Tuesday, April 6, 2010

Anekdot Ulama 27: Muhaddith Maulana Mufti Saed Ahmad Palanpuri

Beliau ialah guru yang mengajar saya kitab Tirmizi, Syarah Ma`ani Athar oleh Tahawi dan Hujatullah Balighah (karangan Shah Waliyullah Dehlawi). Berasal dari negeri Gujerat, India. Pernah belajar diperingkat pertengahan silibus madrasah di Palanpur. Barangkali dengan sebab itu Maulana dikenali dengan gelaran Maulana Saed Palanpuri. Manakala gelaran Mufti kerana selepas tamat daurah hadis di Darul Uloom Deoband beliau memasuki kelas pengajian takhassus fekah yang dipanggil kelas ifta`. Di situ beliau memperolehi keputusan yang cemerlang. Mulai saat itu namanya tidak lekang dengan sebutan Mufti. Setelah kematian Maulana Nasir Ahmad Khan baru-baru ini Maulana Mufti Saed telah diangkat sebagai Sheikhul Hadith untuk mengajar kitab Bukhari.

Di Darul Uloom beliau sangat disegani kerana mempunyai keperibadian yang dihormati. Baik daripada segi ilmu maupun akhlak. Seorang yang berhemah tinggi. Amat berdisiplin. Kuat berpegang dengan sunnah dan mazhab Hanafi (bahut pakka hanafi hai). Siapa sahaja mengenali Mufti Saed Palanpuri. Daripada pelajar kelas bawahan apatah lagi pelajar kelas atasan. Mufti Saed mempunyai kebolehan yang luarbiasa dalam menyampaikan syarahan pelajaran yang diajarnya. Bahasanya kemas. Pointnya tersusun. Tidak panjang. Tidak pendek. Tidak tafrith dan tidak juga ifrath. Beliau mampu menghuraikan sesuatu yang complicated menjadi senang dan mudah. Pengajian kelas Tirmizi paling diminati oleh pelajar-pelajar. Mempelajari kitab Tirmizi dengannya seolah-olah kita tidak lagi memerlukan pengajian kitab-kitab hadis yang lain. Mudah memahami kitab lain. Mufti Saed tidak hanya peka mentashilkan kitab yang besar-besar malah beliau juga menulis kitab-kitab peringkat bawahan seperti ilmu saraf, ilmu nahu, ilmu mantik dan ilmu falsafah. Semuanya dibuat dalam bentuk tashil kerana mungkin beliau sedar pelajar dewasa ini amat lemah isti`dad.


Kitab Miftahul Awamil syarah urdu oleh Muhaddis Fakhruddin Ahmad kepada kitab Syarah Miatu Amil oleh Abd Rahman Jami. Kitab Muhaddis Fakhrudin ini kemudian disusun semula oleh Maulana Mufti Saed Palanpuri.

Kitab usul tafsir oleh Shah Waliyullah Dehlawi dalam bahasa Parsi. Ia mulanya diterjemahkan ke dalam bahasa Arab oleh seorang yang kurang dikenali. Kemudian ia diterjemahkan semula oleh Mufti Saed ke dalam bahasa Arab.

Kitab Asan Nahw (Nahu Mudah) mulanya adalah nota yang disediakan oleh Mufti Saed untuk mengajar anaknya tentang asas-asas nahu Arab. Kemudian dibukukan.

Kelas Daurah Hadith tahun akhir mempunyai lebih kurang tujuh lapan ratus orang pelajar. Jika Mufti Saed mengajar kelas penuh sampai keluar kerana mereka yang tidak berdaftarpun tumpang mendengar kuliah beliau. Sebelum Mufti Saed sampai ke kelas pelajar-pelajar semuanya diam. Jika beliau terdengar bunyi riuh rendah sebelum masuk ke kelas beliau akan berpatah balik. Terpaksalah kami memujuk beliau dengan janji tidak akan mengulanginya lagi. Sebenarnya Mufti Saed mahu mendidik pelajar semua agar menghormati hadis. Bukan sekadar belajar. Tapi beramal. Bermula di dalam kelas. Semasa beliau mengajar suasana amat tenteram. Tiada bunyi lain yang kedengaran melainkan suara Mufti Saed. Malah kalau pen terjatuh ke atas lantaipun akan didengari di seluruh dewan.

Saya masih teringat bagaimana Mufti Saed berjalan pulang ke rumahnya. Sering saya terserempak dengannya. Jika terserempak dialah yang akan memulai memberi salam terlebih dahulu. Masih teringat bagaimana beliau membawa kitab dengan meletakkannya di dada bukan di paras pinggang sebagaimana kebiasaan orang membawa kitab. Ketika saya belasan tahun, saya pernah melihat cara Mufti Saed membawa kitab itu sama dengan Tok Guru Nik Abdul Aziz membawanya. Barangkali Tok Gurupun terdidik dengan cara ulama Deoband zaman beliau menghormati ilmu. Mufti Saed juga kuat berzikir. Sambil berjalan beliau memegang tasbih kecil. Jari jemarinya bergerak memusingkan manik-manik tasbih. Dari segi pakaian Mufti Saed memakai kurta pajama tetapi bajunya labuh seperi jubah. Kadang-kadang beliau mamakai serban berwarna hijau dan kadang-kadang hanya berkopiah. Rambut dan janggutnya sudah beruban. Tetapi Mufti Saed mengenakan inai menjadikannya berwarna perang.

Suatu hari saya menziarahi Mufti Saed di rumahnya. Dalam perbualan kami itu Mufti Saed menceritakan bahawa dia ada kawan orang Malaysia. Namanya Lambok. Tambahnya lagi "Woh bahut zahin hai (Dia sangat cerdik). Aku dapat nombor satu Lambok dapat nombor dua". Itu dalam tahun akhir sekitar tahun 1962/1382H. Mufti bertanya: "Di mana Lambok sekarang?". Itulah julung kali saya mendengar nama Lambok di kalangan ulamak Malaysia. Sampai sekarang saya tidak tahu siapa itu Lambok. Dalam register nama-nama pelajar Malaysia yang saya perolehi daripada Darul Uloom terdapat seorang pelajar bernama Lambak bin Ibrahim, Kampung Jerim, Kuala Neros, Terengganu. Tahun tamat Darul Uloom juga 1382H sama dengan Mufti Saed. Adakah dia Lambok yang dimaksudkan. Mungkin kita perlukan satu projek program jejak ulamak untuk menyusul ulama-ulamak yang pernah belajar di Benua India!!!

Nama Lambak di dalam senarai register
Darul Uloom Deoband yang saya perolehi semasa lawatan tahun 2009.


5 comments:

Anonymous said...

di Terengganu ada madrasah kubang bujok.. milik jemaah tabligh.. saya dengar mereka mengaji ala deoband..

mungkin para ustaz di sana mengenalinya..

kuala nerus tak jauh dari rumah saya bagaikan gombak dengan UM..

ridhwan

Zaharudin Nawi/Aji said...

Ustaz pernah ke sana dulu awal-awal balik India. Ada juga kenalan yang mengajar di situ. Anak murid Ustaz di India dulu ada juga lepasan tahfiz di situ.

Zaharudin Nawi/Aji said...

Kadang-kadang Ustaz sengaja lalu kut terengganu dari kl-kb atau kb-kl sambil nak tengok singgah sekolah lama Ustaz di Dungun. Sekolah Menengah Sains Dungun.

Anonymous said...

saya tertarik dengan latarbelakang ustaz. nak tanya lebih2, segan dan nanti ganggu masa ustaz. ustaz ni macam ustaz harizal, Dr MAZA dan UZAR. ustaz2 yang berasal daripada sekolah hebat tetapi memilih bidang agama. taniah ustaz..

Duk fikir semalam. kg jerim macam takda ustaz. kalau kampung jeram tu ada.. Di Terengganu, ada juga seorang ustaz yang tinggi ilmunya, namanya haji Ambak tp tempat tinggal saya tidak tahu. beliau tengah mengajar di masjid kg saya..

Insya Allah, kalau balik kampung, saya tolong cari

ridhwan

Anonymous said...

Salah seorang lagi pelajar tok guru Haji Abbas yang masih lagi aktif meneruskan segala perjuangan tok guru ialah Haji Lambak bin Ibrahim,yang juga merupakan menantu kepada Tok guru . Beliau telah menuntut ilmu dengan tok guru sejak remaja dan telah melanjutkan pelajaran ke Universiti Douband. Sekembali ke Malaysia beliau meneruskan pembelajaran dengan Tok guru sehingga Tok guru menghembuskan nafas terakhir. Hingga kini, beliau masih lagi aktif menghidupkan surau yang di bina oleh Tok guru Sendiri,iaitu Surau Haji Abas di Tok jiring dengan mengadakan kuliah tetap hampir setiap hari. Contohnya, kuliah subuh dan pengajian kitab.

http://ms.wikipedia.org/wiki/Sekolah_Menengah_Kebangsaan_Agama_Tok_Jiring