Masjid Choti mempunyai sebuah bilik kecil depan pintu masuknya. Ada seorang lelaki berbadan kurus kulit kegelap-gelapan tinggal di situ. Setiap kali saya ke masjid itu saya melihat dia sibuk mentelaah kitab. Di waktu lapang biliknya akan sentiasa diziarahi oleh orang. Kebanyakkannya datang untuk menadah kitab. Dengar cerita dia seorang yang alim terutama ilmu ma`qulat. Dia datang selepas ramai pelajar Malaysia sudah meninggalkan Deoband. Ketika dia datang dia memilih untuk memasuki Darul Uloom (Wakaf) tempat anak muhadith Maulana Anwar Shah Kashmiri mengajar. Namanya Jafaar datang dari Bangladesh. Jafaar tidak memiliki apa-apa sijil. Dia menduduki peperiksaan kemasukan walaupun tidak bersijil. Sesiapa boleh menduduki peperiksaan itu. Setelah lulus barulah akan diminta dokumen. Kertas jawapan Jafaar menakjubkan guru-guru Darul Uloom Wakaf. Maulana Anzar Shah Kashmii (anak Allamah Kashmiri) memanggil beliau untuk melihat orangnya. Waktu itu jarang sudah yang dapat mengusai ilmu ma`qulat dengan baik. Jafaar berpeluang mempelajari ilmu-ilmu itu daripada guru-guru di sana walaupun sudah tidak ramai yang mengusainya. Hatta Darul Uloom sendiri sudah tidak menumpukan ilmu ma`qulat. Amat jarang sekali kedengaran kitab-kitab seperti Qadhi Mubaraq, Hamdallah, Shamsu Bazighah, , Musamarah, Mulla Hasan, Musallmusubut etc diajar.
Kebolehan Jafar akhirnya menyebabkan Maulana Anzar Shah selaku ketua asatizah di Darul Uloom Waqaf mengambil beliau sebagai tenaga pengajar selepas tamat Daurah. Beliau mengajar di situ tetapi atas tiket pelajar kerana orang asing tidak dibenarkan bekerja melainkan mendapat permit daripada kerajaan. Bertahun-tahun Jafar disitu. Peningkatannya juga amat baik dan cepat. Dia diberi kepercayaan mengajar kitab yang besar-besar. Dia bertahan di situ kerana saya masih ada disitu katanya. Masih ada teman kalau ke pejabat polis untuk sambung permit. Jafar tidak tahu sampai bila dia akan berada disitu. Darul Uloom Waqaf pula tidak mempunyai keupayaan untuk menukarkan status beliau daripada pelajar kepada guru. Jafar bertambah rungsing bila saya bercadang untuk pulang. Saya mencadangkannya buat MA di UIA dan seterusnya. Mengenai biaya rakan-rakan yang mengenali Jafar sedia membantu. Yusuf dari Chicago sentiasa bertandang di bilik Jafar utk menceduk ilmunya. Yusuf pulang awal dan sanggup menolong Jafar jika dia diterima masuk UIA. Malangnya Jafar tidak memiliki dokumen yang lengkap. Hanya sijil Darul Uloom Deoband Waqaf untuk tempoh 2 tahun sj. Belum layak dikatakan BA. Saya menghantar permohonan beliau kepada kawan-kawan di UIA utk dimajukan. Akhirnya permohonan beliau ditolak kerana dokumen tak cukup syarat.
Ketika saya pulang tahun 2004 Jafar masih mengajar di Darul Uloom Waqaf. Apabila saya melawat Deoband tahun 2009 Jafar sudah tiada. Dia sudah pulang. Saya tidak tahu di mana dia sekarang tetapi wajahnya yang sentiasa senyum masih terpahat dalam ingatan saya. Saya tidak pernah melihat orang serajin beliau membaca buku dan cintakan ilmu. Jafar seorang yang miskin. Dia tidak memilki sumber bantuan daripada mana-mana pihak. Hanya mengharapkan pendidikan percuma di Darul uloom. Pada awalnya dia mengajar di Darul Uloom Waqaf tanpa apa-apa bayaran kemudian barulah diberikan saguhati..
No comments:
Post a Comment