Monday, March 1, 2010

Anekdot Ulama 22: Maulvi Mohd Aqil

Maulvi Aqil itulah gelaran yang dipanggil oleh guru-guru di Darul Uloom Deoband kepada seorang tenaga pengajar yang selalu meluangkan masa untuk mengajar pelajar-pelajar Malaysia belajar bahasa Urdu. Beliau tamat belajar di Darul Uloom. Oleh itu beliau layak digelar Maulana. Setelah itu beliau menyambung pelajaran di Universiti Aligarh. Itulah sebabnya beliau turut mahir dalam bahasa Ingeris di samping Urdu, Parsi dan Arab. Setelah itu beliau bertugas di Darul Uloom sebagai guru sekolah rendah (Diniyyat). Oleh kerana itu status beliau bukan lagi Maulana tetapi Maulvi (Semua guru-guru yang mengajar kanak-kanak pra pengajian kitab-kitab turath digelar sebagai Maulvi manakala yang mengajar kelas untuk peringkat kitab turath dipanggil sebagai maulana). Di situlah Maulvi Aqil menghambakan diri mengajar kanak-kanak tentang ilmu agama, bahasa Inggeris, Hindi, Georafi, Matematik dan Urdu. Orangnya sangat humble. Tetapi daripada raut wajahnya kelihatan dia seorang yang pintar. Bagi pelajar asing yang boleh berbahasa Arab atau Inggeris dan ingin belajar bahasa Urdu mereka akan diberitahu agar menemui Maulvi Aqil untuk tujuan tersebut. Tiada kelas formal diatur oleh pihak Darul Uloom. Malah Maulvi Aqil akan menetapkan waktu yang sesuai untuk sesiapa yang datang menemuinya. Kadang-kadang pengajian diadakan di dalam kelasnya ketika kanak-kanak diberikan tugasan. Kadang-kadang di rumahnya sendiri. Maulvi Aqil tidak pernah menolak sesiapa sahaja yang meminta belajar bahasa Urdu, Arab maupun Inggeris. Malah di Darul Uloom tiada yang pandai berbahasa Ingeris pada waktu itu melainkan boleh dibilang dengan jari. Tiada fees yang dikenakan. Semuanya percuma. Penerimaan Maulvi Aqil hanya semata-mata kerana beliau cintakan ilmu dan perasaan mahabbah (cinta) kepada warga asing yang jauh merantau untuk belajar ilmu agama. Kalau belajar di rumahnya kita akan dihidangkan pula dengan makanan dan minuman.

Mulanya saya tidak belajar dengan Maulvi Aqil bahasa Urdu kerana tidak tahu hendak berkomunikasi dengan beliau dengan bahasa apa. Setelah agak lama sedikit, dalam setahun dua berada di Deoband, saya rasa sudah yakin untuk berguru dengan Maulvi Aqil. Saya tidak mempelajari Urdu secara formal. Pada peringkat permulaan saya mempelajari bahasa Urdu secara sendiri daripada buku berjudul Teach Yourself Urdu In Two Months. Setelah agak pandai sedikit saya membuat kesemua latihan di dalam buku tersebut dan meminta Maulvi Aqil menyemak kesemua latihan tersebut. Saya agak terperanjat juga kerana hampir kesemua latihan terjemahan daripada Inggeris kepada Urdu yang saya lakukan adalah betul. Kadang-kadang jika beliau tiada saya hanya meninggalkan latihan itu di dalam kelas beliau. Keesokan harinya saya akan memungutnya. Maulvi Aqil tetap sabar menyemaknya walaupun tiada imbuhan apa-apa melainkan kerana sukakan orang yang mehnat kerana ilmu (rajin dan bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu).

Setelah tamat membuat latihan bahasa Urdu itu saya meminta daripada Maulvi Aqil meluangkan waktu untuk mengajarkan saya sebuah kitab Fekah Mazhab Hanafi yang berjudul Ma la Budda Minhu. Ia ditulis di dalam bahasa Parsi oleh Qadi Sanaullah Panipati, seorang muhaddis besar India. Mendengar hasrat saya itu Maulvi Aqil dengan lapang dada menerimanya. Saya mempelajari kitab itu sampai tamat dalam beberapa majlis pertemuan dengan beliau. (Pada waktu itu saya sudahpun boleh membaca teks-teks bahasa Parsi)

Ketika saya mendaftarkan diri di dalam kelas Tahfiz Al-Quran kebetulan kelas saya bersebelahan dengan kelas Maulvi Aqil mengajar. Beliau sentiasa mengikuti perkembangan tahfiz saya. Apabila saya menamatkan tahfiz Al-Quran dalam masa satu tahun sahaja beliaulah orang yang paling gembira dengan pencapaian saya itu. Beliau telah meraikan saya dengan menjemput saya makan di rumahnya bersempenaan dengan pencapaian itu. Maulvi Aqil meninggal dunia ketika saya masih di Deoband. Saya tidak tahu selama ini beliau mengidap penyakit darah tinggi yang akhirnya meragut nyawa beliau. Semoga Allah membalas jasa baik beliau kepada semua orang. Walaupun beliau tidak terkenal di persada umum tetapi beliaulah sebenarnya yang harus diberi kredit kerana membina isti`dad pelajar-pelajar. Berapa ramai orang yang tidak dikenali ramai tetapi ia dikenali oleh gollongan khawas (خواص).

Surat Jemputan Jamuan Makan Moulvi Muhammad Aqil Sempena
Men
ghargai Saya Tamat Menghafal Al-Quran

Buku Yang Saya Gunakan Ketika Mula Mempelajari Bahasa Urdu

Buku Teach Yourself Urdu In Two Months
Yang Saya Abadikan Dalam Bentuk Syarah Di Dalam
Bahasa Melayu (Masih Dalam Bentuk Manuskrip. Ditulis Di India)








5 comments:

Anonymous said...

begitu ramai ulama tidak dikenali oleh dunia. Mereka tidak terkenal tetapi berbakti ikhlas demi Allah dan ilmu..

boleh tak ustaz letak latar belakang pendidikan dari rendah sampai ke MA pada sidebar. kalau ada sanad dan gambar maulana yang mengajar ustaz lagi bagus. Saya rasa jasa mereka besar, perlu dihargai.

teruskan perjuangan ustaz. semoga sekolah ala deobandi diwujudkan disini. (maaf, aliran pemikiran ustaz dengan Maulana Asri bagaikan berlainan apabila maulana asri seperti menghalang ustaz ambil MA, bagi saya gabungan kedua-duanya adalah terbaik)

ridhwan

Anonymous said...

ustaz, saya lihat antara tingkatan jawatan keilmuan di madrasah ala deobandi?

contoh gelaran maulana, mufti, maulvi. Macam Iran ada Ayatollah Betul ke ustaz?

ridhwan

Zaharudin Nawi/Aji said...

Tidak ada tingkat keilmuan seperti Syiah di Deoband. Gelaran spt mufti, hakimul islam, sheikhul hadis lebih kepada gelaran seniority. Kalau mufti pulak agak lebih umum dipakai walaupun dia bukan mufti sebenar.Ianya lebih kpd tanda ingatan bahawa dia pernah belajar di kelas ifta. Semua yang tamat sistem Nizami dipanggil Maulana tak kiralah di Deoband ke, Pakistan ke, Bangladesh ke, England ke, South Afrika ke dsb. Maulanatu macam ustaz lah kiranya. Manakala gelaran laintu hanya semata-mata gelaran.

Zaharudin Nawi/Aji said...

Ustz rasa Maulana Asri bukan melarang ustz masuk u totally. Dia mungkin mahu ustz pilih yang lebih aula. Iaitu mengasah kitab-kitab yang telah dipelajari secara lebih terperinci kerana semasa belajar dulu kita hanya belajar secara umum sahaja. Ini tak akan dapat dilaksanakan melainkan kena mengajar kitab2 itu dan lihat sebanyak mungkin kitab2 syarah. Lagi cepat habis lagi cepat tafaqquh. Kalau masuk u dah kurang masa untuk mentelaah kitab2tu. Alim kut lain pulalah jadinya. Sistem Nizami memang gitu. Tengoklah Maulana Taqi Uthmani pun duk madrasah. Baru boleh ngajar Bukhari. Kalau mengajar di u lain pula bentuknya. Manhaj tak sama. Isti`dad student tak sama. Matlamat tak sama. Byk yang tak sama. Oleh kerana Ustaz pun pernah belajar sekolah. So ustaz tak kekok lah belajar di madrasah ke atau belajar di u. Masa di Deobandpun Ustz ambik MA Comparative religion secara pengajian jarak jauh. Maulana Asri byk masanya bljr di pondok dan di madrasah. Itupun faktor jugak kenapa dia kurang pandang kepentingan u.

Anonymous said...

terima kasih ustaz. penjelasan kedua menambah faham saya. hmm, saya ingat ustaz ada MA UIA sahaja. ada lagi ijazah yang saya tidak tahu...

india cukup unik.

Jamaati Islami
Jamaah Tabligh
Deoband
Nahdatul ulama, luknow
Dr Zakir Naik

kesian kat ustaz, mesti kejar masa. apapun doakan usaha untuk diberkati Allah.

ridhwan