Monday, May 3, 2010

Anekdot Ulama 33: Anak Muhaddith Besar

Ketika saya ingin memasuki Darul Uloom Deoband (1990/1991) saya dibawa ke bilik nazim bahagian pelajaran. Namanya Maulana Arshad Madani. Madani kerana dia pernah tinggal di Madinah selama 14 bulan. Atau kerana semua keluarganya dinisbahkan dengan madani kerana ayahnya pernah mengajar di sana selama 18 tahun. Orangnya kelihatan serius. Dia bertutur dalam bahasa Arab yang fasih. Suaranya tinggi. Gementar juga berhadapan dengan Maulana yang tegas seperti Maulana Arshad ini. Melihat kelibatnya sahaja pelajar sudah tahu bagaimana hendak mengelak daripada bertembung dengannya. Namun hatinya begitu lembut dengan Al-Quran. Agaknya seperti Umar ra. Beliau ialah anak kepada Maulana Husein Ahmad Madani (1879-1957) yang memegang gelaran Sheikhul Hadith selama 28 tahun di Darul Uloom. Maulana Husien Ahmad Madani hidup sezaman dengan muhaddith terkenal India iaitu Maulana Anwar Shah Kashmiri (1875-1933). Kedua-duanya muhaddith besar. Bezanya Maulana Anwar Shah Kashmiri umurnya tak panjang. Oleh itu beliau tak mempunyai ramai anak murid. Maulana Madani umurnya panjang. Ramai yang sempat berguru dengannya. Hampir kesemua sanad hadith asatizah Darul Uloom bersumberkan daripada Maulana Madani. Begitu juga rata-rata pelajar Malaysia yang belajar sebelum tahun 1957 berguru dengan Maulana Husein Ahmad Madani dalam bidang Hadith termasuklah Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Menteri Besar Kelantan sekarang. Maulana Arshad Madani mewarisi ayahnya dalam mendedikasikan diri untuk ilmu dan siyasah. Beliau menjadi nazim ta`limat (ketua urusan pelajaran) Darul Uloom sebelum saya menjejak kaki di Darul Uloom lagi. Semasa saya pulang ke tanah air (2004) beliau masih menjadi nazim ta`limat. Di samping itu beliau juga mengajar saya kitab Tirmizi.

Maulana Husain Ahmad Madani


Maulana Arshad Madani bukan hanya bertugas di pejabat dan di dalam kelas sahaja. Malah beliau sangat mengambil berat tentang disiplin pelajar terutama dalam bab solat. Dia akan pastikan semua pelajar solat berjemaah. Sebelum subuh lagi beliau akan datang ke Darul Uloom. Suaranya akan kedengaran di seluruh empat penjuru tembok Darul Uloom. Beliau akan berteriak "Utho...Utho...Utho.." Bangun! bangun!. Persis seperti general askar. Beliau akan pergi dari satu asrama ke satu asrama dengan laungan "Bijli kholo...bijli kholo! Buka lampu! Buka lampu!. Jika bekalan elektrik terputus terutama di musim sejuk Maulana akan datang dengan membawa torch light nya yang besar. Suluhannya mengerunkan sesiapa sahaja. Apabila mendengar suaranya semua pelajar akan bingkas bangun dan berebut-rebut ke bilik air.

Antara keistimewaan keluarga Madani ialah mereka semua sangat mengambil berat tentang Al-Quran. Kesemua anak beranaknya mesti dijadikan hafiz . Di depan rumahnya didirikan sebuah kelas untuk anak cucu Madani menghafal Al-Quran. Maulana Arshad Madani juga hafiz Al-Quran dan sangat sensitif dengan Al-Quran. Dialah yang bertangugjawab menguatkan semula ma`ahad tahfiz Darul Uloom. Di bawah pengawasannya ma`ahad tahfiz mendapat bangunan baru. Guru-guru baru. Dan sistem yang baru yang memastikan agar hafalan Al-Quran pelajar-pelajar tahfiz kuat dan mantap. Apabila saya menyatakan hasrat untuk menghafal Al-Quran Maulana terus membenarkannya dan bertanyakan saya guru mana yang saya nak. Apabila saya tamat menghafal Al-Quran dan pergi menemuinya dia melahirkan rasa gembira yang tidak terhingga lalu menyeluk koceknya dan menghulurkan sedikit wang kepada saya sebagai hadiah. Apabila saya tamat belajar di Darul Uloom saya sekali lagi menemuinya. Biasanya orang meminta sambung belajar dalam bidang takhasus selepas tamat pengajian alim di Darul Uloom. Tetapi sebaliknya saya meminta daripada Maulana Arshad agar mengizinkan saya masuk semula ke kelas tahfiz. Saya mahu membaca Al-Quran sebanyak mungkin sebelum pulang ke Malaysia آنَاءَ اللَّيْلِ وَأَطْرَافَ النَّهَارِ . Dia tidak bercakap panjang. Terus sahaja mengizinkannya kerana dia tahu kemanisan membaca Al-Quran apatah lagi beramal dengannya. Semuga kecintaan Maulana kepada Al-Quran memberi kesan kepada kehidupan saya di hari muka.






1 comment:

Anonymous said...

Isliye maf karo urdu achaa na. Unke zamani ki ikhtilaf mutabaak hakimul umat punjab jaane rai aur sheikul islam ki rai hind rehne. Inthikaab ki mushkeel. Yer unki puraani bat hain tareekh ki sab. Ikhtilaaf ki ummat to rahmat. Lekin shukrilillah musalmaan ko mazboot hind par dekhi thi aur paki bi par jayga. kaise maulana sab sochna