Wednesday, September 16, 2009

Tazkirah Surah Al-Kauthar

بسم الله الرحمن الرحيم
إِنَّا أَعْطَيْنَاكَ الْكَوْثَرَ - فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ -
إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ الْأَبْتَرُ -


Kebanyakan mufassir memberikan perhatian yang khusus tentang makna Kauthar. Dua pendapat yang mashyur diberikan oleh mereka tentang pengertian kauthar ialah.
1- nama sungai di syurga yang diberikan khusus kepada Nabi Muhammad saw (Nahrun fi l-Jannah).
2- kelebihan yang banyak (Al Khairu l-Kathiir).

Tentang kauthar sebagai nama sungai yang diberikan khusus kepada Nabi Muhammad saw diberitahu sendiri oleh Rasulullah saw sebagaimana yang diriwayatkan oleh banyak hadis baginda. Oleh itu pengertian kauthar mengikut pandangan ini berdasarkan dalil naqli (periwayatan).

Tentang kauthar bermakna kelebihan yang banyak (Al Khairu l-Kathiir) diambil daripada maknanya dari segi bahasa (lughah). Oleh itu ia bersifat umum tidak hanya terhad kepada nama sungai. Justeru itu seolah-olah Al-Quran ingin memberitahu kita bahawa Nabi kita saw diberikan oleh Allah SWT dengan kelebihan dan kebaikan yang begitu banyak, maka hendaklah kamu bersyukur dengan menerimanya sebagai ikutan atau hendaklah kamu bersyukur sebagaimana bersyukurnya Nabi saw.

Malah supaya lebih jelas tentang makna Al Khairu l-Kathiir ada dikalangan ulama seperti Imam Razi cuba menyenaraikan pendapat ulama tentang maksud kelebihan atau keistimewaan yang dianugerahkan Allah kepada baginda. Di antaranya ialah:
1- Sebuah sungai di syurga sebagaimana didapati di dalam banyak riwayat. Sungai yang tebing-tebingnya dihiasi dengan permata yang indah.
2- Sebuah kolam di syurga juga didapati di dalam riwayat. Kemungkinan daripada sungai itu airnya akan memasuki ke dalam kolam yang akan digunakan untuk memberi minum orang-orang mukmin untuk menghilangkan dahaga mereka. Oleh itu sungai dan kolam hakikatnya satu. Ternyata sungai dan kolam yang khusus ini termasuk ke dalam keumuman Al Khairu l-Kathiir.
3- Anak cucu Nabi. Ini kerana di antara kesah sebab turunnya surah ini ialah Nabi saw dihina oleh Quraish kerana tidak memiliki zuriat setelah kematian anak (abtar/terputus). Kemudian Allah menolak penghinaan itu dengan menganugerahkannya dengan keturunan yang banyak melalui Hasan dan Husain sehingga sekarang.
4- Ulama. Tidak ada nabi yang meninggalkan pewaris kenabian atau nubuwah yang begitu banyak melainkan Nabi Muhammad saw. Ulama adalah pewaris anbiya. Merekalah yang menghidupakan ajaran yang dibawa oleh Nabi saw sehingga hari Kiamat.
5- Nubuwah. Ternyata ia mempunyai kelebihan yang sangat besar dan banyak kerana ketinggian kedudukannya selepas kedudukan ketuhanan.
6- Quran. Kelebihan Al-Quran tidak dapat dihitung kerana ia mukjizat hingga ke akhir zaman.
7- Islam. Islam mempunyai kelebihan di dunia dan di akhirat. Oleh itu kelebihan Islam menjangkaui sempadan yang boleh difikirkan oleh manusia.
8- Umat. Nabi saw dianugerahkan oleh Allah dengan umat yang banyak dan baginda berbangga di hari akhirat kerana memiliki umat yang paling banyak dikalangan anbiya.
9- Fadhilat yg byk. Nabi saw mempunyai fadhilat atau kelebihan yang banyak jika dibandingkan dengan anbiya yang lain. Ini berdasarkan pengertian bahasa tentang Kauthar. Ia dipakai untuk ketua yang memiliki Al Khairu l-Kathiir. Bukankan Nabi saw penghulu kepada segala anbiya.
10- Raf`atu z-Zikr. Nabi saw sentiasa disebut dan diangkat-angkat namanya sehingga hari kiamat. Kelebihan ini tidak ternilai banyaknya.
11- Ilmu. Allah sendiri menyatakan bahawa barang siapa diberikan hikmah yakni ilmu maka sesungguhnya dia telah diberikan kelebihan yang banyak, Al Khairu l-Kathiir (Al-Baqarah: 269).
12- Akhlak mulia. Akhlak yang terpuji mempunyai kesan yang mendalam kepada semua lapisan masyarakat berbanding dengan ilmu yang kesannya lebih condong kepada golongan yang bijak pandai sahaja. Oleh itu kesan akhlak adalah lebih banyak. Bukankan Nabi saw dibangkitkan untuk menyempurnakan akhlak?.
13- Maqam atau kedudukan yang terpuji. Dengan kata lain syafa`at. Misalnya disebabkan adanya Nabi saw di tengah-tengah golongan kafir maka mereka terselamat daripada diazab terus di dunia ini (Al-Anfal: 33). Ini adalah tanda syafa`at nabi kepada umatnya di dunia. Manakala di hari akhirat Nabi saw dianugerahkan sifat sebagai pensyafa`at kepada umatnya. Ini sudah tentu suatu kelebihan yang istimewa dan tidak terhingga banyaknya.
14- Surah Kauthar itu sendiri merujuk kepada Al-Kauthar yang dimaksudkan oleh ayat. Surah ini pernah dijadikan neraca cabaran kepada orang kafir. Mereka dicabar untuk membuat surah seperti Surah Kauthar. Mereka tidak berdaya. Sudah tentu surah ini dengan kependekannya mempunyai kelebihan yang amat banyak sehingga menundukkan musuh untuk menirunya dalam segala perkara yang dibangkitkan. Dari segi keindahan bahasa maupun isi kandung surah yang mendatangkan faedah kepada manusia di dunia dan akhirat.
15- Kesemua Nikmat ke atas baginda saw. Ini berikutan kauthar dari segi bahasa juga bermakna perihal banyak dengan sifat yang juga banyak. Oleh itu banyak mempunyai sifat yang berganda-ganda. Oleh itu ia tidak boleh dipakai untuk menunjukkan nikmat yang tertentu sahaja. Malah ia mesti dipakai kepada kesemua nikmat yang diperolehi oleh seseorang.

Kelebihan yang tidak terhitung banyaknya itu adalah anugerah Allah swt khusus kepada Nabi saw. Selaku umatnya sudah tentu kita berbangga dengan kelebihan itu. Ini akan mendorong kita untuk menjadikannya sebagai satu-satunya ikutan. Tidakkah seseorang itu akan berbangga jika di kalangan kaum kerabatnya yang terdekat mempunyai kelebihan di sisi masyarakat? Jika halnya begitu mengapa kita tidak berbangga dengan Nabi saw yang seharusnya kita mencintainya melebihi kecintaan kita kepada anak isteri maupun ibubapa kita.

Tujuan Allah swt memberitahu dan mendedahkan bagaimana besarnya nikmatNya kepada manusia supaya manusia mengenalNya sebagai Tuhan yang perlu disyukuri dengan kesyukuran dalam bentuk perhambaan iaitu dengan menunaikan solat yang melambangkan hambanya seorang hamba.

Kesyukuran juga perlu dipersembahkan dalam bentuk hadiah maknawi. Bukankah sememangnya fitrah manusia cenderung untuk memberi hadiah kepada pihak yang berpengaruh sebagai tanda penghormatan dan taqarrub kepadaNya. Hadiah berbentuk binatang korban yang dikorbankan khas untu Raja Sekelain Alam, Allah Tuhan Yang Esa sudah tentu mempunyai unsur maknawi.

Al-Quran juga tidak membiarkan orang yang bertindak menghina dan mengecam Nabi saw begitu sahaja. Malah Al-Quran akan mengecam mereka sesuai dengan kecaman mereka ke atas Nabi saw. Ini adalah satu peringatan kepada mereka yang tidak mempedulikan seruan Nabi saw. Mereka tidak akan dipedulikan oleh Allah swt di dunia dan di akhirat sebagaimana mereka tidak mempedulikan seruan Nabi saw. Ia merupakan peringatan daripada ayat "Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu (Muhammad saw) dialah yang terputus (terputus daripada rahmat Allah)".

1 comment:

Unknown said...

Assalamualaikum....

Mohon maaf di pinta...
kiranya catatan Tuan telah saya ambil untuk renungan di facebook saya...
semua ini kerana cintakan mereka yang cintakan Allah..

namun saya sertakan nama Ibnnawi..
dah saya membaca nya setiap hari..
memberi kesan pada diri..Kiranya tuan tak suka...saya sudi mengeluarkan nya...

fb saya...rosdi wahid
hp 0173069369