semuanya dirasakan manis. Pukul 11.30 kami sudahpun berada di dalam kabin kapalterbang setelah penat berlari ke sana ke mari mencari pintu A04. Satu keadaan yang mencemaskan kerana berlaku pertukaran pintu secara tiba-tiba menyebabkan kami terpaksa berlari tercunggap-cunggap mendapatkan arahnya yang betul. Muka kami kepucatan kerana takut ditinggalkan kapalterbang apabila pengumuman dikumandangkan berkali-kali meminta mereka yang belum lagi boarding segera berbuat demikian. Saya mungkin orang yang paling terasa penatnya kerana mengendong bagasi yang sarat dengan kamus dan buku-buku.

Kelam kabut dalam airport bukanlah sesuatu yang tidak diduga. Malah bibit-bibit susahnya urusan di India nanti sudahpun dirasai ketika menunggu untuk mendapatkan visa untuk ke sana. Kesemua visa kami berenam diuruskan oleh Al Marhum Ustaz Abdul Kadir Hasan yang pada masa itu tinggal di Segambut. Ustaz pernah belajar di India. Di Deoband. Kemudian ke Al Azhar. Ustaz pernah bertugas di Pusat Islam sekembalinya dari Mesir. Kata Ustaz selepas dipanggil oleh Dr Mahathir kerana ada perkara yg tidak dipersetujuinya tentang operasi Pusat Islam dia naik berang dan meletakkan jawatannya. Selepas itu Ustaz jadi pendakwah bebas. Ustaz juga berkahwin dengan orang Hindustan. Gadis Deoband dari mahalla Qilla. Ianya sedikit sebanyak dapat membantu memudahkan kerja Ustaz menolong pelajar yang hendak ke India. Ustaz mempunyai kenalan di kedutaan India untuk urusan yang sukar ini. Malah mereka orang kedutaan melihat Ustaz ada hubungan yang kuat dgn negara mereka. Hampir kesemua visa pelajar Malaysia tahun 80an diuruskan oleh Al Marhum Ustaz. Bukan senang untuk mendapatkan visa pelajar untuk belajar di madrasah di India. Semua permohonan yang diajukan tidak semua lolos daripada disyaki mahu ke madrasah. Jika mereka tahu mahu ke madrasah permohonan akan dibatalkan serta merta. Oleh itu permohonan dibuat atas tiket belajar di kolej-kolej atau universiti-universiti di India. Siapa yang bernasib baik sahaja akan memperolehinya. Ianya adalah anugerah Allah jika menghargainya. Semuga Allah membalas jasa Ustaz yang besar ini.

Biasanya setiap kali ditanya Ustaz akan mengatakan esok visa kami semua akan siap. Kenyataan ustaz sebenarnya berpandukan apa yang dijanjikan oleh orang India yang bekerja di kedutaan tersebut. Kadang-kadang kami disuruh datang ke rumahnya esok kerana visa sudah siap. Tetapi apabila kami sampai di rumah, Ustaz kata 'orang itu' kata belum siap. Bukan sekali dua menaiki motosikal daripada Bangsar ke Segambut untuk mengambil visa yang tidak siap-siap. Tidak terhitung banyaknya sampaikan tayar motosikal saya sudahpun mengetahui lubang-lubang mana yang perlu dielakkan di sepanjang jalan ke rumah Ustaz. Paling kemuncak ialah kami dibenarkan membeli tiket kerana visa sudah siap. Apabila tiket sudah dibeli visa diumumkan belum lagi siap!!! Gelisah tidak terhingga kerana kawan-kawan daripada Pakistan itu kata orang Pakistan kuat menipu. Orang India pun sama. Namun alhamdulillah kerana berkat kesabaran akhirnya semua visa siap kecuali visa Umbaidillah. Tiketnya sudah dibeli. Tarikh penerbangan sudahpun ditetapkan. Keluarga di Kelantan sudahpun mengucapkan selamat tinggal untuk Umbaidillah. Beliau sudahpun berada di Kuala Lumpur. Esok hari penerbangan. Visa belum diperolehi!. Kami tidak mengetahui bagaimanakah lagi hendak menyakinkan Umbaidillah bahawa peluang untuk pergi masih ada. Masih ada ruang untuk memperolehi visa selagi tarikh penerbangan belum lagi tiba. Pernah ada kes sebelum ini di mana kesemua famili sudah berada di airport untuk mengucapkan selamat tinggal tetapi visa belum diterima. Tetapi akhirnya visa menjelma dalam keadaan yg penuh mencemaskan. Inilah sandaran kami untuk menenangkan Umbaidillah. Kami dapat merasai kekesalan beliau. Saya amat terasa bersalah kerana sayalah yang diamanahkah untuk berurusan dengan Ustaz dan melaporkan perkembangan visa kepada kawan-kawan yang lain. Macam-macam yang saya fikirkan. Serba tak kena dibuatnya. Tiba-tiba Ustaz menelepon saya katanya visa Umbaidillah baru siap. Alhamdulillah!!. Penantian yang mencemaskan akhirnya berakhir. Kesemua kami berasa lega kerana dapat terbang bersama. Jika Allah sudah takdirkan tentang sesuatu itu akan berlaku ianya akan berlaku jua, dalam apa keadaan sekalipun, walaupun dalam penglihatan manusia ia agak mustahil.

Fenomena yang sedemikian sebenarnya menjadi kebiasaan di India. Ia bukan ganjil. Malah sudah menjadi sunnah hidup mereka barangkali. Dalam urusan pejabat janji seolah-olah mainan sahaja. Tidak perlu rasa malu. Tidak perlu rasa bersalah jika janji tidak dikotakan. Datang esok!!! itulah kata-kata pegawai di pejabat polis bandar Saharanpur tempat kami menyambung permit tinggal di India (residential permit) kalau moodnya tak baik hari itu. Bila esok datang dia tanpa nada yang kesian belas akan berkata pula "kal aaoo!!! Sir nahin hai" (esoklah dtg Tuan tak de). Macam2 alasan akan diberikan. Bayangkan kita dtg dari jauh menaiki bas. Satu jam perjalanan bukanlah dekat terutama jika kemudahan transport tersangat poor. Menunggu giliran bas yang tidak berapa kerap satu hal. Penumpang yang sesak satu hal. Jarang mendapat tempat duduk satu hal. Perjalanan setelah menaiki bas satu hal yang lain. Naik basnya seperti naik kereta kuda. Melambung-lambung. Jalannya tidak rata, berlobang-lobang dan sempit. Gangguannya banyak. Ada lembu kambing melintas. Ada cart yang terbalik sarat dgn jerami dan batang-batang tebu. Ada pagar yang menahan kerana keretapi sedang melintas. Ada lori terbalik di sana-sini. Kadang kerana accident. Kadang dek muatan terlalu banyak. Tiada istilah JPJ di India. Tiada juga istilah pemantauan. Lori-lori selalu kelihatan senget kerana muatan yang tidak terkawal. Bas pula hampir seratus peratus besi kecuali tayar. Kerusinya daripada kayu. Kerangkanya daripada besi. Seluruh badan mudah bergetar apabila bas memecut. Kepala seperti dikocak-kocak. Sendi semacam nak tercabut. Tulang punggung di tempat duduk bagaikan hendak patah seperti dihempap dan diketuk-ketuk dgn besi....Semua itu saya lulus ujian pertamanya di Malaysia.

Beginilah selalunya sesak sampai ke bumbung.
Bayangkan bagaimana suasana dlm bus itu sendiri!!!

Jalan utama India merentasi
kampung2. Org2 kampung selamba
menggunakah jalan raya
untuk apa saja aktiviti (klik gmbr ini utk lihat dr dekt).





Sunday, November 1, 2009

Kembara Deoband 7 - Nadwatul Ulama Selalu Di Hati

Walaupun sekejap bertandang namun Nadwatul Ulama meninggalkan kenangan yang sukar dilupakan terutama apabila dapat melihat sendiri Maulana Abul Hasan Ali An Nadwi (1913- 1999), seorang ulama yang dikenali seantero dunia. Maulana dikenali sebagai nama Ali Mian di India. Itu barangkali panggilan manjanya di sana. Waktu itu Asar. Selepas solat asar Maulana Abul Hasan akan bersila lama menghabiskan wirid peribadinya. Itulah disiplin dan adab seorang hamba dengan Tuhannya. Walaupun sesibuk mana manusia tidak seharusnya ia alpa kepada keperluan rohaninya. Amalan itu bukannlah buat seketika sahaja malah kata kawan-kawan di sini itulah amalan Maulana jika beliau berada di Nadwatul Ulama. Kemudian beliau akan duduk di perkarangan rumah tetamu bersebelahan dengan Masjid Nadwatul Ulama. Waktu itu Maulana akan diziarahi oleh berbagai-bagai lapisan masyarakat. Dari orang kampung (gaaun wale), pelajar (talibi ilm), murid (shaagir), cendikawan (pare likhe aadmi) hinggalah kepada orang-orang besar yang berpengaruh (bare-bare aadmi). Maulana akan duduk di atas sebuah kerusi dikelilingi oleh kerusi-kerusi kosong yang akan dipanasi oleh tetamu-tetamu yang bertandang secara bergilir-gilir. Suasana penuh dengan ketenangan. Maulana diam sahaja barangkali diam berzikir. Maulana jarang menyapa melainkan jika ditanya. Hadirin menghormati majlis. Mereka bercakap dengan penuh adab. Tidak meninggikan suara. Tidak bercakap sesama sendiri yang boleh menganggu majlis. Ada yang datang lalu terus bersalaman dengan Maulana, kemudian berlalu. Tidak lengkap rasanya ziarah ke Nadwatul Ulama jika tidak sempat menemui Maulana Abul Hasan. Itulah barangkali apa yang telintas di dalam hati masing-masing apabila diberi kesempatan memijak kaki ke tanah Nadwah. Mengikut kawan-kawan lagi itulah rutin harian Maulana. Malah itulah adat kebiasaan tok-tok guru di India. Mereka akan menemui tetamu pada waktu selepas solat asar.

Ali Mian

Pelajar Malaysia waktu itu paling ramai di kalangan pelajar2 asing. Mereka ditempatkan di sebuah hostel yang dikhususkan untuk pelajar luarnegeri (lil waafidiin). Kesemua bangunan terletak di dalam kawasan Nadwah termasuklah hostel pelajar. Pelajar daripada Thailand juga ramai. Dari Indonesia tidaklah begitu ada. Nisbah ini ialah suatu refleksi menunjukkan kekuatan pengaruh pengajian India di negara masing-masing. Yang pasti pelajar Malaysia datang belajar di India sejak sebelum merdeka lagi. Suasana pelajar agak ceria. Mereka punyai masa yang cukup untuk melayan tetamu kerana kelasnya hanya sampai waktu tengahari sahaja berbanding dengan Deoband sampai ke asar, malah kadang hingga ke malam. Keceriaan mereka mungkin terpancar dek hidup mereka secara berukhuwwah. Itulah tarbiyyah yang berjaya disemaikan oleh Maulana Abul Hasan An Nadwi dan guru-guru Nadwah.

Mereka memasak sendiri mengikut kumpulan masing2. Nasi dibekalkan oleh pihak Nadwah. Lauk mereka masak sendiri kerana tak selera makan makanan India sepanjang masa. Perencah-perencah mereka bawa dari rumah untuk setahun. Saban tahun di akhir bulan sya`ban ada sahaja yang pulang bercuti dan membawa bekalan bahan masakan. Sebulan Ramadhan madrasah cuti. Waktu tengahari dan malam hostel sibuk dengan aktiviti memasak di depan bilik masing2. Pagi mereka bersarapan di kantin. Mereka menggunakan stove untuk memasak. Itulah satu2nya alat yang digunakan oleh masyarakat kelas biasa di India pada waktu itu untuk memasak dan memanaskan air. Tiada dapur disediakan kerana asalnya makanan pelajar dibekalkan oleh pihak madrasah secara percuma. Pandai-pandailah buat dapur sendiri. Masakan sungguh lazat kerana kepelbagaian resepi; Malaysia, Thailand dan Indonesia.
Stove yang digunakan di India guna minyak kerosene

Ada dapur sendiri juga kadang-kadang ada negatifnya terutama kepada orang-orang yang menuntut ilmu. Kata kawan-kawan ustaz2 di sini kadang-kadang merungut juga kerana pelajar foreigner asyik memasak. Masa banyak terbuang. Pengajian hingga ke tengahari sahaja di Nadwah salah satu tujuannya ialah untuk memberikan masa yang lebih kepada pelajar untuk membuat ulangkaji dan membaca buku2. Bukan untuk tujuan memberi keselesaan untuk memasak maggie atau mamee. Untuk tujuan menggalakan pembacaan terutama literature bahasa Arab yang berunsur Islam Maulana Abul Hasan telah banyak mengarang kitab. Dari sekecil-kecilnya hingga ke sebesar-besarnya. Dari untuk kanak2 hingga kepada untuk pemikir-pemikir dunia. Dari Qisasun Nabiyyiin hinggalah ke Maaza Khasirul `Aalaam bin hithaatil muslimiin. Ada yang dijadikan sukatan ada yang digalakan membacanya. Waktu itu amat berharga untuk seorang penuntut ilmu. Jika benar-benar belajar terasa masa tidak mencungkupi. Kalau dahulu ulama-ulama terpaksa menggalas perut dengan hanya bertih-bertih beras semasa menuntut ilmu, tetapi zaman kebelakangan ini kita terlalu mewah dengan makanan sehingga membawa kepada pembaziran masa dan pembaziran harta. Itulah barangkali kenapa ilmu mereka berkat. Keberkatan itu boleh dilihat daripada hasil usaha mereka yang digunakan sepanjang zaman. Kehidupan mereka dijunjung. Akhlak mereka dipuji. Amalan mereka dicontohi. Nama mereka disebuti. Pemergian mereka ditangisi......


Bersama Dr.Faisal UM Di Pintu Nadwah
Ketika Lawatan Kami Awal 2009


Setelah melihat Nadwah dan kehidupan guru-guru dan penghuninya terdetik di hati saya untuk datang semula ke Nadwah setelah tamat belajar di Deoband nanti. Bukan sebagai pengungjung setia tetapi sebagai seorang penuntut yang ingin menceduk ilmu dan tunjuk ajar dari guru-gurunya. Mudah-mudahan ilmu saya bertambah. Bahasa Arab saya indah, kefahaman terhadapnya mendalam. Akan terasa manis, akan terasa zauq apabila membaca ungkapan-ungkapan adabinya. Itulah keinginan saya. Angan-angan saya. Angan-angan ingin belajar di Nadwah terutama dalam Takhasus Fil Adabil Arabi, kelas tinggi pengkhususan dalam bidang Sastera Arab. Nama yang sinonim dengan kemasyuran Maulana Abul Hasan Ali An Nadwi yang pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Kesasterawan Arab, Rabitah Alam Islami.