Sunday, April 18, 2010

Anekdot Ulama 28: Maulana Nikmatullah, Ustazul Asatizah

Ujian kemasukan ke Darul Uloom untuk kelas bawah diadakan secara lisan. Setahun saya mustami` di Darul Uloom. Atas sokongan guru-guru yang mengajar, mereka sarankan saya jadi pelajar Darul Uloom secara rasmi. Berdaftar. Untuk itu saya perlu lalui ujian kemasukan seperti pelajar-pelajar lain. Tahun yang saya apply untuk masuk ialah tahun 2. Kebanyakan pelajar yang ikut serta dalam ujian itu rata-rata umur mereka 10 hingga 12 tahun. Umur saya ketika itu dah dua puluhan!!! Baru nak belajar Arab. Bila nama saya dipanggil ke dalam dewan saya diarah untuk mengadap seorang Maulana yang sedang menguji pelajar-pelajar lain. Dia bertanya tentang asal usul saya dalam bahasa Arab ala madrasah. Saya senyum-senyum tak tahu nak jawab lebih-lebih kerana belum pandai Arab. Dia terus mengajukan soalan. Cuba beritahu ta`lil qultu (قُلْتُ). Saya lagi tersengeh tak tahu nak jawab. Maulana mungkin tahu saya tak tahu jawabannya lalu menerangkan bagaimana ta`lil qultu (قُلْتُ). Mungkin Maulana tahu juga saya memang ikhlas nak belajar kerana belum ada orang Malaysia yang mintak nak masuk tahun 2. Tahun dua hanya belajar ilmu saraf pertengahan, ilmu nahu pertengahan, matan fekah yang kecil2. Arabic readings. Mantik pertengahan dan terjemahan Al-Quran. Zaman-zaman dahulu orang Malaysia datang ke Deoband semua dah alim-alim. Habis pondok. Habis Nilam Puri (sebelum UM ambil alih). Habis sekolah Arab. So mereka minta masuk kelas lima ke atas. Orang yang mintak tahun dua ni confirm tak reti apa. Maulana kata aku bagi kamu lulus tapi kamu kena mehnat (bersungguh-sungguh) nanti. Saya angguk-angguk malu kerana dibelas kasihankan. Tetapi gembira kerana dapat jadi student Malaysia pertama dapat belajar di Darul uloom setelah hampir 10 tahun pelajar Malaysia tidak belajar di sana. Dalam tempoh itu pelajar Malaysia semuanya belajar di Darul Uloom satu lagi yang dinamakan sebagai Darul uloom Deoband Waqaf. Dengan tambahan perkataan waqaf.

Bertahun-tahun selepas itu barulah saya mengetahui bahawa Maulana yang meluluskan saya itu namanya Maulana Ni`matullah. Beliau menjadi guru saya kemudiannya. Beliau mengajar saya kitab hadis Muslim, Abu Daud dan Tafsir Baidhawi.Kebetulan tahun saya belajar Tafsir Baidhawi kelas tafsir lama dibuka kembali setelah sekian lama tidak digunakan. Kelasnya di dalam kubah bangunan Darul Uloom. Suatu ketika dahulu diceritakan bahawa kelas itu ialah tempat di mana JIN belajar kitab dengan maulana-maulana Darul Uloom. Tapi saya tak tahu sejauh mana kebenaran cerita itu dan tak pernah bertanya Maulana di situ tentang kesahihan berita tersebut. Tak sampai sebulan dua saya belajar di kelas itu tiba-tiba ia ditutup kembali dan kami dipindahkan ke kelas lain yang agaknya tiada JIN!!!. Selain itu Maulana juga mengajar kitab-kitab takhassus dalam berbagai ulum termasuklah takhasusu fil hadith.

Maulana Ni`matullah dilahirkan pada tahun 1936. Permulaan pengajiannya ialah di kampungnya. Maulana memasuki Darul Uloom di peringkat pertengahan bermula dengan kitab Tafsir Jalalain. Kemudian beliau menamatkan pengajian Daurah Hadisnya pada tahun 1372H./1953. Selepas itu beliau menadah kitab untuk tafaqquh selama dua tahun. Selepas itu Maulana mengajar di madrasah di India di merata-rata tempat sehinggalah Maulana dipanggil mengajar di Darul Uloom pada tahun 1402H/1982. Orangnya tinggi. Kurus. Putih. Tidak seperti maulana-maulana lain, Maulana Nikmatullah jarang dikerumuni pelajar. Bila berjalan beliau lebih suka berseorangan tidak diiringi oleh sesiapa dengan tongkatnya. Maulana kelihatan simple dalam segala-galanya sehingga tiada yang menyangka bahawa beliau sebenarnya adalah guru kepada guru-guru Darul Uloom (ustazul asatizah). Beliau ialah pakar rujuk kepada maulana-maulana Darul Uloom. Yang peliknya saya melihat kadang-kadang Maulana mengajar kitab bawahan. Mengajar pelajar-pelajar yang rata-rata berumur 12,13 tahun!

Suatu hari saya menemani seorang kawan, Roslan Ramli untuk bertemu dengan Maulana di rumahnya (Roslan tamat Al Azhar Mesir selepas itu. Kini bertugas di sekolah rendah Al Amin, Kertih Tnganu). Pada waktu itu Roslan Ramli sudahpun menamatkan pengajiannya di Darul Uloom. Beliau mahu berjumpa semua guru-guru sebelum pulang ke Malaysia. Kami pergi selepas isyak ke rumah Maulana. Kami rasa malu juga kerana Maulana pada waktu itu baru selesai mengajar kitab hadis kepada salah seorang Maulana yang juga guru hadis kami. Pada malam itu barulah terbukti kepada kami tentang kata-kata orang bahawa dia pakar rujuk Darul Uloom. Kami dijemput masuk. Ruangan tamu kelihatan kosong. Ianya agak kecil. Tiada kerusi. Tiada meja. Hanya tikar dihamparkan. Sebenarnya rumahnya itu ialah kuartes guru-guru Darul Uloom. Ianya disediakan khas untuk Maulana2 yang tidak punyai rumah sendiri di Deoband. Kami sebentar di rumah Maulana kerana tidak mahu menganggu masa beliau.

Keperibadi Maulana Nikmatullah itu melambangkan ketinggian ilmunya dan keserlahan sifat tawaduknya. Saya amat terasa keberkatan ilmunya. Soalan ta`lil قُلْتُ yang diajukan kepada saya menjadi dorongan yang kuat untuk saya cuba memahami kitab-kitab teks ilmu saraf bahasa Arab Darul Uloom yang ditulis dalam bahasa Parsi!!!!. Malah pelajaran ilmu saraf menjadi begitu mudah kepada saya akhirnya. Untuk itu saya telah mengabadikan sebuah buku ilmu saraf dan ilmu nahu yang sekarang masih dalam bentuk manuskrip. Mudahan-mudahan suatu masa nanti ia akan dicetak untuk tatapan umum. Ianya bukan sebagai margin atau ukuran tentang keilmuan saya tetapi satu jelmaan doa seorang guru yang berpesan kepada muridnya supaya mehnat.

Kitab Syarah Muslim Dalam Bahasa Urdu
Oleh Maulana Nikmatullah Dari Kitab Buyu`

manuskrip tatabahasa Arab

manuskrip ilmu saraf


1 comment:

Iwani Khalid said...

Ustaz :) Allah benar2 beri ustaz something special. 20 yrs old guy sekelas 10-12 yrs old kids. Subhanallah. Saya bersyukur dapat menjadi anak murid ustaz. Semoga Allah merahmati ustaz hingga akhir hayat