Sunday, May 29, 2011

Kembara Deoband 37: Shaukat Chaubis Parghana

Maulana Shaukat ialah kawan satu kelas dengan saya di Darul Uloom. Dia berasal dari daerah Chaubis Parghana yang terletak di negeri West Bengal India, iaitu negeri yang terletak bersempadan dengan negara Bangladesh. Shaukat seorang budak yang pintar. Dulu dia pernah bersekolah kerajaan sebab itulah dia tahu juga berbahasa Inggeris dan lebih-lebih lagi bahasa Banglanya. Dia datang daripada keluarga yang senang kerana ayahnya seorang peniaga. Saya hanya rapat dengannya di dalam kelas sahaja. Di luar kelas kami jarang-jarang berjumpa. Shaukat kadang-kadang datang juga menjenguk saya di bilik. Dia ambik peluang nak cakap Arab ataupun Inggeris. Saya pernah juga bersuara untuk menjenguknya tetapi dia tersipu-sipu seakan-akan keberatan. Shaukat sangat kemas orangnya dari semua segi. Pakaianya sentiasa bersih dan dipastiakannya sentiasa berkeadaan disterikakan. Kadang-kadang dia pakai kain sarong sahaja bersama baju kurta. Kadang-kadang berpakaian lengkap kurta pajama. Darul Uloom membenarkan pelajar memakai kain sarong tetapi tidak membenarkan memakai seluar pant. Shaukat juga seorang yang beradab. Dia menghormati kawan yang cintakan ilmu. Layanan yang ditunjukkan olehnya seolah-olah kawan yang berilmu itu ustaznya. Shaukat juga seorang yang suka membaca. Selain daripada buku teks Darul Uloom dia juga turut membaca buku-buku lain. Apabila guru lambat datang dia akan membaca buku yang dibawanya. Ada sahaja buku-buku yang dia ingin habiskan membacanya. Kata dia aku cemburu melihat kamu selalu membaca buku.

Suatu hari tergerak hati saya untuk menziarahi Shaukat. Dia beritahu biliknya berdekatan dengan matbakh (tempat memasak Darul Uloom). Saya mencari-cari no biliknya. Allahu Akbar! Biliknya sebiji macam kubur. Sempit. Luasnya hanya muat untuk seorang tidur sahaja. Tiada ruangan lain. Bila melihat saya datang Shaukat amat gembira. Dia menjemput saya masuk. Masuk dalam kubur. Mulanya saya rasa kehadiran saya menyusahkan Shaukat. Tetapi Shaukat seorang yang rapi. Bilik yang sekecil itu kelihatan tersusun rapi. Saya berasa pelik sungguh dengan kebolehannya menyusun barang-barangnya sebegitu rupa. Layanan yang ditunjukkan oleh Shaukat menyebabkan saya tidak merasakan menyusahkannya. Saya bertanya Shaukat kalau elektrik tiada bagaimana kamu duduk dalam bilik ini. Tidakkah ia akan mengukus kamu sehingga masak!! Dia tersipu-sipu katanya dah biasa. Di situlah dia membaca buku kerana dia tidak suka bercampur dengan pelajar2 lain bimbang akan membuang masa bersembang.

Apabila masuk tahun akhir Shaukat memperolehi bilik yang lebih besar. Di kala itulah saya melihat keen beliau kepada pelajaran sampai ke kemuncaknya. Dia membeli banyak buku-buku syarah hadis yang harganya sungguh mahal. Walaupun mahal dia tetap membelinya. Ayahnya pula amat menyokongnya. Waktu itu tidak banyak buku syarah hadith di Deoband. Kalau adapun kitab cetakan Beirut yang kadang-kadang datang dari Pakistan. Saya sendiri tidak mampu membeli kitab-kitab cetakan Beirut yang harganya 3 kali ganda harga sebenar. Tetapi Shaukat tidak berkira tentang harganya. Yang penting dia dapat membacanya. Shaukat mengenali banyak nama-nama kitab. Dia membeli kitab siyar a`lam nubala, syarah Bukhari Umadatul Qari, Fathul Bari etc. Kebanyakan pelajar India hanya berpada dengan syarahan guru sahaja. Tetapi Shaukat sangat pelik. Akhlak dan sikap Shaukat itu sangat mempengaruhi diri saya. Sampai hari ini saya sentiasa mengingati Shaukat. Saya cuba mencari namanya di dalam internet tetapi tidak menemuinya. Kali akhir sebelum saya berangkat pulang ke Malaysia saya mendengar khabar dari penuntut West Bengal di Darul Uloom bahawa Shaukat mengajar di sebuah madarasah di West Bengal. Iaitu mengajar Kitab Tirmizi. Semoga Allah memelihara Shaukat dan memberkati ilmu dan kesungguhannya.

12 comments:

Ismi Ijmi said...

Assalamuaalikum Ustaz, ni Maulaan Shaukat Ali ke?

Zaharudin Nawi/Aji said...

Bukan

Zaharudin Nawi/Aji said...

Shaukat Ali manatu yg dimaksudkan? Dia bukan mudarris Darul Uloom Deoband.Kalau Maul Shaukattu guru saya mengajar Maqamat Hariri dan syarah tahzib. Rata-rata org india kalau nama Shaukat mesti Shaukat Ali.

Anonymous said...

saya lihat blog ustz langsung tidak menyentuh politik semasa. saya juga kdg2 kurang minat dengan politik semasa di negara kita.tp suasana sering kali mengajak untuk mengetahui apa yg terjadi. jika tidak nanti akan dicop kurang kesedaran @ tidak membantu islam. mohon pendapat tuan dlm hal ini.tq

Zaharudin Nawi/Aji said...

Dalam blog saya ini ada link ke monolog budaya cikgu ridhwan. Di situ banyak link2 ke laman2 politik dan mcm2 benda yg semasa. Rasanya dah cukup sangattu utk org2 yg berakal. Al Aaqilu takfihi Al Isyaaratu.

Zaharudin Nawi/Aji said...

Blog ini hanya mencatatkan post yang sesuai dgn namanya sahaja ihyaaturaathina.blogspot.com iaitu "Menghidupkan turath kita". Ia lebih berkisar kpd pengalaman ketika menuntut ilmu di Deoband India dan kehidupan alim ulama dalam menghidupakan ilmu turath. Ia boleh dibaca oleh siapa sahaja utk manafaat dlm kehidupan masing2 kalau ada di sana yg boleh dikongsi manfaatnya. Ibarat menulis tesis MA atau PHD kalau tajuk tak sesuai dgn kandungan tesistu tak akan lulus.

Anonymous said...

Blog yang menarik. Sangat bermenafaat. Hampir setiap hari saya menjengah masuk . dan hampir menitiskan air mata bila membaca kehebatan ulama bertungkus lumus berhidmat untuk islam.

husin ahmat said...

Posting yg baik ustaz penuh menafaat

Anonymous said...

Elok benar dah blog ini sebegini. Cuma saya mohon ustaz kerapkan update ttg pengalaman ustaz disana. kadang2 rindu juga sejak lama ustaz tak update.

Anonymous said...

apa perbezaan belajar di al azhar banding dengan india atau lain2. ini kerana sy tgk org yg balk dr al azhar sama saja mcm org lain (tak semua). bukan sangka buruk tapi keliru.

Zaharudin Nawi/Aji said...

Pelajar Malaysia di Azhar ramai lima enam ribu. Dlm ramai2tu sudah tentulah byk ragam. Pelajar Malaysia India Pakistan tak ramai dan pengajiannya bukan taraf universiti. Masih sistem taraf sekolah wajib masuk kelas dari pagi sampai petang. Masuk kelaspun kena pakai uniform madarasah. Di asramapun kena patuh disiplin. Kena solat jemaah 5 waktu dsb. So lama-lama lekat tabiatlah cara tarbiah madrasah.

Anonymous said...

Tq ustz..hati tenang sikit.maklumlah kita expect tinggi kat org bljr agamaa.