أبواب الطهارة عن رسول الله صلى الله عليه وسلم
باب ما جاء لا تقبل صلاة بغير طهور
باب ما جاء لا تقبل صلاة بغير طهور
حَدَثَنَا قتيبة بن سعيد حدثنا أبو عوانة، عن سماك بن حرب، عن ابن عمر، عن النبي صلى الله عليه وسلم، قال: لا تقبل صلاة بغير طهور، ولا صدقة من غلول، قال هناد في حديثه: إلا بطهور، قال أبو عيسى: هذا الحديث أصح شيء في هذا الباب وأحسن في الباب عن أبي المليح، عن أبيه، وأبي هريرة، وأنس، وأبو المليح بن أسامة أسمه عامر، ويقال زيد بن أسامة بن عمير الهذلي
Keterangan Bab
Kalimah طهور adalah masdar dibaca dengan dhamma pada huruf "ط" iaitu dibaca tuhur, bererti suci. Ia juga digunakan dengan makna suci dari najis hakiki dan najis hukmi. Tajuk bab dinamakan tarjamatul bab dalam istilah muhadithin. Di antara methodologi Imam Tirmizi di dalam penamaan bab-bab hadisnya ialah beliau mengambil lafaz hadis sebagai tajuk bab seperti contoh di atas. Walaupun begitu, jika ianya sukar beliau akan menggunakan lafaz beliau sendiri. Dari segi bandingan dengan Imam-imam yang lain tarjamatul bab Imam Tirmizi adalah yang paling tepat dan selaras dengan hadis.
Keterangan Sanad
Sanad hadis ini berakhir dengan ungkapan عن رسول الله صلى الله عليه وسلم bermakna hadis yang akan diriwayatkan oleh Imam Tirmizi ini adalah hadis marfu` dalam istilah usul hadis. Dalam sejarah penulisan hadis, ulama-ulama terdahulu mencampur aduk di dalam kitab mereka riwayat secara marfu`, mauquf, maqtu dan athar. Kenyataan ini boleh dilihat di dalam kitab-kitab seperti Kitabul Aathar oleh Imam Abu Hanifah, Muwatta` oleh Imam Malik, Musannaf Abd Razak, Musannaf Ibn Abi Shaibah dan sebagainya. Selepas itu, para muhadthin menumpukan pula kepada memasukkan hadis-hadis marfu` sahaja di dalam kitab-kitab mereka. Orang yang pertama memperkenalkan kaedah ini ialah Musaddad bin Musarrad. Kemudian selepas beliau kebanyakannya mengumpulkan hadis marfu`.
Penggunaan "حدثنا"
Cara memulakan bacaanya ialah dengan menambahkan ungkapan "به" iaitu dengan menyebut wa bihi hadathana "وبه حدثنا ". Bihi adalah ringkasan kepada "بالسند المتصل منا إلى الإمام الترمذي قال ".
Seeloknya dibaca satu kali di permulaan pelajaran secara sepenuhnya " وبالسند المتصل منا إلى الإمام الترمذي الحافظ أبي عيسى قال به ". Kemudian memadai dengan membaca " وبه قال" pada setiap kali membaca hadis.
Satu perkara yang penting diketahui oleh seorang pelajar hadis ialah secara umumnya permulaan sanad sehingga dua tiga rawi periwayatan hadis biasanya menggunakan " حدثنا" dan " أخبرنا". Kemudian rawi-rawi yang lebih tinggi menggunakan periwayatan secara `an`anah " عنعنه" yakni menggunakan " عَنْ " Shah Waliyullah Dahlawi menjelaskan bahawa sebabnya ialah rawi-rawi mutaqaddimin jarang tadlis berbanding dengan muta`akhirin, mereka kerap tadlis. Berhubung dengan masalah ini, Ibn Hajar mengatakan tadlis di kalangan tabi`i tak lebih daripada 35 orang manakala rawi-rawi selepasnya mencecah melebihi 100 orang. Seterusnya bilangan mudallisin semakin bertambah banyak sehingga sukar untuk di kira. Oleh kerana pentadlisan tidak berapa berlaku di kalangan mutaqaddimin maka riwayat secara `an`anah di kalangan mereka tidak termasuk sesuatu yang "meragukan". Ringkasnya, pengunaan `an`anah oleh mereka seumpama mengunakan haddathana dan akhbarana kerana kesiqahan mereka. Sebaliknya, muta`akhirin mesti menyebut " حدثنا" atau " أخبرنا" kerana tadlis semakin menjadi-jadi di zaman mereka.
No comments:
Post a Comment