Thursday, November 11, 2010

Kembara Deoband 33: Syarif Bhai Oh Syarif Bhai ! (Brother Syarif)

Syarif Bhai tinggal berdekatan dengan rumah sewa kami di Mahalla Sharamzudin iaitu di belakang Masjid Sharamzudin. Kita panggil dia Sharif sahaja. Sharif tinggal di rumah sendiri, rumah peninggalan ayahnya. Rumah itu dibahagi dua selepas ayahnya meninggal dunia. Satu untuk bahagiannya dan satu lagi bahagian abangnya, Jamil, yang bekerja di rumah penyambut tetamu Darul Uloom (Mehman Khana). Rumah hanya dipisah oleh dinding dengan pintu dan laluan keluar masuk yang sama. Rumah Syarif hanya ada satu bilik dan satu halaman. Bagi anak-anaknya yang dah besar-besar mereka tidur di halaman di atas charpai. Yang kecil2 semua tidur dalam satu bilik yang sempit itu. Tidak ada dapur khusus cuma satu sudut di bahagian halaman itu diletakkan alat-alat perkakas dapur untuk memasak. Syarif memiliki ramai anak, 9 orang. Dia termasuk kelas golongan miskin. Kaumnya kaum Nai. Bilangan kaum Nai tak ramai jika dibandingkan dengan kaum Ansari.

Syarif duduk berselendang merah

Ketika saya mula-mula sampai di Deoband saya banyak melihat kelibat Syarif. Dia kerap datang ke rumah sewa kami. Rupa-rupanya Syarif semenjak kecil lagi selalu bertandang di rumah pelajar-pelajar Malaysia. Kata kawan-kawan Syarif sudah ketagih masakan Melayu. Pakaiannya pun banyak yang Malaysia punya. Hadiah daripada pelajar-pelajar kita yang dah pulang ke tanah air. Di rumahnyapun banyak perkakas yang dia perolehi daripada pelajar-pelajar asing. Murah sungguh rezeki Syarif. Syarif satu-satunya orang India yang boleh tahan dengan bau ikan kering. Sebenarnya orang India di Deoband tak tahan dengan bau ikan kering terutama apabila sedang di goreng! Mereka akan gelisah kalau bau ikan kering menusuk ke dalam hidung mereka. Mereka akan bising dengan memekik yeh badbu kahan se aarahi hai (Bau busuk ni datang dari mana?). Walaupun begitu Syarif tak tahan juga dengan bau belacan.

Syarif tidak mempunyai kerja tetap. Biasanya rezeki yang diperolehinya melalui upah buat kerja tolong-tolong orang terutama pelajar-pelajar foreigner. Syarif tak tahu membaca dan menulis. Tetapi agak ajaib kerana dia boleh diminta tolong untuk membuat urusan yang ada kena mengena dengan tulis menulis. Hampir semua foreigner bergantung kepada Syarif. Bersih bilik (kamra saf karna), cuci pakaian (kapre dhona), beli sayur (sabzi kharidna), beli daging (ghost kharidna), baiki letrik (bijli thik karna), cat bilik (kamra rang karna), cari bilik sewa (kiraya makan talash karna), jual suratkhabar lama (akhbar bechna), pos surat (khat post karna), pos buku (kitaben pos karna), beli buku (kitab kharidna), tukar duit dollar di Delhi (dollar change karna), angkat barang (saman uthaana), hantar pesanan (saman pahunchana), masak nasi (chawal pakhana), masak Biryani (Biryani pakhana), buat dudh (dudh tayyar karna), buat chai (chai banana), mengurut (malish karna) etc. Yang paling Syarif suka ialah mengiringi orang ke luar Deoband. Hampir semua orang perlukan Syarif sebagai teman untuk musafir. Oleh itu Syarif dah ke mana-mana kerana menemani orang. Paling acap ke Delhi. Ke airport tak boleh nak dikira banyaknya kerana menghantar pelajar pulang samada ke Malaysia, Indonesia, Afrika, England, Amerika, Kanada, Guyana etc. Ceruk mana di Delhi yang dia tak pergi. Orang Embassy Malaysia dan Embassy Indonesia semuanya mengenali Syarif. Syarif dah masuk banyak hotel dan berbagai restoran. Bukan setakat teman malah dia boleh menjadi guide kerana mempunyai banyak pengalaman dan serba tahu. Yang paling penting dia tahu di mana black market nak tukar US dollar.

Apakah yang menyebabkan Syarif disenangi oleh ramai pelajar foreigner? Yang nyata ialah kerana akhlaknya. Syarif seorang yang penyabar. Extreme sabar. Syarif terkenal dengan selalu buat kerja silap. Bila dimarahi dia diam sahaja menyebabkan semua orang jatuh kesian pulak kat dia. Syarif melayan semua orang. Bila diminta tolong berbuat sesuatu pada sekian-sekian waktu dia tak pandai kata no (ji nahin). Oleh itu janjinya bertindan-tindan dan berlonggok-longgok. Siapa cepat dia akana dapat Syarif. Bila dimarahi oleh orang lain kerana janjinya dia akan diam seribu bahasa. Syarif orangnya cool. Tak pernah meminta dan merungut. Buatlah apa kerjapun dia tak pernah minta ganjaran. Berapapun diupah dia terima sahaja. Kadang tak dapat apa-apa wang. Hanya dibelanja dengan makan minum. Satu lagi sifat istimewa Syarif ialah tekun mendengar. Kalau tension-tension orang akan panggil Syarif untuk borak-borak. Dia sanggup mendengar apa sahaja yang diceritakan kepadanya sambil berkata ji, ji, ji (yes,yes, yes). Kalau cerita itu suatu rahsia yang perlu disimpan dia akan simpan rahsia itu. Oleh kerana itu syarif sentiasa dikenang. Syarif sentiasa dihubungi walaupun mereka sudah pulang. Ramai juga yang mengirimkan duit untuk Syarif bersama doa dan salam. Moga-moga Allah memelihara Syarif dan dimurahkan rezeki. Sesungguhnya sifat sabar Syarif itu banyak menjadi pengajaran kepada diri saya. Walaupun Syarif bukan guru saya di dalam kelas tetapi hakikatnya saya mempelajari banyak perkara daripada keperibadiannya.

2 comments:

Ismi Ijmi said...

MasyaAllah,menarik ustaz cerita kali ni

Iwani Khalid said...

Bestnya hidup simple mcm Syarif... semoga ustaz akan disatukan dgn Syarif di jannahtul firdaus bersama rakan2 seperjuangan amin