Thursday, June 23, 2011

Kembara Deoband 39: Dari Gangoh Pulang Ke Deoband

Saya dipelawa makan tengahari oleh Qari Syarif mudir madrasah Ashrafiah, di rumahnya. Beliau melayani saya sebagai tetamu bukan sebagai pelajarnya. Saya dihidangkan dengan nasi Biryani dan roti chapatti dengan lauk pauk ala masyarakat Islam UP yang bangsawan. Bermacam-macam makanan dihidangkan. Saya tidak mampu untuk menjamah semuanya. Tetapi itulah adat mereka melayan tetamu, "makan" adalah satu paksaan. Mereka akan gembira kalau kita "makan" apa yang mereka hidangkan. Kadang-kadang terpaksa "pretend to eat" kerana nak jaga hati. Cucu Qari Syarif yang berumur dalam lingkungan lima enam tahun tiba-tiba meluru ke pangkuan datuknya. Qari Syarif menyuruhnya memperkenalkan diri kepada saya. Dia dengan tidak segan-segan menunjukkan kebolehannya. Katanya saya adalah si polan bin si polan bin si polan bin si polan bin si polan. Amboi panjangnya dia ingat nama datuk moyang. Ertinya mereka menjaga nasab keluarga. Ia diajar dari kecil lagi. Kemudian cucunya itu berlalu pergi. Qari Syarif mencelah ketika kami menjamu selera: " Rasanya ada baiknya kamu belajar di Deoband sahaja". Saya tersentak dengan kata-kata itu. Dia menambah: "Bukan apa. Madarasah aku ini tak ada apa-apa jika hendak dibandingkan madrasah Darul Uloom. Dari semua segi. Api, air, pengajian dsb." Katanya lagi: "Lagipun di sana ramai foreigner (bahaar aadmi) tak lah kamu sunyi nanti. Tambah lagi urusan polis cerewet. Nak kena buat permohonan tukar madrasah. Nak kena lapur diri di pejabat polis". Saya hanya mendengar sahaja. Niat saya masih tidak berganjak. Saya masih mahu mencuba. Setelah selesai makan saya meminta izin untuk pulang ke madarasah. Hati saya terfikir-fikir kut mudir jemput saya makan untuk memujuk saya membatalkan hasrat untuk belajar di Gangoh secara berhemah.

Pihak pejabat meminta saya membuat permohonan untuk masuk ke madarasahnya. Saya membuat surat dalam bahasa Arab lintang pukang kerana baru setahun belajar bahasa Arab. Itupun banyak belajar sendiri. Surat itu diberikan kepada seorang maulana yang bertangugjawab menguruskan kemasukan pelajar baru. Dia memanggil saya dan bertanya di mana kamu belajar bahasa Arab. Walaupun saya rasa my arabic is very poor tetapi maulana menganggap ianya sangat baik. Mana ada pelajarnya mampu mengarang dalam masa satu tahun. Dia memanggil pelajar-pelajarnya dan menunjukkan surat saya itu. Maulana memberi semangat kepada pelajarnya supaya berusaha sungguh-sungguh belajar dan membuat latihan macam saya. Saya tidak memberitahu maulana rahsia saya boleh mengarang dalam masa yang singkat. Sebenarnya saya banyak membuat latihan daripada buku "A New Arabic Grammar" oleh Haywood dan Nahmad yang saya bawak dari Malaysia lagi.

Setelah urusan pejabat selesai saya mulai masuk kelas. Setelah beberapa bulan di sana saya mulai merasakan apa yang dikatakan oleh Maulana Qari Syarif itu benar. Masalah api letrik sangat serius. Di Deobandpun kira teruk juga tetapi di sini lebih parah. Malam lebih banyak pakai lilin daripada letrik. Kawan-kawan di Deoband juga memujuk supaya saya pulang semula ke Deoband. Akhirnya saya akur dengan nasihat yang diberikan oleh mudir madrasah dan pulang semula ke Deoband. Inilah kali pertama dan kali terakhir sya berpindah madarasah. Setelah itu saya istiqamah di Deoband sehinggalah takdir menjemput saya pulang meninggalkan India pada tahun 2004.

5 comments:

Anonymous said...

Adakah setiap pelajar yg mendalami ilmu agama akan diuji? Mampukah anak-anak kita mengharungi ujian-ujian yang mendatang..

Zaharudin Nawi/Aji said...

Sememangnya manusia diciptakan utk diuji tak kira siapa.
1- ِإِنَّا جَعَلْنَا مَا عَلَى الْأَرْضِ زِينَةً لَّهَا لِنَبْلُوَهُمْ أَيُّهُمْ أَحْسَنُ عَمَلاً (Al Kahfi 7)
2- الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلاً وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ (Al Mulk 2)
3- وَهُوَ الَّذِي خَلَق السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ وَكَانَ عَرْشُهُ عَلَى الْمَاء لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلاً (Hud 7)

Semoga ujian Allah ke atas hamabNya akan menambahkan kedudukan hamba itu di sisiNya.

adi said...

Saya mencari buku2 yg dikarang oleh ulamak yg disebut dlm blog ust. byk dlm inggeris di internet .tetapi saya musykil dengan nama translatornya contoh spt di http://www.islamicbookstore.com/b10828.html
Minta pendapat ustz

Zaharudin Nawi/Aji said...

Kecenderungan saya membaca semua jenis buku. Samada yg translation atau original. Samada yg diterjemah oleh org Islam atau bukan Islam. Kalau yg terjemahan saya meletakkannya di aras bahan terjemahan. Bukan berpegang kpdnya seratus peratus. Ini kerana ilmu, kebolehan dan latarbelakang penterjemah berbeza2. Buku2 terjemahan juga penting kerana ia banyak membantu proses perkembangan ilmu seseorang. Pandai2lah menilai. Mana yg rasa sangsi dlm terjemahan tersebut bolehlah rujuk alim ulama yg pakar dlm bidangnya.

Anonymous said...

Ayat 155 al baqarah juga ada kalimat 'wa lla nab luwannakum ...'hingga akhiraayat. Ini ujian masa mereka yg berjihad pi sabillah saja ke ustaz. Terang skt.. Wau tu huruf sumpah ke atau makna 'dan'