Monday, March 25, 2013

Anekdot Ulama 51: Ustaz Dr Muhammad Uthman El Muhammadi


Saya mengkagumi Ustaz Uthman El Muhammadi semenjak kecil lagi. Iaitu ketika saya dalam tingkatan 1,2 dan 3. Saya mengkaguminya kerana mendengar tentang kehebatannya dalam bidang ilmu. Orang kata Ustaz banyak membaca. Ustaz  mahir berbahasa Inggeris. Ustaz rajin menuntut ilmu agama. Ustaz seorang yang humble. Hidup zuhud. Ustaz seorang pengarang. Banyak menulis buku. Ustaz seorang yang berpendirian. Tidak makan gaji kerajaan. Pada waktu itu saya suka berjubah. Malah pakaian saya selepas waktu sekolah ialah jubah. Bila saya melihat ustaz juga berjubah saya bertambah minat dengan insan yang bernama Ustaz Uthman El Muhammadi. Saya mengetahui ustaz tinggal di Tar Tujuh. Tempat itu tempat perkampungan tasawwuf. Yang herannya saya tidak pernah pergi ke Tar Tujuh sampai sekarang. Ustaz juga pernah mengajar di sekolah swasta Kadir Adabi. Kebetulan Kakak saya pernah belajar di situ. Kakak saya bilang Ustaz selalu dengan buku. Kalau tak silap waktu itu Ustaz sudahpun mula menaip terjemahan al Quran drp terjemahan Inggeris Yusuf Ali. Orang kata bahasa inggeris Yusuf Ali sungguh archaic hanya orang yang suka baca Shakespeare sahaja faham linguk bahasanya

Ustaz Muhammad Uthman El Muhammadi

Saya selalu melihat Ustaz di masjid Muhammadi Kota Bharu. Waktu solat berjemaah. Selepas solat saya melihat Ustaz duduk bersendirian. Mulut ustaz kumat kamit berzikir. Pakaian ustaz tidak berubah daripada dulu sampai sekarang. Berjubah jenis yang tebal dan berserban putih. Saya dengar ustaz suka baca magazine orang putih. Terpegun saya mendengarnya kerana saya tak tahu apa itu “magazine” yang berjenama spt Newsweek etc. Pegang suratkhabar Inggeris pun tak pernah mana nak baca majalah orang putih. Orang kata orang hebat saja yg baca magazine macam itu terutama di Kota Bharu sapalah yang nak baca majalah orang putih. Apa yang didengari memang nyata. Banyak kali saya tersempak dengan Ustaz di kedai majalah di bandar Kota Bharu. Dia membelek-belek dari satu majalah ke satu majalah. Saya hanya memandang. Hati kecil berkata kenapalah aku bodoh sangat tak reti “orang putih”.  Saya juga mendengar berita bahawa Ustaz tak suka budaya barat. Oleh itu anak-anak Ustaz tak pergi sekolah kerajaan. Saya tak tahu detail tentang persekolahan anak-anak ustaz. Cuma itu yang didengari pada waktu itu.

Kalau tak silap ketika Mufti Kelantan Haji Muhammad Nor meninggal dunia pada tahun 1987 saya menghadiri pengkebumiannya. Masatu saya terpandang lelaki berjubah yang turut sama hadir. Kalau tak silap dia adalah Ustaz Uthman El Muhammadi.

Bila saya meninggalkan Malaysia selama 15 tahun saya betul-betul tidak mengetahui apa yang sudah berlaku di tanah air.

Bila saya pulang  saya mendaftarkan diri di Universiti Islam Antarabnagsa untuk program Master dalam bidang Hadith. Kebetulan saya ada kawan di situ yang dahulunya pernah belajar di India. Kawan saya memberitahu anak Ustaz Uthman Muhammadi ada di UIA. Dulu anak ustaz itu belajar di Derang Kedah tempat ustaz Nikmat. Kawan saya itupun bekas pelajar di situ. Sebab itulah dia mengenalinya. Saya terperanjat juga bila mendengar anak ustaz masuk universiti, lebih-lebih lagi bila mendengar ustaz sudah kembali semula ke dunia akademi, dunia universiti.

Niat saya memang hendak menziarahi ustaz. Sayapun heran kenapa saya menangguh-nangguhkannya sedangkan anak Ustaz telah menjadi kawan isteri saya. Mereka berdua staff UIA dan sedang menyiapkan tesis PHD. Lepastu pulak kami duduk satu taman. Menziarahi satu sama lain. Anak ustaz tidak mengetahui saya sememangnya orang yang sentiasa mengikuti perkembangan ayahnya.

Suatu hari saya ke ISTAC lama di bukit Damansara. Ketika saya turun dari kereta saya melihat kelibat ustaz yang kebetulan hendak menaiki keretanya. Saya mengambil kesempatan untuk bersalam dengan Ustaz. Saya memberitahu Ustaz saya sedang buat tesis dalam bidang hadith. Ustaz memberi galakan. Usataz menaiki keretanya yang humble. Ustaz masih sama walaupun sudah bergelar Dr terhormat tetapi penampilan Ustaz masih sama, seolah-olah gelaran itu mereka yang bagi bukan Ustaz yang nak. Itulah kali pertama dan terakhir saya bercakap dengan Ustaz pada tahun 2007 atau 2008.

Ustaz menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 25/3/2013. Semalam saya menziarahi Ustaz dalam keadaan Ustaz terbujur tidak bergerak. Mata saya memandang di sekeliling rumah. Saya dapati ianya penuh dengar rak-rak buku. Ustaz pergi dengan mengabadikan diri kepada ilmu sehingga di saat terakhir. Malah walaupun sibuk, di saat akhir Ustaz dikatakan dalam rangka untuk menyemak tesis PHD anaknya yang telahpun dihantar kepadanya sebanyak dua chapter untuk disemak. Tesis di bawah seliaan Prof Kamal Hasan.

Bagi saya Ustaz  adalah guru saya. Banyak perkara yang saya pelajari dari peribadi insan yang bernama Ustaz Uthman El Muhammadi terutama kecintaannya kepada ilmu dan budaya Islam. Semoga Allah mencucuri rahmatNya kepada Ustaz dan memberikan ganjaran yang tidak terhingga kepada jasanya. (Biodata ringkas http://traditionalislam.freeservers.com/BiodataRingkas_UstazUthman.htm)

No comments: