Setelah sekian lama berhempas pulas dengan masa akhirnya alhamdulillah kami berjaya menghabiskan pengajian kitab balaghah Talkhis Miftah. Tiga orang pelajar UIA selalu datang bertandang ke rumah saya untuk menadah kitab-kitab turath yang pernah saya belajar di Deoband. Walaupun Lutfi, Mohd Fitri dan Anwar mengambil jurusan undang-undang dan engineering tetapi mereka ingin juga menambahkan pengetahuan ilmu agama sebagaimana jalan yang dilalui oleh para asatizah jurusan agama. Ketika kami bersetuju membuka kitab Talkhis kesemua mereka sudah di ambang menjadi graduan UIA. Pertama, Fitri dahulu yang menamatkan pengajian dan pulang bertugas di firma guaman ayahnya di Ipoh. Oleh itu dia tidak dapat meneruskan pengajian kitab Talkhis. Kemudian Anwar pula keluar untuk bekerja sebagai guru tuisyen di Kajang walaupun jurusan sebenarnya ialah engineering. Lutfi sama seperti Fitri dalam jurusan undang-undang. Dia menambahkan semester untuk mengambil Law Syariah. Setelah itu mengambil Master. Oleh itu tinggallah Lutfi meneruskan pengajian Talkhis dengan saya. Kadang kelas kami di ofis isteri saya di UIA. Kadang di Masjid UIA. Kadang di rumah saya. Kemudian Lutfi mendapat tawaran untuk menjadi pensyarah undang-undang di Universiti Darul Iman Terengganu. Saya dan Lutfi memikirkan bagaimana hendak menamatkan kitab Talkhis yang masih berbaki lagi itu. Kebetulan rumah saya mendapat sambungan UNIFI maka saya cadangkan agar pengajian diteruskan secara online.
Kami menggunakan kemudahan laman sesawang SKYPE kemudian YAHOO MESSENGER. Kelas kami tidak tentu masanya. Kekerapannya bergantung kepada kekosongan masa saya dan masa Lutfi. Kadang-kadang dua tiga kali seminggu. Kadang-kadang hanya sekali seminggu. Kadang tak ada satupun kelas dalam seminggu itu. Tetapi kami mempunyai niat yang sama iaitu menamatkan kitab Talkhis. Akhirnya pada pagi 12hb Jun 2012 Allah memakbulkan doa dan harapan kami. Kitab Talkhis berjaya ditamatkan Alhamdulillah. Menurut catatan Lutfi kami memulakan pengajian kitab Talkhis pada tanggal 7/1/2009.
Saya amat bersyukur kerana dapat mengajar kitab Talkhis sampai selesai. Saya rasa sayalah yang lebih memerlukan ilmu itu daripada Lutfi. Ia menyediakan peluang untuk saya membelek kitab-kitab syarah Talkhis. Kitab Syuruh Talkhis sebanyak empat jilid banyak membantu saya memahami teks Talkhis. Selain itu kitab Tashil Fatah syarah urdu kitab Talkhis juga turut membantu saya. Mulanya kami menggunakan teks Darul Uloom Deoband. Tulisan tangan yang rapat-rapat dan susunan yang yang tiada sebarang petunjuk menyukarkan guru apatah lagi anak murid untuk menggunakannya. Setelah itu kami menemui cetakan baru yang ditahkikan oleh Dr. Yasin Ayyubi dan menggunakannya sehinggalah ke garisan penamat.
Mukaddimah Kitab
Sambungan
Cetakan baru tahkik Yasin Ayyubi
Mukaddimah
Kitab Syuruh Talkhis terkandung
dalamnya 5 buah kitab
dalamnya 5 buah kitab
Syarah Urdu Talkhis
Kitab Talkis Miftah ialah sebuah kitab balaghah yang terkenal di kalangan turathiyyun. Ia biasanya dijadikan silibus pengajian kerana kandungannya yang menyeluruh serta perbincangannya yang tidak terlalu rendah dan tidak pula terlalu tinggi. Boleh dikatakan sederhana dan menarik. Kitab ini dikarang oleh Jalaludin Muhammad b. Abd Rahman yang dikenali sebagai Khatib Qazwini. Talkhis sebenarnya ringkasan kepada kitab Miftah Ulum oleh Abu Yakub Yusuf yang lebih dikenali sebagai Sakkaki. Sebab itulah ia dinamakan Talkhis Al Miftah iaitu Ringkasan Kitab Al Miftah. Kitab Balaghah paling tinggi diajar di Darul Uloom Deoband waktu saya ialah Mukhtasar Ma`ani oleh Allamah Taftazani. Mukhtasar Ma`ani diajar selepas kitab Talkhis. Mukhtasar Ma`ani sendiri adalah syarah kepada Talkhis dan juga dimuatkan dalam kitab Syuruh Talkhis spt yang telah disebutkan. Suatu ketika dahulu Darul Uoom menetapkan kitab Mutawwal sebagai kitab terakhir untuk dipelajari. Ia juga karangan Taftazani.
1 comment:
Subhanallah best nya baca cerita ni ustaz :)
Post a Comment