Thursday, September 17, 2009

Tazkirah Surah Al-Maa`uun

بسم الله الرحمن الرحيم
أَرَأَيْتَ الَّذِي يُكَذِّبُ بِالدِّينِ- فَذَلِكَ الَّذِي يَدُعُّ الْيَتِيمَ - وَلَا يَحُضُّ عَلَى طَعَامِ الْمِسْكِينِ
- فَوَيْلٌ لِّلْمُصَلِّينَ - الَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ- الَّذِينَ هُمْ يُرَاؤُونَ -وَيَمْنَعُونَ الْمَاعُونَ


Selain daripada nama Al-Maa`uun surah ini juga diberi nama Surah Ad-Deen dan Surah Al-Yatiim. Kesemua penamaan mengambil sempena perkataan yang terkandung di dalam ayat di dalam surah ini. Dikalangan nama-nama itu nama Al-Maa`uun lebih digunakan oleh kebanyakan penulis. Muhammad Asad misalnya di dalam The Message Of The Quran memilih nama surah ini sebagai Al-Maa`uun yang menurut beliau bermaksud `Assistance` manakala Abdullah Yusuf Ali di dalam terjemahannya yang masyhur The Holy Quran menamakannya sebagai The Neighbourly Assistance dengan penjelasan makna assistance sebagai sesuatu yang berkenaan dengan jiran tetangga.

Terdapat lima perkara penting yang menjadi fokus kepada surah ini:
1- Pembohongan terhadap Ad-Deen
2- Penolakan hak Anak Yatim
3- Perihal tidak menggalakan memberi makan Orang Miskin
4- Perihal bentuk solat yang ditolak; mensia-siakan solat dan menunjuk-nunjuk
5- Penolakan hak jiran untuk meminjam barang-barang bersifat Maa`uun.

Jika diperhatikan lima perkara ini boleh diletakan di dalam dua prinsip penting dalam kehidupan manusia. Iaitu:
1- prinsip Aqidah yang diwakili oleh kata Ad-Deen dan
2- prinsip Akhlak yang yang mencangkupi akhlak dengan Tuhan dan akhlak dengan makhluk yang diwakili oleh no 2-5.

Pembohongan terhadap Ad-Deen yang dimaksudkan ialah pendustaan terhadap adanya hari pembalasan kerana Ad-Deen juga bermaksud pembalasan baik-buruk selain ia juga bermakna Islam itu sendiri. Ayat ini seolah-olah ingin memberitahu pembaca atau pendengarnya bahawa jika seseorang itu mempunyai akidah atau keyakinan yang kuat terhadap wujudnya hari pembalasan maka dalam kehidupan amalinya sudah tentu ia akan mempamerkan akhlak yang mulia dan berkualiti tinggi di sisi Tuhan.

Ayat ini juga menyatakan kepada kita bahawa aqidah yang benar akan hanya boleh dibuktikan menerusi amalan kehidupan. Seorang Islam yang benar-benar yakin dengan aqidah wujudnya pembalasan misalnya tidak akan membiarkan anak-anak yatim dan orang-orang miskin berada di dalam kesengsaraan apa lagi mengherdik mereka. Seorang yang kuat kepercayaannya terhadap hari pembalasan akan sentiasa melakukan sesuatu untuk orang-orang yang memerlukan bantuan. Kebaikan merupakan fitrah manusia. Ia harus dicetuskan dan dihidupkan dengan memberikan galakan supaya ia dijelmakan dalam bentuk amalan.

Islam adalah agama yang bukan hanya memfokuskan kepada permasalah aqidah sahaja. Islam tidak juga hanya menitik beratkan amalan yang zahir semata-mata, samada yang berbentuk ibadah khusus seperti solat ataupun ibadah bukan khusus seperti amalan kebajikan seumpama menolong anak yatim, fakir miskin dan jiran tetangga. Malah Islam mengabungkan kedua-duanya.

Oleh itu seorang Islam yang sungguh-sungguh menyakini wujudnya pembalasan Tuhan sudah tentu menjaga ibadah solatnya kerana ia merupakan penentu hubungan Tuhan dengan hambanya. Orang yang Saahuun terhadap solat ditolak oleh Allah. Iaitu mereka yang tidak acuh dengan solat misalnya yang tidak merasai pentingnya solat lalu mereka tidak solat, maupun yang solat, tetapi tidak menjaga waktu solat sehingga kerap mengabaikan waktunya. Begitu juga solat orang-orang yang bertujuan menunjuk-nunjukan kepada manusia sebenarnya mengambarkan mereka bukannya yakin dengan kehadiran hari pembalasan.

Menyakini kehadiran hari pembalasan akan menjadikan manusia tidak lagi kikir dengan apa yang dimiliki walaupun melibatkan sesuatu yang agak remeh. Al-Maa`uun ialah alat-alat keperluan seharian di rumah seperti mancis, kapak, baldi dan sebagainya. Ia dianggap barang-barang yang remeh dan sedikit dari segi nilainya. Zaman dahulu ia sering dipinjami oleh jiran tetangga dan ada dikalangan jiran yang tidak mahu meminjamkannya. Sikap ini ditolak oleh Al-Quran.

Setengah mufassir berpendapat Al-Maa`uun bermaksud zakat. Pendapat ini masih selari dengan makna di atas kerana nilai zakat sebanyak 2 ½% masih dianggap sesuatu yang kecil jika dibandingkan dengan nilai keseluruhan harta yang dimiliki. Tidak mahu mengeluarkannya dianggap sebagai memiliki sifat kebakhilan. Sifat ini sangat bahaya kepada kebajikan sesebuah masyarakat. Sebab itulah ia dikecam dengan hebat oleh Al-Quran. Hal ini sudah tentu disebabkan oleh kelemahan keimanan terhadap wujudnya hari pembalasan.

No comments: