Sunday, April 4, 2010

Anekdot Ulama 26: Muhadith Maulana Yunus Saharanpuri


Beliau ialah anak murid kesayangan Maulana Zakariya Kandahlawi, pengarang banyak kitab hadis. Maulana Yunus dilahirkan pada tahun 1937 di Jaunpur. Kerana itu kadang-kadang beliau disebut dengan gelaran Maulana Yunus Jaunpuri. Atau Maulana Yunus Mazhari kerana beliau tamat belajar di madrasah Mazahir Ulum. Atau Maulana Yunus Saharanpuri kerana madarasah Mazahir Ulum terletak di bandar Saharanpur. Secara amnya beliau tidak dikenali di persada antarabangsa. Antara sebabnya mungkin beliau tidak menulis kitab untuk tatapan awam. Beliau sangat dikenali di kalangan ahli ilmu yang pernah belajar di India, Bangladesh, Mynmar dan Pakistan. Juga oleh pihak-pihak yang ada hubungan dengan madrasah sistem Deobandi di England, South Afrika dan US. Jika sesiapa bertanya siapakah muhaddis India/Pakistan yang paling alim sekarang. Maka jawapannya tidak lain dan tidak bukan Maulana Yunus Jaunpuri. Sudah hampir 43 tahun lamanya Maulana Yunus mengajar kitab Sahih Bukhari di Madrasah Mazahir Ulum. Bererti sekurang-kurangnya 43 kali Maulana telah mengkhatamkan kitab Bukhari dalam bentuk tadris (mengajar). Ini kerana sukatan madrasah perlu menghabiskan Bukhari dalam tempoh hampir satu tahun. Cara beliau mengajar kitab Bukhari sememangnya menampakan kewibawaan beliau sebagai seorang muhaddis. Maulana Zakariya sendiri kerap bertanya masalah hadis daripada anak muridnya ini. Surat-surat Maulana Zakariya ketika beliau tinggal di Madinah menyaksikan bagaimana Maulana Zakariya dengan humblenya bertanya banyak masalah hadis daripada Maulan Yunus. Di dalam kitab Abawab Wa Tarajim Li Sahih Bukhari-nya Maulana Zakariya ada mencatatkan pandangan Maulana Yunus tentang makna Bad`u Wahy yang dimaksudkan oleh Bukhari. Pengi`tirafan Maulana Zakariya terhadap kebolehan Maulana Yunus itu sudah cukup membuktikan beliau seorang yang alim dalam bidang hadis. Di samping berguru dengan Maulana Zakariya sebanyak dua kali dalam pengajian hadis Bukhari, Maulana Yunus juga berbai`ah kepada Mualana Zakariya dalam suluk kerohaninnya.

Dalam kehebatan beliau sebagai seorang yang alim dalam bidang hadis jarang mengetahui beliau mengidap penyakit yang serius semenjak daripada zaman belajar di madarasah lagi. Pernah pengetua madrasah menasihati beliau agar berhenti daripada meneruskan pengajian dan pulang berubat. Tetapi beliau berkeras. Kata beliau biarlah beliau mati dalam menuntut ilmu. Seriusnya penyakit Maulana sampai kadang kala darah keluar daripada mulut. Penyakit Maulana tidak sembuh-sembuh sampailah sekarang. Oleh kerana itu Maulana tidak mempunyai kesempatan untuk berkahwin. Biarpun Maulana tidak mempunyai anak tetapi beliau dikurniakan ramai anak murid.

Biarpun sering sakit Maulana tidak menjadikannya sebagai alasan untuk tidak membaca. Pembacaan Maulana amat luas. Biliknya dipenuhi dengan kitab. Berak-rak. Sampai terpaksa menggunakan tangga untuk mencapainya. Maulana menghabiskan masa di situ. Di situ juga tempat tetamu menemui Maulana. Jika Maulana terpaksa membaca atau membuat kajian tentang sesuatu tetamu diizinkan juga masuk. Maulana tidak mahu menghampakan tetamu. Tetapi beliau juga tidak mahu masanya habis dengan hanya melayani tetamu yang tak putus-putus itu. Untuk itu Maulana akan terus membuat kerjanya sambil disaksikan oleh tetamu. Untuk tetamu yang memahami maka mereka tak akan lama di bilik Maulana. Cukuplah kalau dapat melihat Maulana dan kegigihannya. Itu sudah cukup sebagai suntikan untuk bersungguh-sungguh dengan ilmu.

Maulana menceritakan Maulana Zakariya ketika hayatnya sentiasa memberikan wang kepadanya sebagai hadiah. Selepas itu Maulana Zakariya akan bertanya apa yang kamu buat dengan duit itu. Dengan duit itulah Maulana membeli kitab-kitab hadis dari masa ke semasa. Maklumlah gaji sebagai guru madrasah bukanlah besar mana untuk boleh membeli kitab. Kini berkat kecintaannya kepada ilmu Allah memberikan apa sahaja kitab yang ingin beliau telaahi. Kadang-kadang ketika ke Mekah beliau akan mengambil kesempatan untuk ke kedai kitab. Di situ Maulana akan berjam-jam menegok kitab untuk menyelesaikan masalah hadis. Ada kalanya beliau terpaksa berdiri berjam-jam mentelaah. Lama kelamaan pemilik kedai mengenali Maulana, setiap kali Maulana datang di musim Haji beliau akan mempelawa Maulana menegok kitab sambil duduk di atas kerusi.

Seingat saya sebanyak tiga kali saya sempat juga bertandang ke bilik Maulana Yunus . Pertama sebelum menjejak kaki ke tahun akhir. Kedua, ketika hendak masuk tahun akhir. Ketika itu saya mengambil kesempatan untuk bertanya Maulana tentang kitab-kitab hadis yang perlu difokuskan di tahun akhir. Kata Maulana masing-masing kitab hadis ada kelebihan masing-masing. Lalu Maulana menyebut beberapa kelebihan kitab Sunan Sittah kepada saya. Sekali lagi saya menziarahi Maulana ketika menemani dua tetamu daripada Malaysia iaitu Dr Asri Zainal Abidin (ex Mufti Perlis) dan Dr Sayuthi Manas (Pensyarah UIA). Kedua-dua mereka pada waktu itu pelajar PHD dalam bidang hadis. Mereka dihantar oleh supervisor mereka Prof Dr Abu Laith untuk mendapatkan sanad hadis. Nama saya diberikan untuk membantu mereka. Waktu itu hanya saya seorang sahaja pelajar Melayu di Deoband dan pernah bertemu dengan Prof Abu Laith sebanyak dua kali ketika beliau menziarahi Deoband semasa pulang bercuti di India. Saya membantu mereka mendapatkan sanad hadis di Deoband dan di Saharanpur. Guru Prof. Abu Laith waktu itu mengajar di Madrasah Mazahir Ulum. Beliau ialah Maulana Zainal Abidin. Mengajar pelajar-pelajar takhasus hadis. Seorang yang hebat dari segi ingatan. Matanya buta sebelah. Ijazah am diberikan kepada mereka berdua oleh Maulana Anzar Shah Kashmiri, Maulana Nasir Ahmad Khan, Maulana Salim Qasimi di Deoband. Dan oleh Maulana Zainal Abidin dan Sanad Hadis Musalsalat oleh Maulana Yunus Jaunpuri di Saharanpur.

Saya tidak mempunyai kesempatan untuk belajar dengan Maulana Yunus kerana tempat kami jauh. Polis pula tak izinkan kami pindah randah madrasah. Namun saya sentiasa bercita-cita untuk mendengar pengajian Maulana. Biasanya Maulana tidak benarkan pengajian dirakamkan dalam apa jua bentuk rakaman. Tetapi pada suatu tahun beliau tergerak di hati untuk mengizinkan pengajian Bukharinya direkordkan. Waktu itu rakaman dalam bentuk kaset. Bila pulang ke Malaysia 2004 saya mencari-cari kaset itu daripada empunyanya iaitu Ustaz Muhammad Hazim yang sekarang bertugas di Markaz Seri Petaling sebagai tenaga pengajar madarasah di sana. Ustaz Hazim ialah khadim khusus Maulana Yunus ketika di Mazahir Ulum. Dia antara pelajar Malaysia yang tamat belajar di Saharanpur. Kini beliau mengajar kitab Bukhari di Madrasah Seri Petaling. Satu naskhah lagi daripada Ustaz Hafiz yang mengajar tahfiz di Pulau Pinang. Ia dirakamkan pada tahun selepas tahun Ustaz Hazim Mazhari. Naskhah rakaman ketiga berada dengan seorang ustaz yang bernama Muhammad Mustafa yang tinggal di sekitar USJ. Naskhah ketiga ini gagal diperolehi sampai sekarang. Naskah rakaman ini lebih awal daripada yang Ustaz Hazim dan Ustaz Hafiz punya dan lebih banyak maklumat kerana kesihatan Maulana ketika itu lebih bagus daipada yang berikutnya. Semasa menuntut MA di UIA saya telah mengambil inisatif menukarkan rakaman dalam bentuk kaset itu kepada bentuk cd. Semuanya saya buat sendiri setelah mengetahui ada software yang boleh melakukannya. Alhamdulillah rakaman keselurahan pengajian Bukhari dari awal hingga akhir dapat saya dengari dan berguru dengan Maulana Yunus secara tidak langsung. Saya tidak jemu-jemu mendengarnya untuk mencatatkan nokhtah-noktah penting komentar Maulana Yunus terhadap syarahan hadis Bukhari. Pernah saya mengajukan tajuk 'Waham Ibnu Hajar Dalam Fathul Bari" untuk thesis Master saya. Idea saya perolehi daripada pengamatan Maulana Yunus semasa mengajar Bukhari. Prof Abu Laith sangat setuju dengan tajuk itu. Namun ia ditolak dalam meeting proposal oleh Dr2 yang lain. Antara sebabnya ialah terlalu tinggi untuk bercakap pasal itu diperingkat Master. Dan siapa saya nak kritik Ibnu Hajar!!! Al maklumlah sidang meeting bukan semua dalam bidang hadis!!! Mereka ingat itu semacam nak bongkar keaiban Ibn Hajar. Padahal skop waham yang nak diutarakan agak luas.
(Rujukan: Yawaqit Ghaliyah Fi Tahqiqi Wa takhrij Ahadith A`liyah).

Kitab Yawaqit mengumpulkan jawapan serta soalan daripada surat-surat yang dihantar kepada Maulana Yunus bertanyakan permasalahan hadis oleh segenap lapisan ilmuanSebuah lagi kitab yang disusun daripada surat-surat jawapan Maulana Yunus terhadap persolan hadisSanad Hadis Musalsalat Saya Daripada Maulana Yunus


Bahagian tepi ialah rantaian sanad musalsalat Maulana Yunus

Berita Maulana ketika masuk wad di Madinah oktober 2014


video di Leicester England Jun 2014

14 comments:

Anonymous said...

saya memang menunggu tulisan ustaz.untung ustaz berguru ulama rabbani...

maulana yunus titisan maulanan Ilyas, pengasas jemaah tabligh ini baru saya kenali. terima kasih ustaz..

ilmuwan malaysia memang mempunyai taboo. sewajarnya utsza menerus tajuk itu ke peringkat PhD.

ridhwan

Anonymous said...

Salam Ustaz...

Tahniah dan syabas kerana banyak menulis mengenai Ulama-ulama di benua india

saya rasa takjub dengan keperibadian ulama-ulama deoband

saya sendiri ada berkesempatan pergi ke India dan sempat bertemu dengan Maulan Yunus di Nizamuddin..orang bagitahu saya itu maulana yunus...sayangnya saya tak tahu beliau adalah ulama hadis terkenal di india...

nyesal tak nengok betul2 muka beliau...

Anonymous said...

Salam, Syabas ustaz kerana banyak cerita tentang ulama2 deoband

semasa saya pergi ke nizamudin, ada orang tunjuk kat saya itu maulana yunus..tapi saya tak tahu masa tu yang maulana yunus adalah seorang ulama hadis terkenal di India

Nyesal tak nengok betul2...

ape2 pun..saya suka posting ustaz..

harap dapat tambah lagi

Zaharudin Nawi/Aji said...

jazakallah khairal jaza

Unknown said...

brother i am interested to learn what you have written about sheikh yunus. I am a mureed of his but I dont understand your language. Can you please email me on sarfraz.yusuf@virgin.net

Zaharudin Nawi/Aji said...

Thank you for visting my blog. This blog is written in Malaysian language. If you know any Malaysian there he may assist you to translate what I have written about.

Unknown said...

salam

brother i used google translation to make out what you have written in your article.

can you confirm you have audio from his bukhari dars? are you able to email me pls?

Unknown said...

salam,izinkan saya copy article ustaz

Zaharudin Nawi/Aji said...

Boleh copy bukan utk tujuan komersial. Semua artikel dlm blog ini insyaalah akan dimuatkan dlm buku selepas proses editing.

Anonymous said...

Maulana yunus dlm ilmu hadith sanad ke brape?

Zaharudin Nawi/Aji said...

Tak faham soalan apaa maksud sanad ke berapa?

Unknown said...

assalamualaikum ustaz, bukankah di MUSP al-Musnid Maulana Abdul Hamid Chin al-Hafiz Hafizahullah yang mengajar Sahih Bukhari ?

Anonymous said...

Assalamualaikum ustaz , bukankah al-Musnid Syaikhul Hadith Maulana Abdul Hamid Chin al-Hafiz Hafizahullah yang mengajar Sahih al-Bukhari ?

Zaharudin Nawi/Aji said...

Waktu saya menulis itu Maulana Hazim ganti Maulana Hamid sekejap.