Monday, April 22, 2013

Kembara Deoband 52: Pilihanraya India 1989-2004

Sepanjang tinggal di India daripada tahun 1989 hingga 2004 saya telah menyaksikan sebanyak 7 kali pilihanraya. Sepanjang itu juga saya telah hidup di bawah pemerintahan lapan orang Perdana Menteri yang silih berganti daripada berbagai parti. Parti Kongres (Indian National Congress), Janata DalSamajwadi Janata Party dan Bharatiya Janata Party (BJP). Ketika saya mula-mula sampai, India diterajui oleh Rajiv Gandhi yang mewarisi dinasti Parti Kongres yang memerintah India. Semenjak Merdeka sehinggalah tahun 1989, tahun di mana saya menjejak kaki di bumi India, bumi India  secara keseluruhannya diperintah oleh Parti Kongres. Iaitu daripada 9 kali pilihanraya diadakan Kongres memenangi sebanyak 7 kali. 

Tahun 1989 satu tragedi besar telah berlaku yang menyebabkan landscape politik India terus berubah. Perdana Menterinya Rajiv Ghandi mati dibom. Sebelum Rajiv dibom emaknya Indra Ghandi yang juga merangkap Perdana Menteri pada waktu itu juga mati ditembak. Pemerintahan Parti Kongres semakin lemah kerana dilihat sebagai terlalu lama memerintah India. India seolah-olah Kongres yang punya. Kelemahan memerintah makin terserlah apabila isu-isu kronisma, rasuah, penyelewengan, kasta dan pengabaian hak minoriti dibangkitkan. Setelah 1989 Kongres tidak lagi mampu mengembalikan imejnya di mata rakyat. Kongres telah kehilangan jawatan perdana menteri pada tahun 1989, 1990, 1996, 1997 dan 1998. Walaupun tahun 1991 Kongres berjaya mendapatkan semula jawatan perdana menteri dengan melantik V.P Narasimha Rao sebagai calonya, tetapi ianya melalu gabungan dengan parti-parti lain yang memperlihatkan kedudukannya amat tidak stabil.  Di zaman Narasimha Rao inilah masjid Babri diruntuhkan yang menyebabkan kepercayaan umat Islam kepada Kongres yang selama ini dikatakan paling membela umat Islam di India. Malah ramai ulama yang menyokong Kongres daripada semenjak merdeka. 

Semenjak itu masyarakat awam Islam mulai menyokong parti Samajwadi Janata yang diketuai oleh Mulayam Singh Yadav. Beliau begitu lantang menyuarakan hak minoriti sehingga ada yang menggelarnya Maulana Mulayam Singh. Keadaan ini juga menyebabkan sayap politik Deoband iaitu Jamiat Ulama Hind terumbang ambing samada mahu kekal menyokong Kongres atau berpindah kepada parti lain. Amat sukar meninggalkan parti Kongres kerana akabir Deoband dahulu seperti Sheikuul Hind Mahmud Hasan dan  muridnya Maulana Husein Ahmad Madani telah meninggalkan sejarah yang tidk boleh dilupakan dalam Parti Kongres terutama dalam menuntut kemerdekaan India. Namun tanda tanya tentang adakah pemilihan parti itu suatu yang perlu diwarisi atau perlu kepada ijtihad siyasi memperlihatkan keadan taraddud ulama dalam membuat keputusan. Akhirnya siqah orang awam menjadi semakin berkurangan terhadap ulama dalam bab politik kerana mereka merasakan ulama masih sayangkan Kongres walaupun Kongres tidak dapat mempertahankan hak mereka. 

Senario politik ini turut mempengaruhi suasana politik setempat Deoband. Orang awam tidak lagi berpaling kepada calon pilihan ulama dalam pemilihan Municipal Board di Deoband. Deoband juga mengadakan pilihanraya kecil untuk menentukan Tok Penghulu Deoband yang akan menjadi ketua Municipal Board, iaitu majlis tertinggi pentadbiran Deoband. Pendek kata politik sentiasa berubah dan ia tidak seharusnya ditakuti. Malah sesiapa sahaja patut bersedia menerima perubahan. Surah Ar Rom itu adalah petunjuk kpd  kesedaran politik walaupun orang Arab waktu itu jauh dari kuasa besar. Apakah ayat Quran turun dalam keadaan mereka tidak tahu dan tidak bersikap terhadap fenomena politik semasa samada yang mahalli maupun duali. Seorang ulama yang peka dgn politik semestinya tidak sama dengan yang tidak peka. Keadaan ulama Deoband yang terlalu menumpukan kepada "pengajian" dan menyerahkan bulat-bulat penentuan masa depan "politik" masyarakat Islam kepada Jamiat Ulama Hind mempengaruhi "iklim kelemahan umat Islam" India di sisi kuasa politik dominan setempat. Lihatlah daripada semenjak Kongres menjadi pudar sehinggalah bersilih parti yang memerintah, "Deoaband" tidak berkuasa mempertahankan haknya agar diberi kebebasan sebagai institusi pendidikan yang bebas. Sekurang-kurangnya ia bebas menerima pelajar dari dalam dan luar negara seumpama universiti yang lain yang diiktirafkan oleh kerajaan. Sudah berapa kali Darul Uloom memecat pelajar luar negara secara besar-besaran apabila digertak oleh pihak kementerian dalam negeri. Saya sendiri pernah diarah keluar daripada India dalam masa lapan hari tanpa sebab yang konkrit. Pengalaman sebagai satu-satunya pelajar asing yang tinggal selama 15 tahun di Deoband dengan 7 tahunnya seorang diri sedangkan beribu-ribu memohonnya tetapi dikekang dengan masalah visa oleh kerajaan India menyebabkan saya selalu berfikir.......Apakah kuasa yang ada pada Babur sehingga berjaya memacak kerajaan Islam Mongul di bumi yang umat Islam hanya golongan minoriti sehingga bertahan beratus-ratus tahun lamanya !!!!! [Penglibatan ulama berubah secara drastik sekembalinya saya ke tanah air. Pada tahun 2009 semasa saya melawat Deoband ramai guru-guru saya telah meletakkan jawatan dan berkecimpung dalam bidang sosial dan politik melalui Jamiatul Ulama Hind]





Indra Ghandi 1980-1984


Rajiv Gandhi  1984-1989


V.P Singh 1989-1990

Chandra Sekhar 1990-1991

Naramsigha Rao1991-1996


Atal Bihari 1996-1996; 1998-2004

 Gowda 1996-1997
 Inder Kumar Gujral 1997-1998









Thursday, April 18, 2013

Kembara Deoband 51: Jangan Conteng

Tahniah kpd Ustz Nik Mohd Abduh kerana dicalonkan bertanding di Pasir Mas. Saya mengenali beliau ketika di India. Sebelum itu saya hanya mengenali namanya sahaja. Ketika saya sampai di Deoband pada tahun 1989 beliau dan dua orang sahabatnya (Din &Azhar) daripada Maahad Muhammadi sudahpun setahun atau tak sampai setahun di Deoband. Saya ditempatkan di tempat beliau menyewa yang dipanggil Baitul Jamil di Mohalla Sharamzudin. Kami tinggal sebumbung buat seketika. Satu rumah tetapi bilik berasingan. Ada 5 buah bilik. Bilik pertama Bayya Najmi anak tuan rumah Qari Jalil. Bilik kedua bilik saya dan Hishamudin sebelum beliau berpindah ke Lucknow. Bilik ketiga bilik Nik Abduh. Bilik keempat bilik besar, bilik Iskandar selaku bilik masak juga. Bilik kelima bilik Roselan yg paling kecil. Kami makan bersama kerana senior waktu itu minta kami makan bersama dan gilir-gilir masak. Abduh dan saya jarang-jarang kena masak kerana kami lebih suka ambil peranan basuh pinggan. Bukan pinggan tetapi talam. Kami makan satu talam. Saya, Abduh, Iskandar, Hishamudin dan Roselan. Selepas itu masing2 menyewa bilik berasingan untuk membaca buku bebas dari sebarang gangguan terutama memasak.

Masyaalah, Nik Abduh seorang yang tekun dan pandai dalam pelajaran dari dahulu lagi. Namanya memang arif di Deoband. Rakan sekelas ayahnya dahulu waktu itu menjadi gurunya. Maulana Khurshid Alam adalah rakan satu kelas dengan ayahnya Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Menteri Besar Kelantan. Nik Abduh terkenal dgn sifat pendiam dan lemah lembutnya. Selalu dgn buku walaupun waktu makan di kedai. Sangat rajin membaca. Peka dengan politik dalam dan luar Malaysia. Selalu membaca suratkhabar Al Ra`id dan majalah Ba`at Islami daripada Nadwatul Ulama yang dilanganinya. Beliau juga rajin menulis artikel utk majalah2 Islam di tanah air spt majalah Muslimah. Berpersatuan semenjak di Deoband dan memegang jawatan yg penting2 dlm persatuan pelajar waktu itu. Kehidupan beliau sebelum ayahnya menjadi Menteri Besar atau selepas sama sahaja. Hidup ala pelajar agama yang serba kekurangan. Tak mewah. Kami 6,7 org duk Deoband bersama hampir 6 atau7 tahun. Selepas tamat beliau dan rakan2 lain ke Mesir. Tinggallah saya seorang diri di Deoband 6 atau7 tahun berikutnya.

Teringat satu ketika Nik Abduh (atau Roselan) dtg ke bilik saya untuk meminjam kitab Qiraat Rashidah jilid ke-3. Yang pasti Abduh yang hendak menggunakannya. Tak ingat pula adakah bukunya telah hilang atau lupa di mana telah diletakkan atau dipinjam orang lantas tidak menghantarnya. Sebelum di Deoband Abduh pernah belajar di Nadwatul Ulama madrasah penulis kitab Qiraat Rashidah sendiri. Sememangnya kitab ini dijadikan silibus di sana. Beliau telah membaca kitab itu sewaktu di sana. Kalau tak silap Nik Abduh perlukan kitab itu drp saya kerana nak mengajar Roselan Ramli sahabat kami. Oleh kerana saya belum lagi membaca jilid yang ke-3 itu maka saya pun tulis pada buku saya itu peringatan "jangan conteng". Ia sebagai satu peringatan kepadanya supaya jangan tulis apa2 pada buku saya supaya saya dapat berdikari membacanya tanpa apa-apa bantuan spt catatan "vocab" yang payah-payah etc.

Bila Basooir ingin menjadikan kitab itu sebagai bahan bacaan dalam siri pembelajaran bahasa Arabnya saya membukanya kembali. Ternyata tulisan "jangan conteng" itu masih ada dalam kitab Qiraat Rashidah. Ia hanya ditulis dengan pensil. Tak sangka pula bila saya teringatkan kisah ini tiba-tiba nama beliau dinaikan untuk menjadi calon pilihanraya di Pasir Mas. Saya juga memilki sebuah buku belajar bahasa Urdu dalam bahasa Arab. Waktu itu saya selalu melihat Nik Abduh membacanya.  Seoah-olah buku itu amat menarik. Kebetulan waktu itu saya belum pandai membaca buku bahasa Arab seumpama itu. Entah macam mana akhirnya buku itu jatuh ke tangan saya sampai ke hari ini. Rasanya buku itu milik seorang pelajar Malaysia yg bernama Zamzuri. Dia orang org Perak. Dia  datang dari Pakistan untuk belajar di Deoband. Malangnya masalah Visa dia pulang semula ke Pakistan. Dia yang tinggalkan buku itu untuk kami barangkali kerana buku itu tidak ada di India. Kebelakangan ini saya juga mula membuka buku tersebut. Hasrat saya ialah untuk mengajar Urdu dalam Basooir supaya ilmu ttg Urdu tidak hilang begitu sahaja. Setiap kali saya membuka Qiraat Rashidah jilid 3 dan setiap kali saya membuka kitab Qawaid Urdu maka nostalgia bersama rakan2 di Deoband akan singgah sebentar dalam ingatan. Ingatan itu masih segar. Ia belum lenyap dimakan usia. Itulah dia purani baat (old story) sebagaimana ungkapan yg digunakan oleh TGNA ketika saya berkesempatan berbual dengannya di Hospital Besar Kota Bharu, ketika dia menceritakan sedikit sebanyak kisah beliau di Deoband.

Jangan Conteng Kenangan bersama Nik Mohd Abduh


Buku Qawaid Asasiyyah li Dirasah Urdiyyah oleh Dr Samiir org Mesir. Phd dlm bahasa Urdu. Buku yg pernah menjadi tatapan Nik Abduh ketika di Deoband.