Friday, January 18, 2013

Anekdot Ulama 48: Amalan Sheikhul Hind di Penjara

Sheikhul Hind Maulana Mahmud Hasan adalah pelajar sulung Darul Uloom Deoband sehinggalah beliau bertugas menjadi guru dan Sheikhul Hadith di Darul Uloom. Beliau juga menjadi salah seorang pejuang menuntut kemerdekaan India daripada tangan British.  Pada tahun 1916 Maulana ditangkap dan pada tanggal 15hb Feb. 1917 Maulana dihantar ke Pulau Malta oleh pihak British kerana dituduh melakukan konspirasi untuk menghalau British dari India. Pulau Malta diumpamakan sebagai Guatanamo di zaman sekarang. Sepatutnya beliau ke tali gantung tetapi kerana tak cukup bukti dia dihantar ke penjara Malta bersama dengan banduan-banduan lain dari serata dunia. Kebanyakan mereka orang German diikuti Austria,  Bulgharia, Turki, Mesir, Syria dan lain-lain.

Beliau dipenjara di Pulau Malta selama 3 tahun. Yang anehnya Maulana tetap dengan amalan rutinnya walaupun berada dalam suasana penjara. Maulana tidak pernah cuai. Maulana tetap dengan amalan yang dikatakan istaqamah. Antara amalan Maulana dalam penjara ialah:
  1. Membaca Quran lebih kurang 10 juz sehari.
  2. Membaca kitab Tirmizi, Mishkat dan Tafsir Jalalin. Kitab2 ini dibawa oleh beliau bersama.
  3. Mengajar kitab kepada seorang pelajar bernama Wahid Ahmad.
  4. Menterjemahkan Al Quran ke dalam bahasa Urdu. Terjemahannya pernah dicetak oleh kerajaan Saudi.
  5.  Bertahajud setiap malam walaupun di musim sejuk. Maulana seorang yang tidak tahan sejuk kerana tubuhnya yang kurus. Namun dia tetap bangun untuk solat.
  6. Maulana tetap berwuduk walaupun terpaksa berkali-kali mengambilnya di musim sejuk kerana selalu  buang air kecil kerana tidak tahan dengan kesejukan.
  7. Selepas tahajud Maulana akan berzikir secara perlahan dan melakukan muraqabah.
  8. Solat subuh berjemaah.
  9. Bersila di sejadah sehinggalah waktu ishraq.
  10. Kemudian membaca Quran.
  11. Beliau menghabiskan masa begini sehinggalah jam 10 malam. Kemudian tidur untuk bangun bertahajud.
(Ulama -i- Haq aur Unke mujaahadaanah Kaarnaame, v1, p160)


No comments: