Tuesday, September 25, 2012

Kembara Deoband 50: Kegeniusan Maulana Mirza

Saya banyak kali mendengar nama Mirza daripada beberapa orang pelajar senior. Mereka selalu bertandang ke bilik Mirza kerana ingin menadah kitab dengannya. Ini kerana Mirza boleh bercakap Arab. Mirza sebelum itu belajar di Saharanpur. Setelah tamat belajar dia tinggal di Deoband. Saya tidak pasti apakah yang dibuat oleh Mirza pada waktu itu. Pelajar Malaysia yang senior rata-rata datang untuk setahun dua sahaja. Oleh itu mereka tidak mengusai bahasa Urdu. Ini menyebabkan mereka mencari mereka yang pandai bercakap Arab untuk mengajar mereka kitab-kitab yang diajar di Darul Uloom terutama beberapa kitab-kitab asas dalam ilmu nahu, mantik dan syair Arab yang hanya diajar di madrasah India/Pakistan. Antara yang menjadi tumpuan mereka ialah seorang yang bernama Mirza. Saya tidak begitu kisah dengan Mirza atau siapa sahaja kerana saya pelajar baru dan hanya menumpukan kepada kelas sahaja. Pelajar senior spt Abdul Rashid dan  Iskandar selalu menyebut nama Mirza. Malah diceritakan bahawa Mirza pernah meminjam duit daripada Abdul Rashid. Sebagai bayarannya beliau minta Mirza menterjemahkan kepadanya kitab nahu berbahasa Parsi kedalam bahasa Arab iaitu "Nahu Mir". Khabarnya kitab itu siap diterjemahkan oleh Mirza.

                                            "Nahu Mir " berbahasa Parsi oleh Mir Sayyid Syarif Jurjani. 
Kitab Nahu Permulaan untuk Mempejari Bahasa Arab


 Kitab Terjemahan "Nahu Mir "dlm Bahasa Arab oleh Hamid Husain Bangladeshi yang saya perolehi bertahun-tahun selepas terjemahan Mirza

Suatu malam di musim sejuk saya dan Syarif makan-makan di kedai Sa`idiyah yang terletak berhadapan dengan Darul Uloom. Makan halwa gajar dan  telur rebus berserta dud patti. Itulah makanan favorite penduduk pekan Deoband pada waktu malam di musim sejuk. Syarif menunjukkan kepada saya seorang lelaki di hujung sana yang sedang makan. Kata Syarif itulah Mirza, orang yang selalu dikunjungi oleh pelajar Malaysia. Saya belum kenal dgn Mirza dan itulah kali pertama dan terakhir saya melihat beliau. Selepas itu saya hanya mendengar cerita ttg beliau sahaja. Wajahnya  seingat saya spt Maulana Asri Darul Kauthar cuma Mirza agak gelap kulitnya. 

Mirza berasal daripada Jaunpur. Beliau mendapat pendidikan awal di Madrasah Mazahir Uloom Saharanpur. Ketika belajar dia seorang yang rajin. Walaupun umurnya masih belasan tetapi visinya jauh. Kehebatannya saya ketahui apabila membaca kitab yang ditulis olehnya di waktu usia beliau masih belasan tahun. Sebuah kitab syarah urdu kepada Syarah Miatul Amil  setebal 568 mukasurat yang berjudul Al Dhiya Al Kamil (الضياء الكامل) sempena nama guru beliau yang mengajar kitab tersebut iaitu Maulana Ziaul Haq    (ضياء الحق). Maulana Ziaul Haq juga adalah guru kepada muhadith Maulana Yunus Jaunpuri. Ianya merupakan kitab syarah yang paling tebal di kalangan syarah-syarah yang ada. Beliau  menjadikan hasyiah berbahasa Parsi oleh Maulana Ilahi Bakhs Faidhabadi sebagai rujukan utama di samping  catitan pengajaran gurunya. Dia menanam semangat untuk menulis syarah itu ketika masih belajar. Namun kerana selalu sakit beliau menangguhkannya. Apabila sembuh dia menulisnya dan siap ketika hanya berumur lebih kurang 17 tahun. Masa yang diambil hanyalah sebanyak 26 hari sahaja. Kitab ini mendapat penghargaan kata penghantar oleh Maulana Ziaul Haq sendiri dan Maulana Qari Siddiq yang banyak menulis kitab nahu saraf  dalam bahasa Urdu.


                                                     Kitab Syarah  Urdu "Syarah Miatu     Amil"  oleh Maulana Mirza                          

Suatu hari saya meminta Bayya Tauhid memeriksa buku akaun pelajar-pelajar Malaysia yang dah balik tetapi belum membayar hutang di kedai runcitnya untuk saya uruskan pembayaran . Setelah menyebut nama-nama dan jumlah hutang mereka Bayya Tauhid menyebut juga nama Mirza. Kata Bayya Mirza suatu ketika menyewa satu bilik berdekatan dengan rumahnya. Suatu hari Mirza ke Bombay. Selepas itu dia tidak balik-balik, meninggalkan biliknya begitu sahaja. Bertahun tahun berlalu, tidak ada khabar berita tentangnya. Ada yang mengatakan dia dah mati di Bombay ketika huru hara antara Muslim dengan Hindu. Ada yang mengatakan ternampak kelibat Mirza di Bombay masih hidup.
                                                           
Apapun terjadi Maulana Mirza telah meninggalkan khazanah penting untuk kehidupan saya. Semuga Allah mempermudahkan hidupnya jika dia masih hidup dan mengampunkannya dan memasukannya bersama-sama dengan orang-orang yang beriman. Kemunculan Maulana Mirza Abdul Aziz Shamsad Ahmad Beg bin Mirza Muhammad Idris bin Mirza Nizamuddin bin Mirza Ilahi  Bakhshillah Sungri Jaunpuri ini dalam kehidupan saya di Deoband sebenarnya  mempunyai seribu makna yang tersembunyi. 

 Matan "Syarah Miatu Amil "oleh 
                                                                  Abdul Rahman Jami
                                             
                                                     

No comments: