Thursday, May 19, 2011

Anekdot Ulama 39: Maulana Marghuburrahman

Hampir setahun saya mustami`. Tahun berikutnya saya di bawa oleh guru saya Maulana Saidurahman untuk bertemu dengan Guru Besar Darul Uloom, Maulana Marghuburrahman, di pejabatnya untuk mendapat keizinannya menjadi pelajar Darul Uloom yang berdaftar. Ketika saya di bawa masuk Maulana sedang membuat kerjanya. Di sisinya ada Maulana Riyasat Ali (yang akhirnya menjadi guru kitab Nukhbatul Fikr, Mishykat dan Ibn Majah saya) dan Maulana Mi`rajul Haq (satu-satunya anak murid muhadith Anwar Shah Kashmiri yang masih hidup ketika itu). Mereka semua sudah tua-tua terutama Maulana Mi`rajul Haq. Dia bertanya betul ke saya nak belajar atau sekadar nak duduk setahun dua untuk dapatkan sijil untuk pergi ke Azhar Mesir. Maulana yang membawa saya memberi kepastian bahawa saya selama ini datang ke kelas walaupun tidak berdaftar. Ditambahi pula saya masuk kelas peringkat paling bawah. Ia menjadi dalil yang kukuh bahawa saya bukan datang untuk melompat ke Azhar. Akhirnya Maulana menulis sesuatu di atas surat permohonan saya. Kata Maulana Saiudurahman kamu dibenarkan masuk Darul Uloom Deoband.

Selama saya di Darul Uloom jawatan Guru Besar atau Mohtamin tidak jatuh ke tangan orang lain. Maulana sudah lama menjadi anggota syura Madrasah Darul Uloom, sebelum menjadi Mohtamin lagi. Sejak dari awal lagi saya lihat Maulana tinggal bersendirian di sebuah bilik berdekatan dengan Darul Ifta di dalam Darul Uloom. Itulah bilik rehat dan tempat tidurnya. Kampung Maulana jauh terletak di daerah Bijnor, UP. Maulana menghabiskan masa berkhidmat memajukan Darul Uloom. Jarang-jarang sekali Maulana balik kampung. Saya kerap juga datang berjumpa dengannya di bilik penginapannya itu. Maulana seorang yang kaya. Keluarganya memiliki tanah dan kebun yang banyak di Bijnor. Oleh kerana itu Maulana tidak mengambil sebarang gaji dari Darul Uloom sebaliknya dia yang banyak membantu Darul Uloom dari segi keewangan. Jika musim buah mangga guru-guru dan staff Darul Uloom akan dijemput ke kebunnya untuk berpesta makan buah mangga yang memang terkenal sedap rasanya di India. Kerap kali semasa saya berjumpa dengan Maulana di biliknya dia duduk berseorangan. Adakalanya ada pelajar yang datang membantu melihat kalau-kalau ada keperluan Maulana yang perlu ditunaikan. Selalunya Pakcik Ajiji yang selalu datang menjeguk Maulana. Maulana Marghuburrahman tidak petah bercakap tetapi pandai buat kerja. Dia tak banyak cakap dan selalu duduk diam. Dalam majlis mana-manapun Maulana kelihatan tunduk dan diam sahaja. Ketawadu`an Maulana itu selalu dalam bayangan saya walaupun saya telah meninggalkan Maulana dan Maulana telah meninggalkan dunia ini.

8 comments:

Anonymous said...

1.alhamudillah. ustaz kembali menulis. rindu akan buah tangan ustaz

2. terima kasih atas kesudian ustaz menulis walaupun dikhabarkan ustaz sibuk

3. adakah universiti di Jordan, Mesir, Syria, Saudi mengiktraf sijil lulusan deoband? ramai rakyat Malaysia seperti Ustaz Nik Abduh dapat menyambung ke al Azhar dan ustaz nasharudi Mat isa lulusan nadwatul ulama, lucknow dapat menyambung ke Jordan.

4. kalau sambung belajar ke al azhar, adakah lulusan deoband belajar dari awal atau lompat tahun?

terima kasih ustaz.

Zaharudin Nawi/Aji said...

1-Sijil Deoband hanya diiktiraf oleh Azhar yang pasti tahun 3 terus. Ada juga yg kata boleh tahun 4 tetapi kena interview dahulu. Ana tak pasti. Ustaz Nik Abduh, Azhar, Zahirudin, Jailani dan Roselan satu angkatan dari Deoband. Mereka naik tahun 3 terus.
2-Mengenai pertanyaan Maulana itu bukan dia menghalang belajar di Azhar, tetapi dia agak kesal dengan sikap seseteangah pelajar kita tak masuk kelas seolah2 hanya datang nakkan sijil utk ke tempat lain.

Ismi Ijmi said...

salam ustaz
Ustaz,lama menunggu entry tbaru. Masih ad rupanya cerita Deoband. Apa beza Al-azhar dan Deoband?

Zaharudin Nawi/Aji said...

Darul Uloom Deoband dipanggil Azhar India (Azharul Hind). Mereka mempunyai kesamaan dalam manhaj pemahaman terhadap akidah, tasawuf, fiqah dsb. Manhaj pengajian agak berbeza kerana Darul Uloom masih menggunakan manhaj tradisi talaqqi kitab manakala Azhar guna sistem universiti pakai nota dan syarahan.

Anonymous said...

Jazakallah Ustaz..semoga Allah merahmati dan mengganjarkan ganjaran yang besar kepada semua Ulama2 seluruh dunia dahulu hingga sekarang...kerana mereka ini Alhamdulillah kita kenal agama. Saya bercita2 nak jadikan anak saya seorang Alim yang membantu agama Allah

Hafiz said...

salam ustaz, saya nak ajukan beberapa soalan

1- Macam mana nak mohon belajar di universiti Deoband?

2- Adakah perlu ada sijil STAM(Sijil Tinggi Agama Malaysia) untuk belajar di situ?

3- Adakah sijilnya diiktiraf kerajaan Malaysia?

Harap ustaz dapat balas, saya memang teringin benar untuk belajar di sini

Zaharudin Nawi/Aji said...

Setakat ini tidak ada perkembangan terbaru tentang keizinan kerajaan India untuk belajar di Darul Uloom Deoband. Maksudnya pelajar luar negara masih tak boleh belajar di Darul uloom. Visa utk belajar di madrasah tidak dikeluarkan. Pihak polis tempatan tidak mengeluarkan permit tinggal di India walaupun diterima masuk ke Darul Uloom.

Hafiz said...

ok ustaz, terima kasih kerana beritahu

sedih sangat tak dapat pergi